Saturday, January 23, 2016

ROCK IN KEDAH PART 2

Kali kedua saya hadir menyokong gig di Alor Setar adalah pada tahun 1998 di Subaru Disco untuk memberi sokongan kepada Diken (bersama DROWNED IN BLOOD ketika itu) beraksi bersama RAVENLORD, HAYAGRIVA dan beberapa band lagi yang saya dah lupa. Ia menjadi epik apabila saya dan juga Diken mengikuti gig di Alor Setar semula hari ini kerana kami langsung tidak tahu sejauh mana anak muda di utara terhadap muzik bawah tanah setelah 17 tahun berlalu.

Rock in Kedah adalah acara muda mudi peminat metal yang dijenamakan oleh Ajiz, Metal Zone Distro. Rock in Kedah yang pertama berlangsung pada 24 Januari tahun lalu. Beliau sebelum ini pernah ditimpa musibah sewaktu membawa IMPIETY buat pertama kalinya ke Alor Setar telah menanggung kerugian besar setelah pihak berkuasa menghalang gig tersebut hasil aduan orang awam dan terpaksa diubah lokasinya serta merta. Tidak patah semangat dengan kes tersebut, beliau maju dengan Rock in Kedah.

CS Wild dari Thrashing Fist Production pula membantu Ajiz menguruskan sistem bunyi. Walaupun peralatan yang disediakan pada kadar minimal, ia berpadanan dengan budjet yang akan ditanggung oleh Metal Zone Distro. Kata Ajiz berseloroh kepada saya, andainya Dr Rozmey mahu menjadi penaja, sudah pasti harga tiket hanya RM7.


Shamim Café telah berjaya menganjurkan beberapa siri gig sebelum ini, dan hasil pegamatan saya. Shamim Café lebih mesra band dan penonton dalam banyak perkara dan ia mirip kepada Stopzone, JB tetapi lebih luas. Shamim Café adalah gabungan 3 buah rumah kedai, tingkat bawahnya adalah restoran makanan barat, makanan Thai dan kedai runcit. Manakala tingkat atasnya mempunyai ruang persembahan yang luas (kapasiti 150 orang) mempunyai kaunter, ruang jualan, 3 buah tandas, lobi dan sebuah surau yang selesa.






Walaupun hanya 50 orang yang hadir, kebanyakan penonton dari Perlis, Penang, Perak, bahkan saudara Matthew datang jauh dari Sarawak, bagi saya jumlahnya agak memberangsangkan berbanding dari tempat-tempat lain berdasarkan senarai band yang bermain petang ini keseluruhannya adalah kumpulan black metal hutan tempatan. Lebih tepat Hutan tropika. Mungkin ada yang "hey! VINIIR tu Viking Metal laah",.. ya lah mangkok ayun ooi, Viking metal tu subgenre dari black metal.. hang ingat BATHORY, ISENGARD, ULVER, EINHERJER tu wujud dari mana?

Cuma yang menjadi persoalan, dimana peminat-peminat metal anak jati Kedah hari tu ya?

VINIIR memberikan persembahan yang baik dan bersahaja pada petang itu. Menghiburkan, penuh melodi, rocking dan kemas walaupun Jac, pemain dram mereka ada mengadu beberapa masalah teknikal pada bass dram. Cuma penonton yang masih belum panas untuk kedepan bagi menyahut seruan Valhalla ketika itu. Seterusnya MUARU mengambil alih tempat dan memberikan persembahan Eastern metal yang kuat pegangan nusantaranya. MUARU yang berasal dari Muar, Johor kini sedang giat mempromosi muzik mereka seluruh Malaya. Saya berharap mereka dapat mengikuti jejak FARASU, satu lagi kumpulan Eastern metal yang berjaya melebarkan sayap hingga ke Indonesia dan mempunyai rangkaian peminat yang ramai.













DEAD, band yang asing bagi saya tetapi pemain dram mereka saudara Fadzil memang saya kenali kerana terlibat dalam banyak kumpulan unholy black metal seperti BLACK ABYSS, INSULTOR, dan sebagainya. DEAD turut membawakan black metal acuan Scandinavia pasca 90-an yang digilai Fadzil. Gelagat Fadzil memakai hoodie yang sering menutup wajahnya ketika memukul dram dan sempat membalas Whattapp ketika membuat persembahan telah menghiburkan kami yang menonton dalam kepanasan. Tiada larangan merokok di dalam premis ini tetapi mungkin lebih baik jika penonton hanya dibenarkan merokok di lobi yang luas. Sesak nafas dibuatnya!






THORNS OF HATE sebagai perwakilan dari Kedah memberikan persembahan yang buas persis BLASPHEMY. Oleh kerana tidak mendapat keseimbangan bunyi yang baik, mereka gagal memperdengarkan sedikit pun bunyi dram. Dari segi imej dan penulisan lagu. THORNS OF HATE memang seram.





Bagi saya CORONATION menguasai pentas pada malam itu. Saya sendiri puas hati dengan tetapan bunyi pada semua bahagian. Saya difahamkan mereka adalah cebisan anggota MG34. Pemain dram mereka memukul dram dengan padu, ribut dan beberapa bahagian teknikal. Puas hati saya melihatnya, teringat pula Fauztt dari kumpulan HAIL dan IMPIETY. Pilihan lagu saduran dari ARCHGOAT dan MORBID ANGEL cukup gamat untuk membuatkan adrenalin setiap penonton untuk headbang!




Akhirnya saya bertemu Askwhat, pemilik Nusantarajim Production yang berkerjasama dengan label saya untuk menerbitkan kaset kompilasi Death of Analog Psycho part 2. Rilisan tersebut ditimpa masalah setelah Askwhat sendiri ditimpa masalah yang berakhir dengan berbagai spekulasi. Walaubagaimanapun kompilasi kaset tersebut tetap berjaya dikeluarkan. Saya telah berbincang dan memutuskan untuk terus bersikap professional dan tidak mahu masuk campur dalam urusan peribadi seseorang. Askwhat kini sedang menyusun semula kehidupan dan menguruskan sebuah label baru. GOATLUSTING CHAOS membawakan konsep mirip War Metal dengan beberapa kesan khas jika didengar dalam versi rakaman studio. Mereka agak tergesa-gesa dalam menetapkan bunyi menyebabkan apa yang berlaku pada THORNS OF HATE sekali lagi terjadi pada mereka. Namun mereka tetap memberikan persembahan yang baik namun boleh diperbaiki untuk masa depan. Seperti LINKIN PARK, mereka juga mempunyai duet vokal. hehe.

Sesi Rock in Kedah saya, Badril dan Muhazly (rakan sekolah yang datang jauh bersama keluarga dari Kulim) berakhir di Nasi Kandar Sultan.







No comments:

Post a Comment