Monday, April 4, 2016

NORTH DARK “Stranger Among Demonz” (EASTERN MYTH) –MALAYSIA


Bagi pencinta black metal era 90-an khususnya dari Scandinavia seperti saya, kami pastinya akan terus menikmati album ini sebaik sahaja memutarkan lagu yang pertama. Kepada generasi yang tidak tahu, suatu ketika dahulu MARDUK adalah kumpulan black metal terlaju dan paling bingit di planet yang kita diami ini. Ya! Mereka pernah memegang gelaran itu, sehinggalah setiap hari ada sahaja kumpulan yang cuba menandingi mereka hinggalah irama black metal berkembang menjadi sofistikated sebagaimana yang anda dengar hari ini.

Saya bercerita mengenai MARDUK kerana imej, irama, tema dan rentak yang dikuasai MARDUK sejak awal 90-an itu telah dikuasai sepenuhnya oleh NORTH DARK. Walaupun agak terlewat kerana kumpulan negara jiran misalnya DRY telah pun mengkhatamnya dan kini mampu berevolusi dengan haluan ini. Produk NORTH DARK ini sesuatu yang membanggakan scene black metal tempatan kerana selain imej dan kemampuan mengarap lagu, mereka berhasil memproses album ini dengan kejuruteraan bunyi yang mahir. Bukankah Necro-X Studio, Ipoh terkenal kerana hebat dalam menyunting dan mengadun bunyian black metal hutan? Sayang juga apabila mendapat tahu Necro-X menghentikan operasi mereka buat sementara waktu. Harap studio ini dapat beroperasi semula.

Jika anda seorang tradisionalis, tiada ruang buat anda untuk mengkritik album “Stranger Among Demonz” kerana ia begitu sempurna sebaris dengan album-album malar segar dari IMMORTAL, DARK FUNERAL atau ENTHRONED, melainkan idea-idea dan konsep didalamnya yang di kitar semula dari abad yang lalu.

NORTH DARK dari Kuala Terengganu ini pernah merakamkan sebuah demo “Dark Prophecy” lima tahun yang lalu setelah diaktifkan semula oleh Terminuz (vokal & gitar) yang merupakan satu-satunya anggota asal setelah mendapat bantuan pemain dram berbakat, Unknown H (terkenal melalui kraftangan beliau bersama NEFTARAKA dan UNKNOWN). Album ini bukanlah sesuai untuk metalheads moden yang sukakan metal berteknikal tinggi, sebaliknya ia komposisi yang monotonus namun laju. Formulanya mudah: kegelapan, kelajuan dan kegilaan. Tibalah masanya Malaysia boleh berbangga semula dengan genre black metal kita yang berkualiti, bukan setakat imej sahaja yang gempak!

Hubungi: terminus_surrender@yahoo.co.uk

No comments:

Post a Comment