Wednesday, June 1, 2016

NERVOSA


NERVOSA adalah band thrash metal yang mencetuskan fenomena dari Sao Paulo, Brazil. Kumpulan ini dianggotai oleh Fernanda Lira (bass and vokal), Prika Amaral (guitar) and Pitchu Ferraz (dram). NERVOSA ditubuhkan pada Februari 2010, oleh gadis-gadis yang mempunyai latarbelakang muzik death metal dan crossover sebelum itu, namun mempunyai citarasa yang kuat kepada genre thrash metal telah membawa kepada idea penubuhannya. Pada Mac 2012, sebaik mengeluarkan muzik video pertama “Masked Betrayer”, mereka mula terkenal dengan pencapaian 20,000 penonton hanya dalam tempoh seminggu, malah video mereka diperakui oleh Youtube, berada ditempat ke-17 yang paling ditonton pada minggu tersebut.

Selang beberapa bulan selepas itu, syarikat rakaman tersohor dari Austria, Napalm Records melamar mereka. Pada tahun 2012, mereka pun berjaya mengeluarkan demo yang pertama secara D.I.Y di Brazil, ia turut menarik minat Napalm Records untuk menerbitkannya semula dalam format piring hitam dengan tajuk “Time of Death”, Nuclear Blast Records turut menerbitkan piring hitam tersebut dalam warna telus yang diedarkan seluruh dunia.

Masalah pemain dram yang silih berganti akhirnya selesai setelah Pitchu Ferraz yang berpengalaman lebih 20 tahun dalam permainan dram professional bersetuju untuk bersama NERVOSA pada Februari 2013. Maka mereka pun mula menjelajah Brazil mempromosikan EP mereka dan berkongsi pentas dengan nama-nama besar seperti Exodus, Raven, Grave, Samael, Korzus, Ratos de Porão, Destruction, Exciter, Blaze Bayley, Kreator, Benidiction dan DRI.

Pada 2014, gadis-gadis thrash ini berjaya merakamkan album pertama mereka “Victim of Yourself” yang diterbitkan Napalm Records pada bulan March. Album ini mengandungi 12 lagu, manakala ilustrasi kulit album dihasilkan oleh Andrei Bouzikov. Album ini mendapat pujian hebat dari majalah besar seperti Rock Hard, Terrorizer, Bass Guitar, Revolver dan Guitar World termasuk majalah Brazil sendiri seperti Bass Player, Guitar Player and Modern Drummer.




Bagi kami di Pedal To The Metal, Fernanda Lira, adalah penyanyi dan pemain bass wanita luar biasa dan memiliki kendiri metal sejati, bukan diva metal mengarut bajet ayu. Wanita-wanita itu hanya penyanyi pop dalam genre yang salah. Lira handal bermain bass, memberi persembahan yang ganas dan aggressif bagai Cronos dalam tubuh seorang wanita.

Pada tahun lalu, NERVOSA telah berjaya menjelajah Eropah dalam masa 60 hari di 16 buah negara dan menyertai temasya-temasya metal hebat seperti Summerbreeze, Brutal Assault, Metal Days, Obscene Extreme dan sebagainya.

Terkini NERVOSA dilaporkan baru sahaja selesai merakamkan album terbaru mereka yang akan diterbitkan bila-bila masa sahaja! Hubungi: nervosathrash@gmail.com

Dipetik dari Pedal to the Metal zine isu # 3

No comments:

Post a Comment