Saya menerima mesej daripada beberapa orang rakan yang menyatakan artikel yang saya tulis dalam Pedal To The Metal isu # 5 (Disember 2016) bertajuk “Poser, Politik dan Plastik” telah membuatkan seorang editor magazine melenting. Ia sebuah artikel yang UMUM tanpa menyebut sebarang nama, foto, tempat. Dan seperti yang saya bawakan dan tulis di ruang editorial sejak isu # 1 Pedal To The Metal lagi, kami menerbitkan sebuah zine travelog muzik yang terbuka pada pemikiran kritis. Anda idealis? OK. Izinkan orang lain beri pandangan berbeza. Itulah kritis.
Fitnah: Fitnah itu hukumnya sangat berat dan dosa besar. Dalam al-Quran, "fitnah" membawa makna yang banyak seperti cubaan dan ujian, kesyirikan, seksaan, berpaling dari jalan kebenaran, kemaksiatan, kesamaran antara benar dan batil, sesat, pembunuhan, perselisihan pendapat, gila dan pembakaran dengan api. Manakala dalam maksud bahasa pula fitnah bermaksud bohong dan mengada-gadakan cerita.
Bila menulis sebuah artikel umum tanpa disebutkan sebarang nama dan identiti, adakah itu sebuah fitnah? Menulis tentang satu pandangan mengenai attitude (sikap) seseorang terhadap satu aliran muzik, yang saya tidak bersependapat dalam bentuk anekdot, adakah itu dianggap fitnah? Adakah yang saya tulis itu diri anda? Sehingga anda marah dan perlu buktikan sebaliknya? Dia langsung tidak lihat keadilan dalam penulisan artikel tersebut yang turut memuji kendiri seorang traditionalis dalam muzik UG.
Suatu ketika dahulu saya ada seorang rakan (saya tidak sebutkan namanya ya.. haha!) dia memberi suatu pendapat dan ulasan tentang satu filem Hollywood. Apabila dia berani memberi pendapat secara terang-terangan tentang betapa best-nya filem itu, betapa hebatnya CGI, aksi dan plot filem itu kepada saya. Dia seharusnya dapat menerima apabila ada orang lain mengkritik pandangannya. Sebaliknya bila saya beri pandangan dan ulasan berdasarkan perspektif saya. Dia melenting, merajuk dan kata saya tidak hormati minatnya? Baginya kritikan terhadap pendapatnya itu adalah menghinanya. Pelik betul?
Sama juga halnya jika kita lihat pertembungan pemikiran asatizah sekarang ini yang mewakili berbagai-bagai aliran. Ada seorang ustaz A membawa pandangan mengatakan maulid nabi tidak boleh dirayakan kerana ia tidak berasal dari Islam dan tidak pernah dicontohkan oleh Nabi SAW dan para sahabat. Dia berikan hujahnya. Ustaz A tidak pernah menyebut nama Ustaz B dan organisasinya walaupun pandangan wajib merayakan maulid ialah pandangan Ustaz B. Namun kita dapat lihat bagaimana ustaz B mengamuk kononnya Ustaz A mengatakan dia sesat dan akan masuk neraka. Dia telah tersasar jauh dan mengambil sesuatu di luar konteks penyampaian.
Mereka sebegini tidak terbuka pada pandangan dan hanya mahu pendapat mereka sahaja diterima pakai. Mereka menganggap rakan-rakan yang tetap menjaga perhubungan namun berbeza pendapat itu sebagai ‘backstabber’. Padahal mengekalkan ukhwah walaupun berbeza pandangan itulah akhlak Islami.
Mungkin bagi mereka sahabat harus jadi 'macai'. Menonong ajaa ikut, kata orang Perlis.
Rasanya artikel “Poser, Politik, Plastik” itu telah berjaya membuka ruang untuk generasi muda berfikir tentang pentingnya untuk jadi diri sendiri. Saya berlapang dada dalam hal ini dan beranggapan ia satu promosi untuk zine hipster saya.
Ukhwah tetap diteruskan.
~ Rammy the preacher
No comments:
Post a Comment