Saturday, November 9, 2019

TEMUBUAL BERSAMA BESATT



Nama BESATT sering kedengaran sejak era kami menulis Kemenyan Zine. Boleh dikatakan ada sahaja flyers mereka terselit di rata-rata zines yang merupakan media UG metal utama pada awal tahun 90-an. Mereka adalah diantara kumpulan black metal underated dari Poland yang kini semakin berpengaruh dan disanjung peminat muzik black metal tradisional. Dengan pengalaman berentap dalam arena muzik bawah tanah selama 28 tahun dengan senarai diskografi sebanyak 29 produk termasuk 9 album penuh dan 1 album live, mereka sesekali tidak boleh dipandang enteng!

Jika anda pembaca Kemenyan, tentu anda perasan saya sering menulis ulasan tentang sebuah band bernama HELLISH dan EMPHERIS dari Poland. Ia diterajui oleh rakan lama saya iaitu Adrian. Beldaroh (Pemain bass dan penyanyi BESATT) pula adalah teman rapat Adrian malah mereka adalah anggota HELLISH. Maka ia menjadi peluang keemasan apabila BESATT dijadualkan bermain di Kota Hatyai yang terletak kira-kira 90 KM dari rumah saya. Lantas saya bersama isteri pun berangkat ke sana dengan menaiki kereta Kancil kami.

Kai @ Kittisak, penganjur Thai tolong menempah bilik hotel kami yang berdekatan Pasar Terapung Khlong Hae.  BESATT dan TRAUMA pun turut menginap di situ. Mungkin Kai berharap agar saya dapat membantunya melayan tetamu kerana dia bergerak secara solo. Segala sesuatu dilakukannya secara mandiri. Saya menyokong aktiviti Kai sejak 2012 dan apa yang dapat saya perhatikan tentang peminat muzik lasak dari Hatyai adalah mereka masih terdiri dari komuniti kecil dan tiada generasi pelapis. Saya lihat muka-muka yang sama walaupun lokasi pub yang baru. Boleh dikatakan Rockpalace atau Lion Pub ini berbaloi untuk dibuat gig. Pemiliknya sporting walaupun kugiran yang dibawa Kai bukanlah pendendang lagu-lagu Loy Krathong. Bayangkan Kai dapat menganjurkan gig ini secara percuma, bayangkan! Dia hanya menyediakan sebuah kotak sumbangan bagi yang ingin menderma. Dari segi sistem bunyi, memanglah ia tidak mampu menampong asakan black/death metal namun berdasarkan kapasiti audio yang disediakan, persembahan BESATT masih boleh lagi didengari dan dihayati rentak-ritma nya.


Saya terserempak dengan BESATT beberapa kali di bandar Hatyai dan di lobi hotel, namun tidak sempat bertegur sapa. Mereka nampaknya teruja untuk keluar meninjau rumah-rumah pelacuran dan makan tengahari masakan Thai. Ketika tiba di Rockpalace pada jam 8.00 malam, saya selisih dengan Beldaroh dan terus menyapanya. Saya memaklumkan bahawa Adrian, rakan baiknya dalam kumpulan black/thrash metal HELLISH adalah kenalan lama saya dan kami berutusan sejak awal tahun 2000 malah Adrian penah mewawancara saya untuk zine suntingan beliau bernama R’Lyeh zine. Beldaroh dan saya juga pantas menjadi teman rapat bila dia tahu mengenai tentang itu, sehinggakan saya terpaksa meninggalkan isteri kesorangan menjaga reruai barangan Faithcraft kerana Beldaroh minta saya temankan dia berjalan sekitar pekan untuk mencari anggota-anggota BESATT yang hilang entah ke mana. Mungkin juga kekangan bahasa dengan peminat metal Thai membuatkan dia lebih percaya pada saya dalam urusan duit dan tawar menawar walaupun baharu kenal 10 minit lalu.

Ketika berjalan di lorong-lorong gelap, seorang bapa ayam mempelawa Beldaroh bir dan rokok. Dia memberitahu saya dia tidak minum alkohol dan tidak merokok. Saya pun berseloroh mungkin dia hanya isap tetek. Beldaroh mengangkat kening tersenyum sipu. Saya pun faham maksudnya. Lalu saya tinggalkan dia di situ. Saya kembali ke pub dan melihat isteri saya sudah naik angin. Mungkin dia ingat saya dan Beldaroh berjoli ke kelab bogel. Setelah diterangkan, dia pun OK.




Sejam kemudian, Beldaroh datang ke pub. Mukanya ceria dan dia terus menghulurkan digipak DVD/CD album live “Blasphemous Ritual Live in Zabre” sebagai hadiah. BESATT terus bermain usai persembahan pembukaan dari band tempatan BIG SHOCK dan seperti yang dijanjikan, BESATT sudi untuk diwawancara secara langsung. Beldaroh turut mengajak anggota-anggota BESATT yang lain untuk turut serta membantu kerana penguasaan bahasa Inggerisnya masih lemah.

Apa pandangan mengenai Hatyai? Maksud saya tanggapan tentang Hatyai underground scene setelah sampai ke sini buat pertama kalinya.

Beldaroh “ Tempat yang menarik. Orang-orang di sini pun gila-gila belaka”.
Colossus “ Cuaca di sini terlalu panas buat kami. Bagaimanapun kami sudah biasa dengan kehidupan tour. Sebaik turun di lapangan terbang hari itu, bahangnya sangat-sangat terasa memandangkan di negara kami ketika ini sangat sejuk kerana musim salji akan bermula. Namun setelah beberapa hari di sini. OK. Tubuh kami dah mula menyesuaikan diri dengan suhu di sini”. Kata Colossus yang wajahnya tanpa solekan pentas mirip Anton LaVey. Wajah dan bajunya basah lencun dengan peluh ketika wawancara ini berlangsung.

Ya. Melihat peluh dan wajah anda, saya faham bagaimana panasnya cuaca disini (Kami ketawa bersama). Bagaimana pula dengan makanan Thai?
Colossus: "Ohh!! Makanan sangat sedap di sini. Sedap dan pedas. Ikan, ayam, babi semuanya sedap-sedap belaka".

Kittisak bawa BESATT makan Tom Yum

Adakah ini kali pertama ada menjejakkan kaki ke Thai?
Colossus “ Yeah! Ini adalah kami pertama kami menjejakkan kaki ke Asia Tenggara. Beberapa tahun lalu kami pernah membuat siri jelajah ke Jepun namun keadaannya berbeza di sini. Bagaimanapun persamaan yang dapat kami lihat adalah orang-orang di sini baik baik belaka”.

BESATT dijadualkan untuk bermain di berapa tempat?
Colossus "Kami bermain di 4 tempat untuk tour ini iaitu di Sarawak pada 1 November, Penang pada 2 November, hari ini di Hatyai, Thailand, esok di Kuala Lumpur dan kembali ke Poland".

Boleh saya tahu, dengan siapakah yang anda berunding untuk membawa BESATT ke rantau ini?
Beldaroh "Ya, kami kenal Nem (Teroka Minda) dia yang berunding dan membawa kami ke sini. Dan yap! Kini kami pun ada di sini. Heh!"

Dan Kai membawa anda ke Thai? Bagaimana layanan dan kebajikan anda disini. OK?
Colossus “ Ya Kittisak. Setakat ini semuanya baik. Mereka beri hotel yang bagus. Ada tandas. Keadaan tandas pun bagus untuk kami mandi dan sebagainya".

Bila anda sebut tandas. Adakah BESATT penah dilayan dengan buruk sebelum ini. Anda ada pengalaman buruk sejak bermain muzik dan menjelajah negara?
Colossus menerangkan soalan saya kepada Beldaroh dalam bahasa mereka.
Beldaroh “ Yaaaa… ada”.
Astaroth “Yaaa.. ya. Ada!”
Colossus “ Ada. Dalam satu touring itu kami perlu bergerak dari satu bandar ke satu bandar tanpa diberi penginapan. Kami bergerak dari satu tempat untuk bermain, terus pergi ke tempat lain. Tanpa pergi ke tandas dan mandi. Kami main, basuh muka, naik kereta dan terus ke tempat lain pula. Begitulah seterusnya sepanjang tour itu".

Dimanakah itu?
Colossus “Itu… errmm.. sekali di Mexico, eh dua kali di Mexico. Ketika di Brazil pun gila. Kami naik kereta tak berhenti selama 22 jam, dari Sao Paulo ke Sao Leopoldo. Kemudian ke Sao Paulo lagi".
Astaroth “Yep!”.

Walaupun begitu ada tetap kembali ke Mexico ya! Tentu ada yang menarik di sana. OK, kita berbalik kepada sejarah. BESATT ditubuhkan pada 1991. Kenapa mengambil masa terlalu panjang untuk merakamkan demo pertama “Czarci Majestat” pada 1996?

Colossus menterjemahkan soalan saya kepada Beldaroh.
Beldaroh “Pada awal 90-an kami hanya remaja-remaja yang baru belajar bermain muzik, kami pun tiada sumber kewangan untuk rakaman material kerana kos yang tinggi. Dalam masa yang sama, kami ada masalah anggota-anggota yang silih berganti. Sehinggalah 5 tahun selepas itu kami mula menulis lagu-lagu sendiri dan punya duit untuk merakamkan album. Kami sebenarnya ada beberapa rehearsal tape tetapi untuk simpanan peribadi je sebab lagu-lagu dalam tu macam tahi je. Hahahaha!"
Colossus “Mentah!”
Beldaroh “Ya sangat mentah. Hahaha! Ya itu zaman 90-an kan? Bukan seperti sekarang. Kini jika kau ada komputer kau boleh rakam apa sahaja dengan mudah. 25 tahun lalu itu semua mustahil. Hari ini jika kau ada duit, kau boleh beli apa sahaja".

OK. Ini pandangan saya secara peribadi, apa yang saya lihat dan dengar dari material pertama anda, mungkin dari era demo juga, BESATT telah melalui peningkatan pada tahap permainan muzik, imej, penulisan lagu dan rakaman. Namun atmosfera atau olahan komposisinya kekal sama. Boleh saya kata begitu?
Colossus “Adakah itu bermaksud baik atau buruk?”

Baik.
Colossus “OK. Saya terangkan kepada Beldaroh sekejap.”
Beldaroh “ Hehe! Pada tahun 90-an semuanya terhad. Dari segi pengaruh muzik dan kelengkapan rakaman juga. Sekarang permainan kami dah bagus, kita dah ada peralatan yang bagus, tetapan bunyi baharu yang sangat bagus NAMUN ideologi kami tetap sama. Seperti yang kau tahu, kami bermula sebagai sebuah kumpulan muzik satanik dan hingga kini kami masih tetap menyembah syaitan. Semua rakaman BESATT sentiasa dan selamanya mengenai syaitan. Ya sudah tentu kami mengalami perubahan pada susunan muzik, kami semakin tua semestinya kami semakin matang dalam bermuzik”.
Colossus “ Sebagai kumpulan muzik, sememangnya kami ingin progresif namun ia harus diteraju dengan betul. Sebagai contoh, DARK FUNERAL. Kami mahu bila merakamkan sesuatu album, kamu dapat dengar dan rasakan ia tidak sama dan ia maju dari satu tahap ke satu tahap lagi”.

Kiranya ia semakin maju dan berlainan namun kita tahu ia adalah DARK FUNERAL.

Colossus "Ya. Dalam muzik kami cuba untuk tidak terus kitar semula apa yang ada. Kami berkembang dan ya.. mungkin sesekali kami akan kembali pada cara old school dan sebagainya".

Kamu juga ada beberapa bahagian melodik. Sejauh mana anda semua terbuka pada genre muzik yang lain?
Astaroth "Saya terbuka pada berbagai-bagai muzik, saya dengar rock, classic rock dan sebagainya".

Saya tahu TURBO dari Poland. Adrian yang bagi kaset itu kepada saya.
Colossus: "Yaa..ya TURBO".
Beldaroh "HAHAHA!"
Astaroth “Dan kumpulan KAT juga… black metal itu dari satu bahagian dan kami ambil juga pengaruh muzik yang lain”.
Colossus “Kami terima inspirasi dari berbagai jenis muzik dan haluan.”

Bagaimana anda masih mampu setia dengan penyembahan syaitan sedangkan ramai band-band black metal yang lain telah berubah arah. Kita boleh tengok pada band seperti EMPEROR, DARKTHRONE?
Colossus “Kami tidak berminat untuk tahu cerita tentang DARKTHRONE, EMPEROR. Kami berdiri membawa teras muzik black metal yang asli hingga ke hari ini. Kau tahu, seperti rantai, pakaian kulit, besi, dan solekan mayat. Kami tak boleh bayangkan tampil di pentas tanpa ini semua.
Beldaroh “ Di kebanyakan persembahan kami akan mengunakan api, darah dan sebagainya yang merupakan imej kami….

(Gangguan peminat datang bertanya harga CD…..)

Bagaimana muncul rasa untuk membuat persembahan di rantau ini… bukankah jelajah Europe lebih lumayan?
Beldaroh "Kami ingin melebarkan sayap Lucifer ke seluruh dunia! Hahahaha! Kami ingin bermain di mana sahaja. Kami dah menjelajah Amerika selatan, ya… Europe semestinya. Kami cuba untuk ke Amerika Utara tetapi masih belum kesampaian… HAHAHA!"

Mungkin anda boleh ke sini lagi?
Beldaroh “Ya mungkin (bertanyakan sesuatu pada Colossus), rasanya kami akan ke sini lagi mungkin tahun hadapan”.


Adakah anda punyai projek band yang lain. Saya tahu Beldaroh bersama HELLISH? Bagaimana anda Exernus?
Exernus “Ya. Saya dan Astaroth turut bermain dalam DEPRIVED dan SUFFERING. Anda boleh beli CD kami di booth kami sana. (Rockpalace).
Colossus  “Saya ada beberapa projek juga antaranya OFFENCE yang memainkan muzik death metal”.

Bagaimana keadaan politik di Poland. Kalau sebut fasal Poland di media sosial pasti akan keluar cerita kecoh tentang situasi politik di sana?
Colossus: "Kami tidak ambil pusing tentang pergolakan politik di Poland. Kami buat hal kami aja. Saya ada ambil tahu juga perkembangan tentang parti haluan kanan.. tapi… (berbisik dengan Beldaroh dalam bahasa mereka. Mungkin mereka benar-benar tidak suka dengan soalan ini).
Beldaroh “Situasi politik di Poland adalah tahi seperti mana cerita politik di negara lain juga”.



BESATT mempunyai rangkaian material yang sangat banyak. Hebat sekali! Album penuh yang terakhir adalah “Anticross” pada tahun 2017. Kulit album ini dihasilkan oleh Marcelo Vasco yang terkenal membuat ilustrasi kepada SLAYER, KREATOR, HATEBREED, DIMMU BORGIR. Adakah anda telah mula menulis dan merakamkan lagu-lagu baharu dan bila album baharu akan terbit?
Colossus “Kami pun tak tahu. Hehehe!”.
Beldaroh “ Dalam 2 tahun lepas kami agak sibuk dan perlu bermain di banyak tempat, menjelajah banyak negara, Russia, Amerika Selatan dan banyak lagi. Mungkin tahun depan?"
Colossus “Kami tidak punyai syarikat-syarikat yang mengejar kami untuk merakamkan album baharu. Kami bebas bergerak sendiri. Kadang-kadang ia mengambil masa sebulan untuk menulis lagu, ada kalanya mengambil masa setahun untuk menulis lagu baharu. Kami tidak akan menulis tanpa kehadiran inspirasi. Tanpa inspirasi, kami rasa tiada keperluannya untuk menulis lagu baharu. Seperti saya katakan tadi, kami tiada sebarang tekanan dari label yang memaksa kami untuk merakamkan album".

Beldaroh “Kami akan menjelajah Amerika sekali lagi pada Disember ini, mungkin setelah selesai siri jelajah itu kami akan masuk studio untuk rakaman baharu…. Mungkin…?

Pernah terjadi insiden-insiden pelik ketika BESATT membuat persembahan?
Beldaroh “Ya.. ya (dahinya berkerut mengingat semula peristiwa itu). Rasanya di Serbia, seorang lelaki telah bertindak mengelar lengannya ketika kami sedang buat persembahan. Polis minta saya hentikan persembahan.  Itu antara insiden yang saya ingat…"

Mungkin anda pernah dengar atau baca tentang laporan-laporan berita tentang gig-gig di Malaysia? Tentang apa yang telah terjadi pada DARK FUNERAL, pada KREATOR? Semua ini berlaku di Kuala Lumpur dan keadaan agak panas disana.
Beldaroh “Ya. Kami sedia maklum dan tidak kisah ambil risiko. Biasalah bagi kami”.
Colossus “Kami sedia maklum hal-hal ini boleh berlaku. Kami bukan band yang besar pun. Mungkin mereka ada masalah dengan pihak berkuasa di Kuala Lumpur. Tapi kami hadir secara diam-diam untuk acara bawah tanah tanpa sebaran media pun. Harapnya tiada apa-apa masalah".



Sehingga ketemu lagi. Terima kasih kerana meluangkan masa bersama pada malam ini. Harap semuanya OK di Kuala Lumpur esok.

Kami pun bersurai dengan bertukar-tukar stuffs sebagai kenangan.
Wawancara oleh: Rammy Azmi


1 comment: