Ride & Roll to Singora 2.0
Sejujurnya, ekspedisi ‘Ride To Singora 2.0’ kali ini menghadirkan seribu satu keresahan dan nilai sentimental yang tersendiri. Mengapa tidak, ini kayuhan kali pertama saya dan isteri ke negara asing, tetapi negara asing ini wilayahnya dahulu pernah menjadi milik kerajaan Kedah (Langkasuka) bahkan penduduknya juga dahulunya adalah sebahagian daripada diri kami; bangsa Melayu yang berdaulat serta begitu bertamadun. Tetapi, semuanya kini telah bergumpal menjadi kertas kumal dalam lipatan sejarah.
Sabtu - 26hb Oktober 2019 (hari pertama).
Sekitar jam 6.21 pagi waktu Malaysia, saya dan isteri bersama Rammy dan pasangannya Mimi bergerak ke Padang Besar. Kami akan mengambil seorang lagi komrad yang bakal turut serta dalam ekspedisi kali ini iaitu Napie. Tabik spring buat Napie yang telah membeli basikal baharu semata-mata untuk mengikuti ekspedisi kali ini. Sungguh berbisa racun yang disuntik oleh Rammy kepada Napie. Gila, gila.
Segala persiapan mengecop passport dan mengangkut basikal telah kami lakukan pada sebelah malam semalam. Hal ini bagi mengelakkan kelewatan untuk masuk ke Thailand kerana hari ini dikatakan ramai rakyat Malaysia akan berpusu-pusu masuk bersempena cuti Deepavali. Saya rasa dalam mana-mana cuti perayaan pun macam inilah.
Bab nak masuk ke Thailand ini saya malas satu saja, iaitu sewaktu beratur untuk cop passport. Sebab mengambil masa yang lama (kerana sekarang kita perlu mengisi borang setiap kali masuk) dan satu lagi untuk melepasi Pegawai Imigresen yang lapar duit. Entah bilalah salah laku pegawai kerajaan Thailand ini akan berakhir, tidaklah dapat kita ramalkan. Saya sejak dulu lagi tak pernah halalkan duit yang mereka ambil kecuali mereka dapat berikan sebab yang benar-benar kukuh. Mampus busunglah perut hangpa sampai akhirat, kata saya dalam hati setiap kali melepasi mereka. Geram woi. Saya tidak menganggap kesalahan ini sebagai rasuah kerana yang lapar duit, mereka. Kita tak rela memberi. Kalau tak bagi, passport mereka pegang. Jadi bahaya balik kalau kita sengaja nak jadi John Wick jika mandi tapak pun tak pernah.
Jam 7.35 pagi, masih lagi saya menggunakan waktu Malaysia, (6.35 jam Thailand) kami berlima selesai melepasi sempadan dan memulakan kayuhan. Segala-galanya berjalan lancar dan indah belaka. Tetapi yang menggusarkan saya ialah, saya baru perasan kami belum makan apa pun lagi, hatta sebiji nasi. Gila betul. Pada firasat saya mungkin nanti kami akan berhenti makan di mana-mana. Tetapi itu hanya firasat saya.
Ternyata sehingga menghampiri 5-6 km, kami tidak lagi berhenti untuk makan. Saya masih dapat bertahan. Tetapi isteri di belakang sudah mulai perlahan kayuhannya. Rammy dan Mimi sudah maju ke depan. Bahkan Napie yang baru kali pertama menyertai ekspedisi juga champion meninggalkan kami. Saya syak, semasa dalam kereta tadi mereka bertiga sudah langgah tiga botol air ketum dicampur halia bara. Gila speed.
Selain keletihan dahaga, saya mengesyaki tayar basikal isteri yang baru ditukar beberapa hari lepas telah memperlahankan gerak kayuhan (tayar asalnya bersaiz kecil, tetapi untuk ekspedisi ini saja kami gedik tukar tayar yang lebih besar). Namun menyalahkan tayar baru sama sekali tidak benar. Yang bermasalah adalah brek disc basikal isteri saya terlalu ketat sehingga menyukarkan tayar hadapan untuk bergerak. Naya betul. Kami baru sedar hal itu setelah sampai ke Hatyai, iaitu lebih kurang 57.3 km perjalanan, sewaktu wajah isteri sudah bertukar menjadi udang lipan masak tiga rasa.
Perjalanan masih jauh. Bagi sesiapa yang belum tahu Singora adalah nama lama bagi wilayah Songkhla hari ini. Baca dan telitilah tulisan-tulisan sejarah, anda akan menemukannya. Bahkan dalam laporan Rammy Azmi sebelum ini juga (Ride To Singora) pernah diterangkan. Singora menurut catatan lama pernah juga disebut sebagai Singor, Sanjura, Sanjur, Senggora, Sung-kra dan Sung-Ch’ia. Kerajaan Singgora merupakan kerajaan Melayu Islam yang gagah dan masyhur pada sekitar abad ke-6 dan 7 M. Hsieh Ch’ing Kao (1782), seorang penulis Cina pernah mencatat gambaran penduduk Singgora kala itu; mereka tidak makan babi, ketika berjalan sentiasa membawa keris tersisip di pinggang. Kaum wanitanya bertutup kepala manakala kaum lelaki berseluar. Semasa bekerja mereka menutup tubuh dengan pakaian yang dipanggil sha-long (sarung).
Melintasi jalan-jalan nan permai saat ini kemudiannya turut mengingatkan saya pada pemerintahan Sultan Muhammad Jiwa Zainal Adilin Mu’adzam Shah II (1710-1778), ketika makmur dan gemilangnya Kedah yang mana penguasaannya waktu itu pernah merangkumi utara Thailand dan sempadan Myanmar. Sungguh, sejarah itu begitu mengajarkan. Macamanalah kita boleh menganggap sejarah itu pelajaran yang gila babi punya bosan sewaktu di sekolah dulu. Tidak lain dan tidak bukan kerana kita ini alpa tuan-tuan, kita ini alpa. Kita hanya syok mendengar kisah-kisah dongeng, lepas tu gelak huha huha. Saya kata kat saya la ni. Tuan-tuan bagus sedia. Orang makrifat la katakan.
Meneruskan perjalanan, saya kira sekurang-kurang empat lokasi rawak kami berhenti untuk kembali mengatur nafas. Pertama di stesen minyak Shell berdekatan Ban Thung (jika tak salah la) kami singgah untuk melepaskan hajat serta membeli minuman ringan. Kemudian yang kedua di stesen minyak 7 Eleven, Ban Prik yang ada gambar Hulk marah-marah, kami sekali lagi berhenti untuk membeli minuman dan sedikit jajan. Kemudian di perhentian bas lama mana entah dan satu lagi warung jualan air tebu dan jagung di tepi jalan (salah satu sebab lagi kerana Mimi sudah mulai krem). Inilah untungnya membuat kayuhan berkumpulan. Jika kita penat, komrad yang lain akan menumpang keletihan kita dan berhenti untuk menunggu. Begitu juga jika komrad kita pula penat, kita akan menumpang keletihan mereka. Tetapi hal seumpama ini hanya terpakai semasa ekspedisi kayuhan sahaja tuan-tuan, tidak di Padang Mahsyar kelak, kerana di situ semua akan dipertanggungjawabkan atas kesalahan dan kebaikan masing-masing. Baik amalan kita baiklah semua. Kita tidak boleh menumpang amalan orang lain untuk mendapat teduhan. Jadi beramallah dengan sebaik-baiknya mengunakan dalil al-Quran dan hadis yang sahih daripada Rasulullah SAW, bukannya dalil mimpi.
Jam 9.29 waktu tempatan, kami selamat tiba di pasar pagi Khlong Ngae. Malas komen yang lebih-lebih. Tetapi bagi sesiapa yang sedia maklum, selain menjual bahan-bahan basah, makanan dan cenderamata, di sini juga merupakan syurga bundle. Makna kata kalau anda seorang peniaga, eloklah ke sini mencari barang dagangan. Saya tak berapa bernafsu untuk membeli-belah sebab saya dah lama cuci tangan buat benda-benda ni. Tapi jika ada longgokan buku-buku berbahasa Melayu dijual di sini, insya-Allah saya orang pertama yang akan menanggalkan jubah malu lalu membuat selaman laut dalam. Tetapi, hal itu mustahil kerana ini Thailand, tanah yang dipaksakan oleh Phibun Songkram dan raja-raja Thai kepada rakyatnya untuk patriotik terhadap tanahair melalui bahasa dan adat budayanya.
Di sini kami berehat selama sejam sebelum meneruskan perjalanan. Napie sekadar melepak di 7 Eleven, makan dan berehat semahunya. Saya dan isteri berjalan serba-sedikit mencari keperluan makan sebelum pergi menyertai Napie. Rammy dan Mimi melewati pasar pagi mencari kasut dan baju sambil seakan-akan menghabisi sisa-sisa bulan madu mereka. Kami meneruskan perjalanan setelah merasa tubuh kembali segar. Jam 12.36 tengah hari, kami tiba di Masjid Darulhuda, Hatyai untuk jamak qasar sekaligus berehat melepaskan lelah. Pemandangan masjid ini mendamaikan selayaknya masjid di tepi jalan – lokasi terbaik bagi pelancong Muslim berhenti untuk menunaikan ibadah sebelum merencanakan jadual perjalanan seterusnya. Jemaah di masjid ini juga ramah. Walaupun tidak semuanya fasih berbahasa Melayu, masih sudi mereka menawarkan kuih kepada saya.
Selesai solat dan sebagainya, Rammy bangun, menggeliat dan bersuara lantang, – “Kita sudah semakin hampir!” – seakan ketua panglima perang menganjurkan supaya kami lebih bersemangat mengayuh selepas ini dan terbukti dengan sedaya daya dan kesungguhan, kami tiba di hotel yang telah ditempah oleh Rammy beberapa hari lepas pada jam 2.39 petang.
U2 Inn, hotel ni macam filem Pulp Fiction, From Dusk Till Dawn, punya stail.
Kenderaan leh parkir depan pintu. Dia punya rate. Berbaloi.
450 baht (RM63)
450 baht (RM63)
tetapi rate Festive season sekali lipat lah!
Tibanya kami di situ, terus semuanya park basikal, masuk berehat sunyi senyap tak kata apa dah. Rammy selaku ketua rombongan mengusulkan petang nanti akan bergerak pula ke Khlong Hae Floating Market. Kami tak kata apa la sebab dia lebih arif dengan keadaan semasa. Lagipun dia orang makrifat. Jalan atas air punya orang ni.
Mirip keadaan di Jakarta
Jam 5.10 petang. Kami tiba di Khlong Hae Floating Market setelah melalui jalan bawah flyover berdekatan hotel dan kesesakan bandaraya Hatyai. Pada bahagian bawah flyover ini mengingatkan saya pada kejiranan tokan dadah Mexico kerana kegersangannya dan (seakan-akan) bau-bauan mayat yang melimpah meresapi hidung. Ada seorang lelaki tua yang berdagang menjual kasut-kasut lama di sini. Di hadapannya ada beberapa buah gerai menjual buah-buahan dan gerai jualan lainnya. Kami melepasi mereka dan rel keretapi di belakang mereka.
Ini kali kedua saya menjejakkan kaki di pasar terapung ini. Kali pertama, semasa menyertai rombongan keluarga. Ketika itu kami meletakkan kereta di bahagian belakang gerai, di tempat meletak kereta dan bas. Kali ini Rammy membawa kami melalui jalan lain yang mana untuk sampai ke gerai-gerai jualannya kami perlu melalui jambatan.
Kerana sudah terbiasa dengan keadaan di sini, tidaklah saya begitu berebut-rebut untuk membeli makanan. Saya dan isteri sekadar menjamah bubur nasi dan air mineral bersama Sprite. Bukan masa dia la tuan-tuan, nak beli air dalam buluh ke, pasu bunga ke. Renyah kata orang Sepanyol.
Jarak dari U2 Inn ke sini adalah sekitar 10 km sahaja.
Mahasiswa Universiti Pattani mohon derma dengan cara mereka tersendiri.
Kami menghabiskan masa di sini hampir 3 jam lebih. Pada awalnya kami mahu beralah awal. Tetapi disebabkan terpisah dengan Napie, jadi lambatlah kami pulang. Kata Napie, dia menunggu kami di jambatan. Manakala kami menunggunya di tempat letak basikal. Inilah yang dimaksudkan hang tunggu aku, aku tunggu hang, last-last cekelat angin.
Perancangan seterusnya, kami bersetuju untuk menambah sehari lagi masa bercuti di sini. Jadi kami tidak akan terus pulang pada keesokkan harinya. Kami ada masa sehingga lusa (Isnin). Untuk menjimatkan kos penginapan, kami bercadang mengurangkan sebuah bilik. Makna kata, saya, Rammy dan Napie akan tinggal dalam satu bilik. Manakala isteri saya akan sebilik dengan Mimi. Nasib kami baik. Pemilik hotel membenarkannya. Kami hanya perlu menambah sebanyak 900 baht – setiap satu bilik berharga 450 baht.
Ahad – 27hb Oktober 2019 (hari kedua).
Kami memulai hari ini dengan berbasikal mencari kedai makan untuk bersarapan. Maklumlah, kemarin seharian tidak menjamah nasi. Maka hari kedua ini hutang perlulah dilunasi segera. Perut Melayu, beginilah. Rammy membawa kami menyusuri lorong demi lorong untuk sampai ke Lee Gardens Plaza Hotel. Seusai meletakkan basikal di hadapan Muangsombut Clinic, kami bersarapan di Restoran Hamid dan kemudiannya berjalan di sekitarnya. Ramai sudah maklum bahawa di sinilah lokasi termeterainya Perjanjian Damai Hatyai 1989 antara Kerajaan Malaysia dan Partai Komunis Malaya (PKM). Kawasan ini merupakan lokasi wajib bagi pelancong Malaysia dan kami antara salah seorang yang turut menggeledah sekitarnya. Bagi warga Alor Setar, saya mendefinisikan kawasan ini seperti di Pekan Rabu dan deretan bangunan City Plaza yang turut mempunyai lorong sempit. Tetapi lorong sempit di sini berganda lagi nakalnya. Hendak tahu kenapa, cubalah datang. Tapi seeloknya datanglah dengan orang makrifat, barulah anda tidak akan tenggelam dengan godaan dunia.
Saya kira, seperti City Plaza, Lee Gardens Plaza Hotel juga menghampiri nasib yang sama. Semasa menaiki tingkat tiga, segalanya mulai suram. Hanya ada satu dua peniaga yang berniaga dan membuka reruai. Sempat juga saya menggambari isteri di beberapa lokasi terpilih sebagai kenang-kenangan. Tidak terlupakan juga, pada hari ini, baru hari kedua, ingatan kami pada anak-anak mulai menjengah kerana boleh dikatakan pergi ke mana-mana sekalipun, pasti kami akan membawa mereka. Tetapi tidak di tempat bersejarah kali ini.
Lama juga kami berada di sini. Isteri saya siap mendapatkan khidmat urutan kaki di Beautiful2 lagi. Saya tidak turut serta. Saya hanya menunggu isteri. Tetapi jika saya tidak datang bersama isteri, mungkinkah saya yang bakal diurut? Ah, nakal sekali fikiran saya akhir-akhir ini. Langsung tidak makrifat.
Antara lokasi 'wajib berfoto tapi tak beli' di Lee Garden
Sebagai kartunis handalan, menurut Napie komik-komik Thai bukan calang-calang juga.
Siap ada boxset bersama t-shirt!
Kami berkumpul semula di hadapan Muangsombut Clinic untuk segera pulang ke hotel. Sebelum itu kami singgah ke lokasi wajib – 7 Eleven untuk membeli jajan buat mengalas perut. Petang nanti kami akan berpeleseran lagi, ke sekitar Central Festival, Asean Night Market dan Greenway Market, kata Rammy.
Jam 4.50 petang. Kami meletakkan basikal berderetan di jalan Thanon Chotevittayakul 2. Kemudian berjalan kaki ke Central Festival. Kami berpecah; Napie menuruti Rammy dan Mimi. Manakala saya dan isteri seperti biasa, tak terlalu bernafsu untuk masuk ke shopping complex ini. Kebetulan pada hari ini ada festival makanan di hadapan bangunan tersebut. Saya tercari-cari nasi kerana mulai lapar kembali. Mujur ada Nasi Komok. Walaupun presentationnya tidaklah terlalu sempurna, saya reda menelannya. Disulam pula teh ais. Saya kembali bertenaga untuk meneruskan langkah di bumi Hatyai ini.
Selesai menjamah makanan, kami perlahan-lahan masuk ke shopping mall untuk mencari Napie, Rammy dan Mimi. Destinasi seterusnya, Asean Night Market dan Greenway Market.
Makan lagi.
Rammy, Mimi dan Napie makan di Greenway market yang perlu guna kad pasca bayar
Saya menyelesaikan solat jamak qasar di Greenway kerana punya waktu terluang di sana. Di sini saya dan isteri sekadar mencuci mata, tidak membeli apa-apa kerana telah berbelanja di Asean Night Market.
Secara ringkasnya, kami pulang semula ke hotel sekira-kiranya jam 9.31 malam. Waktu ini saya sudah sebilik dengan Rammy dan juga Napie. Tiadalah hal lain yang membimbangkan saya melainkan nak tidur macamanalah dengan satu katil bersaiz 6-7 kaki lebar ini. Napie sahaja makan 4 kaki. Itu tidak kira keluasan tubuh Rammy lagi. Takkanlah saya nak tidur dalam keadaan terapung?
Tetapi nasib baiklah Rammy memahami. Dia menawarkan diri untuk tidur di atas lantai. Saya acah-acah menegahnya, tetapi dia merelakannya. Percayalah tuan-tuan, sikap mengalah demi keselesaan orang lain seperti ini, tidak lain dan tidak bukan pasti adalah sifat orang-orang makrifat. Tapi masya-Allah, puas betul saya tidur malam itu.
Persiapan akhir sebelum berangkat pulang.
Singgah di Ban Phru melepaskan lelah.
Tak ramai yang tau tempat cantik ni di Padangbesar ( sebelah Thai)
Tonton beberapa klip yang sempat dirakam
Saya terpaksa menamatkan catatan ini, kerana masih terkesan penatnya. Tetapi untuk terakhir kalinya, tidak ada apa yang dapat saya ucapkan melainkan sekalung penghargaan buat semua terutamanya Rammy Azmi dan Mimi kerana sudi merancang ekspedisi kali ini. Kepada isteri yang memahami dan sering terdorong untuk turut serta, Napie yang steady dan bersemangat.
Laporan oleh:
No comments:
Post a Comment