Sunday, July 31, 2022

ABIARDH “Rehearsal 99/22” (Illusifana Production) – MALAYSIA

 

ABIARDH ialah sebuah kumpulan Asiatic black metal yang bermula di Mata Ayer, Perlis pada tahun 1996 berikutan kegilaan terhadap muzik gasar beracuan mistik ketimuran yang haluannya dipelopori oleh kugiran seperti AS SAHAR, LANGSUIR, TASYIM, MANTAK, ZUBIRUN, dan banyak lagi. Abiardh merakamkan rehearsal tape ini pada tahun 1999, tahun yang sama band saya bersama THE RAVEN merekodkan rehearsal tape berjudul “Storm Jam”, namun kami menjauhkan diri dari kebanyakan band nusantara ketika itu dengan memainkan irama black/thrash metal. Ketika itu saya tidak kenal dan tidak pernah mendengar muzik daripada Abiardh, sehinggalah pada tahun 2002 (mungkin?), saya berkenalan dengan Ikram yang kebetulan bapanya rakan sekerja saya ketika itu, dan Zack kemudiannya sering ikut serta kami menjalani latihan di MA Studio. Persahabatan saya dengan Zack berterusan hingga kami berhijrah ke Kuala Lumpur, hampir-hampir sahaja AU REVOIR (band murder speed rock yang saya tubuh pada tahun 2004) merakamkan album dengan mengunakan Zack sebagai pemain dram, namun tak kesampaian. Jika anda ingin mengetahui tentang sejarah dan bagaimana mereka boleh kembali ke arena muzik gelap ini, ada baiknya anda ikuti temubual saya bersama mereka di YouTube channel, Rakap Besi.

Berbalik kepada CD ini, menurut Zack ia merupakan teaser pada album sulung mereka yang bakal diterbitkan tahun hadapan. Kini mereka sedang giat mengumpul material dan merakamkan lagu-lagu baharu secara berperingkat. Jujur saya katakan inilah kali pertama saya mendengar lagu rehearsal ‘99 mereka, bagi saya permainan mereka hebat dan menepati piawan Eastern black metal sezamannya. Rakamannya boleh dikira bagus, mungkin juga kerja-kerja mastering oleh Haikal ANTABOGA ( Hai! Antu) memainkan peranan memantapkan lagi karya prasejarah itu. Seterusnya saya mereka menyajikan 3 rakaman dari tahun 2022 yang merupakan olahan semula lagu lama “Bayangan Sihir Hitam”, “Humidiation Zephyr Monsoon” dan “Bidadari Laut” (kesinambungan lagu “Humidiation..”). Rakaman lagu-lagu ini dibuat dengan baik sekali di eniQma Home Studio dan Eric Studio, saya turut ikut serta ketika rakaman ini berlangsung di Eric Studio untuk memberi mereka tips-tips yang tak seberapa. Bagi saya inilah dimensi millinia ABIARDH yang mereka cuba untuk capai setelah sekian tahun berkarya. Pengaruh-pengaruh muzikal yang merupakan jatidiri mereka sejak dahulu seperti SIL KHANNAZ, MAY, AS SAHAR, DARKTHRONE, ABSU tidak pernah gugur dalam intipati karya mereka. Dalam masa yang sama mereka berjaya menaiktaraf mutu permainan dan rakaman ke tahap yang membanggakan.

Dalam CD ini juga diberikan beberapa trek tidak rasmi sebagai pra-dengar untuk album sulung mereka nanti, lagu saduran dari RUSTY BLADE dan juga cubaan rakaman lagu-lagu lama dari tahun 2020 dan 2021. Ayoh nantikan album sulung ABIARDH yang pasti mengegarkan!

Ulasan:

No comments:

Post a Comment