ABYSSAL OCEAN ialah sebuah kugiran solo pemain gitar MINEFIELD TORMENT iaitu saudara Rik Torik Pakbara setelah kugiran induk tersebut dibekukan buat masa ini. ABYSSAL OCEAN membawa genre ‘dungeon synth’ manakala terbitan dalam format CDR ini diisytiharkan sebagai EP rasmi bagi tahun 2022. Saya memperolehi CD ini ketika kami membuat kayuhan ke Pakbara, Satun, Thailand pada bulan lepas dan berpeluang ‘ngopi’ bersama beliau dan isterinya. Rik antara generasi muda di Satun yang sudah tidak dapat berbahasa Melayu biarpun Pakbara satu ketika dahulu adalah sebuah wilayah di bawah pemerintahan Kedah. Lucu juga bila kenangkan kami berbual mengunakan aplikasi Google Translate.
Saya sebenarnya bukanlah orang yang tepat untuk memperincikan genre dungeon synth ini biarpun aliran ini bolehlah dikatakan lahir seiring dengan kegilaan muzik Norge black metal di awal 90an. Itu era saya membesar sebagai remaja dan sedang galak mengali dunia muzik underground. Tanyalah zine editor mana pun yang seusia saya pasti mereka ingat sedikit sebanyak tentang kemunculan dan rakaman awal kumpulan seperti Tangerine Dream, Dead Can Dance, Enigma dan kemudian mulalah era black metal superstars terjebak dengan genre ini dengan tertubuhnya entiti seperti Wongraven, Neptune Towers, Ildjarn dan Mortiis. Tak semua orang dapat menghargai muzik ini! Ia bagaikan runut bunyi untuk tema filem fantasi, psiko, surrealism, seram dan purbawara. Tidak hairanlah genre ini masih tidak dapat menembusi pasaran komersil sebagaimana yang terjadi pada muzik ambient sehingga ke hari ini. Namun pemuzik yang mempunyai persona yang unik dan kekentalan prinsip seperti Mortiis dan Varg Vikerness menjadi sebutan dan rujukan utama apabila genre dungeon synth diperkatakan.
Seperti yang telah saya jelaskan tadi, begitulah EP ini, saya tidak pasti anda mampu layan bunyi-bunyian yang diolahkan mengunakan keyboards, jerit, bisik, dengan bunyi sampling di sana-sini? Menurut Rik Torik, dia merakamkan keseluruhan EP ini mengunakan aplikasi iphone sahaja. Mudah betul dunia hari ini ya?! Kalau anda baca ulasan-ulasan album genre ini dalam majalah-majalah muzik luar negara, boleh sentap juga tuan punya badan kalau hati tak kental. Hahaha! Apa pun bagi saya ini sebuah hasil kreatif anak Pakbara yang bakal tersisip dalam sejarah kelahiran muzik underground Selatan Thailand! Ikuti Facebook mereka di sini.
Ulasan:
No comments:
Post a Comment