Sunday, September 19, 2010

BENTARA “Master Jedi” promo cd – MALAYSIA


Pada awal era 90-an, wujud beberapa orang komposer-komposer yang telah mengegarkan dunia muzik underground tanahair. Selain dari Shidi SIL KHANNAZ, tiada sesiapa yang dapat menafikan bahawa Batara Guru adalah komposer terhebat aliran Death Metal tanahair. LANGSUYR yang diterajuinya suatu ketika dahulu telah mengejutkan serata dunia dengan kebuasan muziknya serta formula Death Metal Melayu mereka. Kegelapan yang menaungi muzik mereka terhakis sedikit demi sedikit, apabila bermulanya era baru LANGSUYR apabila kembalinya Batara Guru ke arah Islamik dan mereka telah menetapkan untuk berundur dari dunia muzik pada tahun 2001. Namun mereka berjaya kembali merekodkan album penuh yang sejujurnya aku belum mendengar sehingga ke saat ini. Aku ada mendengar sebuah promo trek dari album tersebut di laman myspace mereka. Dukacita, dinyatakan ianya bukan Langsuyr yang kita kenali suatu ketika dahulu walaupun ada beberapa aspek yang tidak boleh diambil ringan.

Ibrisam Akhbar menukar nama gelaran beliau dari Batara Guru ( seperti yang dipetik dari buku Malay Magic turut membawa maksud Shiva Of The Sea) kepada Bentara dan cuba menentukan arah dan imej baru kepada Langsuyr. Segalanya mungkin tidak lagi membawa makna kepada beliau setelah Langsuyr mempunyai berbagai-bagai masalah sehingga tertangguhnya album ke-2 mereka yang akhirnya membawa kepada beliau untuk mengundurkan diri dan menumpukan kepada projek solo beliau ini iaitu BENTARA.

Apabila Bentara memberi tahu beliau akan menghantar promo cd ini, aku amat teruja sekali untuk mendengarnya kerana antara lagu didalam cd ini asalnya adalah untuk album ke-2 dan rilisan Langsuyr untuk masa hadapan yang tidak kesampaian. Didalam masa yang sama, kini Bentara sedang berusaha untuk merekodkan 2 buah lagu “Sumpahan Tujuh Keturunan” dan “Breezing Monsoon Dance” yang sepatutnya turut direkodkan bersama EP tersohor mereka “Eastern Cruelty” pada 1996.

Berbalik kepada cd ini, penulisan muzik Bentara adalah terbaik seperti dahulu. Agressif, kreatif dan padat. Aku sukakan susunan muziknya. Ianya Death Metal. Yap, Death Metal. Seperti yang kita ketahui kualiti bunyi agak kurang baik dan semestinya apabila segala-galanya dilakukan oleh seorang individu dan struktur progamming jelas kedengaran ia sedikit sebanyak menjejaskan mood pendengaran aku. Bagaimanapun ia adalah demo, jadi nilaikan cd ini dari aspek sebuah demo. Ingin saya nyatakan disini, Bentara penah merekodkan demo death metal terbaik suatu ketika dahulu yang bertajuk ‘Occultus Mysticism” yang mempunyai sound sebu dan ‘bottom’ tetapi kedengaran begitu sempurna sekali bagi sebuah kumpulan metal ekrtim bawah tanah.

Ini adalah dimensi baru Bentara, mungkin beliau merasakan penetapan bunyi gitar kali ini adalah bersesuaian dengan identiti dan karekter muziknya sekarang yang lebih meluas skopnya. Menurut pandangan aku pula, semestinya penetapan bunyi gitar di dalam EP “Eastern Cruelty” dari Dreamwalk Studio adalah yang paling mencengkam pernah dihasilkan oleh Bentara. Apa pun individu seperti Bentara telah cukup matang untuk menentukan bagaimana muzik dambaan beliau harus berdendang.

Jika kita lihat lagu seperti “Penasaran” dan “Jebat” lebih terarah kepada perjuangan dan semangat kebangsaan manakala “Master Jedi” adalah sebuah sentuhan epik dari filem sains fiksyen lagenda Star Wars. Bagi aku, “Master Jedi” adalah komposisi terbagus didalam cd ini.

Apa pun, aku mengharapkan yang lebih dari Bentara dimasa akan datang. Maksudnya, harapan aku jika beliau mendapatkan khidmat seorang pemain dram telah cukup memadai untuk mendapat bunyi yang lebih organik. Dan jika dulu beliau hanya sebagai pemain gitar dan keyboards, kini beliau bertindak sebagai penyanyi juga. Gaya nyanyian harus ditingkatkan dan perlu diberi penekanan. Lebih-lebih lagi beliau hanya mengunakan nada suara yang bersih bersama sedikit jeritan. Cuma sedikit distortion dipakai untuk mengeraskan intonasi.

Bentara memerlukan sokongan dari anda semua yang mahu melihat beliau terus berkarya. Jadi jika anda masih percaya dengan nukilan beliau, sila hubungi beliau di laman blog beliau. Dapatkan promo ini dengan harga RM3 sahaja dan bertindaklah segera kerana ianya terhad kepada 150 keping sahaja.

Laman blog Bentara

No comments:

Post a Comment