Friday, April 13, 2012

BALAMBIKA “Bangkit Dari Kematian” (MTD Prod) – KALIMANTAN


Bila membaca sahaja tajuk cd ini saya rasa seram sejuk seperti kali pertama menonton filem Dukun Lintah dan Rahsia Ilmu Iblis. Bila saya putarkan cd ini, saya berkerut didahi kerana cuba menangkap butir-butir susunan lagu yang sukar untuk hayati disebabkan ia adalah petikan dari rehearsal Balambika yang sudah pasti dirakam secara langsung. Teringat pula kaedah saya merekodkan demo The Ravens 12 tahun yang lalu mengunakan pemain kaset. Beginilah hasil bunyinya. Hehehe.

Balambika ditubuhkan pada 2006 dan mula aktif pada 2011 apabila lengkap anggotanya dengan mengunakan stage name yang agak lucu bagi saya iaitu Dark Side Erwien Sicker selaku penyanyi, Ozzfest Thelegend OfSatan sebagai pemain gitar utama, Ogenk Insan Berdosa LaVey sebagai pemain gitar ritma, Didit Iblisick sebagai pemain bass dan Ryan Angkara Murka sebagai pemain dram. Mereka menamakan muzik yang mereka mainkan sebagai Extreme Harmony Black Metal Religius. Apa benda tu?

Secara ringkasnya mereka adalah sebuah kumpulan Black Metal yang berusaha mencampurkan elemen timur dan Unholy Black Metal ( acuan Norway – Darkthrone lama, Enslaved lama, Satyricon lama, Ulver, dan seangkatan dengannya), tema yang sama telah dipelopori dan berjaya dilakukan oleh As Sahar sejak terbitnya demo “Santau” mereka. Seperti As Sahar, mereka meminjam melodi-melodi asli Jawa dan mengolah dengan kegilaan black metal. Ia unik jika berjaya diolah didengan baik.

Keseluruhan cd demo ini adalah rabak, walaupun 2 gitar dimainkan tiada ritma dapat didengar, susunan dram masih boleh diperbaiki, jeritan Erwien Sicker kedengaran seperti amukan toyol, dan asakan bunyi kurang jelas apabila bahagian blastbeats dan grinding.

Mungkin ini adalah percubaan pertama mereka. Beri mereka peluang untuk maju dan meningkat matang. Bagaimanapun, usaha yang dilakukan pihak MTD Productions harus dipuji kerana sentiasa menerbitkan karya-karya dari pelosok negara yang asing seperti Kalimantan Selatan, Indonesia ini dan memberi sokongan kepada kumpulan-kumpulan metal yang tegar imej ketimuran.

Diterbitkan dengan kuantiti 50 keping sahaja. Tiada alamat atau email Balambika disertakan.

MTD PROD on facebook

No comments:

Post a Comment