Tuesday, March 1, 2011

LOBOTOMY “Speed Metal Warfare” (Metal Porn Production) – MALAYSIA


Adakah semua makhluk bernyawa dari pekan Kajang merupakan Thrashers? Setakat ini Kajang telah melahirkan berdozen-dozen kumpulan-kumpulan Thrash dan Heavy Metal berpotensi setelah mendapat suntikan semangat dari kejayaan kumpulan Antacid dalam menjenamakan Thrash Metal acuan mereka. Kumpulan-kumpulan seperti Reaper, Shewolves, Vault, Nuclear Strikes malah Revenge mempunyai sejarah susur galur yang melibatkan nama Antacid. Lobotomy adalah sebahagian darinya. Saya difahamkan Lobotomy ditubuhkan oleh bekas penyanyi Antacid iaitu Sen, turut menampilkan Aloy yang merupakan abang kepada pemain dram Antacid yang turut bermain diposisi yang sama serta Iwan Uchida sebagai gitaris.

Lobotomy adalah istilah perubatan dan bermaksud ‘ insisi pembedahan ke dalam lobus otak’, walaupun sesuai untuk genre Gore Grind Metal, mereka adalah sebuah band Thrash Metal. Terdapat sebuah kumpulan death metal bernama Lobotomy sebelum ini yang ditubuhkan di Stockholm pada tahun 1990. Namun lagenda Sweden ini telah berkubur pada tahun 2000.

Kembali kepada cd ini, ianya dihasilkan secara DIY dan terhad kepada 200 keping sahaja. Dan yang menariknya, salinan kepada saya terdapat tambahan 2 lagu live yang dipetik dari persembahan mereka di Osaka True Thrash Festival yang berlangsung pada Februari lalu. Mengikut rekod, mereka adalah kumpulan underground metal dari Malaysia pertama yang bermain di Jepun. Ia adalah sesuatu yang membanggakan kerana mereka turut berkongsi pentas bersama-sama gergasi seperti Razor, Unholy Grave dan Sabbat.

Cd ini mengandungi 3 lagu yang direkodkan di Pertama Music Studio pada November 2010. Kualiti rakaman adalah memuaskan dan banyak perkara boleh diberi perhatian bagi masa akan datang. Saya memuji usaha mereka dalam memperjuangkan irama Thrash Metal terutama Sen yang kelihatan begitu konsisten sejak bersama Antacid lagi. Secara peribadi Lobotomy adalah kumpulan thrash metal acuan timur yang mengetengahkan penulisan lagu berinspirasikan teutonic metal era pertengahan 80-an dan sentuhan ringkas berbisa mengikut formula metal Jepun seperti Abigail, Metalucifer dan Sabbat. Sebenarnya muzik sebegini adalah hidup, dan mendengarnya live lebih menyemarakan jiwa dari mendengar hasil rakaman studio. Maka tidak hairanlah apabila setiap kali Lobotomy beraksi di pentas, vokal Sen lebih mantap, ketukan dram lebih bertenaga dan garapan gitar lebih laju, manakala penonton menjadi huru-hara dan hilang akal.

Pengaruh fetish negara matahari terbit turut dilihat menerusi kulit cd ini yang menampilkan Erin yang beraksi panas. Saya tidak tahu bagaimana untuk mendapatkan cd ini dan berapa harganya? Adalah bijak jika anda menghubungi mereka sendiri menerusi:

exorcistor@hotmail.com
iwandischarge@yahoo.com

No comments:

Post a Comment