Saturday, June 11, 2011

WORMROT DI CINTA SAYANG


Sudah lama rasanya Diken bercerita kepada aku tentang ke-gah-an kumpulan Grindcore dari Temasik yang dianggotai 3 orang anak muda berusia awal 20-an bernama WORMROT. Aku pula mendengarnya bagai masuk telinga kiri keluar telinga kanan, disebabkan telah lama rasanya aku tidak mengikuti pergerakan scene Grindcore. Bukan sudah hilang minat, tetapi kurang minat disebabkan kurang variasi dan identiti yang diketemui di dalam genre ini.

Lima hari lalu, Azil (Upanishad Zine) pula bercerita tentang Wormrot dan mengajak aku melihat persembahan mereka di Cinta Sayang Resort sempena tour mereka untuk mempromosi album baru berjudul “Dirge”. Aku menjawab..boleh jugak takda keja.


Pada hari ini ketika sedang berkerja, aku masuk ke dalam enjin pencari Google dan terus menyelongkar maklumat mengenai kumpulan ini kerana petang ini, aku dan Azil akan memandu ke Sungai Petani untuk melihat keganasan mereka. Kagum juga aku bila mengetahui Wormrot adalah sebuah kumpulan yang gigih dan kuat berkerja sehingga usaha mereka dalam album pertama yang berjudul “Abuse” dikagumi oleh Digby Pearson, pemilik syarikat rakaman muzik berat tersohor dunia, Earache. Sebenarnya Digby mengenali mereka melalui lagu “Born Stupid” dalam sebuah album kompilasi. Dari situ, Digby memuat turun album pertama mereka secara illegal dari sesawang Mediafire. Dan kesan dari tindakan itu, Digby terus jatuh cinta dengan alunan grindcore acuan Wormrot, sehingga beliau menghubungi mereka melalui laman sosial Myspace untuk rundingan ikatan kontrak bersama Earache.

Wormrot bersetuju untuk bernaung di bawah Earache, album pertama mereka dikeluarkan semula untuk pasaran Eropah dan Amerika pada 2010. Dengan terbitnya album ini mereka telah mengadakan tour jelajah Eropah pada April dan Jun 2010. Dan pada tahun ini album “Dirge” dihasilkan. Menariknya album ini tersenarai di dalam antara 30 album muzik keras paling laris di kedai-kedai muzik di USA.

5 tempat telah dirancang untuk Dirge Across Malaysia Tour 2011, sebelum mereka berangkat ke Eropah bagi memulakan siri Dirge Across Europe Tour yang bermula di United Kingdom menjelang September ini.



Mengikut jejak Digby, aku pun memuat turut secara haram album mereka sebagai pengenalan sebelum menyaksikan persembahan mereka secara langsung. Sempat dengar sekali pusing, memang benar kata rakan-rakan. Wormrot memang sebuah kumpulan grindcore sebenar, mempunyai aura old school yang hebat, seolah-olah anda mendengar 3 album pertama NAPALM DEATH. Penghasilan lagu-lagu yang pendek, mempunyai pengaruh punk dan groove, permainan yang mantap serta mudah untuk dihadam. GILA KA GRINDCORE MUDAH UNTUK DIHADAM?? Hehehe.. maksud aku, bagi mereka yang mendengar grindcore umpama orang Melayu makan nasi tiap hari. Bermakna, muzik Wormrot adalah mesra pendengar muzik berat. Tiada elemen asing yang menganggu. Grindcore seadaanya. 

Kekuatan Wormrot sebenarnya, terletak pada kebijaksanaan mereka mencipta lagu. Moshable dan tidak melalut serta mengakhiri setiap lagu tanpa membiarkan pendengar hilang ghairah. 

Jadi petang ini, jam 6.30 petang aku bertolak dari Kangar bersama Azil dan adiknya. Memandangkan kami sudah masak dengan penganjuran gig di serata pelosok negeri. Maka, dengan lengai kami singgah Tesco, berhenti solat Magrib di R&R Gurun, dan sampai di Cinta Sayang pada jam 9.10 malam.


Ada 2 pentas disediakan oleh Cinta Sayang, satunya yang aku lihat pada malam itu di sediakan untuk darai-darai (pondan-pondan) miming lagu Tina Tunner bagi menghiburkan pengunjung menjamu selera di situ. Dan satu lagi pentas in-door, tahap keselesaan adalah sangat baik, memandangkan harga tiket cuma RM10. Dewan yang kira-kira seluas Soundmaker, Penang itu dilengkapi air-cond, sistem bunyi yang sederhana tetapi sudah cukup memadai kerana berpatutan dengan keluasan dan kuasa amplification yang disediakan. Memang jelas kedengaran apa yang dimainkan kecuali pemuzik yang diberi tugas untuk membuat persembahan tidak tahu untuk mengunakan peralatan yang disediakan. Ketika kami masuk aku anggarkan dalam 100 orang penonton masih melayan persembahan sebuah kumpulan yang tidak aku tahu namanya. Persembahan mereka agak bertenaga dan menghiburkan. Tiada seorang pun yang aku kenali pada malam itu, Azil pula berkata dialah yang paling tua datang untuk menyaksikan Wormrot malam ini. 

Tiba-tiba aku ternampak Joyah, kami pernah lepak di KL semasa gig As Sahar dahulu. Bengang sungguh Azil macam tak percaya dia, bila Joyah beritahu Wormrot dah main awal lagi dan telah berangkat untuk ke Temerloh, Pahang untuk siri gig seterusnya. Kami gelak besar, ajak adik Azil beredar dari situ kerana matlamat utama dah hancur. Kami memandu ke gerai Nasi Kandar Naina di Bedong. Sekali lagi harapan musnah kerana Naina sudah pun tutup. Sekali lagi makan ‘cekelat angin’ kata Azil! Hahaha!


Kami singgah di Hussain Nasi Kandar di Gurun. Makan nasi kandar dan terus kembali ke Kangar dengan rasa geram dan lucu.

No comments:

Post a Comment