Saturday, August 29, 2020

IMPIETY “Versus All Gods” (SHIVADARSHANA RECORDS) – SINGAPURA

Nampaknya jodoh mereka bersama label dari Belanda ini kembali bertaut setelah dipinang buat kali pertama untuk single 7” “Slave the Goat” pada tahun 1994. Dahulu saya berkawan baik dengan tunjang kumpulan ini, namun setelah mendapati kami berbeza fahaman manakala saya pula tidak mahu syubahat dalam soal akidah. Saya tinggalkan IMPIETY, lagi pun masa itu kugirannya sudah mula diterima dunia sebagai satu kuasa besar muzik metal Asia dan mempunyai mungkin ribuan peminat di Malaysia. Sahabat macam saya ni apalah sangat... Maka Impiety terus berkembang dengan caranya, saya tak kisah. Lagipun kita mempunyai kebebasan untuk memilih. Kali terakhir saya mendengar karya mereka ialah daripada album “Paramount Evil” tahun 2004.

Saya mendapat berita daripada seorang rakan memaklumkan satu musibah telah menimpa beliau dan mengubah perspektif beliau dalam kehidupan ini ke arah yang lebih positif. Saya tumpang gembira. Saya difahamkan dia menubuhkan sebuah kugiran black/death metal yang baharu bernama DEVOUROR pada tahun 2018 dan telah pun merakamkan sebuah EP “Slay for Satan” yang diterbitkan oleh label Malaysia, Metal Zone. Mereka mencetuskan kegemparan kerana membuat persembahan gig di Kuala Lumpur pada 21 April 2020 ketika PKP sedang dilaksanakan. Walaupun dihebahkan kononnya gig itu dibatalkan setelah mendapat bantahan daripada komuniti Kristian setempat. Mereka tetap berjaya membuat persembahan di sebuah lokasi rahsia.

Ketika itu saya fikir mungkin Shyaithan, sebagai tonggak utama Impiety ingin menguburkan kugiran induknya itu untuk beralih kepada DEVOURER yang membawa dimensi baharu dalam karya-karyanya.

Jujurnya saya sudah ketinggalan 4 album penuh, 4 EP dan begitu banyak sekali keluaran split CD, live album dan kompilasi album mereka untuk mengulas secara terperinci. Jadi saya mulakan daripada apa yang saya tinggal dahulu, dan sambung dari titik “Versus All Gods” ini. OK. Saya membeli LP ini dengan penuh rasa teruja untuk mendengar isi kandungannya, saya ingin menyokongnya Impiety jika kena pada penilian saya.

Sebaik memasangnya saya agak terkejut dan kagum kerana Impiety begitu konsisten sejak dahulu. Mereka terus cekal berkarya dalam tema peperangan dan mengubah lagu-lagu daripada ribut dan taufan. Mereka tak tahu mengalah. Riff-riff yang dimainkan oleh Muhammad Iszar begitu banyak menghidupkan semula tona-tona death thrash sebagai mana yang diikat dalam album tersohor mereka “Skullfucking Armageddon” (1999), bahkan tidaklah pelik jika saya katakan album “Versus..” ini bagaikan bahagian ke:II Skullfucking Armageddon yang diperkemaskan melalui rakaman dan sentuhan anggota baharu. Tidak adil jika saya katakan “Versus..” lebih baik daripada “Skullfucking..” kerana kedua-duanya ada kelebihan tersendiri. Namun yang samanya adalah bunyi dram yang agak meredam di belakang, bergema dalam seolah-olah dentuman yang gerunkan sedang berlaku di dasar lautan. Manakala bunyi gitarnya menyiat-yiat tajam dan bermelodi jahat. Tiada sebarang perubahan pada vokal melainkan Shyaithan semakin kurang mengunakan manipulasi kesan bunyi sebaliknya hanya membiarkannya kedengaran natural. Seolah-olah ia rakaman langsung. Solo-solo gitar yang hebat pula dimainkan oleh Nizam Aziz, pemain gitar mereka sebelum ini. Mungkin dia akan terlibat dalam persembahan live juga? Manakala rakaman album ini dikuasakan oleh Wotjek dan Slawek Wieslawski di Hertz Studio, Poland pada Mac 2018. Dalam album ini ada sebuah lagu berjudul “Interstellar Deathfuck” yang memuatkan alunan dan harmoni suara wanita, Tahu tak? hampir tersembur air kopi yang sedang saya hirup ketika mendengarnya. Saya teringat dalam sebuah wawancara yang saya buat bersama Shayaithan pada tahun 2002. Jika waktu itu mungkin dia boleh muntah jika dicadangkan suara wanita dan bunyi keyboards dalam muzik Impiety. Tetapi itulah perkembangan manusia, pandangan dan citarasa boleh berubah apabila diuji dengan masa dan pengetahuan.

Banyak orang memberi komentar mereka suka lukisan kulit album ini yang dilukiskan oleh Jenglot Hitam, ia mengambarkan peperangan dewa-dewi yang menjadi topik kegemaran Impiety sejak dari dahulu lagi.

“Versus all Gods” adalah sebuah album yang jahat, berat, penuh tradisi yang sinonim kepada nama Impiety. Jika anda bukan peminat black death metal sila jauhkan diri.

Untuk keterangan lanjut: mightyimpiety@yahoo.com

1 comment: