Kan kubisikan ke dada manusia
Bahawa jalan jujur sudah mati
Kan ku bisikan pada mereka
Bahawa mungkar melebihi segala
Jangan aku dipersalahkan
Jika memberi bayangan aneh
Jangan aku diperhinakan
Jika kau tahu siapakah aku
Akulah...Sil..
Sil Khannas
Sil
Sil Khannas
Azmi Bahari
Apa yang anda baca di atas merupakan lirik asal
sebuah lagu yang berstatus ‘cult’, antara proto lagu black/doom metal
acuan timur yang pertama ditulis oleh lagenda BLACKFIRE. Mengapa ia dianggap lagenda?
Ini kerana tiada satu pun kumpulan yang berani menulis mengenai perkara ghaib dan
dunia syaitan dan dipadukan dengan riff-riff guitar yang doomy sebelum mereka
di nusantara ini.
Lagu inilah faktor kuat tertubuhnya sebuah kumpulan death
metal bernama Sil Khannaz, dan mengapa mereka mencuri chorus lagu ini untuk dianyam dengan lagu mereka yang berjudul “Kiss Of The Whisper”. Kumpulan
death metal Langsuir turut mempunyai sebuah lagu berjudul “In The Name Of Sil
Khannas” yang digarap dengan lebih berat. Mungkin Dr. Ben sendiri boleh mendedahkan
dari mana asal usul idea tersebut?
Penghasilan lagu Sil Khannas ini sebenarnya
mempunyai berbagai mitos dan lagendanya sendiri, tentang bagaimana setiap baris
kata itu diperolehi. Alangkah baiknya jika Azmi sendiri dapat menceritakannya.
Begitu juga dengan sesi rakaman yang berlangsung turut berlaku perkara-perkara
misteri yang sukar diterjemahkan dengan kata-kata. Apa yang pasti, Sil Khannas
wujud dan disebut oleh Tuhan sendiri. Dan dia bertahta di dalam hati setiap anak adam dan setia
membisikan keraguan dan kegelisahan.
Azmi Bahari merupakan idola saya dalam penulisan. Dia
seorang yang sangat berkebolehan dan genius sastera gelap. Kariernya di dalam
bidang penulisan dan editorial serta ilustrasi sangat luas sekali. Bagai langit
dan bumi jika hendak dibandingkan dengan saya. Tiada sesiapa pun yang mampu
menyaingi ketulenan karya beliau walaupun diberi sedekad masa untuk mengejar.
Azmi seorang yang cermat dalam sesuatu perkara. Itu
yang membuatkan beliau sangat saya hormati. Beliau sebolehnya tidak mahu
sesiapa membaca lirik-lirik karyanya agar mereka tidak tersalah tafsir tentang
apa yang ditulisnya. Sebagai contoh, lagu Sil Khannas yang beliau sebagai penyanyi telah membawakan karakter
syaitan di dalam lagu ini. Tetapi Azmi sering mengingatkan, Blackfire seperti
sebuah teater wayang kulit, dia hanyalah sebagai tok dalang menceritakan
sesuatu kisah. Dan sebagai tok dalang beliau harus menjiwai segala watak yang
dihikayatkan didalam lagu itu..
Beliau sering menegaskan segala mesej yang
disampaikan adalah berlandaskan kisah-kisah nyata dari Quran. Dan bagi
penyampaian yang berkesan dan paling tepat dengan imej serta konsep tersebut,
mereka memilih irama black metal. Dan oleh sebab itulah juga sejak dari era 80-an
lagi Azmi sering bertegas yang mereka bukan sebuah kumpulan thrash metal
sebaliknya black metal.
Bagi generasi baharu yang tidak melalui era proto-black metal tentu mereka tidak bersetuju dengan gaya nyanyian Azmi Bahari namun itulah ketulenannya bagi BLACK FIRE.
No comments:
Post a Comment