Saturday, December 15, 2012

AJAL “Jahannarakah” – MTD Prod dan EASTERN VOICE PROD (MALAYSIA)


Pemilik MTD Production memaksa saya untuk membeli cd ini. Hehehe! Demi menyokong perjuangan kumpulan-kumpulan underground baru yang muncul dengan semangat yang membara. Saya pindahkan RM20 ke akaun mereka. Namun setelah lebih 2 minggu penantian, saya tidak juga memperolehi cd ini hingga membuatkan saya bosan menunggunya dan menghalalkan sumbangan saya kepada mereka.

Ketika asyik mengawal sistem bunyi untuk SCENT OF CARNAGE semasa gig di Penny Lane studio pada 7hb Disember yang lalu. Saudara Arnold ( tidak saya tahu adakah beliau juga adalah line-up AJAL?) berjumpa saya dan memberikan cd ini berserta RM5, mungkin duit setem?!. Tidak sempat bertanya apa-apa, Arnold dah lesap. Mungkin kalut mahu layan gig agaknya.

CD saya bernombor 80 dari 666 keping yang diterbitkan oleh mereka. Pakej yang diterbitkan adalah professional sepenuhnya kecuali kaedah rakaman. Mungkin benar kata-kata orang luar Malaysia yang menempelak kumpulan-kumpulan Malaysia kerana lebih pentingkan kualiti packaging berbanding recording.

Cd ini dimuatkan dengan 7 lagu termasuk pembukaan trek pertamanya “Jampi Makhlok Halus”. Saya menelah rakaman keseluruhan cd ini dibuat secara “live” kecuali vokal? Benar? Ini berdasarkan bunyi yang mentah dan kasar terhasil dari rakaman home studio dan diadunkan oleh Hantu Kepalang, peneraju kumpulan ANTABOGA. Bagaimanapun, ia tidak merosakkan pendengaran saya. Puluhan tahun dalam dunia underground, ini belum cukup grinding dan bingit bagi telinga saya. Hehehe! Saya dapat meneliti semua struktur dram, guitar dan bass, malah setiap bait-bait lirik mereka.

Jika pada pertengahan 90-an dahulu AS SAHAR tampil menjenamakan muzik mereka sebagai “Asiatic Black Metal”, membuka lembaran baru bagi muzik black metal nusantara walaupun hakikatnya ia adalah black metal acuan Norway dengan gubahan ritma-ritma melodi pinjaman nusantara. Tunjang keasliaan utama mereka adalah pada lirik bertemakan tahyul, syirik dan khurafat Melayu.

Kini AJAL datang dengan jenama “Eastern Black Metal”. Ia adalah sama pada asasnya. Pengaruh kuat AS SAHAR mengalir dalam diri mereka. Tiada apa yang hebat dan asli di sini. Tetapi penelitian saya terhadap lirik mereka membuatkan saya ingin memuji mereka. Tiada unsur pemujaan syaitan, khurafat dan merapu tanpa arah. Mereka memang fanatik setiap benda mistik, karamah dan ghaib nusantara. Tetapi bijak mengunakan akal dalam menulis lirik walaupun atas landasan black metal.

AJAL masih percaya dengan kebangkitan muzik metal timur yang disepuh oleh LANGSUIR, AS SAHAR, ZUBIRUN, PURNAMWULAN suatu ketika dahulu. Malah mereka mempunyai circle mereka tersendiri yang bernaung dibawah MTD Prod, menjadikan pergerakan mereka unik dan kuat.

Saya ingin menasihatkan mereka agar mencuba rakaman yang lebih sempurna untuk masa akan datang yang pastinya lebih memberi impak kepada pendengar dan memberi kesan kepada perjuangan mereka. Telah banyak kumpulan berselindung disebalik label ‘unholy black metal’ kini disebab tidak berkemampuan untuk mencapai peningkatan dan tidak berkemahiran untuk bereksperimen.

AJAL boleh berkarya dengan baik. Kamu semua harus bangun dan teruskan perjuangan dengan lebih hebat dan bergaya!

Dapatkan cd ini dengan harga RM20 melalui:

MTD Prod, Blok E8-1-1 Desa Pandan, Jalan Kg Pandan, 55100 Kuala Lumpur, Malaysia

Mtd_prod666@yahoo.com

Facebook Ajal

No comments:

Post a Comment