Friday, March 8, 2013

SICKNESS “Necrosymphonies of Necropsy” (GRUNDAR PROD) – MALAYSIA


Album penuh ini adalah di antara produk yang sangat-sangat dinantikan oleh rata-rata peminat death metal tempatan. Bagi saya, SICKNESS sepatutnya berhak mendapat perhatian dari label tempatan atau antarabangsa lebih awal lagi. Bagi mereka yang pernah hidup dalam dunia zine fotokopi dan tape-trading yang menjadi budaya muzik underground di era awal 90-an pasti pernah mendengar mengenai sebuah kumpulan dari Kluang yang ditubuhkan pada tahun 1995 oleh Jake (gitar dan vokal), Azrin (dram) dan Baba (gitar) ini. Merakamkan rangkaian kaset demo sepanjang karier mereka, akhirnya hanya tinggal Jake selaku ahli asal SICKNESS memperjuangkan muzik grind/death metal bersama ahli-ahli baru yang komited.

Bagi mereka yang tidak mengetahui atau kurang mengenali SICKNESS, tertubuhnya kumpulan ini adalah disebabkan pengaruh yang begitu kuat diterima mereka oleh album sulung kumpulan genius muzik berat dari Liverpool, CARCASS yang berjudul “Reek of Putrefaction” (1989). CARCASS meneruskan genre yang dipelopori mereka dengan album kedua berjudul “Symphonies of Sickness” pada tahun berikutnya yang mungkin adalah faktor terbesar membawa kepada penjenamaan SICKNESS dan hala tuju mereka. SICKNESS diantara ratusan kumpulan-kumpulan gore/grind/death metal lain serata dunia yang dirasuk oleh sisi gelap perubatan moden, pathologi, autopsi, pembedahan, kegilaan, kematian dan kegelapan. Dari sebuah sub-genre, ia menjadi sebuah kuasa, persaingan dan perebutan.

Tetapi jika di Malaysia, hanya SICKNESS satu-satunya kumpulan yang mengungguli goregrind spesis ini. Jika anda merindui CARCASS di zaman kuno mereka, dari segi komposisi muzik malah dari segi imej dan kerja-kerja grafik mereka. SICKNESS adalah sesuatu yang anda cari selama ini.

Album “Necrosymphonies of Necropsy” ini dirakamkan pada lewat 2012 di Gore Morgue Studio dengan kerjasama jurutera bunyi Bob Agigi yang memuatkan 10 lagu yang penuh hentaman darah dan nanah. Semua lagu yang ditulis dengan serius dan mempunyai struktur yang padat dan berat. Seperti yang dinyatakan mereka sendiri, bukan hanya goregrind yang dilapah mereka, SICKNESS turut membedahsiasat death metal tradisional seperti bawaan SINISTER, SUFFOCATION dan CANNIBAL CORPSE untuk diselaraskan dengan muzik mereka.

Kualiti rakaman boleh dipertingkatkan lagi, dan jika mastering dilakukan di studio yang lebih professional dan ber budget tinggi, pasti “Necrosymphonies of Necropsy” menjadi lebih berdarah dan ngeri. SICKNESS sangat berpotensi untuk mara lebih ganas jika mereka diberi peluang untuk berkerja dengan produksi yang lebih hebat.

Grundar Productions menerbitkan album ini secara professional sepenuhnya berserta pelekat dan poster hanya dengan harga RM20 termasuk pos. Faithcraft Productions juga telah melamar SICKNESS melalui Grundar Prod sebagai salah sebuah kumpulan yang akan muncul dalam kaset kompilasi kami berjudul THE DEATH OF ANALOG PSYCHO yang akan terbit pada bulan Mac ini.


SICKNESS akan beraksi bersama kumpulan metal ektrim LOCK UP yang dianggotai pemuzik-pemuzik hebat dan lagenda antarabangsa di Seremban pada bulan April ini. Dapatkan cd ini sebelum anda terlambat!
Facebook Sickness
Facebook Grundar Production

No comments:

Post a Comment