Tuesday, February 5, 2013

BELLIGERENT INTENT DAN CEMETERY URN LIVE IN KUALA LUMPUR 2012


Pembatalan siri tour kumpulan black metal Sweden, DARK FUNERAL membawa kejutan besar bagi pegerakan dunia muzik bawah tanah di Malaysia. Rata-rata metalheads kecewa, marah dan rasa tertipu oleh pengurusan VOKILL RECORDS. Ia bukan sahaja membebankan DARK FUNERAL sendiri yang turun ke Kota Kinabalu tanpa mengetahui tiada langsung persediaan untuk gig tersebut, malah segala peralatan yang dikehendaki mereka tidak pun tempah atau dibiayai, tiada sebarang tempahan tiket kapal terbang untuk ke destinasi seterusnya, malah pihak VOKILL sendiri gagal hadir. DARK FUNERAL tersadai tanpa arah tuju beberapa hari di Malaysia dengan hanya mengharapkan ihsan dari peminat-peminat mereka di sini. Kejadian ini amat memalukan.

Majalah KARISMA sendiri telah mewujudkan satu tabung dana bagi membantu rakan-rakan di Sarawak dan Sabah menampung kos penginapan dan tiket kapal terbang DARK FUNERAL untuk kembali ke Sweden.

Setakat ini, VOKILL masih belum memberi penjelasan konkrit mengenai masalah ini. Malah semua tiket yang telah dijual tidak diketahui ke mana perginya. Apa pun masalah, VOKILL sepatutnya mempunyai back-up plan dan sebuah pasukan untuk membantunya jika ada masalah peribadi yang muncul secara tiba-tiba. Walaupun ia sebuah gig underground, cara kerja professional tidak boleh diketepikan lebih lagi bila ia melibatkan sebuah kumpulan antarabangsa.

Kejadian ini telah membuatkan dua kumpulan dari Australia, BELLIGERENT INTENT dan CEMETARY URN gusar. Kegusaran mereka ada asasnya, kerana salah satu tarikh siri tour mereka bertempat di Kuala Lumpur dan ia diuruskan oleh VOKILL RECORDS! Lebih mengharukan, segala tiket penerbangan telah ditempah. Craig Prestley yang merupakan pemain bass dan vokalis serta tongak utama BELLIGERENT INTENT berkali-kali mengubungi Shah untuk mendapat kepastian mengenai gig mereka di KL. Tetapi hampa. Tiada sebarang mesej dibalas pihak VOKILL. Kebimbangan dia bertambah kerana ia turut melibatkan sebuah kumpulan death metal rakan senegaranya, CEMETARY URN.

Pada 27 November 2012, Putus asa dengan VOKILL, Craig menghantar mesej kepada aku “can u get a venue, 2 bands by Fri next week? If u can organise with Eddie…? We could f**k this guy over hard. See if u can get an emergency back-up brother… I’m going to message Vokill tomorrow because they already have not been good with contact about venue, hotel, payment etc.. So I’m going to message them and if I have no answer by Wed the latest we should go ahead with cancelation and find new promoter and venue etc”

Bagaimana Craig boleh minta tolong aku? Sebenarnya kami tinggal di hotel yang sama semasa mereka turut bermain dalam siri tour NUNSLAUGHTER di Kota Kinabalu pada Mac yang lalu. Dari situ, kami sering berhubung dan bertanya khabar. Mengenangkan rakan-rakan yang dalam masalah. Mereka dan pula telah bersiap sedia untuk ke Kuala Lumpur. Aku hubungi Eddie dari THE FOUR HOUSEMEN dengan harapan beliau dapat membantu. Namun hampa, apabila THE FOUR HOUSEMEN sendiri sibuk dengan jadual gig mereka pada 1 dan 2 Disember di Johor dan adalah mustahil bagi mereka untuk menganjurkan sebuah lagi gig di KL pada 7 Disember.

Aku hubungi Redza, pemain gitar dan vokalis kumpulan thrash metal HEREAFTER memandangkan pengalaman beliau dalam KL THRASH gig yang sentiasa berjaya setiap kali ia diadakan. Redza setuju dan tiada masalah baginya untuk mencari sebuah tempat kecil untuk BELLIGERENT INTENT dan CEMETARY URN bermain mengantikan gig yang dirancangkan VOKILL. Craig dan rakan-rakannya memberi mandat kepada kami untuk mengambil alih gig tersebut. Mereka juga tidak kisah lagi tentang bayaran asalkan dapat bertemu peminat-peminat di Kuala Lumpur dan membuat persembahan. Itu sudah cukup bagus buat mereka. Asraf dari kumpulan death metal, HUMILIATION menghubungi aku menawarkan pertolongan untuk mencari tempat. Dari satu ke satu tempat dicari namun kebanyakannya telah ditempah dan tidak bersesuaian. Sehinggalah akhirnya, Asraf menempah Penny Lane Studio, di Sunway, tempat asal gig tersebut dijanjikan VOKILL untuk BELLIGERENT INTENT dan CEMETARY URN bermain. Kami secara peribadi, tidak dapat jangkakan bagaimana sambutan yang akan kami dapat?. Namun kami tetap berusaha sedaya yang mungkin atas dasar persahabatan sepenuhnya. Disebabkan itu juga, kami menyeru rakan-rakan dari kumpulan-kumpulan yang berdekatan Kuala Lumpur untuk menyokong tour B.I dan C.U. Kami akhirnya memperolehi BLACK ABYSS, SCENT OF CARNAGE dan CRUELTY DIVISION untuk membantu dan menjayakan gig ini tanpa banyak songeh dan pe’el.

Segala perancangan dan tindakan dilakukan melalui persefahaman dan kerjasama antara kami bertiga. Dan ini adalah satu-satunya gig yang dirancang sepenuhnya mengunakan WhatsApp!!! Kami bertiga tidak pernah bertemu sehinggalah sehari sebelum gig tersebut.

6 Disember 2012. B.I dan C.U tiba di LCCT jam 6.00 pagi, aku dan Redza dengan bantuan Hafiz dan Herry pergi menjemput mereka yang dah teruja untuk berjumpa metalheads Kuala Lumpur. Ayat pertama Craig jerit bila nampak kami “Wofta”, manakala ayat pertama Damo Bloodstorm kata adalah “Samosa” bila aku bercerita tentang sarapan pagi di kedai mamak. Dua makhluk ini awal-awal pagi dah hentam beer di tepi jalan. Gill, Dan, Mike, Matt, dan Hans Yamin tengah leka sarapan di Starbuck ketika itu.






Kami terus bergerak ke Sunway untuk mencari hotel yang berdekatan dengan Penny Lane. Aku dan Redza bersama Craig, beliau seperti biasa rancak bercerita tanpa henti sehingga kami sampai di Sunway. Craig memang sudah biasa dengan beberapa perkataan dalam Bahasa Melayu dan tidak malu untuk mempraktiknya lebih-lebih lagi carut marut. Craig paling gila dalam B.I dan paling peramah. Sepanjang perjalanan beliau asyik bercerita tentang kehidupan beliau yang penuh ranjau, bagaimana kebencian terhadap Nasrani timbul dalam dirinya sejak dari kecil, bagaimana pengalaman ayahnya dicabul oleh pihak gereja semasa kanak-kanak dan kehidupannya yang penuh jenayah. Paling menarik kisah bagaimana dia terpaksa meringkuk dalam penjara selama 6 bulan kerana membakar rumah ibadat Nasrani di Melbourne dan merompak restoran McD. Kami ketawa besar mendengar celoteh beliau.

Paling pelik, Craig pandai beristighfar dan menjawab salam. Dia belajar dari rakan-rakan Afghanistan, pemandu teksi di Melbourne katanya. Orang lain menganggap muslim pengganas di sana. Tapi bagi Craig okay saja. Hehe!

Kami tiba di Sunway dan makan di Restoran Subaibah. Dalam perjalanan beberapa blok untuk mencari hotel, kami secara kebetulan terjumpa Penny Lane Studio. Tiada seorang pun diantara kami yang tahu dimana lokasi Penny Lane? Asraf sendiri menempah studio ini melalui panggilan telefon sahaja. Manakala hotel pula selang satu blok dari Penny Lane. Mudah kerja. Semua orang gembira.

Asraf ambil alih jaga kebajikan B.I dan C.U dari situ. Sebelah malam, aku dan Redza tidak dapat hadir bersama untuk aktiviti riadah bersama B.I dan C.U kerana Redza dah demam. Manakala aku dapat mesej tidak henti-henti dari Matt, Sheetal dan Asraf. Craig hilang duit, hilang telefon bimbit, kacau orang, kacau pondan dan sebagainya. Itu semua dah dijangka.


7 Disember 2012. Esoknya selepas Redza selesai urusan kerjanya, kami ke Penny Lane. Tiba sahaja di sana, Craig cerita semalam dia tertidur di tepi jalan beberapa blok dari hotel dan minta tolong orang ramai untuk balik ke hotel. Kemudian, kami ke kelab malam The Pent untuk cari telefon beliau yang hilang namun gagal diketemui. Tetapi beliau dah beli telefon baru siap guna nombor tempatan lagi. Craig bijak dalam soal berkomunikasi bersama awek-awek sini. Haha!




Kami meninjau peralatan dan keluasan Penny Lane. Selesa dan bersih walaupun agak kecil. Amp stack Marshall Penny Lane mengalami sedikit masalah. Munjur lah Gill dan Mike, kedua-dua mereka adalah juruteknik gitar dan sedia membaikinya dengan sukarela.



Asraf terpaksa meninggalkan kami untuk sesi latihan bersama HUMILIATION. Jadi, tinggal aku dan Redza akan uruskan gig ini dengan bantuan krew terbaik kami, Herry dan Hafiz. Mulanya kami agak gusar kerana jumlah kehadiran sekitar 20 orang pada jam 7.30 malam sehingga kami terpaksa menangguhkan persembahan hingga jam 9.00 malam. BLACK ABYSS memulakan persembahan mereka pada malam itu dengan asakan unholy black metal berpengaruh kuat dari Norway. Persembahan mereka seperti kurang persediaan dan tergesa-gesa kerana masalah teknikal pada gitar mereka. 



SCENT OF CARNAGE mengambil tempat dan mengaum dengan buas sekali. Seramai 120 orang crowds memenuhi Penny Lane studio menggila dirasuk persembahan S.o.C. Mereka berjaya memanaskan suasana, dengan cover songs yang hebat dan kepandaian penyanyi mereka, Wira yang berjaya melayan kehendak penonton. S.o.C adalah harapan baru buat Kuala Lumpur untuk scene brutal death metal.

Bahang panas dan bingit sudah tidak dihiraukan lagi. Lebih hebat, kehadiran penonton meliputi berbagai bangsa malah dari Indonesia. Ia membuktikan muzik adalah satu kuasa yang boleh menyatukan sesebuah komuniti tanpa mengira umur, agama, budaya atau taraf hidup.

CRUELTY DIVISION adalah sebuah kumpulan death metal baru yang diterajui oleh veteran death metal, Jadam yang turut menganggotai NECROTIC CHAOS. Persembahan mereka bertenaga, mempunyai struktur yang bervariasi, tidak terlalu teknikal dan tidak terlalu grinding. Mereka di dalam proses untuk menerbitkan cd sulung mereka yang sepatutnya boleh di dapati sekarang. Sebuah kumpulan yang sedang giat menjalankan promosi dalam menyebarkan muzik mereka.







B.I naik ke pentas tanpa diundang kecuali Craig Prestley yang perlu diseru-seru kemunculannya. Menyorot pada sejarah penubuhan mereka pada 2007. B.I adalah pecahan dari kumpulan FLESH EMBRACED. Mereka akhirnya berjaya menerbitkan album sulung mereka berjudul “Seven are They” yang mendapat pujian serata dunia. Namun gitaris mereka, Luke Murnane telah dibuang pada pertengahan 2012 sebaik sahaja pulang dari persembahan mereka di Kota Kinabalu disebabkan konflik dalaman. Kekosongan ini telah diisi oleh Hans Yamin, seorang pemuzik Singapura dari kumpulan Divine Codex dan Draconis Infernum.


Malam ini, B.I seperti biasa naik ke pentas dan tanpa banyak bicara kecuali maki hamun dalam Bahasa Melayu terus meranapkan apa yang ada. Secara teknikal, peralatan yang disediakan tidak mampu untuk menampung keberatan dan kepadatan muzik B.I tanpa henti dan tanpa ruang untuk bernafas. Namun, B.I tetap memberikan yang terbaik untuk kepuasan setiap jiwa besi yang hadir. Mereka sentiasa fokus dengan kebencian mereka terhadap Nasara dan penyembahan kegelapan yang tiada kesudahan. B.I mendapat tajaan dari B.C Rich guitars.





Tarikan utama gig ini semestinya, C.U kerana ia dianggotai ahli-ahli kumpulan lagenda sepertu CORPSE MOLESTATION, BESTIAL WARLUST, SADISTIK EXECUTION, DESTROYER 666 dan ABOMINATOR. Mereka turut membawa merchandises untuk dijual termasuk mempromosikan album ketiga mereka. Pada malam ini, C.U menampilkan Gill sebagai gitaris, Dan juga bermain gitar, Damon Bloodstorm sebagai vokalis dan Matt yang turut bersama B.I untuk bahagian dram. Rata-rata hadirin kagum dengan kekuatan Matt membelasah dram untuk dua kumpulan death metal dengan kejam dan tanpa belas kasihan. Matt bukan manusia sebaliknya mesin! Muzik C.U amat mengkagumkan dan mirip kumpulan death metal Amerika yang lama. Semua penonton nyata terhibur dengan persembahan mereka. Aku sendiri bangga dapat menjaga sistem bunyi walaupun seringkali vokal Damo tenggelam dalam kemusnahan sistem P.A yang semakin hancur walaupun level mikrofon Damo telah diangkat ke tahap maksimum. C.U menghentam ganas pada malam itu melebihi sejam tanpa penat. Mereka benar-benar professional dalam melakukan persembahan.


Kami sebagai penganjur gig sangat berterima kasih pada semua yang hadir pada malam itu. Kejayaan gig ini terhasil dari persefahaman dan semangat setiakawan sepenuhnya. Ia tidak akan berjalan lancar tanpa pasukan kami yang membantu di belakang, kami hanya mengeluarkan flyer 3 hari sebelum gig, promosi hanya dilakukan oleh kawan-kawan facebook dan yang penting kami mempunyai rakan-rakan yang berkebolehan dalam bidang masing-masing bagi menyempurnakan acara seperti ini.






Terima kasih kepada semua terutama BELLIGERENT INTENT dan CEMETARY URN yang tetap bersemangat untuk berjumpa metalheads di Kuala Lumpur dan berkongsi minat yang sama terhadap muzik berat. Masih terngiang-ngiang kata-kata Mike Possessed, gitaris B.I kali terakhir kami bersalaman dan mengucapkan selamat tinggal serta memohon maaf kerana tiada bayaran yang dapat kami berikan kerana harga tiket yang murah, kecuali jamuan makan malam bersama. Kata Mike “What for? I’m not doing this for money. In fact, I got my own shit job…” kami gelak bersama dan meninggalkan mereka dengan seribu kenangan.

p/s: Maaf kerana lewat siar post ini.
Rammy, Faithcraft Productions.

No comments:

Post a Comment