Saturday, October 19, 2013

BEHEMOTH LIVE IN BANGKOK 2013


Dalam banyak-banyak kumpulan black/death metal di dunia, BEHEMOTH adalah sebuah kumpulan yang terlalu lama saya idamkan untuk melihat persembahannya. Bukan kerana, BEHEMOTH sebuah kumpulan yang mempengaruhi hampir semua pemuzik keras dan berat. Tidak! Ini kerana mereka sebuah kumpulan yang mempunyai susun galur perjalanan seni yang terlalu hebat dan tidak keterlaluan saya katakan mereka bersama kumpulan seperti GOJIRA, DTP, SEPTIC FLESH, LAMB OF GOD adalah masa depan dan harapan muzik metal dunia! Akan tetapi BEHEMOTH lebih saya gemari kerana mampu mengekalkan identiti ‘jahat’ dan berevolusi dengan cara sendiri tanpa terikat dengan kehendak pasaran atau dunia hiburan arus perdana. Sebaliknya mereka berjaya yang membuat orang-orang tergila-gilakan dan merestu ‘syaitan’ semula.

Sebelum kita mulakan travelog tentang perjalanan saya menemui mereka di Bangkok, ayuh berkenalan dengan BEHEMOTH…

Saya sendiri bukanlah peminat tegar BEHEMOTH dahulu walaupun mengetahui kewujudan mereka sejak sekian lama melalui zine-zine tempatan kerana sewaktu awal kemunculan mereka. BEHEMOTH begitu dipengaruhi oleh pemuzik-pemuzik dari Norway. Mereka tidak tulen dan mereka sendiri tidak menafikan hal ini sehingga kini. Namun apa yang benar-benar membuka mata saya dan seluruh dunia pada kemampuan mereka adalah album “Satanica” yang diterbitkan pada tahun 1999.

BEHEMOTH tidak peduli lagi dengan trend semasa, mereka meneroka irama Black/Death metal yang tiada hadnya lagi, memanfaatkan teknologi sebaiknya, mempamerkan permainan dan olahan muzik berkemahiran tinggi dan paling menjadi ‘tanda niaga’ mereka adalah hentaman dram dari Zbigniew "Inferno" Promiński yang padu, berteknik dan kemas. Bermula dari saat itu, mereka bukan lagi dipengaruhi sebaliknya mempengaruhi ribuan manusia dengan muzik mereka yang moden dan berkapasiti tinggi. BEHEMOTH dikatakan mendapat inspirasi dari muzik dan melodi Timur Tengah dan Sufism untuk riff-riff mereka.

Kemasyuran BEHEMOTH dikagumi sehingga mereka membolosi kemunduran dan kegawatan ekonomi Poland yang sebenarnya disandang dan digalas oleh ketua, pemain gitar, penulis lagu, lirik, dan penyanyi mereka Adam Michał Darski. Seorang personaliti yang begitu mempengaruhi saya. Bukan kerana fahaman ‘Satanism’ yang dianutinya. Tetapi kerana kegigihan dan sikap tabah beliau dalam memperjuangkan apa yang beliau percaya dan cintai.

Beza umur Adam atau nama gelarannya, Nergal (sempena nama dewa Babylon) dengan saya hanya 2 tahun dan dibesarkan dalam keluarga Kristian Katholik. Tetapi kini tegas menyatakan pendirian beliau menentang Kristian sekeras-kerasnya. Beliau dianggap ‘dajjal’ di negaranya dan masih mengikuti perbicaraan kerana mengoyak kitab Bible sejak 2007 lalu walaupun kesnya pernah digugurkan pada 2010 tetapi disebut semula pada 2012. Nergal dalam ucapan mempertahankan tindakannya menyatakan kebebasan bersuara adalah lebih penting dari hak agama di Poland.


Nergal turut menjadi jurulatih dalam rancangan reality TV, The Voice of Poland (seperti M.Nasir menjadi Pengetua dalam Akedemi Fantasia), dikaitkan dengan kisah percintaan dengan bintang Pop terkemuka Poland, Doda.

Pada Ogos 2010, Nergal dikejarkan ke unit hematologi Gdansk Medical University Hospital dan disahkan mengidap leukemia. Segala aktiviti BEHEMOTH terbantut dari hujung 2010 hingga 2011 iaitu sejurus terbitnya album mereka yang ke-9 “Evangelion”. Nergal menjalani chemotheraphy dan akhirnya Nergal dikeluarkan dari Uniwersyteckie Centrum Kliniczne pada Januari 2011 setelah mendapat penderma dan menjalani pemindahan sumsum tulang. Dengan semangat yang jitu, Nergal dilaporkan pulih dan boleh berkarya semula.

“It may sound controversial, but I would say that everyone should get cancer one day and learn from it, you know what I mean?!” He then clarified, “Obviously, I don’t want anyone to get sick. It’s more or less a metaphor for people to realize how much potential they can unleash if they want to, and for them to realize their potential.” ujar Nergal melalui Loudwire.

AKAN tetapi? Apa yang dapat dilihat pada diri beliau di Bangkok malam ini. Beliau sangat kurus, hanya beberapa helai rambut ada dikepalanya namun dapat dilihat beliau sangat bertenaga dan memberikan yang terbaik untuk tour ini.

Nergal adalah duta kepada minuman tenaga, Demon Energy dari Poland ( seperti Fahrin Ahmad yang menjadi duta Ali Café) dan beliau juga dipercayai penyumbang dana terbesar bagi sebuah pusat pemindahan tulang sumsum yang tersohor di dunia.

BEHEMOTH telah menyiapkan album terbaru mereka dan menunda tarikh penerbitan album tersebut yang berjudul “The Satanist” ke tahun hadapan. Lukisan kulit hadapan album ini mengunakan darah Nergal sendiri yang dibancuh dan dicat oleh pelukis dan pakar simbol dari Russia, Denis Forkas.

Baik. Saya dan Badril memutuskan untuk ke Bangkok melalui Hatyai International Airport pada awal pagi pada 16 October 2013 (Hari Raya Aidil Adha ke-2) kerana ia lebih ekonomik, hanya RM280 (tambang pergi balik, lebih murah jika bukan Hari Raya) berbanding Penang International Airport dan keduanya, kerana Hatyai lebih dekat dari Penang buat kami yang bergerak dari Kangar. Dengan mengunakan jalan kampung (walau agak menyeramkan) dari Padang Besar kami bergerak dari Faithcraft Studio tepat jam 5.00 pagi dengan menaiki motorsikal. Kami tersangkut di Beseri akibat hujan yang sangat lebat, namun terpaksa meneruskan juga perjalanan dan berhenti solat Subuh di masjid Kok Klang. 


Kami sampai di pintu sempadan Padang Besar jam 6.10 pagi, waktu Thailand 5.10 pagi, setelah urusan passport dan pengisytiharan motorsikal selesai, kami memecut dengan kelajuan 120-130 km/h melalui jalan kampung ke Hatyai International Airport dan tiba pada jam 7.10 pagi. Hanya sejam masa perjalanan.

Kami tiba dengan basah lencun dan menunggu untuk berlepas pada jam 8.30 pagi dengan kopi panas dan rasa teruja. Sebagai makluman semua tempat pemeriksaan keselamatan di dewan berlepas Thailand dijaga oleh pegawai wanita kecuali di pintu masuk utama. Mungkin dari segi teorinya, tiada lelaki yang akan mengadu diraba atau diceroboh tubuh badannya oleh seorang wanita. Hehehe! Jadi ia lebih praktikal. Dan jangan risau, semua wanita yang bertugas di situ lawa-lawa belaka!

Perjalanan kapal terbang dari Hatyai ke Bangkok hanya mengambil masa 1 jam 20 minit. Jadi kami sampai di bandaraya Bangkok masih awal pagi. Dari Lapangan terbang Don Mueang kami menaiki shuttle bus ke stesen MRT Chatuchak Park dengan tambang 30 baht bersamaan RM3 seorang. Jadi untuk memudahkan perjalanan kami beli kad One Day Pass dengan harga 750 baht ( tetapi kad ini hanya untuk kegunaan MRT sahaja, tidak boleh digunakan untuk Skytrain). Jika anda kurang berjalan atau akhirnya mengalah dengan berjalan kaki dan merasakan tuk-tuk atau teksi lebih baik kerana bosan dengan pemeriksaan keselamatan hampir disetiap stesen, supermarkets dan hotels. Atau bosan dengan menunggu, baik anda bayar tambang teksi sahaja untuk kali ini ke stesen Hua Lamphong, iaitu stesen yang ke-15 dari Chatuchak Park ini. Walaupun setiap jarak ke satu ke satu stesen bawah tanah ini hanya mengambil masa 5 minit. Lengguh juga lutut dan sendi jika seluruh baju, seluar dan jaket basah lencun. Mujur aku hanya datang sehelai sepinggang, dan hanya membawa kain pelikat dan berus gigi dalam beg plastik. Jika macam Badril, pasti tekanan jiwa aku dengan pemeriksaan keselamatan dan barang-barang basah dalam beg. 





Sampai di Hua Lamphong kami ambil bas tambang ke Khaosan Road dengan tiket 20 baht bersama RM2 jika tidak silap. Pemunggut tiket seorang makcik yang baik hati dan menurunkan kami di kawasan yang tepat. Walaupun kami yang tersilap hotel. Hahaha! Kami menempah Green House Hotel tetapi Badril salah check-in di Green Guest House hingga menimbulkan sedikit salah faham dan lawak antarabangsa.

Khaosan Road adalah sebuah kawasan lagenda back-packers. Dipenuhi dengan manusia segala macam, serata dunia, begitu juga dengan perniagaan cenderahati, hotel, bar, pusat urutan dan sundal. Harga hotel memang terbaik. Jika rajin mencari anda boleh dapat bilik dengan yang selesa dengan harga 100 baht sahaja! Manakala kami mendapat bilik di Green House Hotel dengan harga 300 baht, mempunyai tandas, 2 katil, penghawa dingin, hot shower dan diskaun makanan di restoran mereka sebanyak 10% di bawah. Recommended! Pemilik hotel pun cantik dan seksi.

Kami mandi, solat jamak dan qosar dan keluar semula dalam pada 13.20 tengahari dan sedang lapar. Menurut Badril, MBK Mall di Silom Road adalah tempat yang paling sesuai untuk membeli-belah dan mencari makanan halal. Memang agak sukar mencari makanan halal di Bangkok rupanya, 7-Eleven di sini pun bukan seperti yang terdapat di selatan Thailand yang banyak menjual produk halal. Jika terdapat restoran-restoran Arab atau India berlogo halal pun, mereka tetap menyajikan arak membuatkan kita was-was untuk makan di situ.

Menurut pemilik hotel, tambang teksi dengan meter sekitar 100 baht untuk ke Silom Road, dan beliau mencadangkan agar kami mengelak dari mengunakan tuk-tuk. Tetapi apa yang berlaku, hampir semua teksi yang kami tahan tidak mahu menggunakan meter. Manakala harga tambang tuk-tuk melampau dari harga teksi yang lebih selesa dan selamat. Namun akhirnya sebuah tuk-tuk menawarkan kami dengan harga 150 baht ke MKB, Silom Road. Kami setuju! 




Jadi, adalah amat penting untuk mengetahui harga tambang atau mempunyai rujukan kawan yang mengetahui harga tambang dari satu tempat ke satu tempat. Jadi anda boleh tawar-menawar dengan pemandu-pemandu merangkap penyembelih pelancong ini. Tiada JPJ di Thailand, meter atau tak meter, ikut suka la. Tetapi apa yang bagus, walaupun sembelih, mereka kekal dengan budibahasa dan sikap mahu membantu dan menghormati pelangggan. Itu kena bagi kredit!

MBK ini sebuah megamall yang persis Sungai Wang bergabung dengan Berjaya Times Square bergabung dengan Low Yatt la. Cuma barang-barang disini lebih tertumpu kepada produk cenderahati dan barang yang kelas pertengahan. Kalau barang cenderahati itu, anda boleh beli di sini. Walaupun kedai nampak esklusif, tetapi harga sama sahaja dengan kedai di Khousan Road. Aku dan Badril pun membeli beberapa helai t-shirt dan cenderahati di sini.

Paling gembira apabila terdapatnya International Food Court di tingkat 5. Kita diberikan kad kredit dipintu masuk dengan baki 1000 baht didalamnya. Maka pilih dan makanlah sepuasnya dengan jumlah tersebut. Booth Indian foods, Indonesia foods dan Arabic Foods menyediakan makanan-makanan halal. Western foods, alcohol, vegetarian foods dan masakan Jepun pun ada. Disini anda boleh jumpa 1000 macam manusia. Semua masakan Indonesia nampak memberahikan. Saya makan nasi goreng dan satay, Badril nasi goreng daging. Nasi berharga dari 180 baht ke 320 baht. Manakala air, kami minum kopi dari 75 baht ke 120 baht. Boleh tahan harga kan? Kalau makan 3x sehari, mau pokai dibuatnya! 




Pukul 5.00 kami bergerak dari MBK, kami cuma ambik pedoman dari casher Food Court. Perkara yang bagus disini, anda boleh bertanya kepada sesiapa sahaja. Jika yang ditanya itu boleh bahasa English pasti mereka akan gembira membantu anda dengan penuh budibahasa. Mungkin itu yang membuatkan banyak orang luar suka ke Bangkok.

Kami ke Skytrain dihadapan MBK, menaiki skytrain ke stesen MRT Sala Daeng dengan tambang 25 baht sahaja. Kemudian dengan mengunakan One Day Pass tadi, kami turun ke stesen MRT Sala Daeng dan bertolak ke stesen Thailand Cultural Center.

Tiba di stesen Thailand Cultural Center inilah baru kami terlihat kelibat-kelibat hitam. Kami ikut dan akhirnya berkenalan dengan Tae. Rupanya Hollywood Awards Club yang merupakan sebuah kelab tarian bogel ini hanya terletak bersebelahan jalan. Kelab bogel Pimp Sisters juga terletak bersebelahan Hollywood Awards. 

Tae said 'you know what this place is all about"!
August Dila, the drummer of IN VEIN


 

Menurut Tae dia tidak begitu meminati BEHEMOTH, tetapi sesuatu mengatakan beliau harus melihat mereka kerana BEHEMOTH adalah nama besar dalam dunia black metal. Kami hanya ketawa melihat Tae. Anak orang kaya lagaknya. Bermacam-macam cd original yang dia beli, katanya 2 minggu lepas ayahnya baru sahaja turun ke Malaysia bersama kelab memancingnya.

Akhirnya saya bertemu dengan August Dila, pemain dram kumpulan IN VEIN walaupun pada awalnya saya berjanji dengan Pond Huntrakul, gitaris dan ketua mereka untuk berbual-bual dan membincangkan tentang perancangan tour mereka di Malaysia pada tahun depan yang telah saya usulkan kepada promoter tempatan kita, The Four Horsemen. Menurut August, Pond mengalami kemalangan jalanraya dan masih tidak sedarkan diri. Kami berbual panjang mengenai permainan dram beliau, pergerakan death metal Thai dan BEHEMOTH ketika itu sedang melakukan soundcheck. Saya perasan beberapa bahagian paddles dram yang kedengaran tergeliat dan saya beranggapan Inferno kurang warm-up dan stretching sewaktu itu. Namun perasaan kami sedikit kecewa setelah mendapat tahu dari August Dila, Inferno tidak dapat bermain dalam siri tour ini kerana masalah kesihatan. Inferno adalah salah satu sebab menjadikan BEHEMOTH sangat istimewa tetapi apa boleh buat. Takdir penyembah syaitan pun masih ditangan Tuhan. Namun, Nergal telah menjemput penganti yang tidak kurang hebatnya. Kerim "Krimh" Lechner, pemain dram yang pernah berkhidmat dalam kumpulan teknikal death metal DECAPITATED (2009−2012). Komen Nergal melalui sesawang rasmi beliau tentang hal ini: “This must have been the most difficult decision we were forced to make in recent years. Behemoth is known for not canceling any shows or tours. But this is not something we can do when we are missing our driving force, the man behind the drums – Inferno. Unfortunately, he was hospitalized due to appendix surgery and it’s gonna take him few months to fully recover and get back to shape. We are trying to save selected European Festivals with a fill in drummer (Krimh,ex-Decapitated), but we won’t be risking doing a full-on prestigious tour like the Rockstar Energy Drink Mayhem Festival without Inferno. Behemoth is a solid unit and any part of this unit missing makes us weaker, and that is not how we want to present our new material to our fans. Please, accept our apologies and be patient, we shall return to Europe (this fall) and US (early 2014) empowered and motivated as never before!”

Tidak mengapa kerana Kerim mengalas tugasnya dengan baik sekali ini dibuktikan sebaik lagu pembukaan “Ov Fire and The Void” dan yang paling penting, Nergal masih bernafas dan memberikan sepenuh jiwanya pada persembahannya. 


BEHEMOTH berdiri di atas pentas Hollywood Awards tepat jam 8.00 malam, dengan layar tabir dari ilustrasi album Zos Kia Cultus, Nergal, Orion, Seth dan Kerim berdiri gagah dengan seragam bertudung hasil sentuhan pereka fesyen rock yang terkenal dari Canada, Sharon Ehman. Salah satu perkara yang dititik beratkan oleh BEHEMOTH. Imej dan fesyen. 

 


 
 
 

Saya meminati fesyen Nergal. Beliau seorang yang versatile. Mempunyai citarasa mistik namun moden. Pada malam ini Nergal tampil dengan baju kain kapas bertudung, berseluar kulit dan boots kulit hi-cut (seperti yang dipakai dalam filem komedi Nazi “AmbaSSada” lakonon beliau) serta kalung leher dari kaki burung gagak. Orion tampil dengan pakaian kulit bertudung tanpa lengan dan bertocang seperti ‘jin’, manakala Seth dan Kerim dengan pakaian kulit seperti biasa. Mereka mengenakan cat perang di wajah dan tubuh yang merupakan identiti BEHEMOTH setiap kali persembahan ‘live’. 



 

 

 

Orion (pemain bass) juga memegang posisi sebagai backing vocal dalam persembahan BEHEMOTH, diberi kepercayaan berdasarkan beliau juga seorang penyanyi dan gitaris hebat bagi kumpulannya sendiri, VESANIA.

Setiap dari mereka memberikan aura dalam persembahan ini. Ia seperti menonton teater, Nergal memasang colok di speaker hadapan beliau, membuat simbol-simbol aneh dan ada kalanya menyampaikan lagu-lagu dengan cara ritualistic. BEHEMOTH penuh dengan misteri tetapi riff-riff mereka sangat kuat dan melodi yang dimainkan bukan mengasikkan sebaliknya meremangkan bulu tengkok dan membangkitkan rasa ingin headbang dan berhempas serta bertempur dengan penuh semangat. Bayangkan keadaan bila lagu-lagu seperti “Conquer All”, “Slave Shall Serve”, “At The Left Hand ov God”, “Christians to the lion”, dan “Decade ov Therion” dimainkan?!

Saat yang hebat!

Lagu “Slave Shall Serve” dirakamkan di studio dengan kelajuan 270bpm dan pernah direkodkan mencapai kelajuan 290bpm ketika Inferno memainkannya di Sweden Rock Festival. Saya tidak tahu berapa kelajuan yang dicapai Kerim malam ini? Tetapi ia memang laju dan padat. 


Hollywood Awards mempunyai keluasan seperti Rock World, Penang dengan pentas yang tinggi serta mempunyai jalan tengah membelah crowds (ya lah dah tempat tiger show!), Nergal dan Orion pandai berinteraksi dengan peminat-peminat manakala Seth lebih menumpukan pada kejituan rhythm gitar beliau membuatkan irama yang kedengaran saling tak tumpah seperti studio. Begitu juga dengan Kerim yang tidak langsung goyah dinamiknya selama 2 jam.

BEHEMOTH minum dan menyemburkan darah sewaktu menyampaikan lagu “Chant for Eschaton 2000”, mengingatkan saya kepada Azmi Bahari pada persembahan BLACKFIRE di Stadium Negara pada tahun 1987.



 

 

Seperti biasa mereka berhenti seketika selepas lagu tersebut, dan kembali setelah membiarkan peminat melaungkan nama mereka dan menyampaikan lagu terakhir “Lucifer”. Apa yang saya dapat ulaskan tentang pilihan lagu-lagu mereka pada malam ini adalah yang terbaik. Dan apa yang saya hajati untuk dengar secara langsung tertunai di depan mata! Saya sangat berpuas hati!




 

 

 

Persembahan BEHEMOTH tamat jam 10.00 malam, meninggalkan (anggaran!) 500 -600 orang peminat dengan kepuasan. Diluar kelab, kelihatan penari-penari seksi telah mula masuk bertugas, manakala booth-booth cds, vinyls, t-shirt semakin laris. T-shirt tour BEHEMOTH habis terjual macam pisang goreng. Sempat berbual dengan berberapa warga tempatan yang turut berpuas hati dengan persembahan ini walaupun mereka jahil dengan produk BEHEMOTH dan lebih kepada scene Heavy Metal.




 

 

 

 

Tiba-tiba seorang lelaki menyapa saya dan memperkenalkan dirinya sebagi Praniti, pemain dram kumpulan thrash metal, PSCHOTRAIN. Beliau seorang yang baik budi bahasa, tidak mengambil banyak masa untuk terus mesra dan berbakti pada kami. Beliau dari komuniti Bangcock Thrash, pernah bermain gig di KL dan sering memuji rakan-rakan Malaysia dari HEREAFTER, ATOMICDEATH dan LOBOTOMY. Praniti menghantar kami ke Khaosan Road, katanya itu tempat lepak beliau dan rumahnya pun 15 minit sahaja dari situ jika mengunakan basikal. Pranti (susah sebut Praniti, aku panggil dia Pranti aja) bawa kami ke restoran halal dan lepak di hotel kami sehingga 12.00 tengah malam.

Redza whatapp sejurus Pranti pulang. Rupanya beliau dah pun maklum pada Leza ( sila ambil maklum orang Thai sukar menyebut “R”, jadi sila dengar betol betol, “Silom Load (road), Hailil (Haidir), hehe) mengenai pertemuan kami. Pranti seorang penganut Kristian yang alim, Redza pun heran kenapa dia ke show BEHEMOTH?




Sebenarnya Pranti bertanya pada saya apa jenis muzik metal yang saya benar-benar minat? saya kata takda. Saya minat semua muzik metal asalkan it’s a good music. Pranti setuju. Pemuzik seperti BEHEMOTH adalah sebenar-benar artis dan professionalism mereka membuatkan peminat tidak terikat dengan mesej mereka sahaja tetapi berbagai aspek lain lagi. Apa yang lebih baik dan perlu kita belajar serta hormat dari mereka adalah ‘kegigihan’ dan ‘istiqamah’ yang mereka lakukan untuk berjaya.

Kami tidur lena dan bangun jam 5.30 pagi esoknya dengan leher dan kaki yang sakit. Namun tidak menghalang kami untuk menunai kewajipan pada yang Esa. Kami check out pada jam 10.30 pagi, minum kopi panas jalanan, hebatnya kopi-kopi di Bangkok, walaupun gerai jalanan mereka mempunyai coffee maker bukan bancuh sebarangan aja. Sekali lagi kami berkira-kira dengan pemandu tuk-tuk untuk ke MBK, kali ini kami dapat 130 baht. Sebenarnya jauh juga perjalanan ke MBK, di Silom Road tu. Tetapi jika naik teksi meter lebih selesa, sebenarnya jika anda naik bersama orang tempatan, barulah si pemandu setuju untuk mengunakan meter. Jadi jika terang-terang anda pelancong asing. Susahlah sikit mahu merayu mereka agar memakai meter. 



 

Kami makan lagi di International Food Court, sempat jumpa Zul Icon yang sedang membeli-belah cenderahati. Aku dan Badril pun dah kering kontang, jadi kami pun tukar lagi seorang RM50 untuk tamping kos tambang ke airport dan kecemasan. 

 




Pukul 2.00 petang kami mengambil teksi di hadapan MBK untuk ke Don Muaeng Airport. Setelah puas berunding, kami dapat tambang 250 baht. Rupanya perjalanan ke sana memang jauh, aku sendiri sampai terlena dalam teksi, terjaga semula pun masih tidak sampai lagi. Jadi tambang 250 baht tu amat berbaloi dan murah.

Sampai di Don Mueang Airport kami tunaikan dulu apa yang wajib. Bilik solat yang disediakan bukanlah bilik, tetapi surau yang sangat luas, bersih lagi selesa. Malah lebih lebat dari negara kita sendiri. Kami hanya mampu kagum.



Di airport terdapat banyak restoran-restoran beraneka makanan. Tetapi jika anda seorang yang warak seperti kami..hahaha (maksud warak; teliti dengan hukum hakam syarak) lebih baik anda pilih café Au We White Coffee, segala makanan ringan halal ada di situ. Dan ia pun terletak berdekatan dengan Gate 31-34 milik Air Asia.

Penerbangan tertunda ke jam 6.10 petang, jadi sempat saya lena di situ berberapa jam dan akhirnya kami sampai di Hatyai pada jam 7.40 malam. Kai, dari organizer gig dan orang kuat scene underground Hatyai dah menunggu kami depan airport. 


Kami ke Greeway market, melawat kedai beliau New With Tag Shop yang merupakan metal shop, dan kedai pertama di Hatyai yang menjual t-shirt metal dan punk tulen dari luar negara. Setelah berbual dan minum kopi di port budak-budak underground Hatyai hingga pukul 9.00 malam. Kami bertolak ke sempadan, di Ban Prik, kami terpaksa meredah hujan lebat semula. Kami sampai di pekan Sadao tepat jam 9.40, risau tidak dibenarkan keluar melalui Padang Besar kerana pintu sempadan di situ tutup jam 10.00 malam, kami terus ke Danok dan keluar melalui pintu sempadan Bukit Kayu Hitam. Kami solat di pejabat immigesin Bukit Kayu Hitam dan meredah semula hujan lebat hingga ke Kangar dan sampai di Faithcraft Studio jam 11.40 malam.

Pengalaman yang kami dapat sepanjang 2 hari 1 malam ini tidak mungkin dapat dilupakan. Dan jika kemungkinan BEHEMOTH datang lagi ke rantau Asia ini, saya berharap untuk melihat mereka lagi. Mereka hebat dan sebuah ikon muzik yang sangat berkerja keras untuk mencipta sejarah.

Hari ini mereka telah berada di Jepun, dan siri tour ini masih berlangsung, jangan berfikir panjang lagi untuk anda melihat mereka di bandar-bandar berdekatan


DIRTY BLACK AUTUMN 2013 e.v.

16.10.13 Thailand, Bangkok 
19.10.13 Japan, Tokyo 
21.10.13 China, Beijing 
22.10.13 China, Shang Hai 
24.10.13 Australia, Perth 
25.10.13 Australia, Melbourne 
26.10.13 Australia, Sydney 
27.10.13 Australia, Brisbane 
29.10.13 New Zealand Auckland 
01.11.13 Singapore, Singapore 
03.11.13 Indonesia, Solo 
09.11.13 Nepal, Kathmandu

No comments:

Post a Comment