Friday, March 7, 2014

SERINGAI “Taring” (HIGH OCTANE PRODUCTION) –INDONESIA


Sewaktu menonton persembahan mereka di Hammersonic, festival metal terbesar di Asia Tenggara, saya kajet dan kagum. Sewaktu itu saya belum pernah mendengar sebarang lagu-lagu rakaman studio dari mereka. Alangkah hebatnya persembahan dari mereka! Muzik rock & roll dengan pengaruh American Thrash/Heavy Metal dibawakan mereka dengan sempurna. Manakala ratusan bahkan ribuan peminat mereka menyanyikan bersama-sama setiap anthem mereka seperti “Program Party Seringai”, “Dilarang Dibandung”, “Kilometer Terakhir” benar-benar menaikkan adrenalin saya. Tidak hairanlah mereka diundang sebagai band pembuka kepada konsert METALLICA di Stadion Utama Gelora Bung Karno pada 25 Ogos 2013 yang lalu.

Sekian lama saya mencari album “Taring” dan baru kini saya berjumpanya di Kota Medan beberapa hari lalu. Ilustrasi kulit albumnya menarik dibuat oleh Arian 13 (vokal) dengan gaya neo thrash metal. Saat saya memutarkan CD ini buat kali pertama, saya sekali lagi kagum dengan kualiti produksi bunyi Seringai! Ia sebuah produksi mega. Saya pasti jika METALLICA sendiri yang mendengar CD ini, mereka pun turut terlopong.

Seringai dianggotai oleh Arian13, Ricky, Sammy dan Khemod merakamkan album ke-3 mereka ini di beberapa studio berbeza seperti Studio Gajah, Riverbrick Studio dan Empire Studio. Hasilnya sangat hebat dan boleh dibanggakan. Saya menyukai semua lagu-lagu mereka yang sangat kental ‘nafas’ Motorhead terutamanya material-material Motorhead alaf baru kini. Terdapat juga lagu yang kearah hardcore berjudul “Lagu Lama” yang dinyanyikan dengan laju oleh Arian 13.

Dari 12 buah lagu yang dirakamkan terdapat 2 buah lagu cover yang diolah semula oleh Seringai dengan cara tersendiri iaitu lagu “Discotheque” dari DUO KRIBO (salah satu band Ahmad Albar,Ian Antono dan Ucok AKA) dan sebuah lagu berjudul “Lissoi” , lagu suku batak ini dimainkan secara akustik dan dihura-hurakan oleh Seringai. Ricky gitaris mereka berasal dari suku Batak.

Secara keseluruhan dan secara peribadi saya merasakan Seringai bukanlah sebuah band yang tulen, malah mereka masih cuba menjadi seperti idola-idola mereka tanpa sebarang jati diri. Akan tetapi, mereka membuat kerja mereka dengan bersungguh-sungguh. Mereka pandai mencipta riff-riff yang berat, irama yang memberontak, pemain dram mereka pandai mengarap tona-tona dan struktur yang mantap, serta berjaya mengeksploit imej vintage serta bikers yang menjadi kegilaan anak muda. Saya cuma tidak meminati cara nyanyian Arian 13 yang meneran dan suaranya tersekat ditekak, ia kedengaran palsu dan seperti Bandi AMUK. Tiada cabaran dan keunikan dalam vokal seperti ini. Maaf. Tetapi lagu-lagu mereka sering diselamatkan oleh bahagian-bahagian sing-a-long yang kena pada tempatnya dan membakar semangat.


Seringai akan kembali ke Kuala Lumpur esok. Jika ada kelapangan, pergilah lihat persembahan mereka yang energetik dan ligat di atas pentas. Kamu pasti berpuas hati.

No comments:

Post a Comment