PEDAL TO THE METAL
JASAD
Brutal In Malaysia Tour 2014
Kayuhan sulung Pedal To The Metal bagi menyokong tour band Brutal Death Metal dari Kota Bandung, JASAD yang akan menganas di 3 bandar Penang – Subang Jaya dan Johor Bahru. Kayuhan yang saya cadangkan asalnya lebih santai, iaitu bermula dari jetty Butterworth merentas jambatan Pulau Pinang dan terus ke Soundmaker tetapi akibat ‘dicabar’ oleh Mad Duha yang sememangnya pengayuh basikal tegar, saya sahut cabaran itu walaupun kayuhan saya yang paling jauh sejak 17 tahun lalu adalah 5km (pergi-balik pejabat) dan berbekalkan basikal Maruishi yang dibeli dengan harga RM100 di kedai barang terpakai. Mad Duha pula menaiki fixie Raleigh berharga RM250 yang dibelinya baru seminggu. Saya mencadangkan kayuhan ini tetap bermotifkan kerja-kerja amal dan saya memilih rumah anak-anak yatim dan miskin, Teratak Rahmat untuk kali pertama ini dipromosikan. Demi membuktikan peminat-peminat muzik keras ini adalah dari suku-suku dan puak-puak yang lasak serta sihat. Saya sahut cabaran dengan azam yang ‘brutal’.
Saya tidak langsung membuat sebarang latihan fizikal kecuali sedikit persediaan dengan meletakkan atau mengikat sebuah kotak (modifikasi dari beg dapur gas mudah-alih) pada basikal dan membeli sebuah dry bag 10 liter. Tiada sebarang sebarang tayar spare atau helmet. Kesemuanya kelengkapan bagi menghadapi kecemasan saya serah pada Duha. Lagipun basikal beliau ada pelantar dan dry bag beliau berkapasiti 30 liter.
Saya membuat jemputan melalui facebook dan flyers yang dicetak comel. Banyak yang mengatakan ini kerja gila, menyakitkan dan malas. Jadi, kekalkanlah menjadi malas, hidup selesa dirumah, buntu dengan usaha, menafikan kerja kesihatan dan amal, dan takut dengan kesakitan dan kesusahan.
Sesiapa pun boleh bercakap. Masa untuk membuktikan bermula pada jam 7.00 pagi sebalik sahaja saya pulang dari berkerja night shift. Manakala Duah bertolak dari Bukit Pinang. Kami bertemu di Shahab Perdana. Kami teruskan kayuhan menyusuri jalan lama dengan kesegaran dan cuaca yang amat baik.
Boleh dikatakan setiap masjid besar atau madrasah yang kami temui, pasti kami akan singgah untuk rehat dan menyebarkan fahaman ektrim ini.
Kami sampai tepat di kaki Gunung Jerai pada 12.30 tengahari. Dimana kami berehat secukupnya, makan tengahari, minum air buah pala (rasa mint dan pedas!) dan terus bergerak semula pada jam 1.00 tengahari kerana cuaca yang sangat mengizinkan dan tidak terlalu panas seperti selalunya. Alhamdulilah.
Sepanjang perjalanan bermula dari PERWAJA STEEL agak mencabar kerana permukaan tanah yang naik turun, agak merugikan ketika menuruni bukit kerana basikal Maruishi tidak mempunyai lajak, buyung rodanya tersimpan dynamo dan gear. Perjalanan saya memerlukan banyak kayuhan dan kurang lajak. Ia suatu yang agak menyeksakan tetapi mencabar fizikal. Itu yang saya suka.
Saudara Roshidi yang pernah mengikuti kami dalam pengembaraan Ocean To Ocean merentas selat Melaka ke Laut China Selatan beberapa bulan lalu, datang melawat kami dan memberi sumbangan minuman tenaga di Sungai Lalang.
Ketika menghampiri Sungai Petani selatan jam 4.10 petang, pedal basikal saya mula rosak dan terpaksa dibaiki di sebuah kedai motorsikal. Dan ketika menyusuri Jalan Kolam Air ketika mengejar Mad Duha yang laju dihadapan dengan fixie flat black miliknya, kedua-dua peha saya hampir cramp. Namun berjaya saya elakkan dengan berehat dan terus mandi di Masjid Muzaffar Shah. Mad Duha sempat tidur sebentar.
Kami bergerak meniggalkan Masjid Muzaffar Shah jam 6.30 petang dan tiba di sempadan Kedah-Pulau Pinang, melintasi jambatan Merdeka pada jam 7.10 malam. Dan ini adalah kawasan guar terakhir yang kami tempohi sebelum tiba pendakian terakhir di fly over jetty nanti. Jujur saya katakan, ketika ini basikal saya sudah ‘menangis’. Bermacam-macam bunyi telah keluar dari belting system, ranting roda depan dan pedal. Ia sedikit sebanyak menghiburkan kami sepanjang pejalanan yang semakin gelap.
Jam 8.30 malam kami singgah di masjid Teluk Air Tawar untuk berjumpa Ilahi dan menghilangkan dahaga. Mungkin boleh dijadikan tempat persinggahan rasmi untuk kembara-kembara yang akan datang kerana disamping selesa, semua minuman (air mineral botol / air tin berkabornat) dijual dengan harga RM1 sahaja.
Kami sampai di jeti pada jam 9.15 malam dan menyeberangi Selat Melaka dengan feri. Sebaik tiba di Quay Weld kami terus ke Restoran Kapitan untuk mengisi perut yang dah berbunyi. Seterusnya kami meronda-ronda di Love Lane mencari motel, hotel yang boleh memberi keselamatan pada besi tunggangan kami ini. Kebanyakan hotel atau inn sekitar berharga RM70 – RM380 di kawasan tumpuan backpackers ini. Saya cuba mencari Banana Questhouse dimana CROWN OV HORN dan BESTIAL HORDES tinggal sewaktu mereka menganas di Soundmaker 2 tahun lalu. Tempatnya menarik namun kami kecewa apabila tiba di situ, Banana Questhouse telah diambil alih sebuah restoran dan tidak menyediakan bilik sewa lagi. Saya membaca sebuah blog yang menyatakan terdapat sebuah motel yang menawarkan harga bilik RM18 semalam. Tetapi gagal dikesan.
Kami ke Penang Road, dan mencari hotel-hotel di sekitar Restoran Sup Hameed. Harga hotelnya sekitar RM55 hingga ke RM145 semalam. Paling murah Federal Hotel yang turut mempunyai ruang untuk meletakkan basikal, tetapi setelah melawat biliknya. Kami batal kerana kurang selesa, uzur dan mengerunkan. Ia hotel tumpuan LGBT dan pelacur menjalankan urus niaga. Sekali lagi saya ke Peking Hotel kerana mereka menyediakan ruang parkir kenderaan yang selamat, double bed, wifi, hot shower dengan harga RM95. Walaupun terletak dikawasan yang meriah, kami terus mandi, rehat dan tidur. Tiada sahabat yang datang menjemput meraikan ketibaan kami. Agak menyedihkan. 555!
Kami bangun awal pagi pada 15.5.2014, walaupun tanpa alarm. Perasaan puas dengan apa yang kami lakukan kelmarin masih terasa agaknya. Saya keluar berjalan kaki di sekitar Penang Road untuk merenggangkan otot dan sendi sambil minum Nescafe dan mengedarkan baki flyers yang ada. Harapnya adalah manusia-manusia yang baik hati menderma terus ke akaun Teratak Rahmat.
Kami check out dari Peking Hotel jam 1.00 tengahari dan terus ke Chocolate Boutique untuk minum Original Penang White Coffee selain makan cokelat. Kemudian kami ke Masjid Kapitan Keling untuk sesi meditasi dan rehat selepas penat mencari kedai-kedai barangan borong di jalan Campbell bagi keperluan program dan aktiviti-aktiviti yang akan datang.
Memandangkan jam telah mencecah 3.30 petang kami memutuskan untuk mengesan lokasi street art dan mural yang menjadi bualan mulut antarabangsa dan media frenzy di Georgetown. Kebanyakan kerja seni ini terletak disekitar Armenian Street. Bermula dari Chew Jetty hingga ke Lebuh Cannon. Anda boleh juga menyusuri Lebuh Chulia dari pengkalan Weld tetapi sila peka di sebelah kiri jalan untuk melihat seni dinding ini.
Kami ke masjid Acheh untuk mandi dan tukar seragam jam 6.00 petang dan terus ke Soundmaker Studio. Suasana sunyi sepi, pemilik Soundmaker sendiri menyatakan tiada siapa pun dari pihak penganjur dan promoter JASAD datang membuat persiapan. Malah hingga jam 7.00 malam pihak penganjur masih belum sampai, beberapa orang peminat dari Indonesia telah berada di situ. Begitu juga booth Deadbeat Shop yang telah mula dibuka.
Syargoth dari MEDUSA SAFFANAH membawa kami untuk makan malam di Restoran Pokok Ketapang. Ini kali pertama saya menikmati nasi kandar di restoran ini. Boleh tahan rasanya! Sedap! Rizal, rakan sepejabat juga tiba berseorangan dari Perlis. Rizal memberi harapan kepada kami untuk terus pulang selepas gig dan bertugas tanpa masalah esok hari.
Kami bergerak ke Soundmaker jam 9.00 malam. Berjumpa dengan rakan sekelas, Mu yang sedang menjaga keselamatan basikal. Hahaha! Kami berborak hingga bosan. Jam menunjukkan 10.00 malam, tetapi belum ada petanda gig akan dimulakan. Marco Ferrasse yang baru sampai pun bosan dan merungut dengan cara pengurusan semua gig-gig metal di Malaysia yang tidak pernah punctual dan tidak professional. Marco pulang tanpa masuk menonton, baginya RM28 tidak berbaloi dengan perkhidmatan yang diberikan penganjur. Saya juga setuju dengan pendapatnya. Tetapi apa boleh buat, saya datang dengan basikal dari jauh. Untuk pulang begitu sahaja pasti mensia-siakan usaha dan titik peluh kami.
10.30 malam pemuzik tempatan, NONSERVIAM beraksi seperti selalu. Mereka sentiasa memberikan yang terbaik, berpakaian kemas, muzik pun kemas serta menghiburkan. NONSERVIAM adalah kumpulan death metal bermelodi dan berpaksikan pemuzik luarbiasa dari Gothenburg seperti AT THE GATES dan DARK TRANQUILITY. Mereka dalam siri mempromosikan album sulung mereka berjudul “A Spectral Ascension” yang baru sahaja diterbitkan.
Seterusnya kumpulan black metal yang berstatus lagenda dan diketuai oleh individu berstatus perintis pergerakan muzik ektrim Pulau Pinang iaitu MISTIK mengambil alih NONSERVIAM. Nampaknya mereka masih mempunyai pengikut-pengikut setia dari era silam dan peminat-peminat baru. MISTIK kembali aktif dalam membuat persembahan dan baru seminggu yang lalu, sebuah label baru, DIABOLICURST PRODUCTIONS telah menerbitkan semula EP mereka berjudul “Airmata Sesalan” yang dirakamkan pada 1999 dalam bentuk box set istimewa. MISTIK adalah sebuah band yang mengadunkan irama black metal dengan elemen ketimuran mengikut jejak langkah pelopor haluan ini seperti AS SAHAR dan LANGSUIR. Mereka penah dikecam dan dipuji serta melalui jatuh dan bangun dalam memperjuangkan muzik mereka. Persembahan mereka pada malam ini tidak banyak berbeza dari dahulu, terdapat sedikit masalah teknikal pada bahagian gitar yang sedikit sebanyak mencacatkan permainan mereka.
JASAD mengambil alih persembahan MISTIK pada jam 11.45 minit malam. Seperti kebanyakan bandar-bandar lain di Malaysia, persembahan muzik harus dihentikan menjelang jam 12.00 tengah malam.
Ini bermakna mereka hanya mempunyai 15 minit untuk melakukan keajaiban. Ternyata setelah diberikan 10 minit tambahan, JASAD mampu menambah 2 lagu “Siliwangi” dan “Cengraman Garuda” sebagai bonus yang kesemuanya adalah 8 lagu. Man Jasad tidak banyak berkomunikasi tetapi sentiasa memberikan kata-kata perpaduan setiap kali permulaan lagu. Mereka sempat membawakan 8 lagu dari 10 yang dirancangkan.
JASAD adalah sebuah kumpulan brutal death metal yang sebelum ini genre tersebut diungguli oleh kumpulan-kumpulan dari Amerika Syarikat seperti SUFFOCATION, DISGORGE, MORBID ANGEL. Dikatakan JASAD bermula pada tahun 1990 tetapi secara rasminya JASAD tertubuh pada tahun 2000 dengan discografi album bermula dari “Witness of Perfect Torture” (2003), “Annihilate the Enemy “ (2005) dan “Rebirth of Jati Sunda” (2013). Maka siri jelajah Malaysia ini adalah bagi mempromosikan album “Rebirth of Jati Sunda”. JASAD adalah dari perkataan Arab bermaksud tubuh atau jasmani. Mereka menafsirkan jasad sebagai ‘corpse’ atau mayat. Jika ditafsirkan dalam bahasa Melayu, Jasad turut bermaksud ‘mayat’ kerana tanpa roh, jasad tidak akan bernyawa.
Persembahan JASAD pada malam itu tiada kecacatan sedikit pun kecuali pada vokal Man Jasad kerana masalah teknikal dan kegagalan sistem bunyi. Jelas Man Jasad sedikit terganggu dan marah dengan keadaan itu. Namun ia berjaya diatasi oleh krew mereka dalam beberapa minit. Man Jasad seperti trademark beliau, menghisap rokok surya disepanjang persembahan mereka. Saya agak kagum dengan kekuatan pernafasan beliau, begitu juga anggota yang lain terutamanya Abaz yang memukul dram tanpa silap dan padu. Seorang sahaja menguasai permainan gitar sudah cukup untuk JASAD membuat semua peminat terkesima. Mereka adalah setanding rakan senegara mereka, SIKSAKUBUR, walaupun bagi saya SIKSAKUBUR lebih berteknikal dan heavy-duty.
Saya ada berhubung dengan Man Jasad melalui twitter sebelum kedatangan mereka, dia sendiri pun RT perancangan Pedal To The Metal ini. Dan apabila saya naik bersalaman dengan beliau sejurus tamat persembahan mereka, jelas beliau terkedu bila mengetahui kami datang dengan basikal melebihi 100 kilometer.
Dalam banyak-banyak paling syok jumpa Mu, sahabat sekelas, satu sekolah! |
Man Jasad seorang yang budiman, seiring dengan falsafah yang dia perjuangkan. Man Jasad hanya tua setahun dari saya, satu figura paling berpengaruh dalam dunia muzik metal Indonesia. Dia juga seorang aktivis kebudayaan terutamanya seni Sunda. Seperti kebanyakan individu istimewa yang lain, Man Jasad turut dibayangi berbagai-bagai mitos dan kontroversi berkaitan ilmu kebatinan yang tinggi selain merupakan Presiden Republik Gaban ( Republik Garut-Bandung) sebuah wilayah yang diciptakan oleh beliau tiga tahun lalu bertujuan untuk melestarikan budaya tempatan. Man Jasad telah membuka kelas-kelas kebudayaan secara percuma dan tidak menghadkan kewarganegaraan Republik Gaban kepada peminat metal sahaja. Selain dikenali melalui vokal buas dalam JASAD, Man juga dikenali sebagai seorang pemuzik tradisional berbakat melalui kumpulan KARINDING ATTACK.
Setelah berbual-bual ringkas bersama Man Jasad dan Abaz, saya dan Mad Duha meleraikan basikal dan pulang bersama Avanza milik Rizal. Kami singgah makan Char Kueteaw di Sungai Dua dan singgah ke R&R Gurun untuk jamak. Kami sampai di Kangar jam 4.00 pagi.
Esoknya kembali kerja seperti biasa. Moga ada lagi kesempatan untuk kayuhan-kayuhan amal sambil berhibur.
Laporan oleh:
No comments:
Post a Comment