Friday, August 22, 2014

MORBID ANGEL “Altars of Madness” (EARACHE RECORDS) –USA


Ini adalah album sulung malaikat gila dalam formasi paling sempurna setelah berjaya mengikat kontrak bersama label dari UK, Earche Records yang berjaya mempromosikan nama mereka serta dunia. Earache juga mencungkil banyak lagi kumpulan-kumpulan grind/death metal yang kini menjadi sebahagian dari rangkaian sejarah heavy metal yang sangat panjang. Sesiapa sahaja yang mengaku dirinya peminat muzik death metal pasti mengabadikan album ini sebagai salah satu runut bunyi perjalanan kisah hidupnya.

MORBID ANGEL bersama DEATH, OBITUARY, POSSESSED, AMON masing-masing mengaku mereka adalah pencipta acuan ‘death metal’ yang tulen dari Tampa, dikenali sebagai ‘Pusat Bandar Death Metal Dunia’. Apapun mari kita fokus album ini sahaja dahulu, “Altars of Madness” diakui menepati piawaian US death metal yang tidak boleh di tandingi mana-mana negara. Dari hasil kerja seni lukis kulit depan album oleh Dan Seagrave, logo, tajuk setiap lagu; Immortal Rites, Suffocation, Vision From Dark Side, Maze of Torment, Lord of All Fevers and Plague, Chapel of Ghouls, Bleed for the Devil, Damnation, Blasphemy, dan Evil Spells (yang kini semuanya diiktiraf evergreen, malah telah diangkat menjadi nama kumpulan-kumpulan yang memuja mereka, misalnya MAZE OF TORMENT adalah lagenda death metal dari Perak), lirik mereka yang memfokuskan penyembahan syaitan, dewa-dewa kuno dan serangan kepada institusi gereja menjadi rujukan utama pembenihan kumpulan-kumpulan death/black metal dari Eropah dan Asia.

Trey Azagthoth menjadi pujaan pemain gitar dari genre muzik lasak kerana kehebatan shredding dan gaya penulisan lagu beliau yang sumbang (odd), berteknikal namun menyeramkan begitu juga dengan seluruh tema lirik beliau. Trey menguasai hampir 90% penulisan lagu dalam album ini. Walaupun Azagthoth memainkan genre muzik yang kronik dan sukar difahami, Trey menyatakan kebanyakan inspirasinya datang dari progressif rock terutamanya Van Hallen. Trey seorang guitaris yang dikenali ramai dan dihormati dari generasi ke generasi. Pete Sandoval pula merupakan pemain dram yang dikagumi ketahanan staminanya dan kemampuan memainkan blast beat dan sangat teknikal pada waktu itu. Diingati kerana imejnya bermain double paddle dengan army boots. David Vincent sang penyanyi dan pemain bass begitu serasi berganding bersama Azagthoth kerana fahaman Satanism dan menjadi aset kepada MORBID ANGEL kerana macho dan petah berbicara. David Vincent kini berlainan sama sekali dari era ini, kini beliau selesa dengan imej latex & leather, bertubuh sasa, metro dan dikecam berlagak rockstar. Itu kata orang, entah la? Richard Brunelle berkhidmat dengan cemerlang bersama MORBID ANGEL untuk beberapa album yang mana solo-solo dan penulisan lagu beliau boleh dikatakan amat berbisa namun kekuatan signature Trey mendominasi kerja-kerja Brunelle. Bagi mereka yang melalui era kelahiran “Altars of Madness”, mereka sempat melihat semua remaja membeli kaset ini dan mahu menjadi sebahagian dari ‘pembaharuan’ yang sedang berlaku!

Altars of Madness dirakamkan di Morrisound Recording pada tahun 1988 oleh Tom Morris, yang juga syurga impian setiap pemuzik death metal untuk menghasilkan album ketika itu. Produser album ini Encik Digby Pearson adalah individu yang bertanggungjawab mengorek bakat WORMROT dari Singapore dan menjenamakan mereka hingga popular di Eropah.

Saya tidak tahu bagaimana ingin melupakan riff pembuka lagu “Immortal Rites” dalam otak ini… ia bagai saka.

No comments:

Post a Comment