Ya.. Ya.. saya tahu mereka dari Israel. Anda mahu saya iktiraf negara Israel?. Ok, kita bermula dengan cerita kegilaan piring hitam. Saya tidak mempunyai galeri piring hitam pun, bahkan koleksi saya hanya beberapa kerat sahaja. Itu pun kerana seorang sahabat menghadiahkan saya sebuah pemain piring hitam, maka saya pun mula membeli album-album yang benar-benar perlu untuk kepuasan tatapan visual ( Iyalah, kan kulit piring hitam ni besar boleh tengok foto dan baca kandungan dalam font yang besar, itulah bezanya). Kalau dari aspek lain, misalnya mengenai keunikan bunyi, saya lebih memilih kualiti CD, dan jika mahu produksi yang panas dan tebal, saya memilih pita magnetik; iaitu kaset.
Kalau dinilai dari taraf ekonomi kita metalheads tempatan, LP ni bolehlah dijadikan hobi orang-orang kaya. Kita orang kebanyakan ini jika mahu mengikut perkembangan fesyen, boleh! Tapi peritlah mengikat perut macam YB Shahidan Kassim kalau asyik membeli LP. Lainlah mereka di Eropah dan Amerika Syarikat, harga LP disana hanya sekali mengadap menu makan tengahari atau makan malam. Dalam erti kata lain, murah dan berbaloi!
Saya kagum dan meminati ORPHANED LAND sejak kali pertama mendengar lagu mereka melalui kompilasi CD percuma dari CENTURY MEDIA ‘Darkness We Feel’ (1997), Nebiula Prod ada membuat edisi kaset cetak rompak yang boleh didapati di kedai muzik ketika itu, mungkin anda ada membelinya. Padan muka!
ORPHANED LAND bermula sejak 1991 dan telah melalui banyak rombakan ahli-ahli meninggalkan hanya 2 orang pengasas iaitu Kobi Farhi (penyanyi) dan Uri Zelcha (pemain bass) yang turut memberi tempias kepada haluan muzikal mereka yang mana diawal kemunculan, mereka lebih kepada melodic death metal. Yakni, riff-riff mereka ketika itu brutal kental disulam melodi asyik timur tengah dan berpadu growl yang gagah. Kini mereka membuang ‘death metal’ ke tepi.
Seperti NILE, MELECHESH, THERION melodi Sufism kedengaran jelas dalam garapan muzik mereka, bezanya ORPHANED LAND bukan sahaja dari muzik tetapi juga pemikiran mereka. ORPHANED LAND didakwa memainkan irama progressive metal, folk metal, melodic death metal, white metal dan sebagainya. Bagi saya ia mudah sahaja. Mereka adalah kumpulan ‘samawi metal’. Mereka mempromosikan kedamaian, kecintaan, penyatuan umat dan doktrin. Ironinya dan konon nya, mereka Yahudi yang berfahaman atheist… pelik kan? Haha.
Saya percaya metalheads yang tidak tahu menahu atau penyembah berhala pasti bingung dan ‘sekadar buat-buat pandai’ bila berhujah tentang lagu-lagu ORPHANED LAND dan agama wahyu. Anda sesekali tidak tahu dimana titik temu diantara kami, malah tidak tahu dimana kelainan di antara kami? Ada baiknya anda hanya bercerita pada sisi teknikal muzik mereka.
Namun jika anda berkeras ingin tahu dimana titik temu kami, kami, Muslim, Yahudi dan Kristian menyembah satu kuasa Agung yang sama, yang tidak melahirkan dan tidak dilahirkan. Tiada yang sepertinya. Kami, Muslim beriman dengan semua nabi-nabi yang diperturunkan ke atas bani Israel, kami menyayangi Jesus Christ seperti orang-orang Nasrani walaupun tidak diiktiraf orang Yahudi sebagai nabi mereka. Kami tahu Jesus Christ bukan pun bernama Jesus Christ semasa hayatnya dan tidak pula boleh berbahasa Inggeris. Dia juga dari bani Israel. Dia juga bukan seperti yang digambarkan institusi gereja. Bagi kami itu pasak kepada persamaan kami. Hujah yang bercanggah dari hal itu yang membawa konflik hingga ke hari ini.
Cukup! Mari bercerita tentang muzik, ORPHANED LAND dalam album “All is One” ini membariskan pemuzik seramai 41 orang termasuk penyanyi koir. Lagu-lagu mereka begitu epik dan meruntun kalbu jika diselami cara lontaran vokal dan gabungan duet dalam lagu-lagu seperti “Through Fire and Water” dan “All Is One” dan “As I Stare at the Ocean Alone”. Manakala lagu “Fail” yang mengembalikan aura purba ke dalam album ini, dimana Kobi kembali mengunakan jeritan jin tanah. Jika pengertian mistikus boleh digambarkan dengan bunyi, ORPHANED LAND mungkin jawapannya. Lagu-lagu seperti “Ya Benaye” dan “Children” dinyanyikan oleh vokalis undangan dengan tona dan slanga Arab yang unik dan mendamaikan. Manakala lagu “The Simple Man” dan “Our Own Messiah” menekankan riff yang keras dan rockin’. Mereka mengunakan bahasa para Anbia (Ibrani dan Arab) dan Inggeris sebagai pengantar lirik-lirik mereka. Saya tidak dapat lari dari memikirkan tentang kehebatan THERION dari Sweden dalam album “Vovin” apabila mendengar album ini. ORPHANED LAND mendapat bantuan Mumin Sesler bagi susunan alat muzik bertali dan klassik seperti gambus, violin, seruling dan sebagainya. Manakala Gila Brill membantu sebagai konduktor orkestra. Memang gila!
Album ini dirakamkan di tiga negara dan menjalani kerja-kerja adunan dan mastering di Fascination Street Studio, Sweden oleh Jens Bogren. Manakala kerja-kerja grafix yang unik dari permainan simbol oleh Metastazis mencapai apa yang ingin dirakamkan dalam karya “All Is One” ini.
Nama-nama seperti THERION, BLIND GUARDIAN, DEBU, FALL OF THE LEAVES, berlegar-legar diminda saya ketika memainkan piring hitam berkembar ini. Ia sungguh berbaloi. Saya dapatkannya dari Gagamusic, Jerman dengan harga tidak sampai RM90 termasuk pos. Album yang harus dimiliki oleh metalheads beragama langit untuk dikaji mesejnya. Bulu tengkuk meremang setiap kali saya putarkan LP ini.
“Sesungguhnya akan engkau dapati orang-orang yang paling keras permusuhannya terhadap orang-orang beriman, yaitu orang-orang Yahudi dan orang-orang musyrik. Dan sesungguhnya akan engkau dapati (pula) orang yang paling dekat kasih sayangnya terhadap orang-orang beriman, yaitu orang-orang yang berkata, ‘sesungguhnya kami adalah orang Nasrani (Kristian)’. Yang demikian itu kerana diantara mereka ada pendeta-pendeta dan rahib-rahib. Dan sesungguhnya mereka itu tidak menyombongkan diri” (QS al Maaidah 82)
“Hai Ahli Kitab, mengapa kamu mengingkari ayat-ayat Allah, padahal kamu mengetahui kebenarannya?”
(QS Ali Imraan 70)
No comments:
Post a Comment