Friday, March 29, 2013

IN VEIN LIVE IN HATYAI 2013



Saya tidak pernah mengetahui wujudnya komuniti underground metal ektrim di selatan Thai ini sehinggalah saya mendengarnya dari aktivis-aktivis Kukoq Nyok pada suatu malam. Saya selidiki dan sahih berita ini, malah mereka akan menganjurkan sebuah gig kepada band death metal dari ibu negara mereka, IN VEIN yang dalam siri mempromosikan album terbaru mereka “The Truth Remains Untold”.

Sebelum saya bercerita lebih lanjut, biar saya perkenalkan dulu dengan bandar Hatyai yang merupakan kawasan metropolitan ke-3 terbesar di Thailand yang mempunyai kepadatan penduduk seramai 800 000 orang dan hanya bersebelahan Padang Besar, Malaysia. Jika menunggang motor dengan kelajuan 130-140km sejam. Anda boleh sampai ke Hatyai dari Padang Besar tidak lebih dari 1 jam sahaja! Kegiatan yang ekonomi sangat rancak disini adalah kerana kebijaksanaan pemerintah yang melonggokkan segala perniagaan fabrik dan tekstil terutamanya assesori wanita, begitu juga kemudahan perhubungan. Terdapat lapangan terbang antarabangsa, kemudahan van komuter keseluruh daerah Thailand, perkhidmatan bas ke Penang dan Kuala Lumpur. Kegiatan cetak rompak yang tiada batasan untuk jenama-jenama popular termasuk bootleg DVD movie, DVD konsert metal/rock, T-shirt band rock gergasi dan assesori serta alat ganti motorsikal yang unik dan murah. Itu belum dicampur persembahan kebudayaan dan kesenian mereka yang meriah dan diraikan setempat, kelab-kelab malam dan industri penyundalan yang bersepah-sepah dan bertaburan hampir disetiap ruang. Sebagai bonus penyakit kelamin menunggu ada. Teringat saya sewaktu kanak-kanak dahulu, dikampung nenek, jika seseorang mendapat penyakit kelamin seperti syphilis, kudis atau kurap, mereka akan mengelar penyakit itu sebagai ‘Songkhla”. Hahaha! Contohnya, kenapa tergaru-garu tu kena Songkhla ke? 

Berkenalan dengan Kai, pemilik kedai metal New With Tag Shop di Greenway Market membuatkan saya sedar orang-orang Thai semakin mula menerima muzik ektrim dan ia boleh membesar dan kita dari utara Malaysia boleh mengambil manfaat darinya. Jika dahulu orang-orang Thai tidak boleh lari dengan irama rambong, hanya memakai t-shirt rock cetak rompak atau metal ektrim yang diperolehi dari bundle. Kini kedai seperti New With Tag sudah boleh hidup dengan menjual t-shirt import, majalah metal, hoodies dan cds yang original. Ini bermakna mereka sudah mempunyai citarasa yang hebat dan tidak tipikal lagi.

Menurut perancangannya, saya akan ke gig ini bersama beberapa orang rakan. Tetapi semuanya menarik diri disaat akhir. Memandangkan cuti telah dipohon, saya berangkat seorang diri dengan menaiki motorsikal tepat jam 3.00 petang dari Kangar. Untuk makluman, ini adalah kali pertama saya ke Hatyai seorang diri! Apa nak ditakutkan, Kak Nita dari kumpulan SHEROCK pun berkembara seorang diri sampai Afghanistan naik motor pun rileks aja!? Kenapa saya menaiki motorsikal. Lebih mudah. Insuran kenderaan lebih murah, urusan di checkpoint sempadan kedua-dua negara lebih mudah. Untuk pengetahuan anda, ketika negara sedang mengalami berbagai-bagai jenayah berat, Ops Cantas masih lagi berjalan, saya tidak mahu cari pasal dengan kereta yang mempunyai logo Behemoth besar dicermin belakang, dihari minggu yang penuh dengan UTK begini. Anda pasti akan melalui pemeriksaan yang ketat setiap kali ingin meletakkan kereta di kawasan tumpuan di dalam bandar Hatyai nanti. Ia merumitkan!

 

Saya sampai di Hatyai, dikawasan Lee Garden yang pernah di bom pada Mac 2012 lalu pada jam 4.20 petang. Di dalam shopping mall Lee Garden inilah sebuah bom kereta diletupkan membunuh 5 orang awam dan pelancong dari Malaysia serta mencederakan berates-ratus orang. Tentera Thai menuduh pemisah dari Barisan Revolusi Nasional (BRN) yang merancang letupan tersebut. Pada petang itu sebuah parade dan pertandingan fesyen kanak-kanak sedang berlangsung dihadapan Lee Gardens. Polis dan tentera berkawal ketat. Saya menghubungi Kai kerana beliau berjanji untuk membantu saya jika hilang arah namun tiada berjawab. Akhirnya saya mengupah seorang rider siam untuk membawa saya ke Celeb Pub dengan bayaran 40 bath bersamaan RM4. Itu pun setelah 3 orang rider saya tahan. Semuanya tidak tahu tempat tersebut walaupun diberi alamat.



 

 

Celeb Pub terletak dikawasan berdekatan Greenway Market sahaja. Ia sebuah kawasan unik, mungkin urban kerana sepanjang lorong itu hanya menempatkan disco dan pub serta kedai makan yang moden dan santai tetapi terdapat juga rumah-rumah kampung dicelah-celah urbanisai tersebut. Celeb pub mempunyai keluasan persis Penny Lane, Sunway tepati mempunyai bar, penghawa dingin yang baik, ruang mosh yang agak luas, dinding hadapan kaca sepenuhnya serta tandas yang bersih dan terletak bersebelahan café Pattani muslim yang menjual roti canai dan the tarik. Sayangnya mereka tidak tahu berbahasa Melayu. Saya mencuba roti canai mereka, ia tipikal roti canai Siam. Tebal, mempunyai warna kuning, dan disajikan dengan susu berserta gula. Maaf no curry! Tetapi the ais mereka adalah yang terbaik. The ais dan sekeping roti canai. 40 bath. Boleh tahan juga harganya kan?!

IN VEIN soundchecking


Saya sempat berbual-bual dengan Kai, adik dan ayahnya. Ayahnya? Ya. Kata Kai, ayahnya datang untuk melihat bagaimana dia menguruskan acara ini. Saya berpendapat Kai datang dari keluarga yang berpendidikan kerana bukan calang-calang orang Thai boleh berkomunikasi dalam Inggeris dengan baik. Jika kita lihat, walaupun Hatyai menjadi tumpuan pelancong, orang tempatan tetap tidak mahu memperbaiki pertuturan Inggeris mereka kecuali beberapa perkataan asas sahaja. Dari sini saya berpendapat keluarga Kai sangat-sangat menyokong minat dan kerjaya anaknya. Jelas terpampang di wajah ayahnya, dia gembira dan bangga dengan Kai. 

Tinjauan saya diluar venue terasa seperti berada di Penang pada zaman 90-an dahulu, sepanjang jalan remaja-remaja kehitaman turun berpusu-pusu, ada yang pakai corpse paint, ada budak-budak yang pakai t-shirt old school seperti Nuclear Assault, ada budak-budak emocore, ada puak American Metal, ada hardcore, ada juga yang lost kerana ikut boyfriend sebabnya kita tengok orang lain mosh dan headbang, dia rancak layan online gaming. Hehe! Ada juga yang datang beramai-ramai dari daerah yang jauh dengan menaiki van. Ia mengingatkan saya pada scene di Sabah. Apa yang saya pasti, semua yang hadir teruja dengan apa yang berlaku dan semua ingin menjadi sebahagian dari scene atau sejarah metal Hatyai.




 


 Saya mengandaikan lebih dari 300 orang yang hadir. Kai tersenyum puas dengan bayaran tiket 250 bath bagi setiap orang. Segalanya diurus dengan professional, tiket dan poskad IN VEIN dicetak pro. Terdapat booth New With Tag menjual assesori , terdapat booth dari IN VEIN sendiri yang menjual cd dan t-shirt rasmi mereka dan terdapat juga booth dari SPY yang menjual air ‘manisan’.

 

 

Kumpulan pertama yang mengadakan persembahan adalah GIVE ME FIGHT yang mendendangkan irama Hardcore. Keadaan masih belum panas tetapi mereka berjaya memberikan yang terbaik. Seterusnya NO IDEA mengambil tempat. Saya rasa kumpulan ini otai di sana. Persembahan mereka sangat bertenaga dan mantap terutama dari penyanyi dan drummer mereka. Ia ada unsur punk, thrash yang bermelodi, ada juga bahagian yang funky. Penonton juga menggila saat mereka bermain dengan penuh emosi dan keringat. Terbaik!





Seterusnya Slamming Brutal Death metal, NAWHALS. Saya hairan kenapa mereka suka mengunakan perkataan ‘Slamming”? Mereka masih amatur dan mungkin kumpulan tempatan. Muzik yang mereka mainkan sebenarnya old school death metal dan mempunyai elemen doom ataupun mereka sebenarnya adalah kumpulan doom death metal. Kalau anda pernah dengar demo kaset Rotting Christ, mungkin anda paham apa yang saya maksudkan? Lucunya mereka sudahi persembahan mereka dengan cover SEPULTURA “Root Bloody Root”. 



Sebenarnya saya tidak faham langsung apa yang mereka cakapkan atau MC cakapkan. Nama band pun saya tidak dapat tangkap. Jadi saya cari dan cari manusia yang berpotensi. Akhirnya saya lihat seorang wanita yang memakai pakaian seperti seketari duduk dan menepuk-nepuk tangan tiap kali tamat sesebuah lagu. Pada hemat saya dia mungkin pemilik Celeb Pub? Rupanya dia datang membawa adiknya yang meminati IN VEIN. Dia cepat mesra, berbahasa Inggeris dengan baik, Amy namanya. Hehehe. Ini satu kes lagi menunjukkan sokongan ahli keluarga terhadap minat seseorang di Thailand.


 PSYCHOPATHY, Slamming brutal death metal yang ke-4 mengambil alih. Slamming lagi? Betul tak? Mereka sebuah kumpulan berpotensi dengan hanya satu gitaris tetapi dapat memberi impak yang besar dalam persembahan mereka. Drummer mereka juga hebat. Keadaan ketika itu kecoh dan liar kerana vokalis mereka bijak mengawal penonton-penonton. Drummer IN VEIN, August Dila turut naik ke pentas menyumbangkan suaranya dalam sebuah lagu.

 

 

 


Tamat persembahan PSYCHOPATHY Kai sebagai penganjur naik ke pentas membuat ucapan yang entah apa benda tetapi saya faham akhirnya selepas dia menyanyikan lagu ‘Happy Birthday’ kepada salah seorang ahli PSYCHOPATHY. 






Jam menunjukkan waktu 8.30 malam waktu Malaysia. 7.30 waktu Hatyai. Saya sedikit rungsing memikirkan pintu pagar sempadan Padang Besar yang akan tutup pada 10.00 malam. 

IN VEIN soundcheck sekali lagi walaupun pada pukul 5.00 petang tadi mereka dah lakukannya. Saya sempat melihat mereka petang tadi. Permainan yang kemas. Mungkin kalau ingin dibandingkan, mereka setanding CROWN OV HORN atau SCENT OF CARNAGE dari Malaysia. IN VEIN ditubuhkan pada tahun 2005 sebagai band kolej dan akhirnya menjadi serius dan telah mengeluarkan 3 album. Mereka kini bernaung dibawah Banana Records.

Seterusnya gig berhenti sebentar. Mungkin hormat waktu Magrib? Who knows? Dan seterusnya bersambung pada 9.00 malam waktu Malaysia. Saya sempat melihat satu lagu. Ia hebat tetapi ia adalah tanda aras bagi sesebuah kumpulan death metal. Persembahan yang biasa tetapi bertenaga dan bersejarah buat penduduk setempat.

Saya sempat berbual ringkas mengenai gig ini dengan Kai dan ayahnya. Mereka sempat menunjukkan seorang lagi orang Malaysia yang datang ke gig tersebut, mungkin berbangsa Cina-Siam.




Beberapa perkara unik yang saya dapat perhatikan di gig anjuran komuniti Hatyai-Songkhla UG ini. Walaupun imej, muzik yang buruk dan statusnya rendah di Malaysia, di Thailand ia sesuatu bentuk hiburan yang segar dan penuh ghairah bagi peminat metal dan orang awam di sini. Jadi ia tidak akan mengecewakan si penganjur kerana bilangan penonton yang banyak. Kalau di Malaysia, band tengok band dah jadinya! Di dalam venue gig, tiada langsung asap rokok! Malah diruang hadapan venue tiada langsung saya nampak sesiapa yang menghisap rokok? Begitu juga alcohol, orang siam minum dengan ‘ikhlas’. (Hahahaha! Lawak ayat ni kan?), maksud saya mereka bukan minum kerana nak tunjuk cool, nak tunjuk hebat sebab benda tu haram, nak tunjuk sempoi mabuk, tetapi orang siam minum laungsung tak mabuk, langsung takda rasa nak menunjuk, langsung bukan kerana haram, ia halal bagi mereka, dan mereka rasa x cool pun, ia sebagai minuman untuk hiburan ja. Satu benda yang hebat lagi mengenai penganjuran gig ini adalah ketepatan masa. Dalam flyer gig bermula 5.30 petang. Tepat 5.30 petang gig bermula!! Hebat. 


Dan yang paling sempoi, dalam kalut ribut tengah mosh, slam atau headbang kalau seseorang terlanggar kita atau terpijak atau tertolak kita. Pasti serta merta dia sembah maaf. Itu baru cool! :)

Saya keluar dari Celeb Pub jam 9.15 waktu Malaysia dan memecut ke sempadan. Ketika tiba di Sadoa dah pukul 9.50 malam jadi terus saya keluar melalui Bukit Kayu Hitam kerana takut check point Padang Besar dah tutup dan sampai di rumah jam 10.20 malam. 

Sebagai makluman, WRECKÄR akan bermain di Celeb Pub, Hatyai pada 26 Oktober 2013 nanti!

No comments:

Post a Comment