Monday, November 3, 2014

PEDAL TO THE METAL: FRANK BLACKFIRE


AN EVENING WITH FRANK BLACKFIRE AND FRIENDS
STOPZONE HALL, LARKIN
1HB NOVEMBER 2014

Ada beberapa faktor yang mendorong saya untuk ke mini-showcase Frank Gosdzik atau dikenali sebagai Frank ‘Blackfire’ di Stopzone Studio, Johor Bahru ini. Pertama, Frank adalah gitaris ikon thrash metal Jerman yang pernah mempengaruhi gaya penulisan lagu-lagu saya semasa menubuhkan THE RAVENS dahulu. Kedua, adalah sesuatu yang mustahil untuk melihat persembahan SODOM di zaman kegelimangan mereka bersama Frank Gosdzik hatta sekarang pun (sudah beberapa kali pihak penganjur cuba membawa masuk mereka, hingga pernah dicadangkan SODOM diubah kepada nama solo projek penyanyi mereka, Onkel Tom demi untuk diseludup ke Malaysia, namun tetap tidak berjaya).

Begitu juga untuk berharap siri jelajah “Extreme Aggression” (Frank tidak merakamkan album ini tetapi mula bermain untuk KREATOR bermula dengan siri jelajah album ini) sampai ke Malaysia pada 1990. Pasti mustahil. Namun, thrashers Malaysia puas hati apabila KREATOR berjaya juga membuat persembahan sulung mereka pada tahun 2005, tetapi tragedi menimpa penganjur apabila persembahan mereka untuk kali kedua di Kuala Lumpur pada April lalu dibatalkan pihak berkuasa. Saya dan adik bongsu saya antara yang terlopong hari itu. Bagaimanapun kami berpeluang bertemu Mille.

DESTRUCTION berhasil membuat persembahan di Malaysia dengan jayanya pada tahun 2013 bersempena persembahan mereka di HAMMERSONIC, Jakarta. Saya hanya meminati beberapa produk permulaan mereka dan sempat menyaksikan persembahan mereka di Jakarta. Ia hambar dan muzik mereka tidak mampu menaikkan adrenalin saya. Itu sekadar pendapat saya.

Ketiga, Pedal to the Metal sudah lama tidak membuat sebarang kayuhan ke gig. Jadi inilah peluang untuk berkelana di Johor. Kebetulan pula beberapa orang rakan menarik diri, Mad Duha terlibat dengan konvoi ke Krabi, Chainsore sibuk dengan tugasan di pejabat. Maka saya ke sana seorang diri dan akan disertai Shahriman dari Nusajaya. Itu pun dah cukup. Saya memilih Tabung Wanita dan Kanak-Kanak Palestin untuk dipromosikan dalam kayuhan kali ini kerana saya tetap mahu mengekalkan program ini sebagai satu ‘kayuhan amal’.


Pasti ada yang bertanya apa relevan nya mempromosi akaun-akaun badan-badan amal tersebut? Dah la tiada kutipan derma pun? Baik. Bagi saya inilah kaedah yang paling trustworthy dan mungkin Islamik mampu kami lakukan untuk masyarakat. BAGAIMANA? Begini: Dengan pengedaran flyer-flyer (tidak kekal) yang cantik dan mempunyai elemen kejutan ditempat-tempat strategik. Flyer-flyer yang unik serta mampu menarik perhatian akan menimbulkan suatu prasangka orang-orang awam. Dari mengabaikannya, mereka akan mula search di Google aktiviti ini, mereka akan cari kebenaran nombor-nombor akaun dan sesawang badan-badan amal kerana bimbang ia satu scam. Bila ternyata apa yang telah dimuatkan dalam flyer tersebut benar, In Shaa Allah mungkin…mungkin dia akan wire transfer sedikit sumbangan. Satu yang hebat dalam perkara ini, kami sendiri tidak mengetahui jumlah wang yang berjaya dikumpul dari kayuhan ini. Si penderma pula dapat menjauhi sifat riak kerana melakukan tanpa sesiapa pun ketahui, kecuali mata dan jari-jemari menjadi saksi.

ADAKAH IA TERBUKTI. Saya mengatakan ia berkesan, kerana setelah 3 kali kami melakukan promosi badan kebajikan melalui kayuhan ini. Ramai yang menyelidiki, mencari seterusnya sertai kami di halaman sosial dari flyer yang mereka lihat. Dan kaedah kami ini juga mula digunapakai oleh kelab-kelab motorsikal yang takjub dengan idea ini. Tetapi apabila mereka mula ‘meminta’ media massa membuat liputan dalam usaha sebegini. Roh kebajikan mula hilang. Saya agak terkilan di situ. Tapi aaaghh.. biarkan.

Jom berkenalan dengan Frank Gosdzik. Beliau merupakan seorang gitaris yang disanjungi dalam genre thrash metal, tanpa nya genre ini sudah pasti digarap berlainan dari apa yang kita dengar hari ini. Nama Frank Gosdzik, dibaptiskan kepada ‘Blackfire’ oleh pengasas SODOM, Tom Angelripper setelah menyertai mereka. Ketika itu beliau menganggotai sebuah kumpulan heavy metal WIDIA dan berlatih di studio yang turut disewa oleh SODOM. Ketika Michael Wulf berpisah dari SODOM, mereka melamar Frank Gosdzik namun dia kurang berminat pada muzik SODOM yang masih dibawah pengaruh black metal. Frank memberi alasan muzik SODOM terlalu bising dan tidak sesuai dengan jiwanya. Namun mereka berhasil memujuknya. Ujar Frank "While I played with WIDIA, SODOM practiced in the same building and we already knew them, so when their guitar player Michael Wulf left the band they were hangin out at our rehearsals. When they first asked me to join them, that was when "Obsessed by Cruelty" was out, I said no thanx, it's too noisy, but Mr. Witchhunter really wanted me in the band, and then I thought I could write tunes my way and I was crazy to play live on stage, so I joined them, that was in summer 1986."

SODOM telah mempunyai beberapa siri piring hitam dan pengikut sendiri ketika itu. Jika Frank menolak, beliau telah melepaskan peluang untuk mengembangkan bakatnya bersama lagenda black metal Jerman tersebut. Bagi mereka yang tidak tahu Frank Gosdzik adalah individu yang bertangungjawab merombak akar muzik SODOM ke haluan thrash metal dengan tema ketenteraan. Oleh kerana Tom Angelripper pun sudah mula berminat dengan kisah-kisah perang dunia ketika itu, reformasi mereka berjalan lancar. Frank telah menjayakan konsep baru SODOM dan melakukan jelajah bersama mereka sehinggalah selesai rakaman album tersohor “Agent Orange” pada 1989 yang ditulis hampir 98% olehnya. Frank bertindak mengundurkan diri kerana tidak tahan dengan sikap Tom Angelripper dan Witchhunter yang tidak fokus bermain muzik, sering membuat kesilapan semasa persembahan dan kaki mabuk. (ketika saya bertemu dengan Frank di restoran, beliau tidak minum alkohol, begitu juga semasa persembahan saya lihat beliau hanya minum air mineral).

Dalam tempoh hanya sebulan menyendiri, beliau telah dipelawa oleh Mille Petrozza untuk menyertai KREATOR yang mengalami masalah ketiadaan pemain gitar kedua waktu itu. Frank Gosdzik yang telah lama mengenali Mille sejak 1986 terus bergabung dan mempelajari 18 lagu dalam tempoh 3 minggu bagi mempromosi album “Extreme Aggressive” sempena jelajah Amerika Syarikat bersama CORONER. Frank terharu ketika itu kerana semua ahli KREATOR sanggup berkongsi wang untuk membayar pampasan kepada SVP kerana beliau telah melanggar kontrak untuk bersama KREATOR. Album pertama dan mungkin satu-satunya sentuhan Frank dalam KREATOR yang paling diingati adalah album “Coma of Soul” pada 1990. Kemudian KREATOR melalui zaman-zaman suram mereka apabila mula berani berekperimentasi dengan genre dan elemen baru. Mungkin juga melalui pengaruh oleh Frank Gosdzik dan Joe Cangelosi yang mempunyai citarasa dan sikap yang berbeza dalam hasil seni mereka. Joe Cangelosi mengantikan pemain dram asal KREATOR, Ventor pada 1995. Joe (merupakan bekas pemain dram WHIPLASH) kebetulan merupakan chief masakan Mexico di restoran barat yang beroperasi di Jerman ketika itu telah berjaya dipujuk oleh Frank untuk menyertai KREATOR.

Mereka tidak lagi bersefahaman setelah merakamkan “Cause for Conflict” yang membawa kepada pembubaran. Joe kembali ke New York, manakala Frank mendakwa beliau bosan dengan situasi di Jerman dan membawa diri ke Brazil, sebuah negara yang diimpikannya untuk memulakan karier baru. Frank Gosdzik menyertai sebuah kumpulan funky etnik-latin bernama GANAZAMBI di São Paulo pada 2000 dan berjaya merakamkan demo. Dan di Brazil juga beliau menubuhkan projek metal nya yang terkini digelar MYSTIC.

 
Saya bertolak pada jam 9.15 malam pada 31 Oktober 2014 dari Kangar dengan menaiki bas. Lama saya tidak ke Johor, tiket pun dah RM83 sehala. Ada orang bertanya kenapa tak kayuh dari Kangar ke Johor Bahru? Kalau saya seorang penganggur, hobi saya mencipta rekod dan menempah nama serta cukup latihan. Mungkin saya akan buat. Tetapi saya hanyalah seorang penjawat awam yang berkerja 6 hari seminggu, membuat kayuhan sekadar hobi dan rekreasi serta mempunyai stamina persis kerbau tua. Adakah orang yang bertanya itu waras atau nak cari mampuih dengan aku? Hahaha.


Saya sampai di Terminal Larkin jam 9.30 pagi, Eddie, dari THE FOUR HORSEMEN memang prihatin dengan kebajikan kawan-kawan. Dia sentiasa ambil perkembangan perjalanan saya. Tetapi rakan sekampung Shahriman dah datang menjemput saya ke rumahnya di Nusajaya. Lagipun kayuhan ini hanya akan dilakukan oleh kami berdua sahaja. Elok benar jika saya beristirehat di rumahnya. Ketika dirumah Shahriman barulah saya sedar, benda paling penting saya dah terlupa bawa bersama. Kamera! Itulah yang sering terjadi bila gagal membuat persiapan awal. Jadi segala foto yang anda lihat hanya diambil mengunakan Sony Ericsson C902 dan Oppo Joy (Oppo Joy memang gagal jika kurang pencahayaan, lense pun 3MPXL sahaja). Maaf jika visual kurang memuaskan.


Sarapan pagi mee goreng dan jeruk cabai hijau tersaji. Saya makan berselera sekali dek penangan jeruk cabe ijo yang sedap luar biasa. Shariman keluar untuk urusan perniagaan beliau. Saya sempat lagi layan filem, Lone Survivor lakonan Mark Wahlberg. Boleh tahan aksi perangnya, jalan cerita biasa sahaja walaupun dipetik dari novel yang diadaptasi dari kisah benar mengenai U.S Navi di Afghanistan. Satu perkara yang saya suka tentang Shahriman, dia gadjet freak. Ada saja gadjet baru yang beliau rekomenkan. Saya mula memanfaatkan aplikasi Waze dari tunjuk ajar beliau.

Setelah mandi, kira-kira jam 4.00 petang kami berangkat ke Restoran Osman untuk makan tengahari. Seterusnya kami ke Kota Iskandar, meletakkan kereta di Masjid Kota Iskandar yang masih dalam pembinaan. Shahriman yang menyelia kerja-kerja pembinaan di masjid tersebut memudahkan urusan parkir dan tumpang bersolat di situ walaupun masjid itu masih belum dibuka secara rasmi. 


 


 











Kami mengayuh basikal meninjau seluruh Kota Iskandar dan ke kawasan Puteri Harbour yang belum dibuka. Maka kami terpaksa melalui off-road untuk ke sebuah bukit mengadap laut. Panorama yang mendamaikan kerana cuaca mendung pada petang itu. Kami berehat di situ hingga jam 6.00 petang. 10 helai flyer berjaya disebarkan dikawasan tumpuan.

Seterusnya kami bergerak ke Larkin. Tuala basah, lampu katak, kain pelikat, t-shirt-t-shirt yang ditempah semua dipikul atas belakang oleh kerana saya tidak membawa basikal yang mempunyai kotak barang hari ini. Memandangkan basikal saya agak besar dan memakan banyak masa untuk pemasangan semula setiap kali dileraikan. Saya membuat keputusan membawa folding bicyle milik Chainsore. Inilah kali pertama saya mengunakan basikal jenis ini untuk mengembara. Saiznya agak praktikal dan sesuai untuk kegunaan jelajah sesebuah kawasan bandar. Tetapi jika melibatkan kilometer yang jauh dan muka bumi yang lasak. Ia tidak digalakkan kerana kurang ampuh. Walaubagaimanapun, setelah melalui sedikit kawasan off-road tadi. Jenama Kalaq ternyata lasak. 

Kami sampai di Stopzone studio Larkin tepat jam 8.00 malam, suasana di restoran-restoran sekitarnya mula riuh rendah dengan warga tempatan yang datang untuk menonton perlawanan bola sepak antara JDT menentang Pahang. Saya pun baru tahu petang tadi mengenai perlawanan bola sepak ini dan sebuah gig lagi yang sedang berlangsung di Muar. Katanya SAMURAI atau dikenali sebelum itu sebagai OPERATION CORPSE membuat comeback dalam gig tersebut. Saya membasahkan tekak bersama Abi Suffian dan Aziz Metal Zone Distro.

Ketika sedang minum, tiba-tiba Frank muncul dan bersalaman dengan kami semua. Frank nampak okay orangnya, jauh sekali menggila bagai rockstar. Dia lepak dengan sesiapa sahaja, cuma dia kurang berbual. Mungkin bahasa Inggeris beliau slanga Jerman dan bahasa Inggeris kita buruk benar bunyinya, maka dia memilih untuk senyum sahaja. 





Saya ambil kesempatan ini untuk berjumpa dengan Frank dan bercerita tentang Pedal to the Metal, dia dengar khusyuk. Bila saya tunjuk tshirt dia mula berminat dan minta sehelai. Puas saya cerita tadi baju tu hanya ada 10 helai aja, saya hadiah kat dia satu. Bleh dah habis saya cakap “Can I have one of these?”. Hehehe. Aku gelak aja, “yes, this is a gift from me”. Lepas tu kami ambil foto bersama.

8.40 malam perlawanan bola sepak dah bermula di TV, saya dan Abi Suffian naik ke tingkat 2 Stopzone untuk menunaikan solat. Buat mereka yang tidak pernah sampai ke Stopzone, pemilik studio akan menyediakan satu ruang solat setiap kali gig berlangsung di sini. Selesa dan berhawa dingin. Boleh juga digunakan untuk berehat. Pergerakan anda di pantau CCTV.

Frank naik ke pentas dan memulakan persembahan tepat jam 9.00 malam dengan diiringi rakan-rakan dari MANTAK (gitar ritma), DAMOKIS (bass), dram (KUKUBESI) dan Liyana (bekas ahli NUCLEAR STRIKES) sebagai penyanyi jemputan. Kira-kira 30 orang yang hadir pada malam itu walaupun harga tiket hanya RM30. Agak menyedihkan! Namun Frank tetap memberikan yang terbaik pada setiap lagu, Abi Suffian memberi tahu dia kecewa kerana Frank tidak memainkan beberapa lagu kegemarannya. Bagi saya, okay lah tu.. jangan kita mengharapkan ia seperti menonton persembahan dari SODOM atau KREATOR. Frank hanya sebahagian dari nostalgia itu. Beruntunglah kita dapat menyaksikan Frank memainkan riff-riff agung karyanya yang termaktub dalam sejarah metal sebagai diantara yang paling membunuh di zamannya. Frank hanya mewakili dirinya mempersembahankan karya-karya yang pernah dirakamkan bersama pemuzik-pemuzik hebat seperti Tom, Witchunter, Ventor dan Mille. Saya merasakan kami turut bertuah kerana dapat menonton Frank yang boleh dikira masih muda dan bertenaga membuat persembahan. Beliau masih boleh melompat, menari dan headbang seperti remaja berusia 28 tahun. 







Merujuk kepada sejarah, Frank Blackfire (kini berusia 48 tahun) dilahirkan di Essen, Jerman, sebuah kawasan perindustrian dan lombong arang batu namun kini tersohor di dunia sebagai bandar thrash metal. Ayahnya dari Poland manakala ibunya anak jati Jerman. Frank tidak pernah belajar gitar secara formal sehingga kini dan hanya mendapat tunjuk ajar dari rakan-rakan, menonton video pemain gitar idolanya dan dari sebuah buku asas lead gitar blues. Beliau mendapat hadiah gitar pertama dari ibunya ketika berusia 14 tahun sempena Hari Natal yang merupakan sebuah gitar Strat tiruan. Permainan beliau banyak dipengaruhi oleh DEEP PURPLE, RAINBOW, SCORPIONS lama, AC/DC, SAXON, IRON MAIDEN, MOTÖRHEAD dan MERCYFUL FATE. Apabila SLAYER menerbitkan album “Hell Awaits”, Frank mula terpengaruh dan berlatih memainkan riff-riff yang laju.

DISKOGRAFI FRANK GOSDZIK

Bersama SODOM
1987: Expurse of Sodomy EP
1987: Persecution Mania
1988: Mortal Way of Life (Live-Album)
1989: Agent Orange
1996: Ten Black Years - Best of

Bersama KREATOR

1990: Coma of Souls
1992: Renewal
1995: Cause for Conflict
1996: Scenarios of Violence (Best-of-Album)
1999: Voices of Transgression (Best-of-Album)
2000: Past Life Trauma (Best-of-Album)

Bersama MYSTIC
2002: Mystic EP
2004: 2004 EP



Saya teringat suatu kisah dari seorang sahabat yang berpeluang menonton Slayer sebelum Hanneman meninggal dunia. Persembahan mereka longgar dan tidak dinamik. Tom Araya pula hanya memfokuskan nyanyian dengan hanya memegang kod E di sepanjang persembahan. Ia mengecewakan… tetapi di usia begitu jelajah dunia dalam tempoh yang panjang pasti memenatkan mereka. Bolehlah, sekadar untuk bercerita ‘aku pernah menonton Slayer’…. 





Saya tidak sempat mengingat setlist beliau kerana asyik ganggu orang headbang terutama 4 orang headbangers Indonesia dihadapan saya yang begitu lincah. Tabik juga kepada Aziz Metal Zone Distro dan Ajun Benton yang headbang dari mula hingga akhir, betul-betul dihadapan hidung Frank. Berikut set yang dicatat oleh Abi Suffian, blogger Fearinhidding;

Terror Zone, Renewal, Tired and Red, Christ Passion, People of the Lie, Insane Human Race, Remember the Fallen, Blasphemer, Augusbomb, Outbreak of Evil, Sodomy and Lust dan Bombenhagel.

Gitar Frank mula menghadapi masalah bila sampai ke Augusbomb, maka Frank meletakkan gitar dan membiarkan Naz MANTAK memainkan lagu tersebut sendirian. Frank pula membuang baju kerana kepanasan dan menyanyikan lagu tersebut dengan membaca lirik. Ironi, kerana beliau boleh lupa lirik yang dikarang dalam bahasa ibundanya. Tetapi kami semua gembira sepanjang lagu ini kerana semua menari bersama Frank dan terus disambung dengan “Remember the Fallen” memang mengena umpan tersebut dan bijak sekali.

Saya masih memainkan lagu-lagu SODOM ketika jamming suka-suka bersama kawan-kawan.

Perkara yang menarik tentang thrash metal militer dari Jerman adalah mereka lebih suka bercerita tentang peperangan yang dilakukan oleh tentera USA dari sejarah peperangan Jerman sendiri kerana menyentuh sensitiviti kaum. Manakala kumpulan thrash metal dari Amerika Syarikat pula gemar bercerita tentang peperangan Nazi Jerman. Anda perasan tak?

Frank kurang berkomunikasi, tetapi beliau sempat memberitahu pendiriannya yang anti-racism dan percaya dalam persaudaraan heavy metal. Persembahan Frank Blackfire tamat kira-kira jam 10.20 malam. Semua orang gembira dan mengambil foto bersama Frank yang masih kacak bergaya. 



Saya dan Shahriman turun melulu dari Stopzone untuk ke restoran bagi mengisi perut kosong. Semuanya penuh kecuali kedai masakan Melayu di bawah Stopzone. Hajat untuk makan murtabak gajah di restoran mamak terpaksa dibatalkan. Kami lepak dan berbual-bual hikayat metal bersama Eddie, Abi Suffian dan Aziz. Banyak juga CD yang di borong Abi Suffian yang bakal diulas beliau dalam blog nya. Manakala Pahang sedang ketinggalan kemudian bangkit semula di kaca televisyen yang mencetuskan hura-hara diseluruh restoran berdekatan. Semua metalheads yang hadir menonton gig sebentar tadi pun turun menyaksikan bola sepak pula. Kami berbual-bual hingga jam 11.40 malam, JDT secara rasminya kecundang di tangan Pahang. Saya pula terpaksa menolak pelawaan Eddie untuk bermalam di rumahnya kerana tidak mahu menyusahkan beliau yang bekerja esok hari kerana beliau tinggal di Pasir Gudang. Lagipun saya datang mengayuh basikal bersama Shahriman. Tidak adil jika saya biar di pulang kesorangan. Jadi saya ambil keputusan untuk bermalam di rumah beliau. Manakala Prop, Grundar Production pasti akan menghargai setiap pertemuan dengannya. Dapatlah satu CD GORESLUT sebagai buah tangan. Terima kasih Prop.

Saya seringkali terhutang budi dengan layanan mesra Shahriman sekeluarga jika datang ke Johor Bahru. Sarapan pagi yang sedap-sedap belaka, begitu juga makan tengahari. Sebelah petangnya kami melawat Embrace Hall untuk membeli piring hitam yang diiklankan mereka dalam facebook. Malangnya, Embrace Hall tidak beroperasi pada hari tersebut dan hanya akan buka pada malam hari. Kami batalkan niat untuk berbelanja di Embrace, kami ke Skudai Parade untuk melawat kedai antik L &L House Collection. Kedai ini memang banyak LP dan EP old school 70an, begitu juga pemain piring hitam jenis lama dan baru. Yang menariknya, kedai ini masih mempunyai alat ganti pemain piring hitam yang rosak. Oleh kerana pemiliknya baik hati, saya beli LP runut bunyi filem Teachers dan Hardcore Jazz sebagai kenangan. 







Sebelum ke terminal bas Larkin, kami sempat makan malam di Angah D&C dengan menu Deep Fried Chicken chop berharga RM5 sahaja. Patutlah orang ramai memenuhi kedai, manakala yang belum dapat meja makan masih beratur menunggu giliran di luar. Saya beri 4/5 bintang untuk kecekapan mengurus dan kesabaran pemilik restoran ini. Di pekan Kangar pun Chicken Chop paling murah berharga RM13. Itu paling murah. 




Saya bertolak dengan bas jam 9.30 malam dan sampai di Kangar jam 10.00 hari berikutnya. Dari terminal bas Kangar saya kayuh pulang ke rumah dengan seribu satu kenangan dan bersiap sedia untuk kembali kepada kehidupan normal.

No comments:

Post a Comment