Monday, February 23, 2015

PHENOMISTIK “As Sahar” (MARINER MUSIC) – TEMASIK


Sebenarnya saya baru perasan tentang kewujudan kumpulan ini pada penghujung Januari lalu. Mulanya saya ingatkan AS SAHAR mahu mencetak semula album sulung mereka dengan ilustrasi baru. Rupanya saya tersilap, ia sebuah kumpulan baru, lebih ironi ia ditubuhkan oleh dua orang bekas ahli AS SAHAR, seorang darinya adalah tenaga kreatif AS SAHAR sebelum ini, One Barchiel!

Menamakan kumpulan mereka dengan album paling berbisa dan paling berhantu di nusantara ini memberi satu harapan baru kepada saya. Jujur saya katakan, saya putus asa dengan karya-karya One Barchiel sejak “Tir”, saya hanya mendengarnya sekali sahaja album tersebut dan tidak lagi berminat untuk mendengar album-album mereka yang seterusnya. Dari sisi muzikalnya, ia terlalu kontang walaupun semangat dan jiwa mereka masih wujud.

Ayoh kita mengimbau sejenak, One Barchiel adalah diantara sahabat pena saya yang paling lama sejak menyunting Kemenyan Fanzine, sejak dari zaman berutus surat, berutus email, terputus hubungan sejenak hinggalah ke era facebook. One Barchiel juga rajin menyumbangkan ulasan-ulasan album metal untuk saya muatkan dalam zine. Beliau pun seorang editor suatu ketika dahulu, malah citarasa One Barchiel juga meluas. Jika anda kenal beliau, sudah tentu anda tahu variasi muzikal beliau berakar dari speed metal hingga ke black metal hutan. Dari King Diamond, XPDC hingga ke DISSECTION atau GORGOROTH.

Evolusi One Barchiel atau kini mahu dikenali sebagai Wan As Sahar kearah white metal bermula apabila beliau menjadi ‘familyman’. ( Jangan marah ya Wan!) Mula dari situ AS SAHAR mula terumbang ambing seperti ‘hantu raya yang kematian tuannya’, dan lagenda mengatakan Hanael (bass) kurang senang dengan arah tuju tersebut. Bagi tidak mengeruhkan lagi suasana dan mencacatkan itipati AS SAHAR, Wan mengundurkan diri. Hanael merekrut ahli-ahli baru yang berpotensi. Wan membawa haluannya sendiri dan berkarya dengan beberapa kumpulan sebelum ini seperti KARAMAH dan ANTI-K.

Disebabkan kecewa dengan hasil sentuhan beliau bersama AS SAHAR sebelum ini. Saya abaikan dua kumpulan baru tersebut kerana menganggap ia sekadar ‘band kecewa’. Mungkin tepat jangkaan ku ini? (jangan marah aaa)

Ketika belum lagi mendengar mini album ini, saya sudah pun memberi tanggapan positif. Mana tidaknya, dari ilustrasi kulit album Sang Puteri bunian memetik Les Paul di muara laut tika senja berlabuh telah memberi satu gambaran aneh mengenainya. Malah nama kumpulan dan tajuk album juga memberikan satu petanda mereka akan kembali ke suatu daerah yang telah lama ditinggalkan. Mereka pulang pastinya dengan kemajuan.

Digipak ini memuatkan 4 buah lagu yang dirakamkan secara professional di TNT Music dan diadunkan oleh KK Wong Ah Boy. Bukan dimaksudkan lagu-lagu AS SAHAR yang dirakamkan sebelum ini tidak professional, tetapi lebih kepada tidak menepati piawaian sebuah kumpulan berstatus ‘lagenda’ seperti mereka. Bagi mereka yang biasa dengan scene metal di Temasik pasti pernah mendengar hasil kerja TNT sebelum ini. Bagi saya, ini adalah diantara yang terbaik!

3 lagu AS SAHAR yang ditulis oleh Wan As Sahar iaitu “As Sahar”, “Possi Lana dari Celebes” dan “Star Sirius” dirakamkan semula dengan nafas dan roh baru. Lagu “As Sahar” pernah diterbitkan dalam split album bersama HAYAGRIVA berjudul “Beyond Firmament” dibawah Memories Records pada tahun 1998. Malah rakamannya dijalankan lebih lama dari tahun berkenaan. Maka ia sebuah lagu usang yang hebat bagi saya semasa kali pertama mendengarnya. Strukturnya begitu menampakkan kematangan AS SAHAR pada penghujung zaman 90-an. Saya mampu mengingati setiap bentuk riff dalam lagu ini sebaik ia dimainkan. Korus laungan “As Sahar” pasti mengegarkan dengan kesan bunyi tom tom yang mantap kali ini. Bagi yang ada kaset split ini pasti tahu saya lah pembuat hiasan dalaman kulit kaset itu.

Lagu “Possi..” dipetik dari album “Bugis” kedengaran menjurus kepada Pagan Metal, karya yang bagus dengan riffs-riffs yang ranggup serta bijak. Begitu juga “Star Sirius” yang pernah saya dengar sepintas lalu dalam album “Tirr” telah diberikan sinar yang terang dalam rakaman kali ini. Ia begitu menghiburkan dengan paluan dram dari Wan Akhzareth yang kedengaran begitu jitu dan meletup-letup.

Lagu terakhir “Lautan dan Rupawan” adalah satu-satunya lagu yang ditulis atas mohor Phenomistik. Ia tetap mengekalkan denyut nadi Wan As Sahar seperti sebelum ini. Sebuah karya yang baik dan memukau. Wan As Sahar merendah diri pada saya dengan awal-awal memberitahu ia diinspirasi dari BATHORY. Itu telah kita semua tahu dari era album “Phenomistik” lagi kan? Siapa yang tak minat Quorthon kan? Hehe!

Dengan terbitnya mini album “As Sahar” dari kumpulan PHENOMISTIK ini saya berpendapat Wan As Sahar telah mendapat platform yang jelas untuk terus berkarya. Wan dan Akhzareth memang tidak memerlukan pengenalan demo lagi sebaliknya penerbitan mini album dengan kualiti rakaman bermutu ini adalah pilihan tepat. PHENOMISTIK tidak akan terus dibayangi AS SAHAR kerana selepas ini AS SAHAR mempunyai dukun dan pawang yang baru untuk menjampi mentera mereka. Wan As Sahar pula lebih menjurus kepada white metal tetapi dalam skop nusantara dengan tidak menafikan latarbelakang muzikal beliau yang begitu dipengaruhi oleh pemuzik gelap dari Scandinavia. Wan As Sahar pandai menulis riff-riff yang bervariasi. Itu kekuatan beliau. Dan jati diri Melayu nusantara pula, itu darah dagingnya.

Digipak ini diterbitkan sendiri oleh mereka melalui Mariner Music dalam kuantiti 500 keping. Saya yang mendapatkannya selepas 2 minggu dipasarkan adalah pembeli yang ke 351. Rasanya ia telah habis terjual saat ini.

No comments:

Post a Comment