Monday, February 16, 2015

SATU MALAM BERSAMA SPEICHELBROISS



Saya ke Greenway Market untuk lepak-lepak bersama Kai, pengerak muzik UG Hatyai-Songkhla serta pemilik butik rock NWT Shop sempena malam Valentine Day. Bukanlah saya menyambut hari kekasih itu, tetapi sekadar menghilangkan bosan pada malam minggu disamping cuba menjejaki peninggalan kerajaan Singgora untuk kajian peribadi. (baca sini). Kebetulan esok hari mereka menganjurkan sebuah gig di Rockspace Pub yang menampilkan Speichelbroiss atau ‘Spicybroiss’ oleh kerana hanya separuh dari mereka berada di Hatyai malam ini. Dan pada malam ini mereka menganjurkan sebuah parti meraikan kedatangan kumpulan punk rock dari Jerman ini. Suatu kebetulan yang tidak diduga sebaik sahaja saya tiba di NWT Shop. 


Sebaik sahaja diperkenalkan kepada penyanyi, Patrick Sasse dan pemain bass, Luds Schwenker. Mereka terus mesra seperti telah lama berkenalan. Memandangkan hanya Kai sahaja yang fasih berbahasa Inggeris dalam kelompok mereka, Patrick dan Luds selesa berbual bersama saya yang boleh berkomunikasi ala kadar dalam bahasa Inggeris.

Speichelbroiss ditubuhkan pada tahun 1994 dengan konsep old skool punk rock yang berpaksikan THE EXPLOITED, NAPALM DEATH dan UK SUBS. Sehingga kini mereka telah menerbitkan 4 album yang mendapat perhatian diseluruh benua melalui tarikan melodi ringkas dan bertenaga. 

DISCOGRAFI SPEICHELBROISS
Im Visier (CD - 1998)
Wir sind wieder da (CD - 2002)
Nix gesehn (CD - 2006)
Wenn Ihr es so wollt (CD - 2008)

Patrick Sasse menceritakan bahawa mereka baru beberapa haru selesai membuat persembahan di Rumah Api, KL dan di sebuah studio di Sungai Petani, Kedah. Katanya gig di Rumah Api begitu gila, beliau tidak sempat menyanyi atau berbuat apa-apa, dengan tempat yang tiada penghawa dingin, penonton terus menjulangnya sebaik muzik dimainkan. “So crazy” kata Sasse. Dia seterusnya bercerita tentang gig di Sungai Petani, katanya walaupun studio itu begitu kecil tetapi hampir 80 orang datang, perempuan pun ada datang tengok kami main, ujar Sasse teruja. Saya memberitahunya, gig sekitar utara Malaysia agak suram, we have got strict Islamic Law in the northern region. “Yes, yes.. when I said I want beer, they said go buy yourself…they’re afraid to buy a beer over there?” kata Sasse. Hahaha. Saya hanya ketawa. Sasse ajak saya minum beer di restoran berdekatan. Mereka semua sedang berborak. Saya menolak dan memberitahunya, saya minum kopi ja. Dia senyum.

Sasse banyak bertanya tentang Malaysia dan Perlis. Mengapa tiada gig? Kalau buat gig jugak apa akan terjadi? Berapa luasnya bandar Kangar? Berapa jarak dari Kangar ke Hatyai? Ada-ada sahaja yang dia nak tahu dan ceritakan. Kai menghadiahkan saya tshirt dan CD demo kumpulan punk yang disertainya, E-8. Begitu juga kepada Sasse dan Luds.

Seterusnya Kai mengajak saya untuk turut serta berlatih lagu-lagu yang akan dimainkan esok hari. Sebenarnya Speichelbroiss hanya datang berdua untuk siri jelajah Asia Tenggara pada tahun ini. Jadi anggota E-8 akan membantu dibahagian dram dan gitar. Saya memberitahu Kai bahawa saya datang dengan kereta dan kurang mahir dengan jalan-jalan dan tempat di Hatyai. Jadi Kai bersama Speichelbroiss mengikut saya kembali ke hotel dan saya naik kereta bersama mereka ke studio. Kai memandu Proton Persona berwarna perak, sebagai anak Malaysia, saya agak bangga ketika itu.

Dari tempat penginapan saya, President Hotel ke studio hanya mengambil masa 10 minit dan ia jalan yang sama untuk ke pasar terapung Klong Hae. Sebuah studio baru yang dijaga oleh 2 orang gadis, sesampai kami di sana kelihatan 5 orang punk rocker Thai siap menunggu dengan beer. Music Head Studio menyediakan 2 set stack amp untuk gitar, set dram Sonor dengan variasi cymbals, dan 2 mikrofon. Biliknya kurang kedap bunyi, malah ketika saya ke 7 Eleven 2 blok bangunan dihadapan, masih kedengaran jelas alunan muzik yang dimainkan. 

Beer diedarkan dan ditaja oleh seorang pengikut mereka yang datang jauh dari Bangkok. Maka terpaksalah saya menapak untuk membeli white coffee. Ahli E-8 memberikan komitmen yang baik kepada Speichelbroiss, malah hanya ada sedikit sahaja kesilapan pada 13 lagu yang akan dibawa esok hari. Jika ada pun hanya pada dram dan bass, kerana ada sebuah lagu yang Luds sendiri lupa kod. Ironi sungguh kerana Speichelbroiss sendiri lupa lagu mereka, manakala E-8 yang mengajar mereka untuk memainkan lagu Speichelbroiss. Kadang-kadang saya dan Sasse ketawa besar bila melihat keadaan dah jadi bagai ayam dan itik. Dalam E-8 hanya Kai sahaja mampu bercakap Inggeris dengan fasih dan mereka berbincang dalam bahasa Siam untuk pembetulan, manakala Sasse dan Luds berbincang dalam bahasa Jerman bila ada kepincangan lagu, kemudian mereka berkongsi dalam bahasa Inggeris yang hanya difahami saya dan Kai. Sungguh lucu!

Bagaimanapun pengalaman saya pada malam ini menonton Speichelbroiss berlatih bersama pemuzik undangan berbangsa Thai agak unik untuk dikongsi. Saya sempat mendengar lagu-lagu asli Speichelbroiss yang dipasang melalui android ke mikrofon. Lagu-lagu mereka menjurus kepada punk rock tradisional yang pendek, laju, bermelodi dalam gitar dan vokal serta penuh dengan tema dan isu remaja. Jika anda sukakan OFFSPRING, RANCID, SEX PISTOL, BUNKFACE atau subgenre Deutschpunk tentu anda sukakan Speichelbroiss. Bezanya mereka banyak menyanyi dalam bahasa ibunda mereka. Tetapi bila E-8 memainkan lagu-lagu mereka, ia kedengaran seperti sebuah band punk Thai, yang agak lembut, jinak dan berbudi bahasa. Melodi Speichelbroiss menjadi sedikit kendur pada malam itu. Bagaimanapun kualiti bunyi dan persembahan mereka pasti akan mengembirakan penonton tempatan esok hari. Itu saya yakin. Rugi sekali beberapa footage video yang saya ambil sempena Speichelbroiss berlatih di Music Head Studio tersilap tetapan dalam android saya dan hilang begitu sahaja. Aaadowwh!!!! 







Speichelbroiss berlatih hampir mencecah 3 jam, dan mereka berehat dan berbual-bual setiap 1 jam berlatih. Bercerita tentang bagaimana WRECKÄR diberi peluang untuk masuk ke dalam pergerakan muzik UG Hatyai, Sasse menceritakan kes Speichelbroiss lebih kurang sama dengan WRECKÄR. 10 tahun dahulu mereka sangat aktif bermain gig di Czech Republik kerana bandar mereka bersempadan. “Just like you” kata Sasse. Mereka akan ke Czech dengan kereta untuk bermain gig, menonton gig atau sekadar berhibur kerana mata wang yang lebih rendah dan ekonomik. Setiap kali mereka bermain gig di Czech pasti rakan-rakan akan datang dengan 9-10 buah kereta dari Jerman. Tetapi menurut Sasse, keadaan dah berubah sekarang, gig-gig punk di Czech pun hanya dihadiri beberapa orang sahaja dan merugikan. 


Saya bertanya Speichelbroiss adakah mereka akan datang ke Asia Tenggara setiap tahun? Kata Sasse apa salahnya? Tahun 2013 mereka dah berjaya melakukan siri jelajah serata Indonesia, Thailand dan Malaysia. Apa salahnya jika diberi peluang setiap tahun? What is the best way for a vacation at the same time you play concerts? Kata Sasse yang ingin bermain di Penang atau Sadao di masa depan. Manakala Luds gemar melayan karenah peminat-peminatnya walaupun hanya senyum dan goyang kepala. Ujar Luds "They're funny people, but I like it here. He is my brother". Sambil menunjukkan seorang pemuda. Sasse berseloroh "I think soon they're going to get married". hahaha. Ini kerana Luds dan peminatnya asyik berkepit dan berpeluk walaupun tiada komunikasi hanya senyum ketawa sepanjang masa.

Saya hormati Sasse yang mengemas dan mengutip semua sampah di studio. Kedua-dua gadis penjaga studio telah lama tidur lena tanpa menghiraukan kami dan hanya tidur diruang depan tanpa menutup pintu. Saya berbisik kepada Sasse "I think they're going to get rape after we left", balas Sasse "At least they got extra money after that". Tetapi jauh dalam hati saya itu salah satu senario keunikan Thailand. Anak gadis tidur dalam bangunan tidak berdinding dan pintu tanpa sedikit pun rasa gusar. Lihat foto dibawah.

Atas sofa dan diatas lantai itu ada 2 orang gadis penjaga studio sedang tidur. Konsep studio ini terbuka tanpa pintu.
Kai menghantar saya pulang ke hotel dengan dieskot oleh seorang tentera bernama Ong. Ong seorang metal head pengikut setia aktiviti-aktiviti yang dianjurkan oleh Kai. Dalam perjalanan, Ong melakukan berbagai-bagai stunt dengan motorsikal nya dihadapan kereta kami. Sasse yang agak serius ketika itu berkata “Hey! That’s not funny. That’s dangerous”. Saya terus menyanyikan bait lirik..hold on tigh you know she a lil bit dangerous…”, kami ketawa dan menyanyi bersama. “Is it Roxette?” kata Sasse. Hahaha. Kami sambung ketawa.


Saya bertanya kepada Sasse apakah kerja beliau di Jerman? Rupanya Sasse juga seorang pekerja sosial seperti saya. Sasse menjaga OKU manakala Luds seorang pemandu teksi.

Tiba di President Hotel, Sasse menunjukkan botol Chang di tepi jalan sambil berkata “Is that yours?” dan ketawa. Kami bersalaman, Speichelbroiss berharap untuk bertemu saya lagi pada gig esok hari di Rockspace sebelum mereka bertolak ke Koh Lipe, Satun dan berkampung di sana selama 2 minggu. Sasse dan Luds ingin hidup seperti nelayan tempatan di sana.

Saya malu untuk memberitahu bahawa saya perlu pulang esok hari kerana cuti telah tamat. Jika saya tunggu mereka buat persembahan esok hari dan berakhir jam 1 pagi, bagaimana saya harus seberang sempadan Padang Besar yang tutup jam 10.00 malam. Bagaimanapun saya hantar pesanan ringkas kepada Kai memberitahu saya tidak akan ke gig anjuran beliau dan memohon maaf. 

 Germany + Thailand = Spicybroiss

No comments:

Post a Comment