Anita Yusof satu nama ikonik bagi pengembara terutamanya buat mereka yang mula berkecimpung dalam dunia jelajah bermotorsikal. Bukan impian beliau untuk dikenali tetapi segalanya telah tertulis apabila kembara yang dilakukan beliau memecah tradisi wanita Asia yang dikenali sebagai penyantun dan homey. Saya tergerak untuk menemubual beliau berdasarkan kritiria beliau yang gemar aktiviti lasak, termasuklah sejarah beliau seorang pemain bass kepada kumpulan old school rock, SHEROX yang pernah merakamkan album "Awek Rock". Album ini diterbitkan pada tahun 1992 memuatkan 10 buah lagu, dan turut mendapat perhatian pendengar dari Indonesia. Sebelum saya mulakan temubual ini ayoh kita hayati sabda Rasulullah SAW "Ada apa aku dan dunia ini! Tiadalah dunia dan aku ini melainkan seperti seorang pengembara yang berlindung dari panas di bawah sepohon pokok, kemudian pergi meninggalkannya". (riwayat al-Tirmizi, dinilai sahih oleh al-Albani).
Temubual oleh: Ahmad Raimi
Foto ehsan: Anita Yusof
Salam. Sebagai pengenalan, saya seorang yang kagum dengan kecekalan dan ketabahan Anita Yusof mengembara ke serata pelosok dunia demi mencari erti kehidupan dan mencabar diri untuk belajar dari pengalaman bermusafir. Saya melihat ia sebagai sesuatu yang hebat dan idamkan untuk dijejaki. Saya bukanlah dari golongan yang mengelarkan diri sebagai ‘rider’ atau bergelumang dengan dunia permotoran. Bahkah saya hanya tahu fasal palam pencucuh, minyak hitam, tayar, bateri, starter dan bulb pada motorsikal. Tetapi saya suka pengembara dan cerita-cerita mengenainya… Apa khabar disana? Bagaimana dengan pengembaraan anda yang terkini, menjelajah Yunnan?
Wassalam...Khabar baik. Terima kasih kerana sudi menemubual saya. Alhamdulillah, ride di Yunnan walaupun mencabar, namun dapat diselesaikan dengan jayanya.
Walaupun dalam setiap temubual pasti anda akan ditanya soalan ini. Saya tetap ingin mengetahui bagaimana anda tergerak untuk mengembara secara solo dengan motorsikal, setelah sekian lama mengembara secara backpacking? Bukankah backpacking lebih ekonomik dan lebih selamat?
Betul, memang backpacking lebih economy dan selamat, tapi adventure riding lebih memberi kepuasan kerana saya bebas menentukan jalan mana yang hendak saya lalui, jam berapa saya nak mula, jam berapa saya nak berhenti...di mana saya nak berhenti untuk fotografi, video shooting dan lain-lain. Dengan erti kata lain, its total freedom for me. Jika backpacking, saya terikat dengan jadual perjalanan pengangkutan awam dan sudah semestinya tidak berpeluang untuk berhenti di spot2 yang menarik untuk fotografi / video. Route bas pula kebiasaannya melalui lebuhraya yang membosankan.
Once you go black you never go back’ (bergurau sahaja! Heh), saya pernah terbaca Anita memilih untuk menunggang Yamaha FZ disebabkan fizikal dan keupayaan untuk mengendalikannya. Dan jika tidak silap anda berjanji untuk kekal mengembara bersamanya. Tetapi saya melihat anda beberapa kali mengunakan motorsikal lain yang lebih berkuasa untuk mengembara. Adakah Anita akan kembali mengunakan jentera asal? Sebenarnya saya memilih Yamaha FZ kerana model ini yang disarankan oleh sifu saya, Hadi Hussein tanpa mengetahui apa kelebihannya. Ketika itu (April 2012), jika ditanya tentang motorsikal, saya hanya boleh katakan bahawa ianya merupakan jentera beroda dua yang sangat berbahaya kerana tidak mempunyai dinding dan mudah tergelincir jika hilang kestabilan @ kawalan. Jika sifu saya menyarankan model yang lain, pasti saya akan menuruti nasihatnya. Memang benar, sejak akhir-akhir ini saya menggunakan motorsikal yang lebih berkuasa. Ketika saya menunggang di luar Malaysia pula, ada kalanya saya menggunakan motorsikal sewa. Pilihan saya terhad kepada bajet dan motorsikal yang disediakan oleh rental company sahaja. Sudah pasti saya akan menggunakan jentera asal untuk projek adventure ride saya yang akan datang, dengan syarat pihak Yamaha mahu sponsor saya motorsikal baru. HAHAHA...After all, I’m giving them a publicity and experimenting their brand without them having to pay for my expenses. Kira win-win lah. I think thats fair enough :)
Banyak pihak yang terkejut dan menghormati kemampuan Anita apabila kisah pengembaraan anda mengembara ke Indochina dengan pengalaman menunggang tidak melebihi 2 bulan mula tersebar. Ia memberi inspirasi kepada banyak anak belia tempatan yang sebelum ini menganggap banyak perkaraadalah mustahil walaupun mereka telah berada dilapangan itu… tetapi masih menunggu dan menunggu kerana hati yang sentiasa gusar memikirkan halangan fizikal. Bagaimana anda mengatasi stigma ini dan terus bertindak? First of all, perlu anda ketahui yang saya ni memang degil orangnya. Jika tekad saya dah bulat mahu melakukan sesuatu, saya akan all out sehingga apa yang saya hajati tu tercapai. Tak kira la waktu saya aktif bersukan masa remaja dulu, atau ketika saya tunggang-terbalik berjuang bermati-matian bersama band saya, atau sewaktu saya pulun belajar di universiti ketika sudah beranak dua. Kalau benda tu saya suka, saya memang sentiasa mahu buat yang terbaik. Biarlah sesukar mana sekali pun, saya tidak akan mudah mengalah. Itu prinsip saya.
Selain dari itu, mungkin kerana sejak di Tingkatan Dua, saya sudah mula ada ramai pen pal dari merata dunia, menyebabkan walaupun saya orang Melayu, namun pemikiran saya lebih kepada western mind (untuk hal2 yang positif lah, yang negatif tu jangan diikut). Saya selalu mempertikaikan, “kalau mat salleh boleh buat, mengapa kita tak boleh? Apa lebihnya mereka dan apa kurangnya kita?” Saya juga suka mencabar diri sendiri. I want to see how far I can go, how far I can stand the challenges. Dari situ, saya memberanikan diri untuk keluar dari tempurung dan meneroka dunia ni. Sama lah juga dengan situasi di mana saya mula cross border dengan pengalaman menunggang hanya 43 hari. Memang itu kerja gila dan sangat menggadai nyawa, tapi saya beranikan diri untuk mencuba....kerana selagi kita tak cuba, kita tak akan tahu sejauh mana kemampuan kita. Masalahnya dengan orang melayu, kebanyakan kita masih terlalu ‘taboo’ dengan idea travel sendirian, tak kiralah backpacking atau naik motor. Kita kurang keyakinan diri. Kita sentiasa rasa lebih selamat bila berteman dan kita sentiasa curiga dengan local people di tempat yang kita kunjungi. Sedangkan kalau kita fikir secara mendalam, seandainya sesuatu berlaku, tentu ke kawan yang bersama kita tu boleh membantu kita? Sikap ni yang perlu diubah. Kita perlu jadi melayu yang berani dan percaya pada diri sendiri. Kita mesti yakin yang kita boleh melakukannya. Kita mesti ubah persepsi bahawa local people itu jahat. Melalui pengalaman saya, lebih banyak orang jahat di negara sendiri berbanding di tempat-tempat yang saya kunjungi.
Mengapa Anita tidak bermula dengan mengembara secara tradisional. Maksud saya konvoi bermotosikal secara berkumpulan yang popular sejak dahulu?
Saya belajar dari seorang adventure rider (solo), maka saya pun menjadilah adventure rider. Bila berkonvoi ni, banyak hati yang perlu dijaga walau ada kalanya hati sendiri terguris. Selain dari itu, saya juga tidak suka menunggu dan tidak suka membuat orang menunggu saya. Lagi pun saya newbie. Kecekapan saya menunggang motor masih lagi so-so saja. Seperkara lagi, ramai antara kita yang tidak tahu etika bercakap ketika bermusafir. Ramai yang suka cakap lepas, ikut sedap mulut sahaja, sedangkan setiap kata-kata adalah doa, dan doa orang bermusafir tiada hijab. Maksudnya, doa orang bermusafir ni tiada sekatan dan In Sha Allah dimakbulkan. Apabila ada antara rakan-rakan sekonvoi yang merungut tentang cuaca, tentang itu dan ini, Allah akan bayar cash seiring dengan apa yang dilafazkan. Jika kita ride bersama rakan-rakan yang tidak menjaga tutur kata ketika bermusafir, dengan kita sekali juga akan menerima padahnya. Bila ditegur, bukan semua mahu menerima. Susah!!! Justeru itu, solo lebih sesuai untuk saya berbanding konvoi.
Saya mengenali beberapa individu-individu yang mengetuai kumpulan-kumpulan jelajah bermotorsikal yang ditubuhkan atas ‘passion’ yang sama. Iaitu kecintaan pada pengembaraan, mengambil iktibar dari pengalaman, menjalin silaturrahim dan kekawanan selain mencabar kemampuan diri. Tetapi akhirnya mereka mengeji sesama sendiri dan memperlekehkan satu sama lain. Pada pandangan Anita mengapa timbul ‘hasad’ dalam kumpulan-kumpulan yang berkongsi minat yang sama ini? Secara semulajadi, naluri manusia memang sentiasa mahukan perhatian dan penghargaan. Hal ini dinyatakan dalam Teori Hirarki Keperluan Maslow. Keinginan untuk mendapatkan perhatian yang melampau akan menjuruskan seseorang kepada sikap suka menunjuk-nunjuk serta menonjolkan diri supaya individu berkenaan lebih dominan berbanding yang lain dalam kelompoknya. Apabila sikap ini menjadi tidak terkawal, akan wujudlah perasaan meninggi diri, sombong, bongkak pada satu pihak, dan wujudlah perasaan tak puas hati, hasad, benci dll di pihak yang satu lagi. Penyudahnya kedua-dua pihak akan saling mengeji dan bermusuhan.
Adakah media sosial memain peranan dalam menyebarkan trend kembara bermotorsikal? Saya lihat jika dahulu mereka memerlukan kepimpinan yang berkharisma untuk melancarkan sesebuah kembara atau menubuh kumpulan bermotosikal dan ia mengambil masa yang begitu lama untuk dikenali. Tetapi kini kita menubuhkan sesuatu grup mengunakan hujung jari dalam sekelip mata.
Ya, sudah pasti media sosial memainkan peranan yang amat besar. Maka dengan sebab itulah, sesiapa saja boleh menubuhkan kumpulan dan melantik dirinya sebagai peneraju walau pun hakikatnya kelayakan, kepimpinan serta kemampuannya menjadi tanda tanya.
“Berpisahlah, nescaya kau dapati ganti orang yang kau tinggalkan. Mengembaralah di bumi, nescaya kau temui petunjuk dalam perjalanan itu. Singa jika tidak meninggalkan hutannya tidak akan garang. Anak panah jika tidak meninggalkan busarnya tidak akan mengena sasaran” ( penyair Abu Firas al-‘Amiri, dalam Fawat al Fawayat). Ada yang tidak menghormati pencapaian Anita (terutamanya lelaki) dengan mengatakan anda seorang yang ‘desperate’ sebab itu sanggup untuk membuat pengembaraan solo sebegitu. Kononnya kegembiraan patut dikongsi. Apa penjelasan Anita kepada mereka?
HAHAHA, statement ini sangat kelakar. Saya desperate? LOL...Yang berkata2 itu mungkin tak tahu bahawa sebelum saya ride solo, sy sudah rata menjelajah dunia dengan backpacking secara solo. Saya setuju bahawa kegembiraan patut dikongsi, tapi tidak semestinya perkongsian itu secara direct dengan seorang teman. Boleh saja kita berkongsi kegembiraan secara virtual melalui media sosial seperti Facebook. Apa yang saya lihat ketika mengembara, anda juga dapat melihatnya bila saya kongsikan gambar2 dalam FB atau blog saya. Kalaulah saya desperate kerana faktor loneliness (seperti yang anda nyatakan setelah saya mohon penjelasan lanjut), sudah pasti saya tidak akan mengembara sendirian. Sudah pasti saya akan berteman. Yang sebetulnya, adakah saya yang desperate atau mereka2 yang tak berani solo itu yang desperate sehingga mereka hanya akan rasa selamat apabila ditemani seseorang atau segerombolan konvoi?
Untuk makluman, punca mengapa saya beranikan diri untuk mengembara sendirian suatu ketika dahulu (2002) adalah kerana saya sudah bosan menunggu. Menunggu kawan yang mahu menemani, tapi sampai sudah semuanya tak jadi. Ada yang nak follow, tapi duit tak ada @ tak cukup...kata nak travel, so menabunglah...tapi pantang ada sales semua nak diborong. Ada pula yang teringin nak travel tapi suami atau keluarga tak izinkan...atau komitmen kerja...atau tak punya masa.. Ayat lazim yang saya dengar, “aku nak ikut kau, tapi...” seribu satu tapi. Kalau nak tunggu orang, selamanyalah saya tidak akan ke mana2. Maka pada tahun 2002, saya buang segala ketakutan serta kerisauan, dan saya mula mengembara secara solo.
Anyway, saya mengembara kerana mengembara itu passion saya. Samada orang nak iktiraf atau tidak, nak hormati pencapaian saya atau tidak, langsung tidak menjadi kudis buat saya. Apa yang saya buat bukannya nak puaskan hati orang lain, nak jadi legend atau nak tunjuk terror, melainkan untuk kepuasan saya sendiri yang sukakan cabaran. Saya juga tidak compete dengan sesiapa, kecuali compete dengan diri saya sendiri, sama ada saya boleh buat, atau tak boleh buat. So, tak kisahlah apa orang nak cakap pun.
Sebenarnya, mengembara sendirian ini perlu...sebab hanya dengan bersendirian di tempat yang totally asing bagi kita akan membuatkan kita keluar dari zon selesa, membuatkan kita muhasabah diri sendiri dalam erti kata yang sebenar-benarnya dan kita akan menyerahkan sepenuhnya untung nasib kita pada Allah Yang Maha Esa. Lebih-lebih lagi ketika melakukan adventure ride yang mencabar seperti yang saya lakukan, saya tidak punya sesiapa melainkan Dia. Jika saya dalam kesusahan, hanya padaNya saya mohon agar dihantarkan bantuan. Saya bergantung 100% kepada Allah SWT. Ini membuat saya terasa amat dekat denganNya, sehinggakan apabila saya solat, apabila saya sujud, saya terasa seolah-olah Dia berada betul-betul di hadapan saya. Perasaan ini hanya akan hadir apabila saya mengembara sendirian, dan saya amat merindui perasaan ini. Sebab itu every two or three months, saya akan bermusafir sendirian, sebab sudah tidak terhahan dengan kerinduan untuk merasai perasaan itu.
Ada juga yang berpendapat, Anita mampu melakukan apa yang tidak mampu dibuat oleh mereka disebabkan sumber kewangan anda yang banyak. Maka segala perancangan anda menjadi mudah dan lancar?
Saya banyak duit? Aminnnn....mudah2an makbul :)
Saya cuma kakitangan kerajaan saja. Kalau saya banyak duit, tak lah bila mengembara saya tinggal di guest house murah...tidaklah saya camping. Tentu saya akan cari tempat yang selesa dan mahal harganya. Tahukah anda saya cuma spend approximately RM1300 ketika melakukan adv ride ke Indochina (Thailand, Cambodia dan Laos) selama 12 hari dengan menaiki motosikal Honda CB500X? Separuh dari RM1300 itu adalah untuk kos bahan api sahaja, bererti saya cuma spend anggaran RM50 sehari untuk hotel, makan, bayaran memasuki sempadan antara negara dan bayaran masuk ke attractions. How did I survive with that little money?
Saya tak setuju jika dikatakan banyak sumber kewangan akan melancarkan segala perancangan. Yes – if u are willing to pay a guide to show u around. Yes – if u are willing to pay someone to do the research for u. But in my case, saya buat semuanya sendiri. Orang tak tahu berapa belas jam saya mengadap internet setiap hari selama 6 bulan, baca, baca dan baca untuk cari segala info sebelum Central Asia ride saya dulu. Duit memang penting kalau kita nak mengembara, but its not everything in this world. Banyak faktor lain yang menyumbang kepada kejayaan sesuatu kembara especially KNOWLEDGE. Tell me, kalau you ada sumber kewangan yang banyak, tapi you atau kenderaan you menghadapi masalah ketika berada di atas gunung di mana langsung tak ada kelibat manusia pun, adakah wang yang banyak itu boleh membantu?
Setelah menjadi ikon wanita musafir bergaya. Ada tidak pihak yang sanggup menaja siri-siri pengembaraan anda seterusnya? Berapakah jumlah terkini negara yang anda telah jelajahi?
Alhamdulillah saya telah diberi kesempatan oleh Allah untuk menjejakkan kaki ke 54 buah negara. Saya belum mula berurusan dengan pihak penaja lagi sebab ride2 yang saya buat selepas Central Asia, saya keluarkan duit poket sendiri kerana saya sifatkan ianya sebagai small scale ride. Oleh itu, saya pun tak pasti sama ada mereka sudi menaja saya di masa depan atau tidak.
Jika diberi kesempatan adakah Anita akan pergi semula ketempat yang pernah anda ziarahi? Adakah anda suka ke tempat yang sama setiap tahun? Maksud saya, saya seorang yang tidak faham kegembiraan yang ada pada Bike Week (mungkin sebab saya bukan rider kental), tetapi saya mudah bosan dengan sesuatu yang tidak progressif.
Saya kurang gemar pergi ke tempat yang crowded dengan bunyi muzik yang bising seperti mengunjungi Bike Week. Zaman rocking saya telah lama berlalu. Sesekali, saya akan pergi ke Bike Week, itu pun yang dekat-dekat dan sekadar nak jumpa kawan-kawan. Seandainya diberi kesempatan, saya teringin sangat nak repeat Kyrgyzstan dan Tajikistan (Pamir Highway). Ride di sana meninggalkan kesan yang sangat mendalam dalam diri saya. Selain itu, saya juga ingin berkunjung ke Bosnia dan India yang pernah saya lawati ketika zaman backpacking dulu.
Bercakap tentang progressif. Ada juga benda yang saya agak konservatif. Misalnya, muzik. Saya berpendapat Anita bukan seorang wanita kebanyakan dahulu, malah seorang yang suka cabaran sejak muda kerana bukan mudah untuk menubuhkan sebuah kumpulan rock kan? Boleh ceritakan sedikit pengalaman anda semasa rock adalah suatu kuasa muzik yang gagah di tanahair.
HAHAHA, ni cerita yang dah masuk arkib. Tuhan saja lah yang tahu betapa saya dan band saya, Sherox, berjuang bermati-matian untuk terus kekal dan bersaing pada ketika itu. Kami tersepit dengan kemelut syarikat rakaman yang tidak mempromosi kami dengan bersungguh-sungguh, sebaliknya hanya menumpukan kepada artis-artis top di bawah naungan mereka. Apabila kami minta kontrak ditamatkan, mereka enggan, sebaliknya meminta kami untuk membayar sejumlah wang yang banyak seandainya mahu dilepaskan. Justeru itu, kami terpaksa menunggu 5 tahun sehingga kontrak tamat, tetapi yang menyedihkan, when the time comes, era muzik rap telah menguasai scene muzik di Malaysia, maka tiada syarikat rakaman yang mahu mengambil kami. Namun, walau lagu-lagu kami jarang diputar di corong-corong radio, dan kami bukan tergolong dalam kalangan artis glemer pada ketika itu, kami tetap laku di pertunjukan-pertunjukan pentas. Show kami banyak. Alhamdulillah.
Ada suatu benda yang saya ingin kongsi dari dunia muzik bawah tanah. Suatu ketika dahulu, sebaik tamat sekolah, saya mempunyai kumpulan metal tanpa kemahiran yang tinggi, tanpa alat muzik sendiri, tanpa gadjet yang mahal, dan sering berlatih di studio buruk dalam kebun getah. Kami menulis lagu-lagu sendiri. Kini kami mempunyai pengikut sendiri, alat muzik yang canggih, pandai dalam hal kejuruteraan bunyi dan aplikasi rakaman, juga mempunyai studio sendiri. Namun jauh dalam hati, saya melihat muzik yang ditulis 15 tahun dahulu lebih ‘bernyawa’, kami tidak tunduk pada kehendak orang, dahulunya kami lebih berfalsafah, lebih berdikari dan lebih jujur. Pernahkah suatu ketika Anita merasa semakin meluas publisiti yang diberikan semakin hilang nilai asal yang muncul ketika hari pertama anda keluar mengembara dahulu?
HAHAHA....gelak lagi sekali. Sejarah anda bertatih dalam bidang muzik, tak banyak berbeza dengan sejarah saya, cuma kami dulu berlatih dalam studio sempit di tengah kotaraya. Saya setuju, muzik 15 tahun dulu lebih bernyawa, sebab tu evergreen sehingga kini.
As for me, publisiti atau populariti yang diraih sedikit pun tidak memberi kesan apa-apa. Saya tetap sama seperti Anita yang dulu. Nothing in my personality changed with the popularity. So what ever virtues that I carry within myself during my ride from Day 1, remain until now.
Akan terbitkah jilid yang kedua bagi buku kembara anda? Satu benda yang saya suka mengenai terbitan pertama seseorang penulis walaupun produksinya kecil dan visual yang kurang memuaskan, adalah kejujuran isi hati dalam penulisan itu. Saya berharap jika syarikat kapitalis telah mula nampak peluang dalam peneribitan jurnal Anita yang seterusnya. Penambahbaikan harus dilakukan dari segi reka letak dan seni grafik sahaja. Pihak begini sering memanipulasi dan tahu apa yang pembaca mahu baca. Mereka akan programkan apa yang perlu anda tulis. Dari situ penulisan hilang roh nya… ia akan jadi fiksyen yang tiada nilainya lagi. Apa yang penting bagi mereka adalah jualan semata-mata.
In Shaa Allah, in future seandainya Allah mengizinkan saya buat ride yang berskala besar, pasti saya akan menghasilkan buku lagi. Stail penulisan saya seperti itulah, tiada bahasa berbunga-bunga kerana saya bukan orang sastera. Apa yang saya tulis, keluar dari hati sanubari saya. Saya selesa dengan Penerbitan Multimedia kerana mereka memberi sepenuh kebebasan kepada saya untuk berkarya dan mengekspresikan pengalaman saya mengikut cara saya. Cuma bahagian grafik tu je yang saya kurang arif, maka design & susun atur gambar, semua saya serah bulat-bulat pada designer.
Selain pernah menceburi seni muzik keras, sukan lasak, backpacking, pengembara bermotor dan menjadi pensyarah di IPG Kampus Ipoh, siapakah Anita Yusof?
No body. Saya orang biasa saja.
Siapakah wanita yang benar-benar mempengaruhi anda, sebagai seorang pengembara dan penulis?
Dalam bidang penulisan, saya meminati karya-karya Virginia Andrews.
Tiada ikon pengembara wanita yang saya jadikan idola. Namun, saya meminati dan menghormati kredibiliti pengembara Zahariz Khuzaimah dan Hadi Hussein. Merekalah idola saya.
Bila mengingati catatan Anita ketika menjelajah Stans, ada satu ketika anda jatuh pengsan dan hampir putus asa. Apa yang membuatkan anda tetap meneruskan perjalanan itu? Dan dalam siri-siri kembara yang baru, pernahkah anda sekali lagi bertemu detik sedemikian?
I have no choice pada ketika itu. Jadual perjalanan saya sangat ketat menyebabkan walau pun saya pengsan dan terkena water poisoning, perjalanan tetap terpaksa diteruskan. Hanya pergantungan kepada Allah yang menguatkan semangat saya dan membolehkan saya bangkit bagi meneruskan perjalanan.
Selepas pengalaman di Tajikistan itu, belum lagi saya diuji dengan hebat kecuali saya pernah rasa hampir pitam ketika ride ke Kanchanaburi disebabkan cuaca yang sangat panas, dan baru-baru ini ketika ride di Yunnan, saya demam, batuk, selsema dan hilang suara seawal hari pertama lagi. Hal ini sangat menyukarkan saya yang baru mula hendak mengorientasikan diri dengan keadaan jalan serta kaedah pemanduan di sana. Selain itu, saya pernah hampir putus asa ketika mendaki Everest pada 2014 selepas terkena sindrom Altitude Mountain Sickness, namun alhamdulillah, saya fight sindrom itu dan berjaya juga menjejakkan kaki ke EBC.
Pada pemerhatian Anita, apakah perkara yang sangat menakjubkan ada pada negara mundur dan kawasan-kawasan pedalaman yang sepatutnya ADA di Malaysia tetapi mustahil untuk ditemui? True sincere. Di pergunungan Kyrgyzstan dan Tajikistan, local people ikhlas membantu pengembara tanpa mengharapkan apa-apa balasan, sedangkan mereka miskin. Mereka tidak curiga atau prejudis apabila saya meminta untuk menumpang tidur sedangkan saya adalah orang asing.
Dakwah adalah suatu amanat kepada setiap individu muslim. Menyampaikan satu ayat kebenaran atau bercerita tentang erti tauhid itu dikira berdakwah. Hatta menterjemahkan bismillah pada yang tidak tahu itu dianggap dakwah. Kerana umum sering tersilap tentang berdakwah dengan berpendapat mengislamkan orang, sebaliknya perkara tunjang dalam dakwah adalah menceritakan tentang siapa Tuhan. Penahkah anda terdetik untuk berdakwah disepanjang kembara anda? Of course. I did that all the time (walau pun pengetahuan agama saya hanyalah ‘di tepi-tepi pinggan’ saja). Ketika saya bermusafir, selalu sangat apabila local people or other travellers mengetahui bahawa saya seorang Muslim, mereka akan bertanya macam-macam perkara mengenai Islam. Menjadi tanggungjawab saya untuk menerangkan kepada mereka dan membetulkan sebarang persepsi negatif tentang Islam kepada mereka.
Sepanjang kembara anda, apa pandangan majoriti penduduk negara luar mengenai Islam selain agama penganas yang mereka tahu hanya dari TV? Majoriti mereka menganggap Islam sebagai agama yang kurang relevan dengan arus kemodenan masa kini serta berat sebelah – lebih menyenangkan kaum lelaki dan menyusahkan kaum wanita. Saya pernah berdebat dengan seorang lelaki mat salleh yang menyatakan bahawa “Islam is a religion made by men and for men”
Saya seperti bersetuju dengan pendapat, jika seseorang ingin memulakan kembara motorsikal secara solo. Dia haruslah pertama sekali melepasi sempadan Malaysia-Thailand, singgah di 7 Eleven Siam dan minum kopi secawan sebagai lesen untuk kembara lebih jauh selepas itu. Hahaha! Apa nasihat Anita untuk anak-anak muda yang ingin mengembara dengan motorsikal?
Do your homework. Jangan malas membaca. Jangan mengharapkan semuanya orang nak spoon feed bagi pada kita. Internet dan Incik Google ada, so make use of it. Maklumat semuanya ada di hujung jari, antara rajin atau malas mencari saja. Kalau perlu, dapatkan khidmat guide yang terlatih dalam bidang ini dan ride lah bersamanya untuk mendapatkan ilmu overlanding serta boostkan confidence. Namun harus diingat, nothing is free in this world ya. Kencing pun kena bayar tau :) Kalau dah berjaya nanti, tolong jangan merak. Sentiasalah beringat dari mana kita bermula. Apa yang menyedihkan, apabila mereka2 ni dah berjaya buat solo ride melepasi sempadan, mereka mula rasa diri mereka hebat dan memperlekehkan ride orang lain, termasuklah idola mereka sendiri. Mereka lupa bahawa solo ride yang mereka buat tu bukan jauh mana pun, tak sampai pun 1000km dari sempadan. Mereka dah rasa cukup bagus dan menyamakan konon-konon ride di negara-negara lain tu sama je macam ride di Thailand. Its wrong to think like that. Thailand, may be u can simply terjah, but other places, mintak maaf la. Bagi saya sendiri, navigasi di Thailand adalah yang teramat senang untuk dilakukan kerana sign boardnya sangat jelas dan masih ada orang yang boleh berbahasa Inggeris (kecuali di kawasan yang sangat pedalaman) yang boleh ditemui, berbanding ketika saya ride di Yunnan dan di Central Asia dulu di mana sign board rata-rata dalam tulisan (alphabet) mereka and English is almost non existence. Last but not least, WATCH YOUR WORDS BILA BERMUSAFIR.
Apakah masakan atau juadah paling lazat dan unik Anita temui ketika mengembara?
Sebenarnya bila perut dah lapar, apa pun sedap :) Anyway, the best nasi briyani yang saya pernah rasa adalah di sebuah restoran, lebih kurang 100m dari Taj Mahal. Ketika di Nepal, saya suka makan pani puri dan cucor bawang versi mereka yang sangat crispy. Tomyam yang paling world adalah di Mae Sot dan di restoran berdekatan Bhumibol Bridge, Thailand. Saya juga suka makan burger ikan di Istanbul dan makanan tempatan Bosnia.
Negara mana yang anda serik untuk ke sana lagi? Kenapa?
First of all, adalah tidak adil untuk menyatakan bahawa this country or that country is bad just bcos some of its people or the authorities are giving you a hard time. Ada kalanya kita mungkin tidak bernasib baik. Saya pernah kena saman di Sydney Airport. Saya pernah diekori oleh Mat Itam pada jam 9 malam ketika dalam perjalanan pulang ke hostel saya di Barcelona. Saya pernah terkandas di sempadan Poland – Slovakia kerana transportation terhenti berikutan salji tebal. Saya pernah hampir frozed to death dalam ribut salji di Iran. Saya pernah hilang duit di Laos, dan yang tinggal pada saya ketika itu hanyalah RM75. Saya pernah hampir di acukan pistol oleh penguatkuasa sempadan Iran – Turki yang tidak membenarkan saya masuk (ke Turki) kerana mempertikaikan pasport saya. Saya paling benci dengan attitude memandu rakyat Cambodia dan Nepal. Namun semua itu tidak akan menjadi sebab untuk saya serik melawat negara-negara tersebut. “Plan for the best Prepare for the worst If shit happens Just smile and find a way to fix it” :)
Adakah anda mengalakkan anak-anak mengikut jejak anda? Adakah seluruh keluarga dapat menerima minat Anita yang cenderung mengembara seorang diri? Dan adakah ia turut merubah hidup mereka setelah Anita menjadi salah seorang wanita berstatus ikonik di Malaysia?
Alhamdulillah, keluarga saya dapat menerima minat saya. Sedikit-sedikit tempias tu terkena lah juga pada mereka...HAHAHA...Anak bungsu saya menunjukkan minat untuk mengikut jejak saya. Nantilah, pelan-pelan saya akan turunkan ilmu padanya :)
Setakat ini sahaja perbualan kita. Saya doakan kejayaan dan kesihatan yang baik buat Anita untuk meneruskan pengembaraan menimba ilmu dan pengalaman baru untuk dikongsikan. Sehingga kita bertemu…Aminnnn...Terima kasih.
BLOG RASMI ANITA YUSOF
No comments:
Post a Comment