Monday, April 20, 2015

HEGYRA “Reenactment” (Terbitan Sendiri) – MALAYSIA



Apabila pemuda-pemuda yang mengelarkan diri mereka AT THE GATES dari Sweden merintis satu jenis subgenre; death metal bermelodi dan menerbitkan sebuah album berjudul “Slaughter of the Soul” pada 1995 seterusnya membubarkan kumpulan berkenaan. Ia sebenarnya memberi impak yang cukup luar biasa. Apa tidaknya? Ribuan kumpulan melodic death metal ditubuhkan seluruh dunia oleh kerananya, malah seluruh alam tahu apa yang dimaksudkan terma ‘Gothenburg death metal’!

Mungkin disebabkan kemasyhuran itu AT THE GATES ditubuhkan semula pada tahun 2010 dan merakamkan album baru tahun lalu. Ok, cukup cerita itu yang sebagai pengetahuan umum bagi yang masih kabur tentang subgenre ini.

HEGYRA adalah kumpulan melodic death metal yang ditubuhkan di Perlis pada tahun 2000 dan berjaya merakamkan demo pertama secara professional di Kuala Lumpur selain DEVASTATOR dan SIL KHANNAZ. Seronok saya mendengar Korie (bekas pemain bass dan vox) bercerita pengalaman menarik mereka ketika menjalani rakaman demo “Indelible Imprint” (2003) di One Zero One Studio itu. Dari segi kos dan kualiti rakaman demo tersebut boleh dikatakan bermutu tinggi walaupun banyak bahagian yang boleh diperbaiki lagi. Dari karya sulung ini lagi HEGYRA tidak pernah menafikan rujukan utama mereka adalah kumpulan death metal dari Gothenburg walaupun ada bahagian kejam yang ironinya boleh dikaitkan dengan pengaruh gitaris ulung dari daerah mereka, CD Khanzab (lagenda Kampung Petai).

Bulan lepas Wan V dari majalah Karisma ada bertandang ke Faithcraft Productions dan bertanyakan tentang mereka. Saya memaklumkan saya tidak pernah bertemu mereka kecuali Korie, itu pun sekali dalam sepuluh tahun! Dan saya tidak tahu mengenai HEGYRA kecuali gitaris mereka, Yon yang tinggal dikira-kira 500 meter sahaja dari rumah saya, lucunya dia junior tempat saya mengaji al-Quran suatu ketika dahulu dan kami tidak pernah bertemu sejak puluhan tahun sejak itu. Suatu malam Yon yang kini mengunakan ‘nama pentas’ Carlos menghubungi saya untuk diberikan CD ini. Tanya beliau ‘kenal tak? Orang kampung ni’. Hahaha.


Baiklah, sebenarnya saya tidak terkejut dengan hasil kerja mereka kali ini kerana saya telah menonton video promo mereka berjudul “Until the End” di Youtube yang memperlihatkan potensi mereka sebagai sebuah kumpulan yang berpengalaman. Ketika memainkan lagu pertama “Betrayer” saya kagum dengan kebolehan mereka mengarang lagu-lagu yang matang dan mempunyai struktur bervariasi. Cubaan mencari identiti boleh didengar pada vokal Dane yang lebih menjurus kepada jeritan black metal ‘hutan’ dan disulam dengan nyanyian bersih pada bahagian korus. Walaupun saya kurang minat dengan stail nyanyian ‘wildcat’ tersebut, saya puji susunan lagu dan kejituan lagu ini, begitu juga permainan dram dari Yasser yang telah banyak kemajuan dan dinamik.

Munjur pada lagu kedua “The Pain”, “Dying to Die”, “Dying..” dan “Dreaming of Hollow”, vokal yang dilontarkan lebih baik dan ada penekanan pada lirik yang dituliskan. Hampir keseluruhan lagu dalam “Reenactment” ditulis oleh Carlos dan lirik pula dihasilkan bersama. Kebolehan mereka dalam menulis lagu-lagu dari subgenre ini tidak boleh disangkal lagi. Mereka membuang sepenuhnya elemen brutal/grinding yang boleh dikesan walaupun sekadar tempias didalam demo pertama dahulu dan kini mereka berada dilandasan Gothenburg death metal tepu. Terpaksa saya kata, ia adalah ‘kertas karbon’ yang tiada suatu pun riffs atau tempo atau garapan yang belum dilakukan oleh idola mereka seperti IN FLAMES, SOILWORK atau AT THE GATES. Namun mereka telah melakukannya dengan cemerlang sekali. Ia bukan sesuatu yang mudah jika anda pemuzik yang selekeh!

Pada saya kualiti rakaman dan kerja-kerja adunan oleh Ardy di NuBreax Studio adalah sangat teliti dan antara yang terbaik saya pernah dengar selain dari NONSERVIAM (dari Pulau Pinang) untuk tahun ini. Mungkin ia suatu petanda baik bagi merencanakan kebangkitan semula melodic death metal tempatan yang dimulakan oleh perintis seperti CASTIGATE, HELOISA dan HERRIOT. Ia juga suatu harapan juga agar penguasa tempatan tidak lagi melabelkan pemuzik-pemuzik metal ini tidak bermoral kerana subgenre melodic death metal terutamanya di Malaysia langsung tidak menyentuh bab ‘Satanism’ sebaliknya mereka lebih kepada ‘soal hati’ dan socialism. Berikan mereka ruang untuk berkarya secara sihat!

“Reenactment” mungkin membawa maksud pengubalan semula ahli, imej dan kekuatan HEGYRA. Bagi peminat death metal bermelodi yang mempunyai visi dan corak permainan yang moden. Sila beri sokongan kepada HEGYRA.

Facebook HEGYRA

No comments:

Post a Comment