Saya tidak membuat perancangan rapi untuk ke gig ini memandangkan saya tamat tugas pada jam 3.00 petang, tiada peneman dan kesempitan modal. Apa yang menjadi motivasi saya adalah janji Kai Kittisak, penganjur dan pemilik butik, NWT Shop untuk membayar semua stuffs yang saya telah letakkan di kedainya dan juga rasa ingin meninjau lokasi Rockspace Bar, milik Eakkarad Pattano. Dia pemain bass kumpulan hardcore dari Songkhla, NO IDEA.
Setelah dua buah pub yang sering berlangsungnya gig-gig UG di Hatyai jatuh muflis, Eakkarad bertindak mencari sebuah premis kecil kira-kira seluas garaj kereta dan mengubahnya menjadi sebuah pub atau café. Boleh dikatakan Rockspace menganjurkan gig setiap bulan, manakala pada hari-hari lain mereka menjual makanan barat, lokcheng (sosej bakar) disajikan bersama beer. Rockspace mempunyai 2 Laney amp stacks 300 watt, sebuah Hartke amp cabinet 400 watt bersama sebuah dram set Tama. Yang bagi saya sudah cukup bertenaga bagi mengisi ruang makan Rockspace yang hanya mampu menampung sebanyak 50 orang penonton dalam satu-satu masa.
Saya bertolak pada jam 5.30 petang dari Kangar dengan menaiki kereta, turut saya bawa beberapa stuff dari Faithcraft untuk top-up merchandise yang boleh dijual Kai nanti. Malang tidak berbau, saya hanya berpandukan peta pada Google map yang ada dilaman facebook Rockspace Pub dan ia membawa saya 7KM tersasar dari bandar Hatyai menuju ke Pantai Phatalung. Nasib saya sedar awal dan terus menghubungi Kai, katanya Rockspace hanya berdekatan kawasan Greenway Market. Jadi dia meminta saya ke sana dan beliau akan menjemput saya disitu. Saya pun segera berpatah semula ke Hatyai dan kerugian lagi 7KM di situ. Risau juga saya kalau menganggu Kai kerana katanya gig tersebut berlangsung jam 6.30 petang. Manakala jam ditangan telah pun hampir 7.00 malam (waktu Malaysia).
Jalan bandar Hatyai semakin sesak kerana waktu kerja telah tamat, begitu juga kebanjiran pelancong Malaysia pada hari Sabtu untuk membeli-belah di Central Festival dan Greenway Market. Saya beberapa kali tersangkut dalam kesesakan lalulintas, manakala Kai beberapa kali bertanya adakah saya telah tiba di situ? Saya tiba di Greenway pada jam 8.00 malam, dan Kai datang menjemput dan membawa saya ke Rockspace yang jaraknya hanya 3-4KM dari Greenway Market.
Ketika tiba saya disambut oleh Weeravuth atau dikenali sebagai Egg, (pemain gitar) dan Tayapol Tiemmuangpan (vokalis) kumpulan IN VEIN. Kami banyak berbual mengenai projek mereka yang akan datang dan mereka sedang mencari mana-mana label di Malaysia yang berminat untuk menerbitkan album-album mereka dalam format kaset. Jika ada label yang berminat boleh hubungi Egg. IN VEIN juga menyatakan hasrat untuk bermain di Malaysia pada tahun hadapan dan jika diberi peluang mereka ingin sekali untuk beraksi di Hammersonic Festival, Jakarta.
Seterusnya beliau memperkenalkan saya kepada pemain dram mereka yang baru, Vela Srichatreeya yang turut bermain dalam BRAIN SCRUBBER. Kata Egg, you should see how fast he can grind.. really really fast!! Manakala pemain dram mereka sebelum ini, rakan baik saya Mr. August Dila bersara dari IN VEIN pada awal tahun ini dan kini berkhidmat untuk lagenda death metal unggul dari Bangkok, HERETIC ANGEL.
Semua kerusi meja dan bar terpaksa dialihkan keluar untuk memberi ruang secukupnya kepada penonton. Jam telah pun menunjukan pukul 8.30 malam namun tiada sebarang petanda gig akan bermula. Jumlah penonton pula hanya sekitar 20 orang yang kebanyakannya hanya bersepah dikaki-kaki lima mabuk alcohol. Tetapi ini Thailand, ia perkara biasa, dalam mabuk-mabuk itu pun, semua rakan-rakan Kai begitu menghormati saya, cuma mereka kurang fasih berbahasa Inggeris membuatkan mereka hanya senyum dan cemas jika saya bertanya sesuatu kerana perlu cari Kai untuk terjermah bahasa. Sesuatu yang melucukan.
Pada jam 9.00 malam tiket mula dijual oleh isteri Kai dengan harga RM27 ( boleh tahan ya?), Kai memaklumkan kepada saya dia membayar RM15 kepada IN VEIN bagi setiap tiket terjual. Begitulah persetujuannya. Jumlah penonton yang hadir ketika itu sekitar 30-40 orang manakala CHILDREN OF SOUTH sedang melakukan soundcheck, atau mungkin juga mereka sedang beraksi? Saya tidak pasti kerana tiada siapa pun masuk melihat, mungkin hadirin dah bosan dengan kumpulan tempatan yang sentiasa beraksi di situ? CHILDREN OF SOUTH adalah gabungan ahli NO IDEA dan GIVE ME FIGHT, muzik mereka kedengaran sedikit Groove dan ke arah Thrash Metal mungkin juga tempias CHILDREN OF TECHNOLOGY? Saya tidak pasti, saya bertanya pada Egg, dia sendiri pun tidak pasti? Namun dari apa yang saya dengar, kualiti bunyinya bagus dan seimbang pada keluasan tempatnya. Senang cakap kalau di Malaysia, lebih kurang setanding Pennyland Studio.
Pada jam 9.30 THE ROT memulakan acara, Egg memperkenalkan kepada saya bahawa THE ROT ini sebuah kumpulan moden death metal yang dipengaruhi oleh gergasi seperti BLACK DAHLIA MURDER, SUICIDE SILENCE dan sepertinya. Jujur saya cakap mulanya saya benar-benar ingatkan seorang pondan gemuk yang bermain dram bersama mereka, akhirnya mereka semua berpakaian seperti mak nyah (seluar aerobic merah, kemeja Bermuda, rambut palsu berwarna) dan beraksi. Mungkin anda telah akrif, pondan dan LGBT begitu akrab dalam masyarakat Thai. Boleh dikatakan kewujudan mereka diakui dalam sistem sosial di sana. Namun untuk melihat kumpulan berimej bapuk mengalunkan irama death metal walaupun berat dan kejam. Ia sesuatu yang amat menyeksakan batin. Ia suatu bida’ah mungkar yang sangat-sangat dibenci oleh Euronymous. Saya lepak diluar dan berbual-bual dengan anggota E-8, kumpulan punk rock paling aktif di Hatyai.
Ketika gig ini berlangsung, Rockspace hanya mengantung banting bagi menutup pandangan penonton yang tidak membeli tiket. Oleh itu jika anda duduk santai diluar sambil mabuk beer Singha dan makan sosej bakar cicah sos masin, anda masih boleh melayan muzik keras dengan jelas dan kuat.
Jam menunjukkan hampir pukul 10.00 malam, bermakna saya tiada peluang lagi untuk pulang ikut sempadan Padang Besar. Masalah di sini adalah ketiadaan tandas, bukannya Rockspace tiada tandas. Tetapi ia terletak dibelakang set alatan muzik dan anda tentu faham betapa sulitnya untuk merentas penonton-penonton yang sedang menggila itu. Kai menyuruh saya melepaskan hajat kecil ditepi jalan bersebelahan sebuah lori pick up sambil ketawa. Mungkin bagi mereka ia perkara mudah, tetapi saya?
Mahu tidak mahu, saya terpaksa menaiki kereta ke stesen minyak berhampiran dan kembali semula. Lega rasanya apabila IN VEIN telah mengambil alih persembahan dengan begitu kejam sekali. Rupanya Chaturon Sae-Chua yang mengantikan tempat pengasas IN VEIN, mendiang Pond Huntrakul adalah gitaris kepada THE ROT juga. Bagi saya ia suatu pilihan yang kurang tepat dari segi identiti jika mahu dibandingkan dengan Pond yang lebih kharismatik. Kebanyakan penonton ketika itu telah naik ‘hantu’ dan menikmati kebuasan muzik IN VEIN sepenuhnya terutama blastbeat tanpa henti dari pemain dram mereka. Rasanya, persembahan mereka begitu dinantikan oleh kerana 2 anggota baru itu perlu membuktikan kebolehan mereka.
Dari segi persembahan mereka telah membuktikannya, kini hanya tinggal kebolehan mengarang lagu yang bertenaga dan hasil kerja studio pula yang dinantikan peminat mereka. Jam menunjukan pukul 11.30 malam waktu Malaysia, bermakna saya gagal untuk melintasi sempadan pada 12.00 malam.
Mahu tidak mahu saya bermalam di Crystal Hotel, yang terletak betul-betul bertentangan Central Festival dan berdekatan Greenway Market. Ia sebuah hotel yang mempunyai permandangan cantik dari tingkap bilik serta begitu selesa sekali dengan harga RM90 sahaja. Saya hentam sahaja, tak sangka pula ia berbaloi. Saya bangun keesokan harinya jam 5.30 pagi dan memecut ke sempadan kerana perlu masuk berkerja walaupun Ahad. Hanya 1 jam 30 minit saya dah tiba di Kangar. Rekod baru tercipta!
No comments:
Post a Comment