Belum ada lagi kayuhan rasmi yang direncanakan bagi tahun ini. Setelah genap 8 bulan menjadi penduduk Kuala Perlis, ada baiknya saya promosikan route yang boleh ada jelajah sekiranya anda berpeluang melancong ke Pulau Langkawi dan membuat transit di Kuala Perlis, silalah bawa basikal anda sekali. Saya cadangkan mountain bike. OK, Saya andaikan anda menginap di hotel atau homestay disekitar pekan Kuala Perlis, ayuh kita pilihan laluan:
KANGAR
Saya sering memilih menyusuri Sungai Perlis, Bukit Kubu, dan Kota Kayang pada awal pagi. Cuacanya yang dingin, jalan yang tidak sesak serta pemandangan yang menghijau sangat sesuai untuk berbasikal. Anda akan bertembung dengan ramai orang yang menahan tangkul ketam dan mengail ikan sekitar kilang ais dan juga pengail ikan puyu di sawah sekitar Tok Kuning pada musim menuai padi. Jarak dari Kuala Perlis ke Kangar mengikut jalan ini sekitar 10 km, sampai di Behor Temak, anda boleh ke Denai Larian Pengkalan Assam untuk aktiviti kecergasan yang lain. Di Pengkalan Assam JPN menyediakan kemudahan alat bantu senam, trek jogging, jambatan gantung, kawasan untuk tai chi dan aerobic. Saya memilih untuk singgah dan bersarapan pagi di Restoran Abdul Alim, bersebelahan Bank Islam dan kembali mengikuti jalan yang sama. Dalam perjalanan pulang anda bolehlah singgah di Muzium Kota Kayang yang dibina di tapak kota purba yang pernah menjadi pusat pemerintahan Negeri Perlis atau dahulunya Kedah. Sultan Kedah yang ke-15 al-Marhum Kayang turut dimakamkan disini. Selain mempamerkan peralatan istana dan barang-barang kepunyaan Tuanku Raja Perlis. Muzium ini turut mendokumentasi berbagai-bagai maklumat dan risalah mengenai pemerintahan Raja Perlis. Tiada cas dikenakan dan anda bebas untuk mengambil foto.
PERSISIRAN PANTAI SEBERANG RAMAI
Jika dari pekan Kuala Perlis anda perlu mengambil Jalan Sarawak membelok ke Kampung Wai dan menaiki jambatan merentas Sungai Perlis. Dari atas jambatan anda boleh lihat bot-bot nelayan yang berlabuh dijeti-jeti milik peribadi atau belakang rumah nelayan. Anda akan melalui kolej kediaman Unimap dan ikut jalan di tengah sawah padi atau membelok ikut Kampung Seberang Ramal. Saya sukakan pantai ini kerana ia masih asing dari dunia luar, belum dicemari sampah sarap, belum berturap (kerana projek tambatan banjir – sebuah terusan besar dari Empangan Timah Tasoh masih giat dibina, mungkin akan dijadikan marina apabila siap nanti), lokasi ini memang mendamaikan, bersebelahan sawah padi yang subur, ada kandang lembu, pokok rhu, tiupan angin yang syahdu, dan sangat-sangat hampir dengan tembok sempadan Satun. Jangan terkejut jika anda terserempak dengan UPP di situ. Ramai juga pengantin yang turun bergambar di sini menjelang matahari terbenam. Romantis sekali. Aktiviti menangkul ketam, memancing ikan turut meriah jika kena pada kalendar bulan Melayu nya.
KURONG TENGAR
Ini route santai dan kegemaran saya, dari pekan saya masuk ke Kayang, anda akan jumpa tangki air gergasi dan kedai daging bakar yang popular tu, Nostalgia Honey. Bolehlah singgah cuba kalau orang tidak ramai. Saya suka kayuh menyusuri sungai Kampung Kurong Tegar hingga ke pantai. Damai dan menyegarkan. Boleh saya katakan kampung ini antara yang paling bersih dan cantik di Perlis. Orang pun baik-baik belaka. Jika penat boleh berehat sambil menonton orang bermain wau-wau gergasi ditepi pantai atau membeli siput mentarang, kupang, belangkas dan belacan disitu. Kadang-kadang saya masuk ke Kampung Tok Kaya atau terus ke Kampung Gelam dan pulang ke ikut lebuhraya Kangar-Kuala Perlis.
LADANG NIRA KIPLI
Tempat ini menjadi viral setelah dipromosi fb Siakap Keli. Saya pertama kali ke sini minggu lepas dengan menaiki fixie mengunakan laluan persisiran pantai Kuala Perlis, Kurong Tengar, Sungai Berembang, Kuala Sanglang. Jarak ke Kuala Sanglang sekitar 17 km dan merentas pemandangan yang cantik namun jika pada hari minggu agak sibuk dengan kenderaan. Ramai yang datang dari Kedah hingga Penang untuk riadah ditepi pantai sambil makan malam seafoods, lokcheng, laksa atau bihun sup. Ladang Kipli ini beroperasi setiap hari kecuali Isnin dan tutup pada jam 7.30 malam. Uniknya, perniagaan makanan diusahakan dalam kawasan paya pokok nipah. Anda akan menempah makanan di kaunter dan nyatakan nombor gazebo yang terletak dalam ladang nipah itu. Suasana dingin, romantis dan mesra pelanggan. Perkhidmatan dan kualiti makanan cepat dan juga bagus. Harga berpatutan. Nira pun sedap ( saya tidak suka nira sebelum ini). Jika anda bertolak petang, pastikan bawa mask kerana terlalu banyak serangga berterbangan dipersisiran pantai pada waktu senja. Dan pastikan anda guna MTB kerana jalan-jalan tepi pantai banyak dirosakkan oleh jentolak dan jengkaut yang sedang menambak pantai Kuala Sanglang.
LALUAN JOGGING HUTAN LIPUR BUKIT KUBU
Antara laluan kegemaran saya kerana suasana yang ceria dan segar ketika menyusuri sebuah anak sungai tepi bukit hingga tembus di lebuhraya Kangar-Kuala Perlis, yang juga berhadapan Nostalgia Honey. Selalunya saya akan terus ke persisiran pantai dan melalui hadapan Brasmana Hotel, Komalaut (kompleks makanan laut) untuk meninjau suasana, seterusnya saya akan ke Kampung Nelayan (belakang Pasaraya Seri Utama) dan menyeberangi muara sungai Perlis mengunakan Jambatan Tuanku Syed Putra. Dari atas jambatan ini anda boleh menikmati pemandangan yang mengasyikkan ketika matahari muncul atau tenggelam. Meninjau lalulintas bot-bot nelayan, feri ke Langkawi dan masjid terapung. Jika anda menginap di homestay yang dibenarkan memasak. Usah risau, pukul 3 pagi pun ada boleh dapatkan udang, sotong, ketam (Gred A)yang segar lagi murah terus dari pelantar LKIM di sini. Anda hanya perlu bawa beg plastik sendiri dari rumah agar tidak ditengking tekong bot. haha! Ini area tokan maa!
Ok, anda akan turun di kampung Seberang Ramal dan ada baiknya anda bertanya hala jalan keluar pada orang kampung. Kemungkinan ada boleh sesat di celah-celah rumah nelayan nanti. Jangan risau sejak wujud Unimap, orang laut sudah mula berfikiran agak terbuka dan menerima kedatangan orang luar. Ketika pulang, jangan lupa singgah Rahsia Shop yang merupakan butik dan café paling hipster di pekan Kuala Perlis.
Rindunya Perlis.
ReplyDeleteAssalam...nk bertanya..klu nk berkayuh area perlis tu...hari berkerja sesuai jam berapa?
ReplyDeletesalam. Kayuhan kalau time bekerja kalau area pekan, (Kangar, Arau, Kola Perlis, Simpang Empat) eloklah sebelum waktu masuk pejabat, namun taklah terlalu sibuk di sini. OK aja time berapa pun.
ReplyDelete