Ini adalah kali pertama aku bergerak secara solo ke Jakarta. Bosan juga rasanya mengembara seorang diri ke Hammersonic Festival kerana banyak perkara yang hendak dibincangkan mengenai barisan kumpulan-kumpulan muzik berat yang dijemput pada tahun ini. Bagaimanapun, keputusan dan pilihan lebih cepat berlaku, begitu juga ongkos nya yang ditanggung sendirian.
Penerbangan sehari lebih awal ke Jakarta berlepas tanpa sebarang kesulitan, terjumpa juga beberapa orang kenalan dari Malaysia di bandara Soekarno Hatta. Yang paling aku kenal, Ucu Manang dari Sarawak dan kawan-kawannya.
Dari bandara aku terus bergerak ke Airy Rooms Hotel di Ancol, yang terletak kira-kira 3KM sahaja ke Ecopark yang akan berlangsungnya Hammersonic. Aku memilih teksi Blue Bird dengan harga tetap kira-kira RM44 mengikut zon. Entah bagaimana aku tersilap langkah membeli simkad (kartu) Simpati di bandara, akibat tergesa-gesa dan rimas tanpa pautan internet aku kerugian RM45, jika beli dikedai runcit sekitar hotel mungkin sekitar RM10-12 sahaja.
Airy Rooms Hotel ini rupanya adalah cawangan Cordex Hotel yang terletak di Lodan Center. Aku dah tempah awal melalui Traveloka. Khidmat pelanggan, keadaan bilik, tahap kebersihan boleh dikatakan antara yang terbaik, padan dengan harganya. Ada kemudahan wifi percuma, snack percuma, peti besi, shower panas, dan water dispenser. Cordex Hotel ini terletak sebelah Universiti Bunda Mulia, jadi banyak cewek yang lalu lalang di situ hendak pergi dan balik ke kelas.
Penjaga kaunter mencadangkan kepada aku untuk memuat turun aplikasi Grab dan Uber bagi kemudahan perjalanan dan harga yang murah. Walaupun aku memang janggal dengan aplikasi sebegini, di KL pun aku tidak pernah guna. Aku pun cuba. Maka sebelah petangnya aku terus ke Mangga Dua Mall yang terletak kira-kira 4KM dengan menaiki Grabcar. Itu pengalaman pertama aku.
Sungguh pratikal dan jimat sekali!! Hanya RM7. Ketika dalam perjalanan aku dapati sebuah masjid tua berdekatan hotel aku, manakala permandangan dihadapan hotel amat tragis. Ia kawasan setinggan dan kilang-kilang kayu yang dibina dibawah fly-over lebuhraya. Rasanya itu satu-satunya fly over di Ancol. Macet (kesesakan jalanraya) ditahap kronik. Aku menyimpan niat untuk ke masjid itu malam nanti, memandangkan papan tanda di situ tertulis “Situs Sejarah Tertua di Jakarta”. Mungkin ada kuliah-kuliah yang bagus. Kami juga melalui Kota Tua, jadi aku turut menyimpan hasrat untuk ke situ selepas menonton Hammersonic.
Aku hanya menghabiskan masa melihat-lihat dan meninjau masyarakat, barang, budaya tanpa membeli apa-apa. Lagipun ia syurga membeli belah bagi kaum hawa. Apalah yang menarik bagi kita? Aku memilih untuk melilit serban dan berselipar untuk mengelak dari menjadi tarikan penyeluk saku dan dipaksa membeli barang-barang yang mengarut. Gaya zuhud la konon. Sempat juga aku singgah di Audiophile’s, sebuah toko piring hitam. Harga LP disitu sama sahaja seperti di Malaysia.
Aku pulang dengan menaiki Grabbike dengan tambang hanya RM3. Waktu Isyak di Jakarta sekitar pukul 6.30 petang jadi aku terus bergegas ke Masjid Jami al-Mukarromah atau di panggil Makam Keramat. Masjid ini adalah di antara masjid tertua di Jakarta, dibina pada tahun 1789 oleh Sayid Abdul Rachman Alwi As Syatiri yang meninggal pada tahun 1809. Pembinaannya diteruskan oleh anaknya Sayid Alwi Abdul Rachman dan siap pada 1917. Anehnya kenapa masjid ini sengaja dibina atas dua makam tua milik Sayid Mohammad Umar al-Qudsi (1118H/1705M) dan Sayid Ali Abdurrahman ba’ Alwi (1122H/1710M). Keduanya diberi gelaran ‘habib’ makam mereka dihias, ditinggikan, dikelambukan dan terdapat papan tanda ‘tatacara’ untuk bertawassul dan yassinan? Sedangkan Rasulullah SAW telah larang untuk menjadikan kubur sebagai tempat ibadah.
Jika merujuk hadis Muslim dan Bukhari, telah jelas menunjukkan Rasulullah SAW sangat keras melarang beribadah kepada Allah disisi kubur orang soleh. Inikan pula beribadah kepada kuburan orang-orang soleh tersebut.
Anehnya, jenazah pembina masjid ini Sayid Abdul Rachman Alwi As Syatiri (meninggal pada 1809) dan anaknya Habib Ali Alwi Abdurrahman (meninggal pada 2010) turut dimakamkan dalam masjid ini?
Ketika aku meninjau-ninjau kawasan masjid ini, beberapa jemaah kelihatan sedang khusyuk mengadap kuburan dan membaca Yassin, beberapa orang remaja seperti dari pesantren sedang berdoa mengadap makam sambil divideokan oleh rakan-rakan. Mungkin sebagai kenang-kenangan mereka bertawasul di kuburan wali Allah? Menurut rencana yang aku google di tribunnews.com, orang ramai akan membanjiri masjid ini pada bulan Rejab, Sya’aban dan Maulid Nabi untuk ibadah-ibadah tertentu. Bagi ahlus sunnah itu semua bida’ah yang nyata.
Masjid ini masih mengekalkan 9 tiang asalnya, selain dilengkapi kedai runcit, yayasan anak yatim, gendang tua, dinding-dindingnya disiarkan salasilah habib (tidak dibenarkan untuk dirakam dan disebarkan), kisah habib dari Yemen dan kebersangkutan mereka sebagai waris Puteri Saba. Aku meninggalkan masjid ini dengan dengan hati lara dan berharap gerakan tajdid akan menyinari Kampung Bandan suatu hari nanti. Bagaimanapun ia suatu wisata ruhani bagi aku. Moga aku tidak terbabas dalam hal syirik dan sesat.
Malam itu aku hanya melantak Mee Sedap Baso, kopi botol dan wheat protein yang dibeli dari Indomaret bersebelahan hotel. Kamar yang selesa dan nyaman, esok paginya pukul 4.30 dah waktu Subuh di Jakarta. Maka tidur semula jawabnya selepas solat. Pagi masih muda. Badril whattsapp memaklumkan yang dia sedang rancak membeli belah bersama isterinya dan akan tiba lewat di Hammersonic. Sebaik selesai solat jamak Zuhur-Asar pada jam 12.00 tengahari, aku pun bergerak ke Hammersonic dengan menaiki Grabbike sekitar RM10 termasuk tiket masuk ke Ecopark.
Aku tidak datang ke Hammersonic tahun lalu kerana seleksi band yang kurang mantap. Difahamkan mereka sudah menyediakan satu lagi platform kecil untuk kumpulan-kumpulan tempatan dan sebagai bonus kepada peminat dan band yang ingin memperkenalkan muzik mereka di Jakarta. Rasanya Dissectomy diberi peluang untuk beraksi di situ. Namun kali ini mereka turut menyewa convention center untuk menempatkan stage ketiga bernama Krisna Sadrach sempena seorang perintis Hammersonic yang telah meninggal dunia pada 2 Ogos 2016. Allahyarham Krisna adalah vokalis kumpulan SUCKER HEAD. Mereka akan beraksi untuk kali terakhir petang itu. Selain itu Stage Hammer dan Stage Sonic masih kekal ditempat lama.
Difahamkan jumlah penonton kali ini mencecah 40'000 orang, sehinggakan sesak dengan metalheads dimana sahaja. Pintu masuk pun telah dirombak dengan perlu melalui convention center terlebih dahulu, kemudian bazaar metal, bazaar makanan, booth Magnum dan Diablo barulah bertemu pentas. Ketika aku sampai KRISIUN sedang membuat persiapan. Dan sebaik mereka mempersembahkan taufan besi acuan Brazil itu kami semua bagai terpaku. Rupanya persembahan langsung mereka jauh lebih ganas dari rakaman audio. Ia bagai menyaksikan diantara kehebatan SEPULTURA lama, MORBID ANGEL lama dan ANGELCORPSE. Suatu atmosfera yang luar biasa. Ternyata KRISIUN sendiri kagum dengan kehadiran penonton dan juga sistem bunyi yang diperolehi mereka.
KRISIUN menerima nasib malang 3 hari selepas Hammersonic apabila berkunjung ke Bangladesh untuk beraksi di festival metal apabila mereka ditahan di lapangan terbang dan dilarang untuk bermain dalam konsert itu kerana muzik ‘menghina agama’. Kes mereka mendapat liputan luas dalam media sosial serata dunia.
Seterusnya BURGERKILL mengambil alih, jelas perbezaan bunyi yang berlaku. BURGERKILL kedengaran tidak sekencang Hammersonic 2013, entah dimana kurangnya? Disebabkan aku pernah melihat mereka dahulu, aku ambil peluang untuk minum bersama Zizie Row dan rakan-rakan dari Malaysia di bazaar makanan. Aku cuba nasi bakar atas rekomentasi dari Aziz, dia boleh dikatakan rakan selebriti kerana berjaya bertemu serta berfoto dengan hampir semua artis-artis di pentas hari ini.
Nasi bakar |
Kami hanya mendengar NORTHLANE dan I SEE STARS sambil minum dan borak-borak. I SEE STARS agak unik muziknya namun penyanyinya mungkin keliru jantina? Seorang lelaki yang cantik dan bersuara merisik laksana bidadari.
Badril tiba sebaik I SEE STARS hampir dipenghujung persembahan. Kami terus mara kehadapan untuk menyaksikan ENTOMBED AD. Lagenda ENTOMBED dari Sweden berkubur pada tahun 2014 setelah mengungguli death metal sejak 1987. Namun beberapa ahli ENTOMBED tidak mahu berundur tewas, maka LG Petrov, Victor (pernah menjadi ahli SATYRICON), Olle, Nico bersama Johan Jansson (CENTINEX) menubuhkan ENTOMBED A.D.
Persembahan mereka sangat hebat, aku lihat penuh dibelakang pentas kumpulan-kumpulan lain turut menyaksikan aksi mereka. LG Petrov walaupun kepenatan, (sampai bertali-tali air liur) memberikan persembahan yang cukup berkaliber dan penuh jenaka. Mengingatkan aku kepada NUNSLAUGHTER pada beberapa ketika dan saat. Walaupun Nampak hampir pancit, mereka tidak pancit. Malah mengila hingga ke akhirnya. Mereka terhibur sebagaimana kami juga terhibur dibawah. LG Petrov melempar air, arak, berkongsi rokok dengan peminat. Olle membaling beberapa drumsticks, begitu juga Victor yang membaling sejumlah bass pick miliknya.
Hammersonic Festival berhenti untuk memberi ruang rehat kepada para penonton selama sejam dari jam 5-6 petang. Berdasarkan pengalaman lalu, memang tak ingin kami nak ke musola (kotor, jadi tempat minum arak, kencing dan tidur) namun tidak pula kami lihat ada musola disediakan kali ini. Bagaimanapun Hammersonic menyediakan kawasan yang luas kali ini, malah didalam convention hall yang berhawa dingin juga boleh digunakan untuk bersolat kerana gig pentas Krisna Sadrach tamat pada jam 6.00 petang dengan pesembahan penutup oleh SERINGAI.
Kami memilih untuk solat dipinggir sungai berdekatan sebuah jambatan. Antara sunnah bermusafir kita boleh berwuduk dengan menyapu di atas khuf (juga termasuk stokin biasa dan kasut) dalam keadaan kita telah berwuduk ketika menyarungkannya. Kemudian wuduk tadi terbatal dalam permusafiran.
Ia boleh dilakukan dalam tempoh 3 hari selama tidak dibuka stokin atau kasut itu.
Saidina Ali berkata; “Jika sekiranya agama itu boleh diputuskan dengan akal, nescaya menyapu di bawah khuf lebih logik dari menyapu di atasnya. Namun aku telah melihat Nabi s.a.w. menyapu bahagian atas dua khufnya”. (Sahih Abu Daud no. 162, Daruquthniy no. 73).
Badril meminati kumpulan metalcore tradisional EARTH CRISIS yang aktif sejak 1989. Boleh dikatakan mereka antara pelopor genre tersebut tanpa sebarang elemen ‘gedik’ seperti yang kita lihat hari ini. EARTH CRISIS mempamerkan persembahan yang mantap, bertenaga dan dinamik sekali. Aku hanya banyak melihat melalui skrin besar ditepi pentas di atas kerusi memancing yang aku bawa. Badril pula membawa tikar anti-haba untuk berbaring santai.
WHITECHAPEL bermain di Stage Sonic dengan sistem bunyi yang teruk sekali. Kami hanya lihat sambil rehat kerana tidak tahu menahu pasal kumpulan ini. Seterusnya THE BLACK DAHLIA MURDER pula bermain, kelihatan pemain dram dan vokalis SIKSAKUBUR meluru hadapan pentas. Boleh jadi mereka sangat meminati BLACK DAHLIA. Persembahan teknikal moden death metal mereka begitu padu, walaupun sistem bunyi agak bermasalah. Keupayaan mereka bermain dengan main menyelamatkan keadaan. Kami bergegas ke Sonic Stage untuk melihat ABBATH sebelum THE BLACK DAHLIA MURDER mengakhiri persembahan kerana sudah tentu haru biru jika mahu meredah lautan manusia ke Sonic Stage serentak nanti.
ABBATH melompat ke pentas dengan penuh gaya. Mereka mengalami masalah sistem bunyi untuk 3-4 lagu pertama hingga menyebabkan ABBATH sedikit marah. Tetapi dia tetap berjenaka seperti biasa, berlari-lari seperti ketam kesana ke mari, rasanya sejak kali pertama Hammersonic Festival, Abbath seorang yang berlari hingga ke stage sebelah untuk melayan peminatnya. (Tarja tengah soundcheck ketika itu). Abbath memang gila, bagaimana dia boleh terlepas dari kecaman kerana kita tahu pemuzik-pemuzik Norway amat tegas dan benci pelawak dalam black metal. Tetapi tidak buat Abbath? Mungkin kerana dia seorang lagenda dari era Euronymous dan juga antara perintis Norwegian black metal. Selain memainkan lagu dari album sulungnya, ABBATH turut memainkan beberapa lagu IMMORTAL yang ditulisnya seperti “Tyrants”, “One by One”. Walaupun hanya beberapa lagu dimainkan dalam tempoh yang singkat. Kami semua berpuas hati dengan aksi raja metal salju ini. Baca artikel mengenai Abbath dari isu # 1 Pedal to the Metal Zine.
TARJA mengambil alih Stage Hammer dengan persembahan yang hebat dan memukau. Finish metal simfonik pada tahap tertinggi. Pemain keyboards mereka adalah asset termahal selain suara soprano Tarja yang terkenal itu. Sayang sekali ahli-ahli TARJA tidak membawa imej yang unik, mereka kelihatan seperti pemuzik pun sahaja. Tarja mengenakan busana dengan bulu burung gagak persis pakaian Ravenna (filem Snow White and The Huntsman). Penilaian secara kasar, muzik TARJA lebih gelap dari NIGHTWISH, malah TARJA mengarap semula lagu lagu-lagu ciptaannya dalam NIGHTWISH jauh lebih rumit untuk solo band ini.
Seterusnya tibalah kumpulan MEGADETH yang menjadi penutup tirai dan tumpuan pada malam ini. Aku yang asing tentang muzik mereka kecuali beberapa lagu dan sedikit latarbelakang mereka agak teruja juga untuk melihat lagenda thrash ini. Mereka dikhabarkan sebagai artis paling mahal pernah dibawa masuk oleh Hammersonic. Sistem bunyi MEGADETH adalah sempurna, terbaik dari yang lain pada hari itu. Namun setelah mendengar 2 lagu, aku jadi bosan dan berlalu pergi. Pelik benar rasanya suara Dave Mustaine? Kenapa dia guna FX robot begitu untuk vokalnya? Seketika berehat dibawah pokok, Badril pun datang, katanya "METALICA pun dah tengok jadi aku boleh kata MEGADETH ketinggalan 100x ganda dengan METALICA”. Kami ketawa.
Bukan kerana kemahiran. METALICA penghibur, bijak berinteraksi dengan peminat, liar, bergaya, dan yang paling utama, Hetfield boleh menyanyi dengan baik.
Kami pulang dengan Grabbike, MEGADETH masih rancak di pentas. Ketika itu dibenarkan masuk percuma, maka berkoyon-koyon peminat metal yang tidak berkemampuan masuk untuk menyaksikan ikon thrash metal USA itu. Kami membeli belah sedikit dibooth Seringai/Lawless Jakarta. Dan turut memberi sokongan kepada peniaga-peniaga jalanan yang menjual bootleg sticker dan tshirt Hammersonic. Rasanya lebih patut beli yang itu kerana Hammersonic dah untung besar, lagi pun cetakan tshirt mereka jauh lebih ringkas dan sopan.
Esoknya aku bersiar-siar di Monas, Kota Tua, ketika dalam perjalanan ke Monas, keadaan agak genting di mana penyokong-penyokong Ahok sedang membuat demonstrasi jalanan bagi menuntut pembebasan Ahok di Mahkamah. Sebaik tiba di KLIA esok hari, aku mendapat berita Ahok dijatuhkan penjara selama dua tahun kerana melakukan tindak pidana penmodaan agama. Seterusnya aku bersama Badril dan isterinya kami ke Taman Anggerik Mall untuk jalan-jalan cari makan.
Pada awal Selasa aku berangkat ke bandara juga mengunakan Grabbike dengan tambang RM14 sahaja untuk perjalanan sejauh 17KM. Ada beberapa perkara yang aku ingin tekankan dari Hammersonic Festival tahun ini setelah 3 kali berkunjung dan menyaksikan perkembangannya:
1. Dari 2 pentas, kini dah 3 pentas. Memang tak terkejar jika mahu lihat semua. Jadi pilihlah dulu yang mana berkenan.
2. Dari hanya bergantung pada teksi Bluebird untuk tambang bermeter. Kini Grab dan Uber menjadi pilihan terbaik dan jimat sekali. Anda tidak perlu risau untuk check-in mana-mana hotel sekali pun, kerana mereka dimana sahaja. Murah, selamat dan mengikut persetujuan bersama. Terbaik!
3. Bazaar makan Hammersonic kali ini mengarut kedudukannya, sempit, merimaskan dan harga itu memang dari dulu lagi cekik darah.
4. Awek-awek Djarum adalah yang terbaik mereka over-friendly, boleh diajak berbual dan tidak lokek berfoto. Tetapi awek-awek Magnum mereka perlu bertugas professional. Hanya jual rokok, jual rokok dan jual rokok kerana pengurusan Magnum tidak membenarkan mereka berfoto dengan pembeli, gedik atau berbual lama dengan pembeli. Makanya maksiat sedikit terhindarlah, kita Djarum dahulu habis laaa. Tak tenteram bini dirumah…. Yang atas ni cewek Redbull. Beli 2 tin, percuma 2 tin.
5. Walaupun kenyataan papan tanda peraturan diluar jelas menyatakan Hammersonic membenarkan semua jenis kamera dengan syarat mereka bebas mengunakan foto-foto yang diambil untuk tujuan promosi. Tetapi entah kenapa kali ini semua kamera professional tidak boleh dibawa masuk? Beberapa rakan-rakan dari Malaysia terpaksa bergegas pulang ke hotel semua untuk menyimpan kamera… Bangsat!
6. Jika dahulu, hanya Hammersonic di Senayan yang mempunyai bazaar bootleg disepanjang jalan. Namun dikawal ketat di Ecopark. Tetapi kini dah ada, ia jauh lebih cantik dan ekonomik.
7. Tshirt rasmi Hammersonic tidak pernah sekali pun cantik! Sejak dahulu lagi gagal. Sama juga tahun ini, robot Transformers ke apa ntah? Mengarut betol.
8. Walaupun penganjur berpengalaman luas, malah pernah menganjurkan festival selama 2 hari berturut-turut. Sistem bunyi kali ini gagal terutamanya pada unit dram. Hanya beberapa kumpulan terselamat termasuklah MEGADETH.
9. Kali ini disebabkan adanya Grab dan Uber, penjimatan kos yang ketara. Aku hanya habis RM500 sahaja sepanjang 4 hari di Jakarta.
Laporan oleh:
perghh menarik bro raimi, harap satu hari nanti aku dapat pergi hammer ni,,
ReplyDelete