Jujur saya katakan, saya agak terlewat kenal kumpulan goth dari Finland yang dinobatkan oleh majalah muzik metal antarabangsa, Metal Hammer sebagai di antara kumpulan rock paling unggul pernah wujud di dunia ini. Saya kenal simbol Heartagram (simbol rasmi kumpulan HIM) terlebih dahulu sebelum kenal muzik mereka. Mungkin juga kerana ego saya sebagai pentaksub black/death metal ketika itu membuatkan saya enggan untuk selidik kumpulan yang memperkenalkan muzik mereka sebagai “Love Metal” ini.
Namun akhirnya saya mengalah dan cuba-cuba mendengarnya dan boom! Ia menghiburkan, sekurang-kurangnya ia masih metal walaupun elemen komersil dan pop kedengaran begitu mendominasi lagu-lagu mereka. Ia mesra MTV dan radio. Bak kata Eso Holopainen AMORPHIS, HIM adalah penyebab utama para remaja mula mendengar muzik goth.
Kedudukan geografi di pusat bandaraya goth rock dunia memberikan kelebihan kepada HIM dalam memasarkan karya mereka. Perumpamaannya begini, jika anda seorang peminat muzik berat dan ada seseorang ingin menyajikan anda muzik goth dari Brazil, Florida, India atau Malaysia. Tentu anda akan sangsi atau tolak mentah-mentah! Tetapi jika disebut ia produk dari Finland, anda mungkin akan lebih terbuka dan boleh jadi beri peluang untuk menilai muzik itu secara adil kerana tahu kualiti muzik goth rock buatan Finland.
Baik, apa yang uniknya tentang HIM? Berat untuk saya katakan ini, tetapi kenyataannya muzik mereka lebih tulen dari SENTENCED yang kita tahu begitu banyak terpengaruh dengan TYPE O NEGATIVE. Namun SENTENCED sudah lama berada di takhta hati peminat death dan goth rock/metal. Kali pertama mendengar HIM meremang bulu tengkok saya. Kenapa? Ia gedik, luluh dan gelap bergabung menjadi satu. Lontaran vocal Ville Valo adalah sesuatu permainan antara seksi dan macho. Persis vocal lelaki manja ala Jacko (rujuk lagu “You’re not alone”), manakala penulisan muzik mereka memfokuskan melodi yang kuat, berhantu, ringkas dan mudah untuk dimainkan juga diingat. Irama riff gitar dan papan kekunci yang dingin membeku dipadu pukulan dram yang minimal serta lebih mementingkan tona-tona dari kepantasan dan kekencangan. HIM datang dengan pakej menarik apabila peneraju serta penyanyi mereka, Ville Valo merupakan seorang jejaka yang kacak. Dia mempunyai perwatakan rentas personaliti antara Jim Morrison dan Johnny Depp. (pandangan peribadi, jangan marah). Dalam sebuah rencana mengenai HIM, saya dapat tahu ibu dan ayah Ville Valo adalah peniaga alat bantu seks di bandar Helsinki, maka ketika lawatan wartawan ke kedai mereka dilaporkan ramai gadis-gadis di luar kedai sedang mengintai-intai berharap Ville muncul di kedai perusahaan keluarganya itu.
Saya hanya ada “Razorblade Romance” (2000) dan “Dark Light” (2005) sebagai kenangan tentang Ville Valo dan rakan-rakannya. Dan rasanya itu pun sudah cukup untuk merungkai misteri dan seluruh kerja kreatif mereka. HIM boleh jadi kultus seperti NIRVANA jika mereka ada kontroversi hebat namun karya-karya mereka sudah cukup untuk melakar nama HIM dalam sejarah muzik goth dunia.
HIM di rantau ini.
Ketika zaman myspace.com saya teringat ada sebuah one-man-band dari KL yang cukup bagus, saya lupa namanya. Namun dia berjaya menulis dan merakamkan lagu-lagu dengan nafas HIM dengan sempurna. Sayang selepas beberapa single hanya untuk promosi di myspace, beliau terus menyepi. Dari perbualan kami, beliau mungkin seorang professional dalam kejuruteraan bunyi atau mungkin seorang yang hebat dalam teknologi perisian. HIM juga mempengaruhi tertubuhnya kumpulan love metal tempatan, MINE yang diterajui Zizie Hashim dan turut menampilkan pemuzik seperti Jadam dan Joe Slaugther. Namun saya tidak tahu apa perkembangan mereka selain terlibat dengan beberapa gig pada awal tahun 2000. Jika di Indonesia, Kikan, bekas vokalis COKELAT yang sering kelihatan memakai loket Heartagram ketika membuat persembahan.
HIM sebenarnya sudah penah tutup buku pada tahun 1993, dan dihidupkan semula pada tahun 1995. Mereka akan mengakhiri “Bang and Whimper 2017-The Farewell Tour” dengan persembahan terakhir di Helldone Festival, Helsinki pada malam 31 Disember 2017, sekaligus menamatkan karier HIM buat kali ke-dua.
“Kami akan kuburkan jiwa HIM di Jalan Urho Kekkonen. Tempat yang sesuai untuk pengakhiran perjalanan duniawi kami” – Ville Valo.
Foto oleh: Mick Hutson
No comments:
Post a Comment