Friday, June 26, 2020

MENJEJAKI MOSSY FOREST

Saya buat pertama kali menjejakkan kami ke tanah tinggi Cameron Highland ialah pada tahun 2019 di usia 40 tahun, itu pun kerana mengikuti kursus audit dalaman jabatan. Jika tidak, apa yang saya dengar tentang keindahan Cameron Highlands sejak di bangku sekolah dahulu hanya bayangan sahaja. Setelah tinggal selama seminggu di sini, saya menanam azam untuk kembali dan pastinya untuk menjejaki hutan lumut yang tersohor di seantero Asia Tenggara iaitu Mossy Forest. Sudah beberapa kali perancangan saya ke situ gagal dan akhirnya seluruh Malaysia dikenakan (PKP) Perintah Kawalan Pergerakan 2020 akibat wabak Covid-19 pada bulan Mac 2020. Itulah kali pertama generasi alaf ini mengalami situasi seumpama zaman darurat, seluruh rakyat Malaysia terperap dan terkurung kebingungan di dalam rumah. Cubaan pemerintah untuk memutuskan rantaian Coronavirus itu ternyata tidak berhasil namun kadar jangkitan berjaya dikurangkan. Apabila PKP digantikan dengan (PKPP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan dan sempadan-sempadan antara negeri dibuka saya mengambil cuti dan bergegas ke Cameron Highland bersama isteri pada hari bekerja kerana ditularkan media sosial, Cameron Highland dibanjiri ribuan pengunjung pada hari Jumaat, Sabtu dan Ahad. Semua orang ingin keluar untuk beriadah, hari-hari bersama keluarga menjadi semakin indah dan akrab. Ia hikmah daripada musibah yang melanda.


Saya dan isteri ke Cameron Highland dengan menaiki bas dari Terminal Penang pada jam 11 pagi dan sampai kira-kira jam 6 petang di Terminal Bas Tanah Rata. Sebaik turun daripada bas, saya terus bertanya tentang pakej ke Mossy Forest di kaunter bas ekspress itu. Ternyata harga boleh dirunding lagi tidak seperti pakej yang ditawarkan oleh syarikat e-hailing 4WD yang terkenal di Tanah Rata itu. Saya sebelum itu sudah pun menghubungi mereka dan ternyata semua 4WD telah habis ditempah. Penjaga kaunter bas itu menawarkan harga RM55 untuk sebuah van dengan pemandu arah ke Mossy Forest pada esok paginya. Lalu kami pun berjalan kaki ke Heaven Hill 2 yang berada lebih kurang 1000 meter dari terminal. Harga RM80 semalam itu saya kira cukup berbaloi dari segi kebersihan dan layanan kakitangannya. Suhu waktu itu tidak terlalu dingin, mungkin sekitar 20+ darjah celcius sahaja. 



Perlukah saya ceritakan tentang sejarah Tanah Rata? 

Cameron Highlands dijumpai oleh seorang juru ukur tanah Inggeris bernama William Cameron bersama pembantunya Kulop Riau pada tahun 1885 semasa ekspedisi pemetaan di Banjaran Titiwangsa. Suhu pada ketika itu adalah sekitar 8-17 darjah celsius seperti yang dicatatkan William Cameron dalam jurnalnya. Kawasan tanah tinggi ini mula dibangunkan pada tahun 1925 apabila Sir George Maxwell seorang pegawai Inggeris melawat kawasan tersebut dan membuat pelan perancangan untuk membangunkannya. Beliau mencadangkan tempat-tempat yang sekarang ini dikenali sebagai Tanah Rata dan Brinchang dijadikan tempat pentadbiran dan rumah-rumah rehat pegawai-pegawai Inggeris. OK, ringkasnya Tanah Rata ialah sebuah pekan paling besar di Cameron Highland. 

26 Jun 2020. 

Van yang dijanjikan datang menjemput kami pada jam 7.00 pagi, hanya kami berdua sahaja menaikinya, kebanyakan orang lain menaiki 4WD. Pemandu kami, Uncle Ganesh seorang yang santun dan sangat petah berbahasa Melayu mahupun Inggeris. Apabila kami mula memasuki kaki Gunung Brinchang menuju persimpangan Sungei Palas, barulah kami sedar kenapa ramai yang memilih untuk menaiki 4WD, jalan ban berbengkang bengkok itu hanya boleh dilalui satu kenderaan dalam suatu masa dan keadaannya amat teruk sekali kerana turut digunakan oleh lori-lori dan jentera pertanian. Kata Uncle Ganesh, jika tidak kerana van itu kepunyaan syarikat, dia pun tak sanggup untuk mendera kenderaan sendiri sedemikian rupa. Bayangkan ada beberapa pengunjung sanggup mendaki naik dengan kenderaan sendiri! Sungguh tak berbaloi jika mengalami kerosakan atau kemalangan. Sepanjang jalan ke puncak, saya melihat banyak sayur-sayur seperti kubis, sawi, terung berlonggokkan membusuk di tepi jalan. Kata pemandu kami, semua sayur itu tidak dapat dipasarkan sewaktu PKP2020 dikuatkuasakan, semua sempadan negeri ditutup. Sayur-sayuran itu tidak terjual biarpun dilelong murah kerana orang awam tidak dibenarkan keluar dari rumah tanpa kebenaran Polis. Peladang-peladang jatuh terduduk, mereka kerugian puluhan ribu ringgit malah ratusan ribu ketika itu. 



Kami berhenti di titik pandang kebun teh Sungei Palas, pemandu kami sempat menunjukkan sepohon teh tua yang sudah mencecah bangunan 2 tingkat. Rupanya jika pokok teh itu tidak dirintis ia boleh pohon yang rendang seperti pokok ketum. Dari situ kami dapat melihat bangle milik pengurus yang terletak dipuncak bukit, balkoninya mengadap ladang yang membolehkan penghuninya melihat pemandangan indah kedatangan sang suria pada setiap pagi. Ada beberapa orang Semai duduk melepak di tepi jalan, Uncle Ganesh terkejut apabila mendengar saya memberitahu kepada isteri tentang Orang Asli di Pahang. Saya pun menjelaskan bahawa saya pernah bertugas di Hospital Orang Asli sebelum ini, maka sosok-sosok Orang Asli sudah tidak asing lagi bagi saya.

Ladang teh ini adalah yang pertama wujud di Tanah Melayu dibuka pada tahun 1929 oleh John Archibald Russell, yang merupakan anak seorang pegawai pentadbiran British. Boh Tea Plantation menjadi terkenal dan maju sehingga meletusnya Perang Dunia II di mana pencerobohan Jepun pada tahun 1941 telah memaksa tentera British dan orang awam keluar dari tanah tinggi. Jepun terus mentadbir kawasan itu setelah mereka sedar faktor ekonomi dan komersil yang ada padanya. Apabila tentera Jepun berundur dari Tanah Melayu pada tahun 1945, pihak British secara beransur-ansur kembali ke Cameron Highland. Walaupun kebanyakan peladang British yang lain mula putus asa dan meninggalkan Cameron Highland, keluarga dan waris Arhibald Russell tetap mahu meneruskan ladang teh ini dan mahu menetap terus di Malaysia. Menurut Uncle Ganesh, pewaris BOH telah memeluk Islam setelah bertemu jodoh dengan seorang muslimah. 


Sewaktu tiba di Mossy Forest, kami difahamkan denai mendaki Gunung Brichang dan Gunung Irau masih ditutup sejak PKP2020 lalu. Dikatakan Mossy Forest yang terletak dipuncak Gunung Irau setinggi 6,666 kaki dari aras laut itu sudah berusia 200 juta tahun, maka disebabkan itulah pohon-pohon dan tumbuhan purbanya kelihatan seperti filem-filem mistik dan mitos seperti Hobbit atau The Huntsman. Menurut pemandu kami, dahulu suhu sangat sejuk di Mossy Forest manakala hutannya lebih cantik daripada sekarang. Apabila semakin bertambah pendaki-pendaki naik ke sini, termasuk pasangan-pasangan pengantin yang datang untuk membuat foto perkahwinan tak kunjung sudah, lumut-lumut dan pokok-pokok renek mula rosak dan mati akibat dipijak. Sampah sarap juga semakin banyak. Maka disebabkan untuk memelihara dan memulihara khazanah Mossy Forest, Jabatan Perhutanan Negeri Pahang telah mengambil inisiatif membina jambatan sepanjang 200 meter supaya semua pengunjung meninjau hutan berlumut tanpa flora dan fauna tanpa menyentuhnya. Berikut adalah kadar tiket yang dikenakan:

Dewasa: RM10 (warganegara), RM30 (Pelancong luar negara),
Kanak-kanak, 4-12 tahun: RM5 (warganegara), RM15 (Pelancong luar negara),
Warga Emas: RM5 (warganegara), RM30 (pelancong luar negara),
OKU: Percuma (warganegara & pelancong luar negara).

Sungguh berbaloi, bagi saya Mossy Forest yang berada di atas garis sempadan Negeri Pahang dan Perak ini adalah tempat yang wajib dilawati sekiranya anda datang ke Cameron Highland. 


Betullah kata Uncle Ganesh, suhu di sini dah tak macam dahulu. Baru pukul 10 pagi,
dah bercerau peluh cik oii! Panas!






Dalam perjalanan pulang, kami singgah ke Boh Tea Plantation untuk minum pagi di glass café. Uncle Ganesh mencadangkan agar saya meminum Palas Supreme bersama donut. Katanya ada dua produk wajib untuk dicuba bila datang ke Cameron Highland, pertama: teh Palas Supreme dan kedua: jagung susu. Teh Palas Supreme memang pilihan yang tepat sekali! Ia segar dan aromatik, jangan sesekali meletakkan gula ya! Nanti rosak ketulenan rasanya! Harganya RM5 sahaja.



Kemudian kami dibawa ke Time Tunnel “The Local Museum” yang dikira sebagai sebahagian daripada pakej Mossy Forest ini. Muzium ini dibuka oleh Encik See Kok Shan pada tahun 2007 yang mengumpulkan berbagai-bagai memorabilia terutamanya dari era penjajahan British dan Jepun di Cameron Highland. Kronologi kisah mengenai kehilangan Raja Sutera Thai di Cameron Highland turut didokumentasikan di sini. James H.W. Thompson merupakan seorang warga Amerika Syarikat yang dilahirkan pada 21 March 1906. Beliau menjadi terkenal dengan jolokan nama Thai Silk King setelah berjaya menghidupkan kembali perdagangan sutera di Thailand yang ketika itu sedang suram sekitar tahun 50-an. Pada 26 March 1967, Jim Thompson telah dilaporkan hilang ketika bercuti di Cameron Highland tanpa sebarang jejak. Lebih 118 orang terlibat dalam misi mencari dan menyelamat namum masih tidak menemui beliau. Pelbagai teori kehilangan beliau telah tersebar meluas tetapi tidak dapat disahkan kesahihannya sehingga ke hari ini. 



No plat Perlih noh!!

Bukan tak ada basikal untuk di sewa. Ada!

Sampai di hotel saya melihat ada sebuah restoran yang menawarkan sewa motorsikal lantas saya pun menyewanya untuk separuh hari dengan harga RM20 sahaja (RM50 untuk satu hari). Andainya saya tahu awal sudah tentu saya akan ke Mossy Forest dengan menaiki motorsikal sahaja. Kami pergi mencari strawberi dan pokok-pokok hiasan di Brinchang semula pada petang itu. 

Kea Farm, kampung paling tinggi di Cameron Highland, pasarnya menjadi
pusat kunjungan pelancong. Bukanlah murah mana pun, tetapi kemeriahan tu
adalah di sini berbanding kawasan lain. Di sini banyak dijual jagung susu dengan
harga RM8-10/2 tongkol jagung. Boleh dimakan terus tanpa masak.

27 Jun 2020.

Kami pulang ke Kangar  pagi hari Sabtu dengan tenang. Banyak kenderaan sedang menghala naik dan terkandas di tengah jalan. Mujurlah kami datang pada hari bekerja.

Laporan oleh:

No comments:

Post a Comment