Friday, August 21, 2020

MENJEJAKI AIR TERJUN KAMPUNG WAI, KUALA PERLIS

Saya tidak tahu mengenai kewujudan air terjun di Kampung Wai sehinggalah diberitahu oleh jiran saya, seorang Penguatkuasa Maritim yang meronda melihat kawasan sekeliling setelah berpindah ke sini dari Kuantan, Pahang. Malu pula kepada orang luar, kerana saya yang sudah 6 tahun berpindah ke Seberang Ramai, Kuala Perlis pun tidak tahu menahu tentang air terjun itu. Walaupun telah lama berpindah, saya berkelana pula ke Gombak selama 3 tahun, membiarkan rumah saya itu kosong tak berpenghuni. Kini saya dah pun kembali dan tinggal berdua, baru hari ini juga saya tergerak hati untuk menjejaki air terjun itu.


Carian di Google hanya menemukan satu sahaja catatan pada tahun 2012 mengenai pencarian air terjun ini oleh pelajar-pelajar Unimap menerusi http://penagelap.blogspot.com/ mereka gagal menemuinya. Lalu saya pun memburu mengunakan Google Maps, iaitu dengan menyusuri denai terpanjang dan terakhir seperti yang dipaparkan di skrin telefon.

Saya memulakan pemburuan pada jam 7.00 pagi setelah membersihkan MTB yang berbulan-bulan lamanya terkurung dalam stor. Basikal lasak itu sudah berhabuk dan bersawang nampaknya!



Seperti selalu, saya menyeberangi titi Projek Lencongan Banjir Barat dan menuju ke kawasan dusun Kampung Wai. Kawasan sering mengamit pengail kerana dipenuhi ikan-ikan sungai dan juga dari lautan ketika air pasang besar. Inilah kali pertama saya terus mengayuh masuk ke kawasan dusun dan bukit Kampung Wai. Pada Julai 2020 lalu, media massa ada melaporkan pihak AKSEM Perlis telah menemui jejak pencari harta karun di Bukit Puteh, Kampung Wai. Pencari harta karun didapati berkampung di situ untuk mencari gali harta karun dan menjalankan aktiviti-aktiviti khurafat. Sahabat saya, Arai pernah memberitahu saya, asal nama Bukit Puteh adalah Bukit Puteh Buaya kerana ada buaya mendiami sungai-sungai di situ hingga ke hari ini. Saya tidak berapa percaya dengan dakwaannya hingggalah baru-baru ini isteri saya memberitahu ada buaya tembaga naik ke atas jalan menyapa pengail-pengail di situ.

Jauh di atas bukit, ada sebuah rumah agam. Banyak anjing-anjing di situ. Ada yang dibela untuk menjaga dusun, ada juga yang liar. Jadi jika bersorangan seperti saya hari ini, kena beranikan dirilah untuk melalui kawasan yang dijaga oleh sekawan anjing. Alhamdulilah, OK. Mungkin mereka dah biasa melihat orang-orang ke dusun atau melakukan aktiviti MTB di sini.


Kemudian, jangan tersasar ikut jalan kiri, teruskan ikut laluan kanan, saya mulanya ikut kiri dan menghala ke jalan mati, saya jumpa seorang jemaah Masjid Abu Bakar di situ. Rupanya pak cik itu pun gemar sukan MTB. Saya bertanya kepadanya, dan dia mengatakan laluan tadi lebih jauh dan membawa ke punca air terjun. Saya turun semula ke simpang 3 tadi dan naik semula ikut laluan kanan.

Dusun-dusun di sini bersih dan kebanyakannya mempunyai air terjun mini sendiri.

Kotornya?!





Kira-kira 1.5 km dari simpang tiga tadi, sampailah ke penghujung denai berturap, di situ ada satu kawasan dusun yang mempunyai air terjun.  Lanskapnya cantik, cuma jika musim kemarau, boleh jadi tiada langsung air mengalir di situ? Pemilik dusun itu nampaknya sedang melakukan pembersihan dan dalam proses untuk menaik taraf fasilitinya. Saya kira mungkin dia mahu jadikan dusunnya tapak glamping yang sedang tular sekarang ini seperti mana nama homestay satu ketika dahulu. Semua orang mahu buat homestay. Hakikatnya apa yang mereka kata homestay itu hanyalah rumah inapan, langsung tak menepati konsep homestay.

Baiklah. Apa itu itu glamping?

Daripada istilahnya ialah “Glamorous Camping”, bermaksud berkhemah gaya mewah seperti tinggal di hotel. Walaupun di tengah belantara, atas puncak bukit atau di tasik berpenunggu, kawasan perkhemahan anda akan dilengkapi perabut unik atau antik, katil dan ruang khemah yang luas, ada pelayan atau atendan, ada tandas, BBQ parti, kadang-kadang turut dilengkapi café, kolam renang dan wifi.


Tepuk dada tanya selera, jika anda mampu. Apa salahnya mahu glamping?. Jika tidak, traditional camping lebih sesuai untuk anda, lagipun bukankah kita sesekali mahu cuba hidup survival dan serba ringkas di dalam hutan. Apa salahnya sesekali penat mencari kayu, penat hidupkan api, takut gelap malam, berak dalam semak samun, sakit digigit pacat dan nyamuk, basah kuyup bermain hutan?

Saya berhenti penat seketika di pondok dusun ini dan kayuh balik ke rumah dengan catatan masa pergi dan balik hanya sejam. Perjalanan dari rumah saya ke air terjun itu hanya sejauh 4 km!

Saya akan bermalam di sini minggu depan! Mahu ikut?

Jom tengok sikit video kayuhan panas enjin kali ni 

No comments:

Post a Comment