Monday, September 28, 2020

TERSELINDUNG “Selera Besi” (ZUATH GENERATION DISTRO) - MALAYSIA



Saya menerima promo pek CD ini bersama poster, button dan pelekat daripada Zuath Generation pada awal tahun 2020 namun tidak berkesempatan untuk menuilis tentang muziknya kerana sibuk dengan urusan harian lalu akhirnya saya terlepas pandang hingga ke hari ini. Bagaimanapun bak kata omputih, “better late than never”, saya pun luangkan masa malam ini sekali lagi untuk mendengar CD ini. Saya sudah pun mendengar beberapa lagu mereka dalam media sosial sebelum itu dan teruja untuk mendengar album mereka ini. Saya mendapat tahu duo ini adalah anggota-anggota yang terlibat dalam projek TARANTULAH sebelum ini dan apabila Man Rabax, selaku teraju mereka meninggal dunia pada Ogos 2019, mereka pun meneruskan karier mereka dengan TERSELINDUNG. Mereka nampaknya meneruskan legasi punk thrash atau crossover dengan lebih fokus dan jenama yang lebih agresif. Ia sebuah penghormatan bagi Man Rabax.

Muzik mereka berat, mempunyai struktur yang kemas dan berjaya mengauli elemen-elemen punk, hardcore dan thrash ke tahap optimum biarpun hanya melibatkan rakaman bilik tidur. Mereka berjaya memberi kepuasan kepada pendengar muzik bawah tanah dengan karya-karya mereka yang bingit, pedas dan jujur. Kadang-kadang gaya nyanyian Mr. Ghoul mengingatkan kita kepada lenggok penyanyi-penyanyi thrash dan hard rock Melayu pada era awal 90-an. Manakala melodi-melodi hardcore yang rancak itu bagaikan gula yang dimasukkan ke dalam masinnya riff-riff thrash mereka. Kerja-kerja adunan dan mastering yang dibuat adalah antara yang terbaik pernah saya dengar daripada kumpulan-kumpulan punkcore seumpama mereka. 

Dapatkan CD ini, sokong mereka. Harganya tak masuk akal dan sangat berbaloi!

No comments:

Post a Comment