Friday, November 13, 2020

BERMALAM DI RIMBA ILHAM, KOMPLEKS BASIKAL LASAK PERLIS

Kami mula mengetahui tentang belukar indah ini apabila Mad Duha, Cycling Embassy of Malaysia menganjurkan Kayuh Hutan di Kompleks Basikal Lasak pada 3 Oktober 2020 lalu. Lokasinya kira-kira 13 km sahaja dari bandar Kangar. Kompleks Sukan Menembak Genting Kabu dan Rimba Herba Perlis berada kira-kira 1000-500 meter dari Kompleks Basikal Lasak ini.

Dahulu tempat ini tiada siapa yang datang, sunyi sepi, berpuaka, kata orang! ha! ha! Namun Corona virus punya angkara setiap pelosok negeri orang mula teroka untuk berkelah. Air Terjun Hutan Lipur Bukit Ayer yang terletak tidak jauh dari Kompleks Basikal Lasak ini juga dipenuhi pengunjung saban hari hingga terpaksa pihak Jabatan Perhutanan memungut tiket (RM4 seorang) bagi menampung kos penyelenggaraan dan pengurusan kawasan ini.







Sebulan selepas program Kayuh Hutan itu berlangsung, kami pun bermalam di sini. Nampaknya banyak perubahan telah dibuat oleh Mad Duha dan rakan-rakannya sejak hari Kayuh Hutan tempoh hari. Pendawaian elektrik dan lampu telah disambung hingga ke sungai, belukar dan semak samun telah dibersihkan, kerusi-kerusi kayu telah dibuat, batu-batu kasaran (kelikir) telah ditambak atas denai, beberapa guar telah ditarah untuk dijadikan tapak-tapak khemah. Kata Duha, mereka sedang berusaha untuk memohon tapak itu daripada Jabatan Perhutanan untuk dijadikan kawasan rekreasi.

Malam itu kami cuba memanggang ayam dengan dapur gaya sarang tebuan tanah. Hasilnya amat memuaskan hati, isi ayam masak sekata, tidak terlalu kering dan lembut. Kami mandi sungai sekitar jam 12.00 malam biarpun airnya sangat dingin. Nyamuk pula begitu banyak dan tak hiraukan langsung semburan anti-mosquito yang kami beli di Watson tadi. 

Esoknya kami berangkat pulang awal pagi. Mad Duha mencabar saya untuk menganjurkan Perlis Zine Fest di sini. Saya sahut cabaran itu kerana merasakan lokasi ini sangat sesuai untuk mengetengahkan satu konsep baharu sempena musim PKP ini.

Laporan oleh:

2 comments: