Saya menunggang MTB ke sana dan sampai kira-kira jam 6.20 petang. Mad Duha pula macam selalulah, dah menjelang Maghrib sampailah dia. Katanya dia pergi berpacaran dulu sebelum datang ke sini.
Hutan Simpan Kekal Bukit Papan terletak di Marhum Kayang merupakan kawasan pemerintahan purba Kerajaan Kedah Tua suatu ketika dahulu yang kini sudah menjadi Negeri Perlis.
Keluasan Kerajaan Kedah dahulu meliputi utara Thailand hingga ke Myanmar. Nama Kayang ini dipendekkan bersempena nama Kota Indera Kayangan yang diasaskan oleh Sultan Dhiauddin Al-Mukarram Shah I berhampiran Kuala Sungai Perlis. Baginda adalah Sultan Kedah yang kelima belas dan memerintah dari tahun 1661 sehingga 1687.
Satu ketika dahulu, Perlis merupakan daerah atau jajahan di bawah Kerajaan Kedah Tua dan kemudiannya Kesultanan Kedah. Perlis mula menjadi pusat pemerintahan Kesultanan Kedah apabila Sultan Kedah keempat belas, Sultan Muhyiddin Mansur Syah Ibni Sultan Rijaluddin Muhammad Shah yang memerintah dari tahun 1653 sehingga 1661 membina Kota Sena (kini dikenali sebagai Kangar). Sultan Muhyiddin Mansur Syah dikenali oleh penduduk tempatan Perlis sebagai Marhum Sena dan makamnya kini berada di Tanah Perkuburan Tok Paduka, Kangar. Anakanda baginda, Sultan Dhiauddin Al-Mukarram Shah I merupakan Sultan Kedah kelima belas dan memerintah dari tahun 1661 sehingga 1687. Baginda turut memilih Perlis sebagai pusat pemerintahan Kesultanan Kedah apabila mendirikan Kota Indera Kayangan di sebelah hilir Sungai Perlis. Penduduk setempat menggelarkan baginda sebagai Marhum Kayang I, sedangkan di Kedah baginda turut disebut sebagai Marhum Di Hilir atau Marhum Di Balai. Makam baginda kini berada di sekitar tapak kompleks Muzium Kota Kayang yang berhampiran dengan tapak kami berkhemah ini.
Angin timur bertiup kuat malam ini, khemah Mad Duha yang tak dipasak melambung masuk ke tali air ditepi bukit. Apa lagi terpaksalah dia berkongsi khemah dengan saya pada malam ini. Puas kami makan seekor ayam bakar malam itu, sayup-sayup kelihatan kereta peronda polis meronda di Kampung Tok Kuning. Suasana cukup damai sekali, bau lumpur dari sawah bertentang dengan khemah kami memberikan satu aroma ketenangan. Kami hampir-hampir terlupa bahawa dunia kini sedang diancam wabak yang menakutkan.
Esoknya tiada kabus menyelubungi kami, padahal seminggu sebelum itu hampir setiap pagi saya melihat kabus tebal mengepung hutan simpan itu. Kata Mad Duha jika angin timur bertiup kuat seperti semalam sudah pasti dihembusnya segala kabus dan awan ke lautan.
Laporan oleh:
No comments:
Post a Comment