Saturday, June 12, 2021

WAWANCARA BERSAMA DEVOURER OF LIGHT


Jika ditanya kepada pengemar-pengemar muzik berat dan gelap tempatan mengenai kumpulan projek atau solo yang menjadi pilihan mereka. Pasti mereka akan mengatakan “projek-projek dari Md Adlan” atau singkatannya M.L. Bahkan mereka akan mengatakan bahawa M.L antara pemuzik metal solo yang terbaik di Malaysia, disamping Filsufatia, Gorb, Lifelorn, Bentara dan beberapa nama lain yang kini tidak lagi aktif.

M.L bukanlah pendatang baru dalam pergerakan muzik bawah tanah. Dia sudah lama bergerak dalam beberapa kumpulan yang kini boleh dinobatkan veteran serta mempunyai pengikut tersendiri. Malangnya saya tidak sempat berhubung dengan M.L ketika muzik berat masih unggul pada era 90-an. Namun hubungan persahabatan tidak dinilai dengan berapa lama kenal sebaliknya melalui cara kita menghormatinya dan pengaruh positif kita kepadanya.

M.L kini sedang mempromosi projek terbaharunya bernama DEVOURER OF LIGHT. Ikuti penjelasan dari beliau. DEVOURER OF LIGHT ditubuhkan pada tahun lalu. Bagi yang terlepas pandang, boleh anda ceritakan bagaimana ia bermula? Devourer of Light ditubuhkan pada tahun 2017 secara spontan setelah saya dapati saya mempunyai beberapa buah lagu ‘uji kaji’ yang tidak digunakan masih tersimpan dalam cakera keras komputer. Semasa itu timbul idea untuk keluarkannya. Ianya tidak sesuai untuk dikeluarkan untuk projek-projek saya yang lain. Jadi saya ambil keputusan untuk menulis lirik dan merakam vokal untuk lagu-lagu berkenaan. Terdapat lagu yang telah ditulis seawal 2013 lagi dan ada yang sekitar 2016. Saya berfikir dari pada terbiar begitu sahaja baik saya keluarkan lagu-lagu berkenaan dibawah satu jenama baru. Saya mencetak dalam format yang paling murah yang boleh saya fikirkan iaitu fotostat dan cdr. Ini bukan untuk mengaut keuntungan atau untuk mencari status (cdr adalah satu ‘dosa’ bagi setengah orang, selain dari tape dan vinyl). Beberapa puluh demo cdr ini berjaya diedarkan. Ada yang sampai ketangan peminat metal dari luar negara melalui trade dan sebagainya.


Dalam masa yang sama anda turut memandu VOIDNAGA yang boleh dikatakan mempunyai haluan yang sama seperti DEVOURER OF LIGHT. Kenapa? Boleh kongsikan latarbelakang muzik anda yang agak panjang dalam pergerakan muzik berat tanahair? Apakah NEFARIOUS AZARAK dan ENVENOM masih aktif? Boleh ceritakan penglibatan awal anda dalam muzik bawah tanah? Siapa dan apakah yang mempengaruhi anda? Haluan Voidnaga dan Devourer of Light agak berbeza walaupun komposisi datang dari orang yang sama. Voidnaga bagi saya ada kisah/memori disebalik penghasilan demo pertamanya yang agak peribadi. Dan saya merasakan saya tak mampu lagi mencipta lagu untuk Voidnaga kecuali jika dalam situasi yang sama semasa merakam demo pertama itu. Lirik dan konsep Voidnaga adalah Malay Magick Black metal dan digarap dari sebuah buku kajian dalam bahasa Inggeris yang bertajuk Malay Magic dikeluarkan pada tahun 1900. Pada masa yang sama saya cuba mencari kelainan dalam muzik dan juga konsep termasuk lirik. Devourer of Light lebih kearah konsep cosmic horror and occult. Pada masa penghasilan lirik saya banyak menonton dokumentari tentang alam semesta, angkasa lepas dan galaksi dalam Discovery Channel dan Discovery Science di kaca televisen. Saya juga terpengaruh dengan gaya lirikal band Inquisition dari Amerika dan saya rasa ianya adalah sesuatu yang unik. Nefarious Azarak masih aktif dan saya telah lama keluar dari band ini sekitar tahun 2010 ada sedikit masalah dalaman berlaku tetapi sekarang telah pulih. Saya bakal beraksi bersama Nefarious Azarak sebagai penyanyi jemputan dalam gigs mereka akan datang. Envenom saya tak pasti sama ada masih hidup atau tak. Saya telah lama tinggalkan Envenom. Tak pasti samaada mereka mengeluarkan material baru selepas saya keluar. Jika hendak ceritakan bagaimana saya bermula, saya rasa sama seperti orang lain juga. Terpengaruh dengan rakan senior, meminjam kaset-kaset metal dan sebagainya. Saya bermula dengan Sepultura - Beneath the Remain; kaset yang saya dapat dari seorang rakan yang tidak mempunyai kulit kaset. Kemudian mendengar pelbagai lagi kaset-kaset keluaran VSP/Nebiula seperti Bathory (Pony Canyon yang keluarkan), Samael, Dissection, Rotting Christ, Varathron, Dark Throne, Mayhem dan sebagainya. Saya mula berhubungan dengan kawan-kawan pena yang mempunyai kumpulan muzik masing-masing, membeli demo dan zine pertama saya. Semuanya pada masa itu amat mengujakan dan saya mula memasang angan-angan untuk bermain dalam band metal dan mempunyai band saya sendiri. Tetapi ahli kumpulan yang bagus adalah amat sukar sekali dijumpai. Iaitu serius dan berkongsi minat yang sama. Saya mengambil keputusan untuk mencipta sebuah lagu dan merakam semuanya secara berseorangan. Projek pertama saya ialah TAURAN. Terpengaruh dengan dengan muzik Mayhem dan Dark Throne. Saya meminta tolong seorang rakan untuk merakam lagu berkenaan didalam garaj / jamming studionya di Gurun, Kedah (1998/99). Kami telah gunakan perkakasan yang paling primitif dan mudah seperti mixer karaoke, dua buah pemain kaset, beberapa kaset kosong, gitar, bass, drum yang usang dan berbekalkan semangat yang jitu. Maka terhasilah As Darkness Enthrone. Lagu pertama yang saya pernah rakam. Permainan muzik yang saya rasa amat primitif dan buruk. Sayangnya kaset berkenaan telah lama hilang dari simpanan. Saya telah berikan beberapa salinan kaset itu kepada beberapa editor zine untuk mendapat ulasan iaitu Ancient Forest zine dan Totoh fanzine (? jika tidak silap). Editor Ancient Forest zine merupakan kawan karib pemain dram Nefarious Azarak dan dari situ saya berkenalan dengan Nefarious Azarak dan akhirnya menjadi vokalis mereka.

Saya rasa itu masih belum cukup, anda masih mempunyai beberapa projek lain. Ya tak? Mungkin juga. haha. Saya impikan untuk menghasilkan sebuah projek dalam bahasa Melayu, tetapi saya kurang yakin bahasa Melayu yang bakal gunakan tidak akan mencapai tahap yang saya inginkan. Saya banyak habiskan masa dengan belajar tentang cara mixing, mendapatkan sound yang diingini. Disamping mencipta riffs dan merakam apabila idea datang. Sekarang saya belajar mengunakan perkakasan software yang percuma untuk hasilkan muzik.

Sebagai pemuzik dan undergrounders era 90-an dan boleh saya katakan kemuncak kegemilangan black/death metal di Kedah, apakah perbezaan yang ketara dan jelas jika dibandingkan dengan sekarang? Apa baik buruknya? Ya pertengahan era 90-an merupakan tahun kemuncak underground di Kedah. Banyak band, zine, beberapa pelukis artwork, dan label wujud ketika itu. Ianya sesuatu yang masa yang amat mengujakan. Jika dibanding dengan sekarang saya rasa band-band underground metal di Kedah adalah amat sedikit. Mungkin peminat metal tegar Kedah semakin dewasa dan tidak ramai pelapis yang wujud.


Muzik apa yang mempengaruhi dan memenuhi citarasa anda? Gambarkan muzik, konsep dan imej yang ingin anda bina dengan DEVOURER OF LIGHT? Secara dasarnya Devourer of Light adalah Cosmic Horror Black/death. Saya meminati band-band seperti Bathory, Mayhem, Samael, Blasphemy, Rotting Christ dan sebagainya. Namun saya juga mengikuti perkembangan kumpulan-kumpulan muzik yang baharu seperti Grave Miasma, Vassafor, Temple Nightside, Rebirth of Nefast, Blaze of Perdition, Embrace of Thorns, Aosoth, Svartidaudi, Abominor dan sebagainya. Untuk Devourer of Light yang akan datang muziknya akan menjurus ke arah black metal yang agak moden, ber 'atmosfera' dan kehadapan. Saya akan cuba terapkan elemen-elemen eksperimen, ambient dan sebagainya.

Anda tidak mengambil masa yang lama untuk menyiapkan CD demo sulung DEVOURER OF LIGHT “Cosmic Death Iluminate”. Adakah anda berpuas hati dengan hasil penamatnya? Ia turut diterbitkan dalam format kaset dan dicetak tshirt rasmi , kan? Adakah ia masih dijual? Saya mengambil masa beberapa hari untuk merakam vokal dan menulis lirik. Akan tetapi muzik yang telah dihasilkan merupakan lagu yang telah lama dirakam bertahun lamanya. Artwork yang digunakan merupakan hasil suntingan beberapa imej yang saya perolehi dari internet. Saya berpuashati dengan karya ini. Walaupun begitu saya akan cuba perbaiki lagi mutu muzik dan rakaman untuk karya yang akan datang. Kaset bakal dikeluarkan pada bulan Febuari. Manakala t-shirt telah dikeluarkan secara pre-order dan amat terhad dan tak akan diulang cetak.

Saya difahamkan anda seorang yang bagus dalam menghasilkan rakaman homestudio. Adakah kerana anda sering bereksperimen atau rajin membaca tutorial? Atau seperti kebanyakan jurutera bunyi kini banyak mengikuti ‘kuliah’ youtube? Tidaklah sebagus yang saya harapkan. Dengan kemajuan teknologi masakini rakaman dan mengadun audio amat mudah berbanding semasa saya mula merakam projek pertama saya dahulu. Saya tidak mempunyai perkakasan yang canggih. Hanya berbekalkan sebuah PC yang telah dinaiktaraf, monitor speaker dan audio interface (yang sudah usang dan patutnya ditukar). Kesukaran untuk 'mendengar' frekuensi audio yang sepatutnya disunting akibat bilik yang tidak dirawat (acoustic treatment). Jadi saya terpaksa teka mana yang perlu diseimbangkan.

Telinga selalunya mengambil masa beberapa hari untuk 'refresh' supaya tidak tepu. Sebagai contoh, kita mungkin berpuas hati dengan hasil adunan pada hari ini. Tetapi jika kita dengar untuk keesokan hari lain pula jadinya. Saya banyak membaca beberapa e-book tentang homestudio (terutama tentang muzik metal) dan melihat 'kuliah-kuliah' youtube. Tapi saya boleh simpulkan bahawa, kebanyakan video youtube tertumpu kepada muzik metalcore dan seangkatan dengannya. Kadang-kadang untuk produksi yang terlalu bersih, polish dan statik. Selalunya mereka menjadi jurucakap untuk produk-produk syarikat pengeluar software yang menaja mereka. Walaubagaimana pun asasnya tetap sama kuliah-kuliah berkenaan menekankan bahawa ; EQ dan compressor adalah penting. Saya mengemari hasil kerja beberapa jurutera bunyi seperti Andy Sneep, Tore Stjerna (Necromorbus studio), VK (Vk Sounds/ Vassafor), Stephen Lockhart (Studio Emissary / Rebirth of Nefast), Pytten (Grieghallen Studio kerana De Mysteriis Dom Sathanas), Patrick (Temple of Disharmony studio) dan sebagainya.

Apa yang dimaksudkan dengan ‘true’ metalhead? Adakah true itu bermaksud hanya mendengar muzik melalui piring hitam? Layan gig metal di pub dan mencemuh festival? Memakai jaket kulit bertampal patches DIY? Menulis lirik puja syaitan? mendengar lagu metal sambil minum bir? Sekian kalinya telah dibincangkan dan didebatkan mengenai apa itu 'true'. Tetapi bagi saya, dan paling penting adalah menjadi diri sendiri. Telah menjadi satu ikutan dan fahaman tentang true, iaitu seperti yang saudara nyatakan, terutama bagi peminat muzik tempatan dan kebanyakan orang diluar negara. Mungkin darah masih muda dan panas, perlukan perhatian dan status? Saya tak tahu. Saya juga pernah beranggapan demikian semasa masih remaja. Saya pernah melalui fasa itu. Tetapi bila kita telah meningkat usia dan mula bergaul dengan peminat/pemuzik/kugiran/label dari pelbagai pelusuk dunia. Kita akan faham. Apa yang penting adalah muzik itu sendiri. Kita akan berjumpa banyak pemuzik yang jauh berdedikasi dari kita dalam memperjuangkan karyanya dalam underground. Minum atau tidak, bertatoo atau tidak, itu adalah sampingan.

Demo "Death Triumph" yang terbit pada tahun 2018 telah dicetak semula
oleh label tempatan Necrolatry Records dalam format kaset.

Anda setuju dengan pengunaan media sosial untuk tujuan mempromosi karya anda? Jika ya, tidak risaukah anda akan dituduh mengikut gaya glam rock. Mereka merayu supaya muzik mereka didengari, merungut bila tidak disokong dan merajuk bila dikritik? Setuju atau tidak, saya telah gunakan media sosial untuk mempromosi karya saya dan berhubung dengan label dan pemuzik dalam dan luar negara. Saya gunakan Gmail, Bandcamp, Facebook dan Youtube untuk memperdengarkan muzik yang saya hasilkan. Saya tidak mempunyai duit dan budget untuk menulis surat dan rasanya tiada siapa lagi yang berhubung melalui surat. Ada benda mudah kenapa perlu cari jalan sukar? Adakah status cult itu penting? Kita pernah tengok beberapa individu yang amat mengeji media sosial tetapi akhirnya mengalah malah mempunyai facebook dan menjadi kebudak-budakkan dengan stalking, agenda boikot dan fuck itu ini. Apakah itu yang kita mahu sebenarnya? Kita adalah pengiat seni bawah tanah, sudah tentu kita mahu karya kita yang tak seberapa itu didengari atau diketahui. Sama ada orang minat atau tidak itu bukan sebab utama kita berkarya. Kritikan adalah asam garam. Lantak pi. Hahaha!.

Dahulu black metal adalah sebuah subgenre, namun kini ia telah membesar dan mempunyai cabang-cabangnya sendiri. Sebagai peminat tegar black metal… apa pendapat anda tentang black metal yang kini begitu menonjol nilai komersilnya walaupun di Malaysia ia masih dianggap ancaman moral? Black metal sudah terlalu komersial dan terbuka kepada individu biasa dan orang yang tak sepatutnya. Iaitu orang yang dari generasi sekarang yang mudah tersinggung dengan segalanya. Malah wujud golongan muda yang amat arif tentang sejarah black metal Norway dan sanggup berdebat tentangnya seolah-olah dia sudah lahir pada zaman itu. Itu pun setelah melihat dokumentari When the light take us dan membaca buku Lord of Chaos. Black metal adalah muzik yang ekstrim dalam imej dan penyampaiannya. Walaupun kenyataan dan realiti masa kini ia merupakan muzik yang besar dan mempunyai nilai-nilai komersial. Cuba lihat laman sesawang seperti Discog dan Ebay. Harga sesuatu barangan 'underground' itu amat mahal terutama jika ia telah hype dalam underground itu sendiri sebagai 'cult' dan amat-amat terhad. Wujud istilah bodoh daripada golongan yang suka memparodikan black metal seperti tr00, kvlt dan lain-lain. Malah wujud band berimej hipster yang bermain muzik seakan black metal tapi tampil dengan lirik tentang suasana berkelah dipantai, putus cinta atau gambar percutian. Wujud juga golongan gay yang bermain dalam kumpulan black metal tersohor dunia (Ghaal) yang mendapat pengiktirafan. Ada yang menyokong LGBT secara terbuka seperti seorang Professor dari kumpulan Katharsis (German). Apa yang saya ingin katakan bahawa, zaman sudah berubah. Bukan lagi tahun 80 atau 90 'an. Malah sebuah filem tentang sejarah black metal Norway iaitu Lord of Chaos akan dikeluarkan tak lama lagi. Apa yang patut kita buat? Biarkan sahaja. Muzik ini telah jatuh & bangun setelah sekian kalinya. Dan telah banyak kali muzik ini dicampur dengan muzik lain atas nama kreativiti. Banyak versi black metal yang telah wujud. Jadi apa yang perlu dibuat untuk bersaing dalam lautan kumpulan-kumpulan black metal dunia selain dari mencipta karya 'agung' kita sendiri. Ancaman moral adalah sebahagian dari apa-apa muzik sekali pun. Malahan iraman 60'an atau dangdut juga mempunyai sisi gelapnya.

Itu saya setuju! Soalan cliché. Apakah band yang paling berpotensi di Malaysia? Jika diberikan pilihan saya katakan IV.V.I.IV dari Pahang. Mereka amat berpotensi malah ada pakej yang lengkap untuk terus maju.

Anda sekampung dengan Asraf HUMILIATION. Band paling produktif dan boleh dikatakan produk Malaysia paling luas jajahan takluk mereka setakat ini di luar negara. Apakah faktor kejayaan mereka yang perlu diteladani oleh band-band tempatan yang lain? Saya telah berpindah ke daerah Baling setelah bertukar tempat kerja dan secara kebetulan merupakan kampung Asraf Humiliation. Saya telah berjumpa dan berbincang dengan Asraf tentang bagaimana mereka membawa haluan band mereka. Saya rasa cara pemikiran dan semangat mereka yang telah banyak membantu mereka berjaya. Bukan semuanya mudah kerana kewangan semata-mata. Mereka perlu bersaing untuk menaikkan nama mereka di mata dunia dalam acara-acara dan festival metal yang besar. Kebanyakan band-band besar dunia ada cara atau resepi untuk mereka boleh tour sepanjang tahun, sama ada jualan merchandises, bayaran dari show dan sebagainya. Humilation juga mengikuti jejak langkah band-band berkenaan. Apa pun yang penting minda dan jiwa mesti kental. Sebulan tour dan hari-hari bermain show dan banyak dihabiskan diatas jalan raya. Mandi, makan dan tempat tidur tidak menentu. Bergaduh dengan promoter dan ditinggalkan di tengah-tengah tempat asing dengan salji. Tanpa ada jaminan tiada kerugian kewangan. Saya sendiri tidak sanggup. Haha. Namun saya berpendapat mereka berjaya mengurus kewangan dengan baik dan professional.

Apakah yang menghalang kumpulan-kumpulan muzik lasak dari Malaysia untuk berkembang? Adakah batasan agama atau komitmen terhadap keluarga? Bagi saya selain batasan agama dan komitmen keluarga, kewangan juga amat mempengaruhi kugiran-kugiran lasak Malaysia. Saya berpendapat sebagai kumpulan muzik adalah amat penting untuk menitik beratkan kualiti muzik dan karya yang ingin disampaikan. Jika inginkan dipandang dunia maka seharusnya mereka menjadikan karya setaraf dunia dengan identiti unik tersendiri. Seperti saya katakan kita perlu bersaing dengan lautan kugiran-kugiran baru dan lama yang bermain muzik yang sama. Untuk dapatkan mutu sound yang bertaraf dunia perlu ada jurutera muzik yang berkebolehan disamping tahap permainan muzik yang perlu bagus. Imej dan konsep juga penting. Artwork juga memainkan peranan. Tetapi sanggupkah kugiran tempatan berhabis ribuan ringgit atau USD atau Euro untuk mengupah pelukis dan designer dan jurutera untuk mendapatkan hasil yang bagus? Itu tak termasuk mengupah PR untuk beberapa tempoh untuk menguruskan promosi. Ilmu berkenaan muzik, bunyi dan grafik perlu diambil tahu juga. Saya amat hairan dengan setengah label tempatan yang gunakan mp3 sebagai master untuk mengeluarkan keluaran dalam bentuk cd dan kaset. Walaupun telah di encode ke 320 kpbs atau lebih. Tetapi mp3 tetap mp3. Ia adalah format muzik yang telah di mampat (compress). Kebanyakan label luar negara yang berurusan dengan saya sebelum ini memerlukan format data standard .wav 16 bit yang sudah diadun atau 24bit .wav (dengan head room yang cukup) jika memerlukan mastering untuk memastikan kualiti bunyi yang dihasilkan berada ditahap maksimum. Walaupun muzik yang saya hasilkan bukan bersih. Sebagaimana yang saya katakan, kewangan merupakan salah satu faktor yang membantutkan perkembangan kumpulan tempatan, saya juga tidak terkecuali. Sebab utama saya mengambil keputusan untuk belajar mengadun muzik saya sendiri adalah kerana saya tak ada duit untuk mengupah jurutera bunyi tempatan untuk merakam lagu yang pada dasarnya beliau tidak tahu bagaimana bunyi yang hendak diperolehi atau saya berupaya menterjemah bagaimana bunyi yang saya inginkan kepada seseorang. Jadi saya perlu lakukan sendiri. Akhir sekali, sebagai satu pandangan peribadi, kugiran tempatan kebanyakkannya tidak tahu mempromosi dan membawa hala tuju karya mereka. Hubungan antarabangsa juga amat lemah. Selain bermain puluhan gigs ada yang masih tidak ada keluaran karya mereka sendiri. Walaupun telah bermain serata pelusuk negeri dengan gigs yang ditaja sepenuhnya dengan poket duit sendiri kerana organizer tidak sediakan apa-apa. Banyak label di luar sana yang sanggup membawa nama kumpulan anda ke tahap tinggi jika kena dengan karya yang bagus dan berpotensi. Jadi berusahalah dengan lebih gigih lagi.

Anda bersama kumpulan-kumpulan sebelum tertubuhnya DEVOURER OF LIGHT telah menjayakan banyak siri gig termasuk di Kedah sendiri. Dimanakah yang paling meriah kerana gig rata-ratanya sangat kurang sambutan sekarang ini? Saya hanya pernah beraksi dengan dua kumpulan iaitu Nefarious Azarak dan Thorns of Hate. Kebanyakan gigs yang meriah iaitu di Alor Setar, Ipoh, Kuala Lumpur dan Penang. Manakala gigs di Singapore boleh dikatakan sebagai mimpi buruk. Secara peribadi saya bencikan pentas. Saya tidak pernah berasa selesa berada di atasnya.

Peminat muzik metal di Malaysia pelik sedikit. Bayangkan saya pernah melihat gig gitaris lagenda thrash metal Frank Blackfire hanya dihadiri sekitar 30 orang hanya disebabkan malam tersebut turut ada perlawanan bola sepak JDT. Suatu ketika Matt Young dari band KING PARROT meminta saya berkira-kira dengan The Four Horsemen (Johor) untuk turut serta dalam siri jelajah mengunakan bas yang mereka pelopori di Malaysia ini. Kebetulan KING PARROT akan turun Indonesia untuk mempromosi album mereka dibawah Candlelight Prod. KING PARROT tidak meminta tambang tiket penerbangan pun. Malah mahu memberi duit untuk cetakan baju mereka bagi pasaran tempatan. Malangnya siri jelajah itu dibatalkan kerana tarikhnya selang beberapa hari dengan pilihanraya umum Malaysia. Matt Young sangat marah dan bingung, katanya “What in the hell Malaysian metalheads has to do with general election?” ! Saya tidak dapat menjawab. Inilah Malaysia. Apa pandangan anda pula? Setujukah metalheads di Malaysia gemar berfalsafah dan berpolitik? Haha. Secara ringkasnya metalhead di Malaysia adalah unik. Itu tidak masuk lagi dengan terlibat dengan persatuan ayahanda kekanda lagi. Rasanya muzik bukanlah satu yang utama hanya sebahagian dari hobi dari beberapa hobi yang mahal. Harus diingat Malaysia telah banyak kali mempunyai rekod berkenaan gigs yang gagal di mana bakal dimainkan oleh band-band besar seperti Kreator, Mayhem, Dark Funeral, Impiety dan sebagainya. Ada yang melarikan duit yang sepatutnya dibayar kepada band berkenaan. Ada banyak politik dan unsur dengki khianat dibelakang tabir dalam scene metal tempatan.

Adakah anda setuju black metal kini adalah sebahagian dari ‘industri’ hiburan? Ya, industri seperti kilang mengeluarkan produk. Tak semua produk yang dikeluarkan adalah bagus dan tak semua adalah buruk. Produk itu akan dijual oleh pihak ketiga untuk mendapatkan keuntungan kerana ianya terhad dan berwarna warni. Kadangkala agak 'overated' dengan muzik seakan sama.

Terima kasih M.L, semoga DEVOURER OF LIGHT terus berkarya dengan lebih hebat lagi. Kata-kata akhir? Terima kasih kembali Rammy atas temuramah ini. Saya amat berbesar hati. Apa yang saya coretkan merupakan pandangan peribadi saya dan saya tak pernah paksa untuk bersetuju dengan saya. Devourer of Light telah terlibat dalam 5 way split promo cdr (Oh Glorious Death, Shine into the Monument of Darkness) antara kumpulan muzik tempatan iaitu; Impenitent, Crucifixion Vomit, Al Azazhil dan Maradasutma. Boleh dapatkan dari saya dan band-band terbabit dengan harga RM6. Beberapa keping cd Voidnaga masih diperolehi dari saya. Untuk sebarang pertanyaan boleh hubungi saya di impiousblood@gmail.com.

Lawat bancamp Devourer of Light untuk mendengar sample

Dipetik dari Rakap Besi zine, isu # 7 (Mac 2018)
Temubual oleh:


No comments:

Post a Comment