Thursday, March 16, 2023

HIGH LAND DRIFTERS 2023

HIGH LAND DRIFTERS 2023
13-15 Mac 2023
CH
 
Sempena membuka acara tahun ini saya rancang ride & camp di Tanah Rata, Cameron Highland sebelum tiba Ramadan yang bakal menjelang beberapa hari sahaja lagi. Sebenarnya sudah setahun saya cuba menempah tapak perkhemahan di Kem Sungai Pauh, namun asyik penuh sahaja tapak hutan simpan yang berada dalam pentadbiran Jabatan Perhutanan Daerah Cameron Highland itu. Setelah 3 kali mencuba, dapat! Ride ini dianjurkan untuk inner circle sahaja, tidak terbuka kepada orang lain lagi kerana ia projek rintis bagi acara tahunan untuk masa hadapan, insha Allah. Saya namakan kayuhan ini High Land Drifters kerana terinspirasi dengan filem kegemaran saya, High Plain Drifter (1973), rasanya ianya sangat sesuai dengan apa yang kami lakukan sepanjang 2 hari di CH. Menunggang kuda besi buatan Amerika kami merayau cari fasai!

Singgah Guar Chempedak tanya khabar...


Pada asalnya saya, Pitri dan isterinya, Bro Zoraimi dan isterinya akan mengikuti program ini yang mana isteri masing-masing buat hal mereka di ladang strawberry, manakala kami sebagai lelaki bertubuh kekar ini akan mengayuh ke Mossy Forest. Tetapi benda ini kita yang rancang, Tuhan menentukan, Sakinah telah didiagnosa dengan kecederaan tulang belakang, jadual kerja-kerja harian mereka juga padat, campur dengan masalah tetangga zalim lagi maka terpaksalah Pitri tarik diri. Bro Zoraimi pula mendapat lampu hijau awal-awal lagi daripada isterinya, manakala Badass saya tahu, Hammersonic sedang menunggunya! Aku Napie pula mungkin susah hendak bergerak tanpa kemudahan pengangkutan.

Kita jalan terus. Apa yang tinggal kita kasi jalan…

Beberapa hari sebelum ride, Bro Zoraimi beritahu kesihatan dia terganggu, dia dia pula didiagnosa dan disahkan mengidap peripheral arterial disease, tarikh rawatan di IJN pun sudah ada, iaitu pada 4 hari sahaja lagi! Namun dia berkeras tetap mahu mengayuh dan mendaki, cumanya dia tidak dapat bermalam di hutan bersama kami atas alasan tertentu. Pergh! Saya pun serabut fikirkan tentang kesihatan dia, tetapi orang tua tu bukan boleh dinasihat, kang dia keluar ayat dia “Only the weak ones quit!” malas aku dengaq!

Cuba homemade paste daripada Sakinah

Si Nopal cuba mencuri gerek!


Panas enjin...

Kami bertemu di Cameroonian Inn pada petang 13 Mac 2023, malam ini kami sketch beberapa route yang sesuai dengan kecederaan Bro Zoraimi dan keduanya yang sesuai dengan jentera lipat Dahon kesayangannya setelah MTB yang telah dia selenggara baik punya untuk kayuhan ini ternyata tidak muat untuk disumbat dalam boot keretanya. Uh! Naya. Saya pula walaupun agak bersedia dengan jentera MTB Iron Horse, memang sudah sedia alami ACL tapi OK, boleh sahaja kita pergi slow…slow. Kami bincang sakan sambil curi-curi masak mee hailam di balconi hotel. Terima kasih banyak kepada Pitri & Sakinah yang bekalkan kami macam-macam tumisan dan jajan bagaikan hendak pergi berperang. Haha!






Esoknya kami pun mula mengayuh pada jam 7:00 pagi, malang tak diduga telefon bimbit Bro Zoraimi jatuh tak sampai 4km dari hotel, walaupun terganggu kami teruskan ride semula setelah mendapat berita telefon beliau dijumpai oleh seorang jogger yang kebetulan tinggal satu hotel dengan kami. Lega. Namun Bro Zoraimi dah kayuh cecah 8km pergi-balik cari telefon. Kami teruskan, saya tanya camna? Kalau hilang mood kita patah balik ja, pergi Parit Fall seperti yang dia cadang sebagai route alternatif malam tadi. Dia kata jom! Teruskan Mossy. OK jom!


Baru sampai lagi 3km, POW! Rantai Dahon putus. Bukan 1 tapi 2 utas! Hehe! Tapi kata Bro Zoraimi, apa guna umur tua tapi tak tahu baiki rantai tu! Baiklah! Jom teruskan. Sampai Brinchang, memang tak boleh bincang! Berkerut tengok muka Bro Zoraimi, sakit sangat tengok kaki dia tu. Eloklah jangan tanggung risiko, kami patah balik ke destinasi alternatif. Baru sahaja belok menuju Padang Golf Sultan Ahmad Shah untuk ke Kampung Taman Sedia, POW! Rantai Dahon sangkut lagi! Ada kesilapan teknikal semasa kami pasang tadi, namun dapat diselesaikan dan kami teruskan ke Parit Fall. Apa yang kami tak tahu Parit Fall sudah di-privatized! Kebetulan semasa kami sampai, ada satu rombongan masuk, jadi dengan selamber badak kami pun kayuh masuk dengan muka tak bersalah dan siap picnic lagi, minum kopi situ. Yang staff bertugas pun padanlah, kot laaa hendak beritahu kami!? Adui.






Ketika hendak balik, kami dapati pintu pagar sudah berkunci. Jadi apa boleh buat, kami perlu keluar juga dari hutan ini kerana masa check-out hotel sepatutnya pada jam 11:00am. Jadi kami pun lakukan apa yang perlu untuk dilakukan untuk keluar! Hehe!





Sampai di hotel, sedih jugalah sebab baru sahaja jumpa sudah hendak berpisah, tak sampai 24 jam pun jumpa. Saya dan isteri bergerak ke Kem Sungai Pauh untuk bermalam di situ. Ternyata aturan program yang kurang tepat, sepatutnya kami bermalam di hutan dahulu sebelum kayuh kerana saya terus menerus keletihan untuk set-up tempat khemah pula selepas itu. Memang sangat menguji kesabaran!

Aku sangat hargailah persahabatan Bro Zoraimi yang cekal biarpun diduga dengan berbagai keadaan, seperti kata beliau, kayuhan kali ini kalah bermaruah. Haha! Walaupun sasaran tak sampai, tetapi objektif pertemuan ini untuk cari pasai, cari masalah, belajar bersabar dan genggam prinsip itu tetap sampai. Saya doakan Bro Zoraimi berjaya jalani angioplasty di IJN pada 19/3/23 dengan kesembuhan yang lebih baik dari sebelumnya. Semoga berjaya berhenti merokok sempena Ramadan al-Mubarak ini.

Laporan:

No comments:

Post a Comment