Wednesday, February 9, 2011

ASAL USUL IRON CROSS


Kita sering kagum lantas terpengaruh dengan apa yang dipakai oleh idola kita. Tanpa mengambil peduli atau mempelajari, kita mengikut membuta tuli segalanya atas rasa megah kerana bergaya seakan-akan mentor kita itu. Antara yang menjadi ikon fesyen kepada artis rock dan metal sejak dahulu lagi adalah Iron Cross. Misalnya, Lemmy penyanyi dan pemain bass Motörhead sentiasa memakai Iron Cross setiap kali membuat persembahan dan sesi temubual, beliau turut mengukir Iron Cross di bass beliau dan mempunyai timbunan koleksi peringatan Nazi, Penyanyi dan guitaris Metallica, James Hetfield turut membuat ukiran Iron Cross pada gitar ESP Eclipse beliau yang dinamakan “ ESP JH-6 Iron Cross”. Manakala penyanyi Marduk dari Sweden iaitu Mortuus kelihatan sentiasa memakai rantai berloket Iron Cross tidak kira semasa persembahan atau di dalam foto-foto komersil mereka. Album terbaru kumpulan God Dethroned yang berjudul “Under The Sign Of the Iron Cross” jelas menunjukan mereka mengagumi simbol tersebut.

Marduk megah memakai Iron Cross

Lemmy terkenal dengan sikap keras kepala dan fanatik sejarah Perang Dunia

Dekorasi album kumpulan death metal tersohor dari Belanda

Iron Cross turut mendapat perhatian luar dari dunia muzik, apabila sekitar tahun 1960-an Iron Cross menjadi sensasi apabila surfer (pengiat sukan papan luncur) Amerika mula memakainya. Dipercayai medal-medal berkenaan di curi oleh ayah-ayah mereka ketika peperangan. Ed Roth mula mencipta assesori surfing yang bercirikan Iron Cross. Begitu juga, Carl Look, Volksrod dan pengemar Volkwagen yang lain mula mengunakan dekorasi Iron Cross bagi mengambarkan asal usul kenderaan itu. Iron Cross turut mendapat tempat dihati pengeluar motorsikal berkuasa tinggi misalnya West Coast Chopper.

Kenapa Iron Cross ini begitu popular dikalangan pemuzik metal, skinhead, surfers, malah pengusti? Ini kerana ikon militan Jerman ini diterjemahkan sebagai imej lasak (tough-guy), simbolik kepada pemberontakan dan rasa tidak puas hati.

Apa sebenarnya Iron Cross?

Sebutan aslinya adalah Eisernes Kreuz dan asalnya adalah satu dekorasi ketenteraan kepada kerajaan Prussia kini dikenali sebagai Jerman. Iron Cross diperkenalkan oleh Raja Friedrich Wilhelm III dari Prussia dan kali pertama dianugerahkan pada 10 Mac 1813 di Breslau semasa Peperangan Napoleon. Medal Iron Cross berkenaan turut dianugerahkan semasa Perang Jerman-Perancis, Perang Dunia Pertama, dan Perang Dunia Ke-2.

Iron Cross walaupun mulanya digunakan oleh tentera namun terdapat kes-kes tertentu ianya turut dianugerahkan kepada orang awam yang melaksanakan tugasan ketenteraan. Sebagai contohnya juruterbang Hanna Reitsch yang menerima anugerah Iron Cross Kelas Pertama kerana keberanian beliau semasa Perang Dunia Ke-2, dan Melitta Schenk Gräfin von Stauffenberg yang dianugerah Iron Cross Kelas Kedua. Kedua-dua orang awam berkenaan adalah wanita!

Mengikut sejarah Iron Cross mula dianugerahkan kepada para askar sejak 10 March 1813 untuk mengenang jasa mereka menentang Napoleon. Penerimanya yang pertama adalah Karl August Ferdinand von Borcke pada 21 April 1813. Seterusnya Raja Prussia, Wilhelm I berkenan meneruskan penganugerahan ini pada 19 July 1870 semasa Perang Perancis-Jerman. Apabila kerajaan Jerman mula ditubuhkan pada 1871, Iron Cross menjadi simbol kepada Tentera Jerman. Pengunaannya terhenti pada 1918 yang mana ia telah digantikan dengan Greek Cross yang lebih ringkas. Namun, pada tahun 1956 Iron Cross kembali digunakan sebagai simbol rasmi Bundeswehr, iaitu Angkatan Tentera Bersenjata Jerman. Corak tradisional Iron Cross adalah hitam sepenuhnya dan digunakan pada semua jentera bersenjata dan pesawat Jerman. Manakala corak baru adalah berwarna biru dan perak.

Corak asli Iron Cross adalah hitam dan bercabang empat. Setiap cabang melebar dihujungnya dan mempunyai garis luar berwarna putih. Ianya dihasilkan dari cetusan idea seorang arkitek neo klasikal bernama Karl Friedrich Schinkel yang diilhamkan dari simbol Pahlwan Jerman (Teutonic Knights) pada kurun ke-14.

Memandangkan Iron Cross ditempa merentas masa dan sejarah negara Jerman. Setiap tahun yang tercatat padanya membawa maksud era pemerintahan yang menganugerahkan medal tersebut. Corak terakhir bagi Iron Cross terukir lambang Swastika di dalamnya.

Secara amnya, bermula dari era 1813, 1870 dan 1914, Iron Cross terbahagi kepada;

* Iron Cross Kelas Ke-2(Eisernes Kreuz 2. Klasse)
* Iron Cross Kelas Pertama(Eisernes Kreuz 1. Klasse)
* Grand Cross of the Iron Cross (ringkasnya Großkreuz)

Pemberian anugerah Iron Cross Kelas Pertama dan Iron Cross Kelas Ke-2 tidak melibatkan tahap dan pangkat. Namun bagi penerima bagi penerima Iron Cross Kelas Pertama, mereka perlu mendapatkan anugerah Iron Cross Kelas Ke-2 terlebih dahulu. Namun, tedapat juga dalam kes-kes tertentu penerima dianugerahkan kedua-dua medal sekaligus. Bagi Grand Cross of The Iron Cross ia hanya diberikan kepada tentera Jerman berpangkat senior Jeneral. Penganugerahan medal ini hanya berlaku dua kali sahaja memandangkan kekalahan Jerman pada tahun 1945.

Medal Iron Cross Kelas Pertama haruslah berada disebelah dada kiri unifom pemakai nya. Manakala Grand Cross dan Iron Cross Kelas Ke-2 dipakai dengan riben.

Dianggarkan 4 juta Iron Cross Kelas Ke-2 dan 145 000 Iron Cross Kelas Pertama telah dikeluarkan semasa Perang Dunia Pertama. Antara pemegang Iron Cross Kelas Pertama dan Kelas Ke-2 pada tahun 1914 adalah Aldolf Hitler yang membawa gelaran Gefreiter.

Fakta sejarah yang menarik tentang Iron Cross, salah seorang penerima nya adalah SS Obersturmführer Imam Halim Malkoć yang berjaya menumpaskan pemberontakan Villefranche-de-Rouergue. Imam Halim bersama beberapa perajurit Bosnia yang lain menerima Iron Cross Kelas Ke-2 dari Himmler sendiri beberapa hari selepas menewaskan pemberontakan terbabit. Yang hebatnya, Imam Halim hanya memakai riben nya sahaja namun tidak Iron Cross kerana bertentangan dengan akidahnya.

Barbarossa
10/2/2011

No comments:

Post a Comment