Ini adalah gig penutup bagi siri jelajah Nunslaughter di Asia Tenggara. Penantian kami sejak Oktober 2011 kini berakhir sebaik menjejakkan kaki di Bumi Di bawah Bayu ini. Sebelum itu apa kata kita berkenalan dengan NunSlaughter (ejaan mereka sebegini sekarang). NunSlaughter adalah sebuah kumpulan death metal tradisional berasal dari Pittsburg, America yang ditubuhkan pada tahun 1987. Pengaruh muzik mereka adalah Slaughter (Canada), Venom, Bathory, Hellhammer dan sebagainya. Mempunyai jatidiri yang kuat sejak dari dahulu, mereka tidak pernah berubah dan anti-progressif. Walaupun hanya tinggal Don Of The Dead sebagai anggota asal, NunSlaughter tersangat-sangat produktif sehinggakan produk rasmi dan bootleg mereka tidak terkira banyaknya dan dikeluarkan di serata dunia termasuk Malaysia. Rasanya yang paling terkini adalah “Hells Headbangers” LP yang diterbitkan pada tahun lalu.
Bagi NunSlaughter, untuk terus kekal kuno adalah satu cabaran yang besar dan mereka bertekad untuk tidak berubah. NunSlaughter atau membawa maksud Penyembelih Biarawati ini membawa muzik death metal dari acuan punk. Lirik mereka tiada lain dari menyerang agama Kristian secara terang-terangan. Kata Don Of The Dead dalam satu temubual;
“ Aggressive music in the late 70’s early 80’s is all about punk. That is the music that inspired many bands to do death metal. Sarcofago, Onslaught, Slaughter and many more. Long after the debate is over Punk will still be around. Interest in metal changes over the years but punks remain loyal..”
Pemuzik sebegini dihormati dari segi sikap mereka sebenarnya. Jika anda menyukai sesuatu yang teknikal, berseni halus, tulus budi, jangan dekati NunSlaughter. Memandangkan Sabah merupakan pusat perkembangan Kristian yang pesat di Malaysia, pemilihan NunSlaughter untuk menganas di Kota Kinabalu adalah sesuatu yang tepat.
Dalam masa yang sama, kumpulan baru aku yang bernama WRECKÄR menerbitkan cd sulungnya pada minggu ini. Disebabkan kami mempunyai persamaan dari akar umbi punk, kami memilih untuk melancarkan cd tersebut di Razzmatazz dan dapat berkongsi sesuatu bersama NunSlaughter sendiri yang merupakan antara rujukan kami untuk membuat muzik. Tanpa sembunyi kami katakan mereka idola kami.
Aku dan Chain tiba di Kota Kinabalu pada jam 1.30 petang tanpa sebarang breakfast. Kami check in di Rafflesia Hotel yang telah di tempah Daus, pemilik Evil Dead Productions pada jam 3.00 petang. Kumpulan death metal BELLIGERENT INTENT dari Australia turut tinggal disitu sayangnya mereka dah keluar ‘berkelah’ bersama Boy di Pulau Manukan. Jika tidak. Sempatlah kami turut serta.
Petang itu Daus datang bawa kami minum tengok scene Sabah yang meriah. Kemeriahan scene Sabah yang tidak sama seperti tempat lain di semenanjung Malaysia adalah kerana semua orang dari apa-apa genre pun boleh jadi rakan rapat dan boleh join atas nama ‘Metal’. Malamnya kami bersir-siar tengok ‘sumandak’ yang comel-comel (Ah Soon ajar kami ngorat!) dan makan seafood di Pasar Filipina. Disitu kami cari sedikit cenderahati mistikal untuk anak bini, rakan taulan dan girlfriends. Hehe! Kevin dan Asraf join kami dari sini.
Kami balik hotel kira-kira 11 malam, geng Daus pergi layan mabuk bersama Belligerent Intent di ‘markas’ kata mereka. Boy pula datang bawa kami ambil udara segar di jeti dan terus ke Tanjung Aru. Sabah simply rules. Scene muzik yang aktif, pemandangan yang cantik, gadis comel-comel dan penuh rona-rona.
Ini studio paling rock kat Kota Kinabalu |
Boy hantar kami kembali ke hotel, mereka semua hendak ke karaoke layan Jimmy Palikat katanya. Ehehe. Esoknya aku jaga pukul 5 pagi, rasa pelik. Ini satu benda unik lagi, solat awal satu jam dari biasa. Hehe. Teringin hendak pi masjid negeri, tetapi takda siapa teringin nak bawak. Pada pukul 9 pagi mahu tidak mahu aku call Boy ajak jalan-jalan. Boy seperti biasa mesti layan karenah kami.
Kami lepak dan berbual-bual di bilik Craig dan Matt Crossingham, Belligerent Intent. Dua-dua memang pak lawak dan sempoi. Sempat aku bertanya pada Craig tentang sebuah kumpulan yang aku temubual dalam zine kira-kira 10 tahun lalu bernama CRUCIFIRE. Craig terus mencemuh that ‘s a jewish band, he and his brother. Steve kata aku? Yes, Steve, he’s like 64 years old guys. Hahahaha! Really? Aku kata.. no, I’m kidding, but yes he is an old guy. Jewish! Ahahaha. Benci sungguh Craig dan Matt kat Yahudi. Craig dok asyik cerita dia ingat dah kena rompak semalam masa dia tengah mabuk. Depa dua ni memang best.
Roti Chennai tak sedap! |
Dalam perjalanan ke Gaya Street kami berhenti di Restoran Taufik dan singgah di Padang Merdeka tengok Pertandingan Orang Kuat Sabah. Dan terus ke Gaya Street untuk sight-seeing kata Boy. Dia belajar ayat tu kat Craig. Hehe! Kata Boy, Craig penah salah upload gambar ‘anu’ dia dalam facebook, dan tak perasan selama 2 minggu. Hahaha. Dah la ‘adik dia dinosour’! haha!
Bergaya di Gaya Street |
Trying my luck... anybody into devil's music here? |
Kami lapaq woooiii!! |
Sampai di Razzmatazz, crowds memang ramai, lebih ramai dari masa aku dan HEREAFTER datang ke situ dahulu. Kata Boy, dari Keningau sahaja dah 6 buah bas. Dari tinjauan aku mungkin sekitar 500 orang yang hadir pada petang itu, armed to teeth. Aku serahkan Ah Soon untuk handle penjualan cd Wreckär.
Aku dan Chain berehat di sofa belakang sehingga HELLSTORM main, hampir separuh crowds yang hadir memakai t-shirt Hellstorm. Jadi ini membuatkan aku sedikit teruja untuk melihat persembahan mereka. Mereka memainkan muzik ala Gehenna, Vorgus, Bathory tetapi aku tidak faham pula mengapa lagu “Pelayaran” dari MAY dipilih sebagai cover song mereka? Itu hak mereka. Dan hak aku pula untuk mencemuh lagu tersebut.
Seterusnya ASWANG mengambil alih, aku difahamkan mereka baru sahaja ditubuhkan namun persembahan mereka bertenaga dan berat. Ia seperti kombinasi DEICIDE dan DISMEMBER, itulah yang tepat dipamerkan melalui t-shirt yang dipakai bassist dan gitaris mereka. Mike, Belligerent Intent pun datang headbang dengan aku bila dengar lagu Aswang. Mereka boleh pergi jauh jika dedikasi dan berkerja lebih kuat.
Is that your sons that you telling us about? |
Foto paling cun aku ambik, NunSlaughter tengah soundcheck |
Zack Rose yang kacak |
Seterusnya kumpulan yang ditunggu-tunggu NunSlaughter ambil alih set di stage. Pada mulanya gitaris mereka dah bising-bising sebab amp yang dipakainya dah humming. Begitu juga Jim Sadist yang kedengaran mengutuk semua set tersebut adalah SUCKS. Don Of The Dead sahaja yang cool. Rasanya gitaris NunSlaughter (muka cantik macam Varg Vikerness) yang ambil masa paling lama untuk cari setting sound. Don naik ke pentas memulakan persembahan dengan kata-kata hikmah “Sabah, may we all rot in Hell”. NunSlaughter memang hebat dan performers paling gila petang itu. Semua ahli ada karekter masing-masing. Don memang sempoi. Jim Sadist memang lawak, setiap lagu mesti ada cerita dia nak kaitkan, paling lawak dia kata baru sedar dia ada seorang anak di Malaysia. Yang kedua, dia kata dah 5 hari dia buat tour kat Asia Tenggara tapi tak sempat balun pompuan lagi, dia nak ajak ramai –ramai serbu gereja dan meniduri biarawati. Semua cerita disampaikan dengan nada ala Boris Karloff. Hahaha! Dajei Jim Sadist.
Would join us to raid the convent |
Rasanya semua kat dalam mosh pit patah tengkok, Boy marah sebab selalu gasak dia dan lambung dia untuk slam. Kevin kena. Chain kena. Memang berbaloi penganjur bawa NunSlaughter kali ini. Lagu-lagu mereka memang bertenaga, ringkas dan liar. Formula begini yang hanya diketengahkan oleh kumpulan-kumpulan berstatus lagenda.
Don of the Dead mungkin dapat pangkat Dato juga nanti? |
Selesai persembahan sempat berbual-bual dengan Don yang budiman. Tutur kata baik, dia puji Wreckär. Itu yang nak dengar. Selesai sesi foto kami ke restoran cina muslim di hadapan Razzmatazz untuk isi perut. Heran sungguh aku kenapa banyak sangat orang Sabah makan, semalam makan nasi macam bukit. Aku tak habis. Petang ni mee kari mangkuk macam volcano. Aku tak mampu habiskan juga. Banyak bha!!!
volcanic mee kari! |
Esoknya kami bangun jam 4.00 pagi, mandi dan terus ke airport. Kami selamat sampai di Penang jam 1.30 tengahari. Makan nasi kandar di Makbul bersama Syargoth dan terus memandu kembali ke Faithcraft. Harapnya NunSlaughter akan kembali lagi begitu juga Belligerent Intent yang begitu hebat dan buas.
No comments:
Post a Comment