Wednesday, December 5, 2012

BAHAJANG / MUNTAH DARAH “Operasi Bangkai” – Grundar Prod (MALAYSIA)


“BAHAJANG adalah hantu raya, gelaran jin belaan pada orang Perak” kata pemain bass saya, Haidir aka Melayu ketika kami membuat persembahan bersama Bahajang di Johor pada Oktober 2012 yang lalu. Kami beraksi 2 hari bersama. Apa yang saya dapat katakan disini, Bahajang dianggotai oleh 5 orang pemuda yang lincah, bertenaga, penuh aksi dan sangat bingit. Mereka memakai berbagai-bagai topeng antaranya topi Boba Fett ketika membuat persembahan.

Kembali kepada split cd ini, Bahajang bukanlah sebuah kumpulan black metal dengan konsep mistik atau tahyul mahupun kurafat. Sebaliknya, mereka adalah sebuah kumpulan grindcore tradisional dengan pengaruh kuat dari dewa grind, NAPALM DEATH. Menampilkan 11 buah lagu yang dirakamkan di Necro X studio, Bercham memberikan pengharapan yang tinggi kepada saya disebabkan seorang sahabat (En. Stone, blogger Dissecting the Euphony) memperdengarkan saya lagu-lagu dari kumpulan SPARROW yang turut dirakamkan di situ dan mempunyai kualiti seperti sebuah produksi yang mahal. Ia solid dan tepu heavy metal. Tetapi Sparrow bukan dari genre yang sama, Bahajang lebih ektrim serta kacau bilau. Ia pastinya memerlukan kerja kejuruteraan yang lebih teliti dan berpengalaman. Bagimanapun, jatidiri mereka sebagai kumpulan Grindcore tidak berganjak. Ia berat, bising dan ber-reverb tinggi, full distorted dual vocals (growls dan screams), lagu-lagu yang pendek serta berkisar mengenai permasalahan politik sepenuhnya. Lagu-lagu ini dirakamkan pada 2011, jadi saya pasti produksi mereka lebih bagus untuk rakaman akan datang.

Jika dulu saya hanya mengetahui PERPETUAL yang berdiri megah dibawah panji-panji grindcore yang mana kumpulan-kumpulan lain dari Sabah bersujud kepada dewa-dewa black metal. MUNTAH DARAH dari Beaufort adalah kesinambungan perjuangan scene grind di Sabah. Lagu-lagu mereka bagus dan turut mempunyai elemen brutal death metal lama, seperti KRABATHOR atau MASTER. Mereka mempertaruhkan 6 buah lagu yang dirakamkan di BMT Studio pada November 2011, ada sesuatu ganguan pada stereo mereka yang kedengaran tenggelam timbul pada beberapa bahagian terutama pada lagu “Anjing Hitam”. Walaupun begitu ia masih boleh dihayati dan dilayan dengan baik kerana Muntah Darah bijak mengolah riffs-riffs dan struktur lagu yang menghiburkan. Muntah Darah lebih menumpukan ‘penyakit sosial’ sebagai subjek utama lagu-lagu mereka.

Kebangkitan semula Grundar Productions sebagai pembela scene grind/death metal seumpama nadi dan sinar harapan bagi kumpulan-kumpulan underground terutamanya kepada aktivis grindcore. Pemilik Grundar, saudara Prop setakat ini berjaya dalam percaturan beliau mengembalikan ‘fashion’ ini untuk anak muda dan veteran grinders. Grundar Death Fest pula dijadualkan akan berlangsung pada tahun depan untuk meraikan kebangkitan Grundar dan scene brutal death serta grindcore secara amnya.

Mungkin jika ada anugerah Tokoh Revolusi Death/Grind di dalam AIM, saya pasti Prop akan menggondol trofi tersebut.

Dapatkan split cd ini yang mempunyai 17 lagu yang durasinya hanya 14 minit 28 saat oleh kerana setiap lagu secara purata panjangnya hanya selama 1 minit atau kurang. Jangan hairan. Itulah grindcore yang kami kenal!

Contact Grundar Productions here

Grundar Production, PO BOX 1028, Pusat Mel Larkin, 80350 Johor Bahru, Johor, Malaysia

No comments:

Post a Comment