Sunday, September 14, 2014

ABHORER “Rumpus of the Undead” (THRASHING FIST) - SINGAPURA


ABHORER bukan sekadar hikayat dewa dewi yang menguasai kegelapan malam Temasik sejak 1987. Mereka lebih dari itu, mereka adalah mahzab metal. Ada baiknya pembubaran mereka pada 2007, maka mereka akan kekal dalam lipatan sejarah muzik metal dunia sebagai kumpulan black/death metal yang tidak pernah berpaling tadah ke haluan yang mengarut. Mengapa saya katakan sejarah muzik metal dunia, bagi memberi penjelasan kepada yang jahil, ketika demo kaset “Rumpus of the Undead” ini diterbitkan, muzik paling ganas dan hodoh hanya dimainkan oleh AUTOPSY, SARCOFAGO, MORBID ANGEL dan DEATH. ABHORER telah meletakkan standard baru pada muzik metal Asia Tenggara yang rata-ratanya hanya gilakan power metal.

“Rumpus of the Undead” boleh dikatakan hebat dari segi susunan lagu, riff, permainan dram dan nyanyian Crucifer yang menyeramkan, walaupun kualiti bunyinya jijik dan bagai bergelumang lumpur. Namun itulah ‘black/death metal’ purba yang zaman-berzaman kita kenal. Apa yang saya maksudkan sebenarnya adalah genre mereka. Apa yang mereka main dan rakamkan masih jelas kedengaran dan mengkagumkan jika dinilai dari tarikh dan kaedah ia direkodkan. Trey Azagthoth dan Pete Sandoval mungkin akan berlatih lebih kuat lagi jika mereka mendengar permainan Tombcrusher dan Exorcist ketika itu. Kejahatan yang dirakam ABHORER akan selamanya menjadi pedoman pemuzik black/death metal timur dan seluruh dunia.

IMPIETY sendiri menyatakan rasa takjub mereka pada ABHORER, malah diawal penubuhan mereka pun jika anda teliti, memang ada pengaruh ABHORER pada tajuk-tajuk lagu IMPIETY yang serba pelik lagi susah untuk disebut. Tetapi ABHORER punya tajuk lagu lagi gila!

Fosil-fosil ABHORER mempunyai nilai yang tinggi hinggakan banyak label-label menerbitkan demo-demo mereka semula dalam macam-macam format diseluruh dunia. Sehinggakan ada yang sanggup menyamar sebagai ahli-ahli kumpulan ABHORER dan memberi kebenaran untuk label-label luar yang tidak mengenali mereka demi untuk mengaut keuntungan.

Demo kaset yang diterbitkan semula oleh Thrashing Fist Production ini mendapat kebenaran dari pengasas ABHORER sendiri (dibuktikan dengan lawatan beliau ke toko muzik Thrashing Fist) yang dikenali sebagai Tombcrusher, beliau turut berkhidmat bersama AS SAHAR dalam rakaman album sulung mereka “Phenomistik”(1996). Demo ini turut mengandungi 2 lagu bonus yang dipetik dari EP “Upheaval of Blasphemy” (1993). 


Saya sedikit kesal kerana Thrashing Fist Production tidak mengekalkan ilustrasi asal “Rumpus of the Undead” pada tahun 1989. Sepatutnya ia harus dikenalkan walau kelihatan kuno atau lawak sekali pun. Saya pasti banyak yang mahukan ia kekal sedemikian.

Walaubagaimanapun, seperti yang dikatakan pemilik Thrashing Fist, kaset ini laris macam pisang goreng. “Rumpus of the Undead” versi Thrashing Fist Production yang diterbitkan sebanyak 200 unit ini mungkin telah pun habis dijual?

Siapa ada “Rumpus of the Undead” demo kaset original? RM300 pun ada orang mahu beli, dik!!!!

No comments:

Post a Comment