Saturday, August 18, 2018

3 HARI 2 MALAM BERSAMA MARCO YOLO


Marco Ferrarese dikenali sejak novelnya Nazi Goreng diterjemahkan ke Bahasa Melayu oleh Dubook dan digam oleh Kementerian Dalam Negeri. Marco masih menunggu sekiranya pihak KDN atau Jabatan Kemajuan Islam mahu memanggilnya untuk penjelasan tetapi mereka hanya diam membisu. Namun saya mengenali beliau lebih awal lagi dari itu, sejak kali pertama dia menjejakkan kaki di Tanah Melayu ini sekitar 2008-2009 apabila dia mengirim email untuk melawat Perlis dan menemubual saya sebagai anggota BLACKFIRE.

Terkini Marco Ferrarese telah menerbitkan buku The Travel of Marco Yolo yang memuatkan artikel kembaranya sekitar 2013-2016 dan Banana Punk Rawk Trails yang merupakan catatan pegerakan muzik metal punk sekitar Malaysia, Borneo dan Indonesia.

Bagaimanapun permohonan Marco tidak dapat saya tunaikan sewaktu itu kerana kekangan masa membuatkan saya bimbang tidak dapat memberi layanan yang sepatutnya, namun Marco menyatakan beliau tidak kisah biarpun dia perlu meringkuk tidur dalam bass dram. Tahun demi tahun lawatan Marco tertangguh hinggalah saya bertemunya buat pertama kali pada Mac 2014 ketika Wreckär diundang untuk membuat persembahan bersama Dissectomy di Penang. Marco peramah dan ceria sepertimana yang dijangka.

Marco kini menjadi penulis bagi sebuah majalah kembara dan pelancongan antarabangsa yang berpusat di Vietnam. Beliau sebelum ini telah ke Pulau Langkawi melalui transit jeti Kuala Perlis dan ada menghubungi saya melalui email, namun ia masuk dalam spam block list. Kebetulan saya buka spam box untuk memeriksa dan jumpa email Marco. Saya hubunginya memohon maaf dan memaklumkan saya akan pulang ke kampung hujung Januari ini. Marco dan isterinya yang baru sahaja pulang dari mengembara dengan mengunakan ‘gerek lipat’ di Sulawesi. Dari ceritanya, permukaan muka bumi Sulawesi yang bergunung-ganang begitu mencabar, terutama buat isterinya Kit Chan, yang baru sahaja menceburi kembara mengunakan basikal tanpa sebarang latihan kecergasan terlebih dahulu. 

Walaupun masih keletihan “Why not”, kata Marco. 

Dipendekkan cerita, setibanya saya dari KL ke Perlis pagi itu. Marco bersama Kit Chan pun bertolak dengan KTM komuter dari Butterworth ke Arau dan tiba pada jam 12.00 tengahari. Pengangkutan paling berbaloi dan selesa. Namun pada hari minggu ramai orang bersesak-sesak ingin turun membeli belah di bazaar Padang Besar. Walaupun kuasa membeli rakyat Malaysia telah menurun ketika ini, banyak yang suka bersiar-siar sekadar menjamu mata. Paling tidak, beli pes tom yam, makan pulut ayam, mengurat awek Pattani dan balik. Belanjanya tak sampai RM50 jika anda dari Penang. 


Sebaik sampai kami berehat dulu. Minum kopi kampung cap keretapi. Dengan tak semena-mena hujan lebat turun, maka terpaksalah kami tangguh kayuhan hingga jam 5.30 petang. Saya bercadang untuk ke ladang nira Kipli di Kuala Sanglang kerana Marco belum pernah minum nira nipah. Kami memulakan kayuhan dari rumah saya ke Kampung Nelayan Pulau Ketam, menaiki Jambatan Tuanku Syed Putra dan menyusuri pantai Kurung Tengar, Sungai Baharu, Sungai Berembang hinggalah ke muara Sungai Simpang Empat. Dari sini kami terpaksa berpatah balik kerana hari sudah mula gelap, basikal Marco dan Kit pula tidak ada lampu. Saya bimbang serangga yang banyak bila hari gelap, keadaan jalan yang sempit dengan kereta lalu lalang pasti berbahaya kepada penunggang basikal tanpa sebarang lampu keselamatan. Kami singgah di masjid terapung al-Hussain dalam perjalanan pulang. Marco dan Kit lepak diperkarangan masjid menikmati panorama senja sementara menantikan saya selesai solat Magrib.




Pada sebelah malamnya kami berborak sakan mengenai perkembangan muzik dan penulisan. Marco menceritakan beliau telah ditendang keluar dari Weot Skam tanpa sebarang pemberitahuan. Sedar-sedar mereka dah ada anggota baru apabila seorang wakil datang memberitahunya, dia telah dibuang dari Weot Skam. Kata Marco ia mungkin bermula dari konflik dalaman ketika siri jelajah Indonesia dan mungkin juga Weot Skam tidak dapat menerima idea dan nasihatnya untuk mengembangkan lagi cara penulisan muzik mereka. Bagi Marco dia sudah putus asa dengan dunia muzik UG Malaysia serta tidak mahu lagi bermain dengan mana-mana band. Dia hanya mahu menumpukan pada kembara dan mempelajari sesuatu yang baru dari alam.


“Aku mahu membantu, memperturunkan segala ilmu yang aku ada pada kumpulan-kumpulan muzik Malaysia agar boleh maju. Tetapi pemuzik sini lebih gemar bertanya pada pemuzik tempatan yang pernah bermain di Eropah. Padahal aku ini dari Eropah.” – Kata Marco Ferrarese. 

Bagi Marco, di Penang dia sangat menghormati Cole Yew. Baginya Cole Yew adalah pejuang muzik bebas yang kental. Dia telah berkorban masa, tenaga, wang ringgit bagi menyediakan sebuah platfom untuk anak muda tempatan memasarkan dan mempersembahkan karya. Tanpa Soundmaker, pergerakan muzik bawah tanah di utara Malaysia pasti tidak sekencang ini. 

Kami ke Tasia Tom Yam di Kangar untuk makan malam ikan siakap masak sweet sour. Kedai Tom Yam ini istimewa kerana diusahakan oleh adik-beradik semuanya metalhead. Jadi meriahlah makan malam kami bersama rakan-rakan. Kebetulan Mushtari pemilik Galeri Seni Piring Hitam datang membeli makanan kepada ibunya. Maka kami pun terus melawat galerinya berdekatan kafe hipster, Chortiez. Lama saya tak berkunjung ke situ, rupanya kini pada setiap malam minggu ada pasar muda mudi berlangsung hingga ke tengah malam. Ada juga persembahan live band. 


Marco dan Kit kagum dengan koleksi yang dimiliki Tari. Katanya “Seluruh pelosok Asia telah aku pergi, tak aku sangka boleh jumpa tempat sehebat ini di Perlis”. Kami pulang jam 2 pagi dan terus tidur keletihan walaupun pada mulanya kami bercadang untuk layan filem seram. 

Bangun pagi jam 5.40 pagi, sebaik selesai solat Subuh saya terus berbasikal ke pantai. Marco dan Kit masih nyenyak tidur. Mulanya saya bercadang untuk mendaki Bukit Chabang pada jam 4-5 pagi, namun Marco dan Kit tidak mampu bangun awal. Mereka bangun sekitar jam 8.00 pagi, kopi panas dah sedia terhidang. Bagi Marco dia memang mulakan pagi dengan kopi O sebelum gosok gigi. Kit pula tak habis-habis tanya bagaimana saya boleh bangun awal? Saya senyum sahaja. Mungkin dia tidak tahu seorang Muslim wajib bangun sebelum fajar menyinsing. Itu bukan luar biasa. Tapi mungkin juga di kawasan rumah mereka adalah perkara luar biasa jika orang Melayu bangun awal pagi? Mungkin…?

Saya suka pemikiran Marco, walaupun dia dan isterinya tidak mempunyai agama. Dia ringkas. Zuhud dengan caranya. Kalaulah Marco dan Kit itu Muslim, mereka sudah tentu orang sunnah. Mereka tak kisah tentang rumah besar, kereta besar, harta benda dan kemewahan. Hidup bukan untuk membanting tulang mengumpul harta, sebaliknya untuk mencari ilmu dan pengalaman. Mereka peka pada alam, penindasan dan kebudayaan. 

Teringat satu pesan nabi s.a.w kepada Ibn Umar “ Jadilah engkau hidup di dunia seperti orang asing atau berkembara. Apabila engkau berada di petang hari, maka janganlah menunggu hingga pagi hari. Apabila engkau berada di pagi hari janganlah menunggu hingga petang hari. Pergunakanlah waktu sihatmu sebelum datang sakitmu. Pergunakanlah hidupmu sebelum datang kematianmu” – H.R Bukhari.

Pada pandangan Marco dia sangat sukakan bentuk muka bumi Perlis, dan sedang memikirkan untuk membeli sebuah rumah dengan harga berpatutan. Baginya rumah bersebelahan sawah padi dengan permandangan bukit-bukau memenuhi citarasanya. Dia gemar berkebun. Dia sedang berkira-kira juga untuk menetap di Lenggong, Perak atau Pulai, Kelantan.


Jam 8.30 pagi, kami bersarapan di Kedai Nasi Kandar Pak Daud, Jejawi. Asalnya untuk bawa Marco dan Kit cuba nasi ganja di situ, namun mereka enggan makan yang berat-berat. Jadi kami hanya makan roti canai cicah kuah daging di situ. Kit yang tidak tahan pedas terus sakit perut. Kami ke Masjid Muhammadi, Jejawi. Kata Kit selepas menunaikan hajat “ Wow! So clean aaaa the toilet!”. Balas Marco pada Kit “What did you expect? This is Perlis maaa”. Saya amat gembira sekali dan bangga dengan pengurusan Masjid Muhammadi.

Kami seterusnya ke Bukit Jerneh, sekadar untuk meninjau gua-gua dan sungai. Kawasan bukit Jerneh kini tidak sesunyi dahulu lagi apabila berdirinya institusi Dar Al Quran Wal Hadeeth. Setiap masa kita pelajar dan guru-guru dari dalam dan luar negara keluar masuk denai kecil yang pernah saya gunakan untuk mendaki Bukit Jerneh ini. 






Kami ke Bukit Keteri berhampiran kilang Fermpro yang terkenal seantero dunia buat pengemar sukan rock climbing. Ramai sungguh orang yang datang mendaki pada hari ini kebanyakan dari Shah Alam, Selangor. Ada dua orang ahli Perlis Climb Development yang saya tahu melalui instagram sedang memantau keselamatan pendaki di situ. Kami sempat berkenalan dengan mereka dan Marco mengambil kesempatan ini untuk menemubual mereka untuk laporan kembara ini. 

Marco seorang yang takut pada ketinggian, namun rasanya dia dan isterinya tidak mengalami apa-apa masalah ketika mendaki dan meneroka di gua-gua utama Bukit Keteri yang telah disediakan tali dan tangga bagi menjamin keselamatan pendaki-pendaki amatur tanpa perlu sebarang peralatan khas. Pemandangan di atas ini menakjubkan dan dingin sekali.

Menjelang pukul 1.30 petang kami bergerak ke Taman Herba Bukit Ayer. Marco dan Kit memang suka tempat begini, tambah lagi setiap pokok diletakkan label dan diterangkan kegunaannya dalam kajian perubatan tradisional. Saya pernah membawa pelancong dari Thai 

ke sini. Mereka bosan dan tidak nampak khazanah berharga yang ada di taman ini. Hakikatnya, penduduk Perlis pun begitu. Ada orang masih tidak tahu kewujudan Taman Herba yang turut menyediakan rawatan tradisional di negeri sendiri. 

Seterusnya kami ke air terjun Bukit Ayer. Suasananya nyaman dan tenang. Walaupun agak ramai pengunjung, airnya masih jernih dan bersih. Sayangnya resort dan chalet di sini tidak mampu untuk bertahan. Entah dimana silapnya? Mungkin jika diperhebatkan aktiviti dan pertandingan sukan lasak seperti hiking, mtb, sukan paintball, pusat latihan menembak swasta, kawasan latihan memanah, kawasan perkhemahan atau dibenarkan untuk menjalankan pasar pagi, pasar karat atau pasar malam, boleh jadi kegiatan perlancongan boleh rancak semula di Bukit Ayer. 

Mungkin ada yang kata mana logik pasar karat, pasar pagi boleh hidup di tempat seperti Bukit Ayer? Ok. Satu ketika dahulu siapa sangka pasar pagi di kebun pokok getah bersebelahan jirat Cina di Pauh, Arau boleh jadi sebesar dan popular seperti sekarang? 



Kami pulang ke rumah dan tiba kira-kira jam 3.00 petang. Sebelum itu kami ke pasar basah membeli udang dan sayur-sayuran untuk makan tengahari masakan sendiri. Kit masak sambal terung yang resipinya dia belajar di Sulawesi. Manakala saya pula mengajar Kit dan Marco masak koeteaw kung fu. Bagaimanapun saya terpaksa ubahsuai resipi kerana Kit seorang tidak makan pedas. 

Setelah makan dan rehat. Kira-kira jam 5.30 petang kami kayuh basikal ke Projek Tebatan Banjir Lencongan Barat yang terbengkalai di sempadan Malaysia-Thai Bukit Batu Putih Buaya. Akibatnya tertangguhnya projek bernilai RM560 juta ini, kampung Tebing Tinggi yang tidak pernah ditenggelami air sebelum ini dilimpahi banjir kilat. Menurut rekod Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Perlis, kehidupan harian 277 keluarga telah terjejas akibat bencana ini. Dan yang paling memalukan pada Januari lalu, Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Perlis bersama anak-anaknya dicekup Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia kerana menerima suapan dengan mengambil 10 peratus dari setiap projek di Perlis.





Permandangan di sini memang mengasyikkan. Dihadapan kami Selat Melaka manakala dibelakang kami pula sawah padi keemasan. Kami bercerita panjang sambil menikmati matahari terbenam disebalik Pulau Langkawi. 

Seterusnya kami ke Pasaraya Eco. Kit dan Marco membeli lampu dan segala macam assesori basikal yang murah disini. Kualitinya tidaklah serendah yang disangka. Saya sendiri banyak membeli barang-barang rumah dan dapur disini. Segalanya RM2. 

Balik semula ke rumah dan mandi, kami keluar semula untuk makan malam di Kangar. Malam ini kami sekali lagi makan di restoran orang Pattani. Itulah tempat yang paling sesuai buat kami. Lagipun Marco dan Kit memang tidak selesa makan di kedai hipster atau restoran western yang mahal. Kata Kit, Marco hanya putih di luar tapi hatinya orang Asia. Marco makan sambal belacan. Namun kesian juga Marco, sesampainya di Perlis dia elergik pada cuaca, matanya kering dan perlu dititik pelembab hampir setiap jam, hidungnya pula jadi tersumbat sepanjang masa. Tak kira siang atau malam. 

Selepas makan kami bergerak ke Arau untuk lihat Brown dan Cipun buat persembahan di Perlis Music Festival yang berlangsung di C-Mart Arau. Malangnya sampai sahaja kami di sana, acara telah pun tamat. Paling melucukan ketika kami sedang meninjau kawasan, Marco telah ditarik tangan, diraikan oleh band-band yang buat persembahan malam itu. Mereka semua bergambar dengannya. Ada yang bagi cenderahati padanya. Padahal mereka tidak kenal pun siapa beliau? Kata Kit “maybe they haven’t seen white people before?”. 

Mungkin mereka rasa dihargai apabila muzik rock kapak turut diminati orang Mat Salleh. Bukannya tiada orang putih sini, di jeti Kuala Perlis berlambak, di Padang Besar berlambak, di Universiti Malaysia Perlis pun berlambak. Ujar saya kepada Kit dan Marco. 

Kami terus pulang selepas itu kerana Kit sudah mengantuk. Kami bercadang untuk menonton filem seram namun apabila sampai di rumah, kami terus tidur nyenyak. 

Esok pagi sebaik mendirikan solat Subuh dan membancuh kopi, saya tidur semula kerana letih. Pada jam 8.30 pagi saya dapati Marco dan Kit sedang menikmati kopi panas. Marco dan Kit puas hati dengan percutian di Perlis walaupun sekadar 3 hari, 2 malam. Banyak yang kami rumuskan pagi itu, dari kayuhan sepanjang pantai, gua Bukit Keteri, koleksi piring hitam, Ibn Taimiyyah, rip-off, hidup mandiri, detik cemas dipaksa mengucap syahadah di Kelantan dan pengertian toleransi. 

Saya bawa mereka makan capati Labu Sayung di Bintong. Banyak yang kami bualkan di situ. Saya harap mereka puas hati. Saya hadiahkan senaskah buku Mengukir Nada Dari Besi kepada Marco kerana beliau sejak dari hari pertama tiba di Malaysia dulu, dia amat berminat dalam mengkaji bagaimana orang Melayu Islam boleh jatuh hati dengan irama metal. Ini kerana muzik itu keras, biadap dan tiada sempadan kreativitinya. Jadi saya rasa dalam buku itu ada jawapan dan persoalannya. 


Selepas sarapan pagi itu, kami terus bergegas ke stesen KTM Arau. Dan Kit dan Marco sempat juga menaiki komuter jam 10.45 pagi. Moga mereka perolehi apa yang mereka cari dalam hidup ini. Marco dan Kit antara pasangan serasi dan hebat pernah saya temui dan bangga mereka menjadi sahabat saya. 

Di antara pengajaran besar yang saya perolehi dari ziarah Marco Ferrarese adalah menghargai rakan dan siapa sahaja yang telah meluangkan masa untuk bersama anda. Saya lihat setiap kali kami keluar untuk makan malam dan berjumpa rakan-rakan. Marco tidak akan membawa telefonnya. Dia benar-benar mahu komunikasi yang sihat. Ketika saya leka memeriksa komen-komen di media sosial sambil makan malam. Marco menegur “Come on, put it away. This is haram!” sambil menuding jari ke telefon saya. Kami ketawa. Saya faham maksud dia.

Foto: Ahmad Ra1m1 & Kit Chan

Laporan oleh:

No comments:

Post a Comment