Monday, February 25, 2019

RIDE IN LANGKAWI 2.0


RIDE IN LANGKAWI 2.0
16-17/3/2019
46 KM, 38 o'C

Boleh dikatakan, kayuhan kali ini tidak dirancang sangat pun, agak tergesa-gesa dan pulun terlebih. Itu yang pertama kali dapat saya gambarkan. Mengapa tidak? Saya hanya dihadiahkan body MTB sekitar satu bulan lepas (sebelum tarikh Ride In Langkawi), membuat sedikit penambahbaikan kemudian dengan poyo nya menaikkan hantaran di laman Facebook. Lalu hantaran tersebut dilihat oleh Rammy dan beliau terus mencabar, “Langkawi 2.0, berani?” 

Keturunan Wan Mat Saman memang pantang dicabar. Saya dengan bersahaja menyahut cabaran tersebut sambil merisik-risik soalan; bilakah akan dilakukan ekspedisi itu. Rammy membalas, akan dilakukan perbincangan lanjut nantinya. Dan ketika itulah isteri saya menyatakan hasrat untuk juga turut serta. Saya tersenyum sambil dalam hati berkata, ah sudahhhh… 

Hari-hari seterusnya kami follow up di antara satu sama lain. Saya memberi jaminan kepada Rammy bahawa saya boleh memberi komitmen jika kayuhan dilakukan sekitar 14hb-20hb Mac, kerana selepas dari tarikh tersebut ibu mentua saya bakal berlepas ke Turki. Ini bermakna, sukar bagi kami untuk meninggalkan anak-anak tanpa seliaan sesiapa. Dan ajaibnya, Rammy memilih tarikh 1hb dan 17hb. Rahmat Tuhan mencurah-curah turun nampaknya. 

Beberapa hari kemudian, tiba giliran saya mencari MTB untuk isteri pula. Nasib menyebelahi kami. Saya terjumpa seorang anak muda berwajah polos yang ingin menjual sebuah MTB berjenama Kawasaki. Tidak cakap banyak, kami beli dan bawa pulang terus. Maka dengan itu bermulalah rutin latihan kami suami isteri mengayuh pergi balik ke Jambatan Pulau Bunting, Gunung Jerai dan pekan kecil Guar Chempedak yang kini terkenal dengan Pasaraya 3D termoden iaitu Pasaraya Long Once. 

15 Mac 2019 (Jumaat) 

Persiapan asas dilakukan. Kami menjangkakan akan bertolak ke Langkawi pada keesokkan harinya. Maka pada hari ini saya dan isteri menumpang tidur di rumah Rammy dahulu. Agak mendukacitakan menurut Rammy, pada asalnya ekspedisi kali ini seramai enam hingga sembilan orang (saya tak berapa pasti) merancang untuk turut serta. Namun hanya tinggal empat orang sahaja yang dapat memberi komitmen. Saya akur dan tak boleh kata apalah. Hidup mesti terus, kata Juliana Banos. 

Petang itu, seusai pulang dari pejabat Rammy dengan wajah abang-abang long menggentel hujung kumis, membahagikan masa untuk mengajak kami memanaskan badan di sekitar Kuala Perlis. Dia juga mahu membawa kami melewati Jambatan Tunku Syed Putra yang berada di antara perumahan nelayan di situ. Pada awalnya kayuhan kami lancar, namun apakan daya kami tersesat sedikit ke jalan yang tidak diredhai iaitu entah ke celah hujung kampung mana entah. Beruntung ada sekawan pemuda yang menunjukkan kami semula ke jalan yang lurus. Maka, habis setakat itu sajalah yang dapat saya ceritakan. Lebih-lebih nanti dia jadi cerita Ride in Kuala Perlis saja sepuluh mukasurat. 


Baik, pada sebelah malamnya pula tiada aktiviti berat yang kami lakukan selain menjamah makanan di Kedai Tasia Tom Yam. Saya memesan Nasi Goreng Tasia berharga RM7. Rasa dan persembahannya tidak banyak dapat saya ulas melainkan saya berpuas hati kerana lapar. Selesai makan, kami pulang untuk mendapatkan rehat secukupnya. Tetapi cuaca malam itu punyalah membahang. Saya rasa sehingga jam 3.00 pagi, saya belum dapat melelapkan mata. Rasanya empat lima kali jugalah saya berulang-alik membuka pintu peti ais, meneguk minuman sambil bertafakur mengatur tenaga dalaman. 

16 Mac 2019 (Sabtu) 

“Kita kena pi awai. Kalau kita takpi awai, kita akan terlewat. Bila kita terlewat maksudnya kita sudah terlambat.” Itu kata-kata keramat daripada Rammy seusai kami bersolat Subuh di rumahnya. Menurutnya segala persiapan sudah pun diatur termasuk laluan yang bakal kami tempuhi nanti. Sebelum itu Rammy sudah berkejar ke Kangar untuk mengambil seorang lagi rakan sekerjanya (atau rakan berhampiran tempat kerjanya) bernama Mimi (atau Memey?) Setelah bersedia, kami bertolak ke Jeti Kuala Perlis dengan semangat berkobar-kobar. Langit masih gelap. Kira-kira jam 6.35 pagi waktu itu. 

Sampai sahaja di separuh perjalanan, Rammy menukar laluan dan berpatah balik. Kami terpinga-pinga melihat gelagatnya yang seperti mabuk peria katak. “Aku terlupa ambik glove!” katanya. Saya kata (dalam hati) – tu, yang pesan kat orang suruh pi awai tadi tuu

Tidak bertangguh, saya dan isteri bersama Mimi meneruskan kayuhan cindai sehingga ke jeti. Sambil menunggu-nunggu Rammy datang kembali, kami membelek basikal masing-masing dan membuat gaya seperti pelancong dari luar, Uganda contohnya. Ketika itulah kami disapa oleh dua orang penguatkuasa berkaitan Maritim atau entah apa saya nak sebut pun tak pastilah. Yang pastinya butir bicara keduanya sopan namun amat bernada tegas. 

“La ni nak kami nak habaq siap-siap naa. Nak pi Langkawi bawak gerek tak buleh dah naa. Kalau nak bawak jugak kena naik feri Roro. Kalau tidak, kami rampas.” Itu yang mereka katakan sejurus memulakan perbualan. Saya hanya mengangguk, dan mengatakan sedang menunggu seorang lagi rakan. Saya katakan juga kepada mereka bahawa rakan saya itu keturunan Khabib Nurmagedov. Mereka berdua membalas, “Peduli apa kami Khabib tak Khabib, undang-undang tetap undang-undang.” 

Terus, saya hanya diam memerhati mereka beredar. Saya juga mengingati kembali bait-bait nasihat guru silat saya lama dahulu, “Farid, banyakkan bersabar. Jangan sampai orang tahu kamu keturunan Super Saiya.” 

Ya, Farid itu singkatan dari Farid Kamil. Guru saya sering memanggil dengan gelaran itu. 




10 minit kemudian, Rammy tiba. Amanat kedua penguatkuasa tadi saya sampaikan kepadanya. Kata Rammy, tak perlu bimbang kerana jirannya juga bekerja di jabatan yang sama dengan penguatkuasa tadi dan hal itu memungkinkan kami mendapat kabel ‘syafaat’ untuk lepas di jeti nanti. Memang level ayahanda Rammy ni kalau kamurang nak tahu. 

Namun sebenarnya cerita ini agak panjang untuk saya cerakinkan satu persatu. Cuma kesimpulan setakat pagi itu, kami tidak berjaya lepas. Kami kantoi secara berjemaah semasa masuk ke dalam ruangan menunggu. Kedua penguatkuasa tadi menghampiri dan sound tepat ke dahi saya, “Kan kami dah bagitau tak buleh tadi? Gerek naik feri roro! Gerek naik feri Roro!” Deja kosmetik betul, dua kali mereka ulang. Rasa macam nak grip saja leher mereka. Saya urut dada sambil beristighfar mengingati pesan guru saya. 






Dipendekkan cerita, kami terpaksa keluar dan mencari-cari pula kaunter feri Roro. Yang ada hanyalah dua kaunter syarikat yang beroperasi menawarkan perkhidmatan mengangkut kargo iaitu Dibuk dan Langkawi Auto. Kaunter Dibuk buka punyalah lewat. Tertunggu-tunggu juga bilakah pekerjanya akan sampai, namun kami bernasib baik kerana disapa oleh runner dari syarikat Langkawi Auto. Rupa-rupanya rezeki kami hari itu sudah tertulis, kami tidak akan akan sampai ke Langkawi menggunakan feri biasa, bukan juga feri Dibuk, tetapi ya tepat sekali menaiki Langkawi Auto. 

Urusan mendapatkan tiket berbasikal tidak begitu melecehkan seperti menaiki bersama kereta sendiri. Saya selaku wakil hanya mengusulkan kad pengenalan dan membuat muka tak tahu apa-apa. Kadar tiket yang dikenakan pula agak murah sebenarnya. Harga tiket sehala bagi seorang penumpang bersama basikal sendiri, hanya RM33. Manakala untuk dua hala (pergi balik) hanyalah RM56. Ketika membayar harga tiket, terbayang-bayang saya wajah penguatkuasa tadi (sambil mungkin mengucapkan), “Kan aku dah habaq, murah kan? Tu la hangpa ketegaq!” 



Setelah tersadai di Masjid Al-Hussain lebih 2 jam!

10.30 pagi. Di Dalam Feri Langkawi Auto. 

Mahu tak mahu kami terpaksa mengakui, ekspedisi kali ini terjejas teruk disebabkan beberapa faktor tidak terjangka. Pertama, kelewatan berlepas. Kedua, perubahan tempat berlabuh dan lokasi memulakan kayuhan. Feri memulakan perjalanan pada 10.30 pagi dan kami dijangka tiba ke Tanjung Lembong Port (bukan Jeti Kuah) menghampiri jam 12.30 tengah hari. Benarlah kata Jazli (pemilik Mustika Cetak di Langkawi) yang mengatakan perjalanan feri kargo sangatlah perlahan. Di dalam feri (biarpun agak selesa dengan persekitaran dalamannya) semangat kami mulai pudar memikirkan laluan yang hampir 70% terpaksa diubah. Saya menyerahkan semuanya kepada ketua rombongan, Rammy untuk menentukan laluan terkini. Dia tanpa henti-henti membaca peta sambil bermusyawarah dengan Jazli melalui Whatsapp. Jika benaknya sedang serabut, dia bagaimananapun bijak menanganinya dengan menghiburkan diri (secara sir) lagu Ken Li yang dipopularkan oleh Mariah Carey. 








Menghampiri jam 12.30 tengah hari, kami bersiap-siap untuk keluar dari feri. Kami mengenakan penutup muka, sarung tangan dan helmet atau topi sekemas mungkin lalu menghirup minuman sebelum menyahut cabaran membahang bumi Langkawi. Disebabkan terkenalnya ungkapan jika masuk ke tempat orang lebih molek jika berjumpa penghulunya dahulu, kami bersepakat membuat keputusan untuk singgah berjumpa Jazli di premis perniagaannya dahulu di Kg. Mata Ayer. 

********** 

Saya rasa tidak sampai setengah jam memulakan kayuhan, kami diuji dengan ujian pertama; tayar fixie Rammy hampir pancit. Nasib baiklah ia sekadar baru membengkak. Dapatlah Rammy bertindak membalut dengan masking tape buat sementara waktu. Sempat juga saya mencermati riak wajah Rammy yang tenang ketika itu. Mungkin ini rahsia apabila kita mencapai umur 40 tahun. Kita tidak akan semberono gelabah biawak menghadapi apa-apa situasi. Mungkin bila dia baca perenggan ini dia akan menyampah, tetapi biarlah. Bukankah ada beberapa mukasurat lagi untuk menulis tentang kekejamannya? 



Kami kemudiannya tiba di Mustika Cetak dengan kadar yang agak tiba-tiba. Kayuh kayuh rupanya premis perniagaan milik Jazli itu sudah terbentang di sebelah kami. Kawasannya agak berbukit dan berlatarbelakangkan rumah-rumah sewa. Kami memberi salam dan Jazli keluar dengan wajah buat-buat terkejut. Berulang-kali dia menggelengkan kepala. Kami meminjam peralatan seperti spanar untuk membuka tayar dan juga meminjam motosikalnya. 


Alhamdulillah, jarak kedai basikal dengan Mustika Cetak tidaklah begitu jauh. Kami selesai menukar tayar di situ dan berpatah balik menemui Jazli. Di situ, Rammy sudah terbang RM35 untuk membeli tayar baru. Dia bagaimanapun masih tenang. Ingat, Rammy sudah 40 tahun tahu. 

Segalanya sudah kembali seperti asal. Sebelum memulakan kayuhan semula, Rammy menyerahkan dahulu zine Pedal To The Metal isu ke-8 kepada Jazli, bersama sticker, bergambar dan bersalam-salaman. Jazli mengucapkan selamat berjaya kepada kami berempat. Biarpun laluan asal sudah berubah cuaca membahang tetap tidak berubah, katanya kepada kami sambil ketawa mengekek bergema, bersipongang hingga ke jalanan seterusnya. 



Memulakan kayuhan, ujian datang lagi. Kali ini sarung tangan Rammy ketinggalan sebelah, entah di mana. Dia merayau-rayau di kedai basikal, kedai runcit dan di sekitar kedai-kedai lain yang sebelum ini dia singgahi. Tapi tetap sarung tangan itu tiada dijumpai. Rammy kata, tak apalah. Kita teruskan dulu. Kita perlu sampai ke Cenang sebelum malam. Kami yang lain-lain menurut sahaja. 

Ketika ini, laluan sudah mula berbukit-bukau. Saya menganggarkan di hadapan kami menghampiri satu kawasan yang dipanggil lokasi ‘Pemandangan Indah’. Dan ada bangunan rumah terbalik, kata isteri saya. Saya berhenti, menghela nafas dan menoleh ke belakang. Mimi dan Rammy kelihatan seperti berbincang. Seketika kemudian Rammy berpatah balik. Saya dan isteri menunggu Mimi kerana ingin mengetahui keadaan Rammy. 

“Tayar Encik Rammy pancit lagi. Kali ni belah depan pulak,” kata Mimi. Saya menggelengkan kepala. 

“Habis tu, kita kena tunggu dia kat mana? Sini?” saya menyoal. 

“Kita rehat sat. lepas tu Encik Rammy suruh kita kayuh, tunggu dia kat Telaga Marina.” 

“Berapa jauh tu?” 

‘Tak pasti la pulak. Susah-susah sat lagi kita Google je la.” 

Kami bertiga akur. Kayuhan diteruskan lagi kerana kami masing-masing sudah kehabisan dialog. Kami melalui beberapa kawasan yang saya tak berapa pasti nak tulis apa namanya. Yang saya ingat adalah bulatan jalan, kawasan Beras Terbakar sehinggalah di simpang tiga sebelum memulakan pendakian (naik bukit). Di simpang tiga itu kami singgah di salah sebuah warung untuk menjamah pisang goreng terlebih dahulu. Kata orang, mengunyah pisang dapat membekalkan potassium. Bab ni saya malas nak ulas. Lagipun saya lapar masa ni. 

Sambil mengunyah, saya membelek telefon. Ada missed call dan mesej daripada Rammy. Katanya, ujian lagi. Selepas menukar tayar depan (luar), tayar dalam pula pancit. Saya letak tangan atas dahi dan mengenang nasib Rammy yang dirundung malang. Hebat betul dugaan dan kasih sayang Tuhan kepada seseorang yang sudah menginjak ke umur 40 tahun. 


Pancit untuk kali ketiga dengan baki duit RM1 dalam poket!

Kayuhan menghala ke Telaga Harbour sangatlah mencabar bagi saya dan isteri yang baru bulan lepas beli basikal. Dengan simpang-siur jalannya, gaungnya, monyetnya, dengan mat saleh naik skuter sambil gelak-gelaknya, dengan orang tebang pokoknya. Macam-macam. Tentang monyet, saya menjangkakan mereka jenis yang aggresif menyerang orang. Rupa-rupanya tidak. Mereka hanya duduk diam di tepi jalan, melihat-lihat orang lalu-lalang sambil buat muka serius. Kata rakan-rakan di Langkawi, sekumpulan monyet di situ sudah tidak mengamalkan hidup seperti kebiasaan monyet terdahulu. Mereka tidak lagi mencari makan sendiri sebaliknya manja seperti kucing menunggu makanan daripada para pelancong setelah terbiasa dilayani sebegitu. Begitu maksudnya, saya ingatkan tidak mengamalkan hidup seperti monyet-monyet terdahulu itu adalah disebabkan pertembungan di antara monyet Kaum Muda dan monyet Kaum Tua. 

Oh ya, semasa di laluan ini Rammy sudah tiba dan menyertai kami. Dia hairan melihat kami masih tidak jauh bergerak. Sebenarnya selain tidak tahu jalan, saya juga perlu memastikan keselamatan isteri dan Mimi di belakang. Risau juga jika mereka ketinggalan di belakang, siapa akan mahu menjaga saya di hadapan, betul tak? 

Alhamdulillah hampir jam 3.45 petang, kami akhirnya sampai ke Telaga Harbour Marina. Kami berehat sebentar di dalam Petronas, bersandar dan makan megi cup setiap seorang (kecuali Mimi). Tiada beza rasa megi cup di sini dengan megi cup di tempat anda. Jadi tak perlulah saya ulas tentang rasanya. 

Selesai makan, menyanyi lagu Ken Li, berbual dan meregang-regang urat, kami solat jamak, bergambar dan beraktiviti lebih kurang sebelum meneruskan kayuhan semula, sekitar jam 5.30 petang. 









Turun semula di jalanan menghala ke Cenang, Rammy selaku ketua rombongan yang sememangnya penggila kopi mengajak kami singgah ke Chocoffee (Cawangan Chocolate Museum dari Penang). Sekadar berkopi-kopian petang-petangan katanya. Dan lebur juga RM12 kami di situ menghirup sejuknya Hazelnut White Coffee (cold). Ketawa besar taukenya bila baca perenggan ni. Oh ya, Chocoffe ini selain menawarkan kopi dan minuman lainnya, ia juga merupakan sebuah kedai cenderahati dan coklat. Sempat juga saya dan isteri menjenguk-jenguk di dalam kedainya. Sejuk berhawa dingin tentunya. Tetapi tidak pula saya membuat sebarang belian coklat. Perjalanan masih jauh. Nanti cair. 


Selesai meneguk minuman, kami kembali mengayuh menghala ke Cenang untuk sampai di sana sebelum malam. Di sini saya terperasan sebuah warung tepi jalan (berhampiran Chocoffee), menjual air kelapa. Terdetik juga rasa sayu melihat anak mata mereka mengekori perjalanan kami. Perbezaan darjat di dunia ini memang sedikit mendukacitakan. Menyesal juga kerana tidak sempat menyokong perniagaan mereka, namun apabila memikirkan rezeki setiap insan telah sedia ditentukan ilahi, saya cekalkan hati dan meneruskan kayuhan tanpa apa adanya lagi. 

Perjalanan ke Cenang lalui Kuala Melaka Inn, lapangan terbang, kumpulan-kumpulan peniaga jalanan, dan mat-mat rempit bersimpang-siuran mengingatkan kembali percutian saya dan isteri beberapa tahun dahulu sebelum kami mempunyai anak. Suasana sekitar masih tidak banyak berubah. Ketika ini saya terdetik memikirkan segala kenang-kenangan hidup dan jelmaan memori silam. Susah saya nak gambarkan untuk kamurang faham, tapi kamurang buat-buat faham sajalah. Setiap dari kita pasti punya memori, bukan? 

Jam menunjukkan 7.15 malam. Kami menghampiri Pekan Cenang yang mulai padat dan hangat. Di sini saya terserempak dengan seorang rakan ASWARA dari Fakulti Seni Halus; saudara Aizat Amir yang saya kira sangat berjaya dalam bidangnya. Beliau kelihatan terkejut melihat kelibat saya. Sememangnya itu bukanlah menghairankan kerana banyak di tempat lain, ramai yang terkejut melihat dan menyangka saya ialah Farid Kamil. Percayalah, saya tengah bohong ni. 

Aizat dan saya hanya berpapasan sedang dia ingin melintas jalan. Apa yang sempat kamu lakukan adalah high five dan berlalu, kemudian meneruskan komen di dalam Facebook sahaja. 

Kebetulan Airbus mendarat ketika kami melintas Lapangan Terbang Padang Maksirat

Tubuh mulai terasa letih. Sekarang adalah masa mencari motel. Agak dalam juga motel yang isteri saya tempah beberapa hari lepas. Berpandukan Google Map, kami sampai juga ke Annies Homestay yang terletak di Bohor Tempoyak. Waktu ketika itu tepat kedengaran azan Maghrib. Saya menghela nafas syukur. 

************** 

Jam 8.22 malam, Rammy whatsapp mengajak lepak bersama rakan-rakan metalheadnya. Izzat Isa, seorang kenalan Facebook (Pengurus Muzium 3D) juga whatsapp bertanyakan hal yang sama. Saya ok saja, asalkan jadual lepak tidak bertindan. Isteri saya juga tidak ada masalah. 

Selesai menjamakkan solat, saya dan isteri mengayuh basikal ke roomstay Rammy yang juga berhampiran roomstay Mimi. Mereka sudah menunggu dan kami berjalan kaki ke Pekan Cenang yang semestinya sudah mulai padat dengan kehadiran para pelancong termasuk kami yang dari Guar Chempedarth Vader. 


Sekali lagi di sini, saya seperti kebiasaan akan mencuci mata menghiburkan hati di kedai buku terpakai. Tiada buku yang menjadi pilihan hati, kami berjalan lagi. Seterusnya saya terserempak pula kali kedua dengan saudara Aizat Amir. Di kesempatan yang ada, kami berbincang sakan tentang gosip-gosip yang sedang hangat berlegar di ASWARA. 


Beberapa jam kemudian Izzat, Jazli dan rakan-rakan Rammy (Funeral Pyre) datang bersekali. Aktiviti melepak dilakukan di KFC, Cenang Mall seperti biasa dilakukan semasa Rammy datang pada pertama kali kayuhan di Langkawi. Aktiviti melepak yang dilakukan sangat konsisten sehingga berlanjutan melepasi waktu puncak jam 1.00 pagi. Banyak hal yang diborakkan semasa itu terutamanya tentang muzik, distro, island hopping, graffiti, harga tiket feri, pengharaman basikal di dalam feri penumpang, cuaca semasa, kos membeli tayar sebanyak tiga kali, monyet dan banyak lagi.  





Saya, dan Rammy pulang ke roomstay terhoyong-hayang selepas aktiviti bergambar di hadapan Cenang Mall. Manakala isteri saya dan Mimi awal-awal sudah angkat kaki, terlena di roomstay. Rupa-rupanya ayat nak jalan di sekitar Cenang Mall sebelum itu hanya wayang saja. 

Esoknya kami berkumpul kembali, bersarapan di kedai berhampiran Cenang Walk agak lewat. Mungkin sekitar jam 10.00 pagi. Cadangannya nanti jam 11.00 pagi kami mahu ke Warisan, sebuah kedai coklat dan cenderahati yang disarankan oleh Jazli dan Izzat. Namun kedai tersebut memulakan perniagaannya pada jam 1.00 tengah hari. Pastinya agak membuang masa jika kami menunggu. Jadi kami memburu coklat di Caca sahaja, iaitu sebuah kedai di hadapan Cenang Mall. Selesai pemburuan, membuang hajat dan mengurut di kerusi urut RM2, kami melangsungkan kayuhan melepasi Pekan Cenang yang mulai sibuk. Dan pastinya waktu ini cuaca semakin membahang. 







Mungkin terlupa, atau tersilap percaturan. Semasa kayuhan menghala ke Tanjung Lembong Port, saya terlupa membeli air mineral gantian dan hanya bergantung kepada Coke yang hanya berbaki separuh botol. Natijahnya di beberapa laluan saya terpaksa menolak sahaja basikal sambil menyesal kedahagaan. Tetapi laluan di situ sememangnya agak curam dan berbukit-bukau. 


Namun akhirnya, kami sampai agak awal di Tanjung Lembong Port iaitu sekitar jam 1.00 tengah hari. Disebabkan masih ada waktu yang tersisa, kami mengayuh lagi. Cadangannya mahu ke Kuah, tetapi kudrat masing-masing tidak mengizinkan. Kami sekadar di separuh perjalanan dan berhenti minum di salah sebuah kedai makan tepi jalan lalu berpatah pulang ke Tanjung Lembong Port. 

Kami memasuki feri Langkawi Auto pada jam 3.00. Dan kami menikmati resah tenang berhawa dingin di dalamnya, di sepanjang perjalanan pulang ke Kuala Perlis. Sebulat suara kami mengakui gembira dengan kayuhan kali ini, namun masih belum berpuas hati dengan beberapa perubahan dan kekangan-kekangan yang berlaku. 

Rammy merancang untuk melakukan kayuhan lain nanti demi mengubati ‘kekecewaan’ kali ini. Saya tidak membantah. Jika ada rezeki, saya pasti akan turut serta! 

Laporan oleh:

[Disiapkan dengan agak tergesa-gesa, semasa mencuri masa mengurus tempahan online, kerja-kerja suntingan dan menjaga anak pada 25 Mac 2019, jam 1.52 tengah hari]

Pautan kayuhan pertama di Langkawi >> SINI

No comments:

Post a Comment