Saturday, May 22, 2021

BATHIL single CD (HUD HOOD RECORD) - MALAYSIA


Amin Arawi merupakan seorang pemuzik versatile di Perlis. Apa genre muzik yang dia tak pernah sentuh? Rock, Ooi, black thrash, qasidah? Semuanya beliau sudah khatam. BATHIL adalah ekspresi diri Amin sebenarnya. Amin adalah BATHIL, dan BATHIL adalah Amin. Dua entiti dari persona yang sama. Amin menulis dan memainkan kebanyakan alat muzik sendiri, bahkan beliau turut menjalankan majoriti kerja-kerja rakaman dan adunan secara sendiri di kediamannya. Dengan pasukan pemuzik berbakat yang lain, iaitu Ayarts, Khad dan Fee, mereka telah memberi tambahan nilai kesenian pada muzik BATHIL. Mereka membentuk ‘super group’ pop etnik yang tidak pernah wujud di Perlis sebelum ini. Dikala M. Nasir sendiri telah ketandusan idea untuk menulis lagu-lagu sebegini.

BATHIL tidak memberi saya ruang langsung untuk mengkritik muzik mereka. Komposisi mereka matang dan mantap. Mereka perlu promosi yang lebih besar jika mahu bergerak di arena arus perdana. Mereka perlu strategi yang lebih mesra media sosial dan lebih kapitalis. Ia bukan bermaksud untuk mengadaikan prinsip, tetapi untuk menjana pendapatan bagi mendapatkan dana rakaman berkualiti, alatan muzik berkualiti, penjenamaan dan juga kelangsungan modal untuk menjalani latihan secara berjadual.

Ini bukan zaman pemuzik dapat hidup dengan jualan album atau zaman dimana label boleh mengorek bakat baru untuk dikembang biak. Sekarang adalah zaman toko muzik tutup buku, zaman rakaman antik diulang cetak lebih laris dari yang moden.

Ada dua lagu berdurasi mencecah hampir 12 minit dalam pek langsing yang dilancarkan pada 7 April lalu dengan harga RM20. Setiap RM2 dari hasil jualan CD ini akan disalurkan kepada Aman Palestin. Beri sokongan kepada mereka.

Dipetik dari RAKAP BESI ZINE # 6 (Oktober 2018).


No comments:

Post a Comment