Tuesday, June 8, 2021

FARASU “Sulalatus Salatin” (Farasu Movement) – MALAYSIA


Ada beberapa fakta yang saya suka mengenai FARASU ini, pertama mereka cekal dengan konsep bawaan mereka iaitu metal ‘ketimuran’ sejak dari awal kemunculan pada 2002 dahulu hingga kini. Kedua, aktiviti dipentas dan studio berjalan seiring. Mereka bukan sahaja aktif membuat persembahan dan siri jelajah sekitar benua namun mereka juga kuat bekerja di studio bagi menghasilkan karya-karya baru atas nama Farasu. Ketiga, mereka antara yang mementingkan pakej profesional dalam setiap hasil yang akan dipasarkan. Biar reka letak kulit album, ilustrasi cetakan t-shirt dan sebagainya, semuanya mendapat sentuhan berseni.

Album ini dirakamkan dan diadun oleh Azumbi di Retrax Studio, Putra Walk Seri Kembangan Selangor manakala proses mastering dilakukan oleh D'Atok Akeem di Otai Art Studio. “Sulalatus Salatin” adalah sebuah epik death/rock atau melodic death metal yang digarap agar mudah dihadam riffing nya, mudah dibawa headbang, dan punyai keunikan pada elemen-elemen kenusantaraan yang tepu. Sebuah trek Instrumental berjudul Eastern Symphonic menampilkan sayembara alat-alat muzik etnik/tradisional oleh DEWANGGA SAKTI dipersembahkan dalam album ini sebagai bukti arah tuju yang mereka tunggangi. DEWANGGA SAKTI dianggotai ahli-ahli CRYPTIC MALEDICTION yang boleh dinobatkan antara yang pertama mempelopori Eastern death metal di Malaysia. Bagi FARASU, mereka boleh dikatakan lebih progresif dan moden berbanding CRYPTIC.

FARASU menekankan pengunaan Bahasa Melayu dalam album ini kecuali trek Rise Ov Semberanica dan Eternal Eingriff yang dinyanyikan dalam Bahasa Inggeris. Mereka memilih untuk merakamkan sebuah lagu saduran dari M.Nasir berjudul “Meniti Titian Usang” yang pernah dimainkan sebuah cover band pada tahun 1986. FARASU tidak banyak menyentuh struktur asal lagu ini dan dibawa dengan penuh cermat.

Pengunaan keyboards dalam album ini telah memberikan sedikit rona serta memantapkan setiap latarbelakang irama yang dianyam mereka. Secara keseluruhan, album ini adalah yang terbaik pernah dihasilkan FARASU. Sulalatus Salatin dikeluarkan dalam format digipak CD dan boleh diperolehi dengan harga RM25 sahaja.

Dipetik dari Rakap Besi isu # 8 (Oktober 2018)


No comments:

Post a Comment