Cuti sempena Deepavali tahun ini (4 Nov 2021) saya kira menjadi asbab kayuhan kembara penutup bagi tahun 2021, setelah berbulan-bulan terpaksa larut dalam suasana PKP. Rammy sekali lagi menjadi pencetus, mengajak saya dan isteri menyertai Rakap Besi untuk kayuhan off road di kawasan Hutan Simpan Sintok yang mana kayuhan kali ini kami bakal menjejaki the lost waterfall; Air Terjun Lebai Hussin 2.
Persiapan kali ini tidaklah terlalu besar seperti kayuhan ke Langkawi atau ke Thailand dalam edisi yang lepas. Cuma untuk pengesahan, kami selaku peserta dikehendaki memohon permit kebenaran daripada Jabatan Perhutanan Negeri Kedah dengan bayaran RM5 setiap seorang. Selebihnya adalah bertawakkal kepada Allah SWT agar perjalanan kami kelak, selamat seadanya.
*********
Saya dan isteri bertolak dari Guar Chempedak lebih kurang jam 6.30 pagi menuju check point atau tempat berkumpul di Dusun Chu Tiah, Changlun. Perjalanan ke dusun ini yang berliku lecah dan berbatu kasar sudah memberi bayangan bahawa kayuhan kami nanti tidaklah terlalu mudah. Kami tiba di kawasan lapang (tempat letak kenderaan) berhampiran Dusun Chu Tiah pada jam 7.40 pagi setelah hampir 2km melepasi pondok moden Darussalam.
Mengikut perancangan awal kayuhan kali ini akan disertai oleh 5 orang rider. Namun Mat Duha terkandas di alam sebalik mata lalu menjadikan kayuhan kami hanya berbaki 4 orang sahaja. Dalam hati saya agak gusar juga kerana mengenangkan orang kuat wali karamah seperti beliau tidak hadir. Tetapi apa boleh buat. Tak apa. Saya dan isteri masih dapat bergantung harap kepada orang kuat Rammy dan seorang lagi rakan rider iaitu Rizal yang misteri. Harus diingat, dalam setiap ekspedisi masuk hutan, kita memerlukan orang kuat seperti mereka untuk mencapai kecemerlangan menuju destinasi.
Sebelum memulakan kayuhan, Rammy memulai hari yang cerah ini dengan mengisar kopi untuk dibuat bekalan. Selain menggemari muzik berat, dia sememangnya seorang penggila kopi tahap ekstrem. Manakala saya dan isteri sudah siap untuk memulakan kayuhan setelah beberapa minit kemunculan saudara Rizal.
Setelah semuanya siap, kami bergerak dengan penuh keazaman meredah lumpur pertama berhampiran jalan masuk ke Dusun Chu Tiah. Waktu ini suasana masih lagi sunyi tanpa kehadiran orang awam atau pengunjung lain (yang biasanya hadir untuk hiking atau beriadah di Dusun Chu Tiah). Saya dan isteri mengepalai ekspedisi manakala Rizal di belakang serta Rammy yang bertugas sebagai jurugambar.
Tiada cabaran yang begitu mendesak pada laluan pertama ini melainkan seketika kemudian kami meredah parit yang telah runtuh (ada khabar angin mengatakan parit ini telah ‘sengaja’ diruntuhkan). Di sekitar kiri dan kanan laluan waktu ini masih terdapat kawasan berpagar dan semak lalang, menandakan ia masih lagi merupakan tanah milik persendirian, kebun dusun atau mungkin, kem-kem tertentu.
Di sepanjang jalan saya diberitahu bahawa kami akan melalui beberapa batang anak sungai selain perlu berhati-hati dengan beberapa cerun yang telah runtuh disebabkan faktor cuaca atau laluan air.
Sebelum saya terlupa, menurut Jabatan Perhutanan Negeri Kedah nama Air Terjun Lebai Hussin 2 adalah nama sebenar bagi destinasi yang kami bakal tujui. Ia bagaimanapun telah cuba dijenamakan semula sebagai Air Terjun Bukit Perangin oleh beberapa individu atau perkumpulan yang saban waktu berjaya sampai ke sana. Maka tidak hairanlah jika kita membuat carian di internet, kita akan menemui nama tersebut bersilih ganti dengan nama sebenarnya. Namun pihak berwajib tidak bercadang untuk menurut dan ini dibuktikan dengan ketegasan penggunaan nama yang tertulis di dalam permit keluaran mereka.
Saya tidak pasti setelah melepasi sungai pertama atau kedua, kami telah berjumpa dengan segerombolan anak muda lelaki dan perempuan (saya kira pelajar atau lepasan universiti) yang datang dari laluan masuk yang berlainan. Saya beranggapan begitu kerana mengikut laluan kami tadi, mustahil akan dapat dilalui oleh kenderaan seperti kereta. Mereka meletakkan kenderaan berhampiran titi berdekatan untuk hiking. Suasana yang agak sunyi sebelum ini bertukar menjadi riuh dengan kehadiran mereka. Darah muda, semua pernah melaluinya.
Sekadar bertegur sapa, kami kemudiannya meneruskan kayuhan. Pastinya laluan bakal menjadi sukar di hadapan.
*******
Pendakian cerun, laluan berbatu dan laluan air yang kadangkala basah dan kadangkala berdebu serta suasana yang sunyi senyap kemudiannya mengingatkan saya pada anak-anak di kawasan pedalaman (negeri-negeri tertentu untuk) ke sekolah. Jika kita sebagai penggemar sukan lasak menikmati laluan seumpama ini sebagai hobi dan cabaran untuk keluar dari serabut hiruk pikuk kehidupan, mereka, anak-anak ini mengharunginya sehari-hari dengan harapan langkah kaki itulah yang bakal mengubah kehidupan mereka kelak. Mengingati hal ini saya sendiri benar-benar merasa terbeban. Bagaimana pihak berwajib mampu tidur lena tanpa sedikit pun merasa bersalah setelah janji yang ditabur akhirnya seakan-akan tidak mahu dilunasi?
Mungkin saya bukanlah orang yang berhak mempersoal, tetapi saya fikir ia tidak salah untuk dibincangdebatkan.
Menurut Rammy, ekspedisi menjejak kali ini tidaklah sebegitu jauh. Pergi balik perjalanan hanyalah sekitar 14km sahaja. Tetapi yang memeritkan adalah laluan yang sukar diduga. Saya mengakuinya. Kerana inilah resmi kayuhan off road. Ia tidak memfokuskan kelajuan. Ia berkaitan hati dan perasaan, mental dan fizikal. Bagaimana cara kita untuk menghadapi cabaran di laluan, dan bagaimana cara kita menghadapi hasutan di dalam diri yang acapkali membisikkan untuk tidak menghabiskan cabaran sehingga terdetik berputus asa.
Beberapa batang anak sungai, semak belukar, cerun berbatu dan laluan berdebu telah kami lewati. Kami akhirnya tiba di satu laluan berlumpur yang saya kira telah memakan banyak ‘korban’. Apa yang saya maksudkan adalah bergelimpangannya tapak kasut dan kasut yang ditinggalkan di sekitar kawasan tersebut. Ia korban tragedi. Dan di kawasan inilah kasut saya hampir menjadi mangsa.
Tapak kaki babi liar berselerakan di kawasan ini |
Saat ini, Rizal dan Rammy yang gagah menerajui juga berhenti untuk menunda basikal masing-masing. Lumpur kental yang berbau masam pekat membenamkan kaki hampir separuh betis. Untung juga isteri saya tidak mengeluh. Saya memuji fokus dan keazamannya untuk meneruskan perjalanan.
Laluan berlumpur ini saya anggap paling memeritkan kerana kami terpaksa meredah bukan satu, tetapi tiga laluan kental yang benar-benar membenam. Hanya setelah melepasi kawasan ini, semuanya kembali ‘normal’. Sekurang-kurangnya.
Apabila menemui anak sungai di beberapa jalan di hadapan, kami berhenti sebentar, menyental serba sedikit lumpur yang bersarang di celahan tayar. Di samping menyental, Rammy masih sempat menggambari kami dan merakam video. Rizal masih seperti awal, tetap misteri. Hanya menjawab sepatah dua kata dan tersenyum tanda meraikan. Namun tak lupa dia mempelawa kami untuk menyembur Bygon untuk menghindari pacat yang semakin menggila memanjat betis.
Di belakang waktu itu, segerombolan anak muda yang ber-hiking tadi sudah mulai mendekat. Tidak mahu mengalah, kami meneruskan kayuhan walau dalam seribu kepayahan.
Beberapa kali juga kami mendengar bunyi laluan air tanda kami sudah hampir mendekati destinasi. Saya tidak pasti sudah melalui berapa kilometer kerana seawal kayuhan lagi meter basikal sudah kehabisan bateri. Cuma saat menghampiri penghujung, ketika menaiki cerun yang sudah semakin meninggi, Rizal membuat keputusan untuk meninggalkan basikalnya di situ, diikuti saya dan isteri. Hanya Rammy yang tetap teguh mengangkat Ironhorse-nya ke atas. Ketika itu saya fikir tidak mahu terlalu memaksa diri kerana memikirkan risiko untuk menurunkan basikal pula nanti. Kawasan cerun terakhir ini amat licin dengan tanah merah yang sudah mulai membentuk gelongsoran di samping ceracak batu-batu yang besar tajam.
Kami meneruskan pendakian beberapa meter di hadapan dan di situlah keajaiban muncul; Air Terjun Lebai Husin 2 yang begitu besar, tinggi tersergam, melambai-lambai kami dengan hembusan damai.
Di situ, penat lelah sepertinya mengapung, lalu berkecai hilang perlahan-lahan.
********
Waktu itu, kami bukan pengunjung pertama yang sampai. Beberapa orang pengunjung lain telah berada di situ. Saya membuat carian di internet untuk mengetahui berapa meter ketinggian air terjun ini, namun tidak menemuinya setakat ini. Tapi kekaguman saya terhadap ciptaan Allah SWT ini tidak terhenti di situ. Ia benar-benar tinggi dan besar, namun di bawahnya tidak membentuk kolam air seperti kebiasaan sungai atau jeram. Air yang jatuh daripadanya hanya mengalir di atas pasir seolah-olah air yang menimpa kita hanyalah seperti lebatnya hujan. Angin yang terhasil daripada percikan air juga memberi satu kelainan yang damai. Dan paling utama, air terjun ini masih terpelihara, kerana lokasinya yang jauh di dalam hutan.
Kami berehat sambil bergambar dan acara wajib seterusnya adalah membuat kopi. Cabaran utama untuk menyalakan unggun api pastinya dengan keadaan angin yang kuat dan ranting kayu yang basah. Satu jam pertama membuatkan kami terpaksa berpuas hati menjamah bekalan masing-masing tanpa kopi. Kemudian saya, Rammy dan Rizal melangkah beriadah, ‘bertapa’ di bawah percikan air terjun. Air yang menghempas kadangkala besar kadangkala kecil begitu menyegarkan, namun membingitkan juga telinga. Sedang isteri masih bertungkus-lumus dan belum menyerah untuk menyalakan unggun api. Api marak pada mulanya, tetapi tidak bertahan lama.
Setelah beberapa kali mencuba, hasil kerjasama Rammy dan Rizal, setelah masuk ke jam yang ke-3, api mulai kembali marak dan kopi pun perlahan-lahan berjaya diseduh.
Perjalanan pulang kami selepas itu agak santai, kerana seperti yang kita ketahui, untuk menjejak atau sampai ke sesuatu lokasi, kita merasa seakan-akan tiada penghujungnya. Tetapi saat pulang, waktu yang berjalan seakan-akan tidak berputar. Terasa sebentar sahaja kami kembali melewati denai-denai kerikil, anak-anak sungai, cerun berbatu dan kawasan lumpur kental tadi.
Kami tiba di Dusun Chu Tiah dengan selamat akhirnya. Dan dengan rasminya tirai kayuhan Air Terjun Lebai Hussin 2 berjaya dilabuhtamatkan. Hajat di hati ingin menyental bilas basikal dan tubuh saat tiba di kawasan tersebut. Tetapi memandangkan pengunjung mulai ramai, kami membatalkan hasrat itu dan terus mengangkat basikal, membersihkan serba-sedikit untuk dimasukkan ke dalam kereta.
Perancangan seterusnya, Rammy mengajak saya bermalam di rumahnya kerana pada malam tersebut kebetulan bertepatan dengan tarikh pengajian kitab Bulughul Maram Dr. Maza. Kami mengisi perut yang lapar pada sebelah petang itu dengan menjamah nasi kandar Melayu, Arau setelah tidak berkesempatan menjamah Nasi Ayam Pansuh dan setelah siap membersihkan diri di Masjid Ali Imran, Kg. Ulu Pauh.
Laporan oleh:
Trail yg palimg puas hati sy pernah ikut. Biarlah misteri terus kekal misteri. Kekeke
ReplyDelete