Kayuhan jelajah Hatyai ialah acara tahunan bagi Rakap Besi, namun ia tertangguh selama 2 tahun akibat sekatan sempadan Malaysia -Thailand rentetan dari penularan pandemik Covid-19. Ride & Roll to Singora atau Songkhla asalnya dirintis secara kayuhan solo pada tahun 2015 seterusnya dikembangkan menjadi acara rasmi dengan tentatif yang dipersetujui secara berpasukan.
Kayuhan di tanah Siam sememangnya tidak pernah membosankan. Biarpun kini sudah masuk kali ketiga, berbagai-bagai ragam dan pengalaman masa "senggang" dirakam bersama menjadi kenangan buat renungan masa "sempit" nanti. Dua pendatang baharu, Bro Zoraimi dan Nunu turut ikut serta kali ini, manakala saudara-saudara kami yang telah lama bersama, bergabung semula dalam acara ini selepas Ride in Langkawi 3.0 dua bulan lepas. Daripada 10 orang prebet, pasukan Rakap Besi akhirnya tinggal 6 orang sahaja. Selebihnya kecundang oleh bermacam-macam masalah yang tidak dapat dielakkan. Untuk kembara kali ini saya memilih untuk mengunakan foldies Kalaq milik isteri saya.
Bro Zoraimi datang dengan ETS awal sehari, katanya untuk kayuh-kayuh tengok tempat orang. Dia yang turun di stesen Arau jam 4:00 petang tidak menyangka jarak perjalanan ke Padang Besar, dengan keadaan muka bumi berbukit-bukit dan cuaca panas di Felda Chuping tu boleh tahan azabnya! Saya sudah awal-awal beritahu dia, tapi biarlah dia berkenalan dengan bumi Perlis yang Permai lagi Mempesona ini. Dia yang sampai di pekan Padang Besar kira-kira 8:00 malam, mula tercari-cari tempat tukar wang dan restoran untuk makan malam, ditanyanya kepada saya, manalah kami orang Perlis tahu? Manada orang pergi Padang Besar malam-malam buta? Ini tegha zaman sekarang, bayangkanlah 20 tahun lalu. Lagilah koboi. Ha!ha!ha! Masih segar dalam ingatan saya ketika pertama kali dibawa ayah pergi ke Padang Besar pada tahun 1991, saya tak boleh nak telan makanan yang dimasak oleh orang Pattani di situ. Hanyir dan pelik rasa minumannya. Tapi kini sudah jauh berubah, orang kita sudah kemaruk masakan Thai.
Jika tuan-tuan pernah membaca catatan Pendita Za’ba yang mengembara dari Padang Besar ke Kelantan melalui wilayah Pattani pada tahun 1928 dahulu tentu ingat yang Za’ba mengatakan dia pun geli geleman tengok makanan-makanan penjaja Thai kerana tidak bersih. Malah ketika di stesen keretapi Hadyai, Pendita Za’ba tidak dapat membezakan orang lelaki Thai dan Melayu Pattani kerana kebanyakannya memakai semutar dan menguyah sireh. Manakala yang perempuan lebih mudah dikenali kerana wanita muslim memakai tudung walaupun tidak menutup aurat dengan sempurna (berkemban).
Kata pendita Za’ba “Akan tetapi nyatalah semua orang-orang Melayu dan Siam yang kelihatan di stesyen-stesyen ini – istimewa yang Siamnya – nampak sangat rendah lagi darjah kemajuannya. Bahkan sangat jatuh hingga setengah daripada setengahnya bolehlah disamakan seakan-akan Sakai di dalam hutan. Atau seperti keling Hindu kuli yang berkerja jalan atau menitik batu di sebelah negeri-negeri Melayu perintah Inggeris ini. Kita sangka orang-orang kampung kita Melayu di sebelah sini kelihatan dari kereta api sambil-sambil kita lalu itu tersangat jatuh atau rendah darjatnya: rupanya orang-orang kampung bangsa Siam atau di sebelah perintah Siam terlebih lagi bahkan bolehlah dibandingkan dengan bangsa sehabis-habis rendah” (Majalah Guru, Mei 1929).
9hb September 2022
Pitri dan isterinya, Sakinah pun sampai di rumah saya sekitar 8:00 malam. Tiba sahaja di depan pintu rumah, dia menghela nafas panjang sambil mengucapkan “Panjang ceritanya!” disambut ketawa besar Sakinah. Setelah menurunkan barang dan berehat sebentar, mereka pun bercerita sebenarnya mereka sudah sampai di Perlis jam 05:00 petang tadi, namun sangkut setelah pergi menziarahi rakan campers di Beseri, mereka dibawanya meninjau 3 tapak perkhemahan, kemudian mereka sangkut pula di Balbuk Haus, Bukit Keteri. Mereka terus makan malam di situ. Begitulah ceritanya. Saya dan isteri yang pada mulanya ingin membakar pizza untuk makan malam terpaksa batalkan hasrat kerana sudah kesuntukan masa untuk uli doh dan bakar kayu api. Memang sudah jadi kebiasaan kami main masak-masak setiap kali kawan-kawan berkunjung ke rumah. Jadi kami pun terus ke Warung Ehem-Ehem untuk makan malam di sana, Pitri dan Sakinah pula hanya temankan kami kerana mereka sudah balun awal lagi di Balbuk.
Pulang dari Ehem-Ehem kami terus tidur, esok hendak gerak awal pagi. Tak banyak yang kami bincangkan malam ini menerusi Whattsapp group, hanya tentang waktu tayar golek esok pagi saya tangguhkan ke pukul 07:30 pagi supaya semua tidak kalut kerana waktu Subuh di Perlis masuk pada jam 06:08 pagi. Bro Zoraimi tiada masalah kerana kami akan berkumpul kira-kira 500 meter sahaja dari penginapannya iaitu Loft 3.
10 September 2022
Kami boleh dikatakan sampai serentak di tempat yang dijanjikan. Tempat biasa, parkir berbayar di kawasan bazar Padang Besar. Namun pagi-pagi ini kaunter masih belum beroperasi, jadi dapatlah kami masuk percuma. Kami berkenalan dengan Bro Zoraimi dan masing-masing nampaknya sudah tak sabar untuk menyeberang Tanah Siam. Diken dan Nunu duk kelam kabut apa ntah dalam gelap Subuh pagi, mungkin pasangan suami isteri ini over excited dengan bicycle touring pertama mereka. Pitri dan Sakinah steady macam selalu. Kami menyeberang ICQS Padang Besar tepat jam 07:30 pagi seperti yang dijanjikan. Untuk itu saya tabik dan kira team ini sangat berpegang pada janji!
Namun kami terkandas di Border Control Terminal Padang Besar, sebelah Thailand. Semua gara-gara pendaftaran vaksin Bro Zoraimi, Pitri dan Sakinah yang perlu dilakukan dengan mengunakan telefon pintar melalui imbasan QR Code, memuat naik sijil vaksin Malaysia dan mengisi maklumat peribadi yang tentunya mengunakan data internet. Namun tiada masalah kerana saya kongsikan data roaming internet dari rangkaian Digi yang saya kira tiada masalah langsung sepanjang 2 hari di Thailand, cumanya untuk lebih efektif lebih baik kita reboot telefon apabila telah masuk ke wilayah Thailand. Bagaimanapun isu mereka dapat diselesaikan tidak berapa lama selepas itu, sebenarnya tiada masalah apa pun, mungkin disebabkan lama tidak menyeberang sempadan dan berhadapan prosedur baharu itu, mereka bertiga jadi kelam kabut sedikit. Selepas Sakinah selesai membuat pelaburan saham di tandas Border Control Terminal kami terus kayuh menyusuri pekan Padangbesa, Thailand ikut jalan kampung menuju Ban Khlong Ngae.
Seperti yang dijangka, keadaan di Thailand masih gelap dan lenggang. Hujan rintik turun sebentar kemudian berhenti. Namun tiada sebarang masalah. Saya pun awal-awal lagi bersedia dengan baju hujan sebagai official merchandise kali ini, jadi masing-masing sudah siap siaga untuk menempuh becak lecah. Banyak yang kami bualkan sepanjang kayuhan santai menelusuri kebun getah, kampung dan warung di kampung Khlong Sai. Tiba-tiba Pitri sedar yang tayar MTB-nya telah tercucuk sepihan plastik yang kalau hendak diikutkan nahas juga laaa. Tetapi alhamdulilah, tayarnya masih mampu bertahan, angin tak berkurangan dan masih boleh bergolek dengan baik. Kami pun teruskan!
Kami sampai di Khlong Ngae kira-kira jam 09:30 pagi disambut awan larak yang nampak seperti akan runtuh tidak berapa lama lagi… tetapi tak turun-turun juga hujannya. Maka selepas berfoto sakan di stesen keretapi Khlong Ngae, kami pun ke pasar pagi untuk sarapan. Kesian tengok Bro Zoraimi yang tidak sempat tukar wang, maka saya pinjamkan dia 500 baht. Saya dan Bro Zoraimi jalan-jalan cari makan dan kembali ke tempat parkir basikal. Kami tunggu dekat 40 minit barulah mereka yang lain sampai. Rupanya mereka jolly sakan, siap membeli belah baju, topi dan makan di food truck hipster! Takpalah! Seronok tengok kawan-kawan semua gembira setiap kali ride bersama!
Jam 11:00 pagi kami sambung kayuhan, matahari sudah mula meninggi, bahang di Thailand ini lain macam. Debu jalannya pun lain macam kerana lori-lori pun bermacam jenis, ada yang bawa babi, ada yang tarik 2 gerabak, ada yang macam kereta kebal, macam-macamlah! Jadinya asal jumpa aja 7Eleven kira hendak berenti beli minuman dan tumpang penghawa dingin.
Melawat Thailand tanpa berkunjung ke 7Eleven bolehlah diharmonikan permisalannya sepertimana orang Thai datang ke Malaysia tanpa berkunjung Eco. Saya tak tahu bagi orang di negeri lain, tapi kalau kami di Perlis selalu sangat bertembung dengan orang Thailand yang datang borong sakan di Eco, terutamanya di Kuala Perlis.
Setelah lebih dari 2 tahun tidak berkunjung ke Thailand, antara perkara baharu yang telah dihalalkan di sana ialah pengunaan ketom atau kratom (dalam bahasa Thai). Jadi sepanjang jalan kita dapat lihat dangau-dangau menjual daun ketom yang dipaket seperti ulam. Saya hampir terjatuh dari basikal ketika meneropong adakah benar itu daun ketum atau daun kaduk? Sah! Mereka menjual daun ketum.
Cara mereka bungkus daun ketum di sana. Mungkin dalam 500gram satu bungkus.
Menteri Kehakiman, Somsak Thepsutin merupakan orang pertama yang mengusulkan hal ini di dalam kabinet Thailand pada tahun lalu, kerajaan Thailand mengejutkan rantau ini apabila meluluskan pengunaan ketum untuk kegunaan peribadi bermula Ogos 2022 lalu. Thailand telah mengazetkan ketum atau kratom sebagai tumbuhan dalam keluarga kopi dan terkeluar dari senarai nakotik. Tindakan ini diambil berpunca daripada kesesakan banduan di penjara setelah disabitkan kesalahan mengedar dan memiliki kratom hingga menjadi beban negara dan jualan ketum juga dilihat sebagai pemangkin ekonomi penduduk di kawasan kampung. Namun The Thai Food and Drug Administration (TFDA) masih enggan meluluskan ramuan kratom ke dalam mana-mana makanan atau kosmetik kerana kajian terperinci mengenainya masih belum dilakukan. Saya tak pasti kawan-kawan lain perasan atau tak? T-shirt yang trending di sana kini ialah t-shirt kartun ilustrasi jutawan Arab memegang daun kratom yang kebanyakan dipakai remaja Muslim. Saya pun ada nampak beberapa orang budak sudah memakainya di Kuala Perlis sekarang. Kononnya mereka Snoop Dogg laa tuh!
Thailand buat gempak lagi pada 9 Jun 2022 lalu, apabila menjadi negara Asia pertama yang mengugurkan ganja dari kategori narotik terlarang membuatkan pengunaan dan penanaman cannabis semakin rancak di sana. Itulah yang saya hendak cerita ini, berbagai jenama air ganja, berbagai khasiat, berbagai perisa dengan mudah didapati merata-rata termasuklah di 7Eleven. Masing-masing pakat jadi jakun teringin hendak cuba minum air ganja yang paling murah rasanya RM1.80 sahaja. Saya rasa entah betul entah tidak? Ya lah, memang la dah halal ganja tu sana, tetapi benda ini terdedah untuk scam, macam air zamzam jugalah, bukankah ia halal, boleh diimport ke sini? Tapi kalau dah jenis kapitalis ni dia isi air paip dalam botol kemudian bubuh label air zamzam, kau tahu!?
Secara peribadi saya merasakan tindakan Thailand berhubung hal ini terkait dengan kebangkitan rakyat Thai yang sudah berani bangkit menentang monarki. Kalau kita teliti cara Thailand menangani isu-isu dalaman negara mereka sudah tentu kita akan perasaan kaedah pihak diraja mententeramkan kemaraan rakyatnya.
Bagi sahaja apa yang rakyat suka!
Terutamanya siapa yang paling buat bising! Jika diteliti kelulusan pengunaan kratom di Thailand ialah melalui cubitan tangan diraja juga. Betul tak? Baik, cuba teliti wilayah mana yang paling teruk menyalahguna kratom dan paling menentang institusi diraja Thailand? Nah! Betul tak?
Kami sampai di Hatyai tepat jam 13:00 pm, daftar masuk hotel dan rehat. Kemudian kami keluar semula jam 15:00 pm untuk ke Central Festival dan Floating Market Khlong Hae. Secara rawaknya kami memang ulangi tentatif Ride & Roll in Singora 2.0 dahulu. Tetapi kali ini ada tambahannya, kami sempat bertemu dengan Kittisak Surasak, aktivis muzik bawah tanah Hatyai yang juga pemain bass kumpulan punk E-8 dan Kaab. Banyak juga yang kami bualkan malam itu di Greenway Market, kata Kittisak atau nama pentasnya Kai, dia sudah meninggalkan dunia muzik UG untuk menumpukan peniagaannya kerana kini dia menjadi pengurus J&T cawangan Songkhla. Manakala kumpulan E-8 dan Kaab terus berkubur apabila pemain dramnya membunuh diri pada tahun lalu. Saya tanya Kai kenapa dia bunuh diri?
“Depressed. He jumped off the building, so E-8, Kaab and two other bands which he played the drums was all disbanned. 555!”.
Bro Zoraimi bertanyakan tentang ayat Thai pada pelekat Rakap Besi kepada Kai. Mungkin dia ingat saya tulis yang bukan-bukan. Kai pun menerangkan ialah peribahasa yang popular di Thailand, “dai yung sia yung” yang bermaksud “If you want something, you have to break something, it is like ‘no pain no gain’, kata Kai. Pada saya jika dalam bahasa Melayu, maksudnya mirip “Jika tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya”. Bro Zoraimi nampaknya berpuas hati kemudian dia bertanya isyarat tapak tangan yang sering mereka buat ketika swafoto. Isteri Kai menerangkan ia fungsi fokus kamera. Yang ini Bro Zoraimi nampaknya kurang berpuas hati. Apabila pulang di Malaysia saya pun menerangkan kepada dia bahawa 555 dalam Thai bermaksud ketawa, iaitu “ha!ha!ha!”. Barulah dia dapat tangkap!
Saya sebenarnya ingin memberi hadiah windbreaker rasmi Rakap Besi kepada Kai kerana dia memberi kebenaran untuk mencetak logo rasmi Hatyai-Songkhla Underground Scene (HYSK UG) di lengan jaket itu tetapi Kai berkeras untuk membelinya sebagai tanda sokongan. Bagus juga, bolehlah saya belanja Pitri dan Sakinah minum jus. Eakard, pemilik John's Corner Coffee Shop yang juga seorang pemain bass kumpulan hardcore yang saya lupa namanya turut datang malam itu, Eakard mati-mati tak percaya kami datang ke Hatyai dengan mengayuh basikal!.555.
Kami pulang ke hotel kira-kira jam 11:00 malam dan berehat. Bro Zoraimi tidur lewat melayan pertandingan laga kerbau di siaran TV Thailand, manakala yang lain sudah sunyi sepi.
11 September 2022.
Bro Zoraimi bangun awal pagi, selepas subuh dia sudah keluar bersiar-siar di 7Eleven. Cari colok katanya. Badril dan isterinya keluar mencari khao mok di gerai berdekatan. Manakala usai solat Subuh saya hanya menonton laga ayam di TV sambil makan jajan yang dibeli di 7Eleven semalam. Semua orang nampaknya berpuas hati dengan penginapan di U2 Inn. Sebelum bergerak ke Lee Gardens untuk sarapan pagi kira-kira jam 11:30 pagi, kami dikejutkan dengan khabar tayar gravel Nunu pancit lagi. Petang kelmarin di Ban Phru saya sudah gunakan tire sealer yang dibeli dari Mr. DIY. Sepatutnya ia bertahan hingga tayar itu botak licin tetapi ntah mana silapnya, tayar itu bocor semula? Tetapi yang bagusnya Badass bolehlah belajar tukar tayar dan guna alatan canggih yang dia bawa. Semuanya siap sekelip mata dan kami bergerak ke Lee Gardens dan makan di Restoran Hamid seperti Ride & Roll in Singora 2.0. Hidangannya memang tidak pernah mengecewakan, terima kasih jugalah kepada Badass kerana belanja. Saya pukoi meja ala wongnai. Aroii!
Banyak sungguh orang Malaysia di sini, namun hasil tinjauan saya mendapati banyak tempat-tempat membeli belah telah tutup kesan dari kuarantin semasa pandemic covid-19. Kemudian kejatuhan ringgit yang teruk turut memberi kesan. Tetapi Thailand punyai serapahnya yang tersendiri untuk memikat pelancong luar iaitu makanan dan pemandangan. Walaupun tidak rancak membeli belah lagi, orang kita tetap sanggup berbelanja untuk makan minum dan bertandang ke tempat-tempat percutian di sana demi untuk mengemaskini status di media sosial. Dan kini, kratom dan ganja sudah menjadi produk terbaharu Thailand selain perniagaan kuno mereka iaitu perdagangan seks.
Pitri dan Sakinah datang lewat 30 minit dari tempoh yang dijanjikan iaitu jam 13:00 pm kerana Sakinah pergi massage kaki, jadi saya dan Bro Zoraimi sempatlah guna tempoh itu untuk bikin foto ala Beatles Abbey Road atau, Abbath road.. hehe! Saya duk perati lama sudah depa dua ni memang ada fetish massage kaki setiap kali ride… saya duk perati jer!
Kami kayuh pulang ketika tengahari rembang. Jalan raya mendidih menaikkan wap seolah-olah kami sedang berada di Tabasco, Mexico. Namun apa perlu bimbang 7Eleven-kan ada? Jadi kami singgah aja sama ada untuk sejukkan badan dan berehat. Saya perati lagi Nunu dan Sakinah tak habis-habis dengan ayaq ganja depa! Saya perati jaa… bukan apa satgi di pintu sempadan masuk mesti ada pegawai AADK tunggu, kalau cukup dosnya, kena pula ditahan untuk jalani urine test. Naya! Saya dah ada pengalaman kena tahan di situ. Tahu laa saya! Saya ditahan bukan kerana isap dadah tetapi kerana saya tak boleh kencing jika orang tengok. Saya tak reti. Malu. Mujurlah hari itu pegawai kanan mereka kenal saya, maka saya dibebaskan tanpa perlu kencing. Lega!
Sampai di 7Eleven Thung Lung, kami dikejutkan oleh kehadiran Mad Duha, katanya hari itu dia tak boleh sertai kayuhan ini kerana walimah sepupunya. Ini sampai Hatyai pula dah! ha!ha! macam-macam lagu dia ni. Kami singgah di masjid Klang untuk solat jamak qasar, kemudian di Lotus Sadao untuk makan lagi. Saya tengok kawan-kawan lain masih berat untuk balik, bukan kerana penat, tetapi kerana masih belum cukup puas menikmati kembara santai ini.
Kami tiba di pintu sempadan Padang Besar, Thailand kira-kira jam 19:30 pm. Semua dalam keadaan selamat dan ceria. Ketika melalui pemeriksaan kastam Thai, seorang pegawai menunjukkan isyarat bagus pada basikal saya, mungkin dia pun cyclist?.
Kami bergambar bersama buat kali terakhir di kawasan parkir. Semua orang pada waktu itu sudah nampak kalut berkemas untuk pulang ke rumah masing-masing, dalam masa yang sama terpancar kegembiraan di wajah masing-masing. Alhamdulilah kita semua mungkin membawa pulang pelajaran baharu, pengalaman baharu dan kenalan baharu sebagai himpunan kisah hidup kita.
Bro Zoraimi meminta saya hantar beliau ke stesen KTM Padang Besar, kami cari pakai Google Map, seram juga kawasannya jika memandu bersorangan di malam hari. Ha!ha!ha! Sedih juga lihat Bro Zoraimi berlepas pulang dengan komuter walaupun hanya kenal 2 hari lalu. Dia transit di Butterworth dahulu sebelum naik ETS ke Melaka. Tahniah dan terima kasih buat beliau kerana sudi meluangkan masa ikut serta Ride & roll to Singora 3.0 ini. In Shaa Allah akan ada 4.0 tahun depan, saya pun sudah sketch route yang baharu kerana sudah jemu dengan tentatif ini.
Kalau malas baca, layan visual dah laaa..!
Seperti sebelum ini, Alhamdulilah, Tuhan kurniakan kami bertemu kenalan-kenalan baharu yang baik budi untuk berkongsi gundah, tawa dan juadah. Semoga dapat bertemu lagi. TQ semua! Godspeed.
Laporan oleh:
No comments:
Post a Comment