Wednesday, October 26, 2022

GOJIRA “This is Our Time” (ROAD RUNNER) – PERANCIS


Saya sebenarnya sudah lama ingin mengulas album-album lama Gojira yang sememangnya kena dengan halwa telinga saya tetapi risau juga puak elitist Malaysia menghukum saya pula, yalah! Kononnya old school, tapi duk pi dengar metal arus perdana ni apa hal!?

Bagaimanapun biarlah saya mengimbas kembali kali pertama saya mendengar Gojira pada tahun 2011, iaitu melalui sampler CD majalah Metal Hammer dengan lagu “Of Salt and Blood”. Sememangnya padu sekali dan sungguh ironi kerana sebaik sahaja mendengarnya saya teringatkan Strapping Young Lad, manakala Devin Townsend jadi penampilan istimewa mengalunkan solo gitar dalam trek ini. Gojira bagi yang tidak tahu (peliklah jika tak tahu?) bukanlah kumpulan yang baru muncul tiba-tiba jadi popular. Bukan! Sebaliknya mereka melalui proses sebagaimana yang dilalui oleh kumpulan metal bawah tanah terdahulu dan tradisional. Gojira ditubuhkan pada tahun 1996 dengan nama Godzilla oleh dua adik beradik Joe Duplantier yang ketika itu berusia 19 tahun di posisi gitar & vokal dan Mario Duplantier berusia 14 tahun sebagai pemain dram. Sebelum melahirkan album sulung “Terra Incognita” mereka pada tahun 2001, mereka sempat merakamkan demo kaset “Victim” (1996) dan “Possessed” (1997) yang ber-genre death metal tepu, dan sempat menjelajah selatan Perancis untuk mempromosi demo mereka.

Sebelum rakaman album “Tera Incognita” inilah mereka merubah nama kepada Gojira dan berhijrah ke Brussel untuk mencari studio yang mampu mengangkat kualiti muzik mereka setanding dengan band-band dari kota Paris. Mereka menanggung kos rakaman di Impuls Studio dengan mengunakan dana yang diperolehi melalui derma kawan-kawan dan saudara mara. Namun bila rakaman album sudah siap, syarikat-syarikat pula enggan menerbitkan album mereka kerana muzik yang terlalu kehadapan dari zaman. Mereka disarankan untuk ubah haluan muzik dan menyanyi dalam bahasa Perancis aja! Lalu mereka pun tubuhkan syarikat sendiri untuk pasarkan album itu dari rumah sahaja. Mereka pun berangkat mempromosi muzik mereka dalam siri jelajah bersama Immortal. Kata Joe Duplantier, selepas kembali dari jelajah bersama Immortal itu semangat mereka jadi lain macam, sudah rasa macam jentera perang jadinya!

Album “The Link” (2003) menyaksikan Gojira semakin ligat, Menurut Mario, bermula album itulah dia mula menguasai teknik blast beat yang betul dan laju. OK cukuplah setakat itu. Kita balik kepada cerita single “This Is Our Time” ini, yang saya rasa wajar untuk diulas kerana ia mampu merangkum keseluruhan entiti ini dengan satu lagu ini sahaja. Pertama, jika benar terma “modern metal” itu oleh diguna pakai, maka inilah dia modern metal, atau Nu metal, menurut skala sebenar benarnya. Produksi bunyi yang maju, semua instrumen berbunyi bagaikan mahu mengatasi satu antara lain namun dalam belenggu frekuensi yang ampuh lagi terkawal, riffs gitar yang anthemik dan digarap bagaikan untuk hari perarakan tentera bergajah, di tempat yang tepat gitar Joe masuk tapping dan bending, vokal gaya jeritan dengan reverb stadium, semua ini adalah akar identiti Gojira. Jika didengar dengan teliti, Joe Duplantier bukan menjerit semberono aja, lenggok jeritannya jika diganti dengan suara normal pasti akan tetap menjadi nada yang bagus. Dan ya, Mario tidak menunjuk-nunjuk kehebatan teknik blast beat-nya dalam trek ini namun dia gantikan pula dengan tempo ganjil 2-1, 2-1 ketika Joe mula menyanyi membuatkan lagu ini kedengaran rocking dan sofistikated sekali. 

Gambaran Joe tentang single terbaharu ini “Lagu ini ditujukan kepada semua pejuang di luar sana yang menyinarkan cahayanya dalam dunia yang gelap gelita ini. Tunjukan kau adalah sebahagian dari perubahan! Kalau kau benar-benar peduli terhadap sesuatu yang bermakna kepada diri kau sendiri atau komuniti kau, kau berdiri untuk sesuatu perjuangan, kau tunjukan belas kasihan dan solidariti kepada mereka yang kehilangan hak mereka, kau dalam peperangan mempertahankan hak warisanmu atau kau menentang pembalakan, kau berjuang untuk hak haiwan, hak manusia, kau adalah panahan petir, percikan api yang akan merubah dunia ini. Inilah masa kau! Inilah masa kita!”

Muzik dan persembahan langsung daripada Gojira adalah fenomena. Tiada siapa dapat menafikan mereka antara kumpulan muzik metal terberat abad ini walaupun tanpa imej seperti kumpulan ekstrim yang lain. Mereka selesa dengan t-shirt kosong dan jeans sahaja tanpa sebarang gimik biarpun elemen kejutan adalah jati diri pemuzik metal.

Lirik-lirik Gojira ditulis oleh Joe Duplantier secara umumnya berkisar tentang realiti kehidupan dan kerohanian. Kata Joe, semasa kanak-kanak keluarga Duplantier tinggal di kawasan hutan dan tiada jiran, jadi mereka membesar dengan bersahabat dengan alam. Maka itu menjadi inspirasi utama dalam penulisan lirik Gojira. Bakat seni lukis bapa dan ibu mereka diwarisi Mario Duplantier yang menjadi pengarah seni grafik bagi setiap kulit album Gojira. Mario mengemar melukis dalam tema surealism, selalunya di atas drumhead dan menjualnya kepada peminat setiap kali mereka membuat persembahan. Dia juga menjualnya secara atas talian di web rasminya. marioduplantier.com

Gojira kini dinobatkan sebagai kumpulan metal no. 1 Perancis dan telah mengondol bermacam-macam pengiktirafan antarabangsa seperti Epiphone Revolver Golden Gods Music Awards, GAFFA Awards, Metal Hammer Golden Gods Awards, Loudwire Awards dan sebagainya.

Gojira ialah sebuah band yang aktif melibatkan diri dalam kempen-kempen kemanusiaan dan alam sekitar, pernah terlibat dalam demonstarasi Avis de KO Social yang memperjuangkan hak kesaksamaan antara golongan kaya dan miskin, menyokong kuat Sea Shepherd dan Geapeace dalam mempertahankan dan pemuliharaan hidupan laut. Kempen menghalang pembalakan di Amazon, mewujudkan dan mengumpul dana untuk Articulation of Indigenous People of Brazil (APIB) dan macam-macam lagilah kerja-kerja kebajikan yang Gojira ikut serta.

Dan yang menariknya, pemain bass mereka Jean-Michel Labadie merupakan seorang peminat sukan lasak seperti skateboard dan snowboard dan BMX. Pada tahun 1996, beliau mula menceburi sukannya katanya “more brutal” iaitu MTB downhill. Labadie bukan BBNU punya level dalam downhill, tembual tentang hobinya ini boleh dibaca dalam laman rasmi Redbull.

Ulasan oleh:

No comments:

Post a Comment